Wednesday, February 26, 2014

HAWA NAFSU MENARIK MANUSIA KE NERAKA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa jalan-jalan yang boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka adalah perkara-perkara menarik hawa nafsu. Sebaliknya pula jalan menuju ke syurga adalah jalan yang sukar dan bertentangan dengan hawa nafsu manusia. 

Ingatlah hawa nafsu sentiasa mendorong manusia kepada keseronokan dan kebahagian yang menipu, melupakan manusia bahawa seksaan dan azab sengsara menanti manusia di hari akhirat akibat maksiat dan dosa yang dilakukan ketika di dunia. Hawa nafsu dan bisikan syaitan seiringan menjadikan manusia lupa diri dan lupa bahawa hidup di dunia ini adalah sementara waktu sahaja bukannya tempat yang kekal abdi.

Sedangkan iman, takwa dan akhlak yang baik adalah ciri-ciri ahli syurga yang hanya mampu dimiliki oleh orang-orang mukmin pilihan Allah SWT .

Sahabat yang dimulikan,
Pertentangan di antara kebenaran dan kebatilan sebenarnya adalah satu sunnah di dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang menjurus kepada nafsu sentiasa mendorong manusia untuk melakukannya sedangkan perkara yang mengajak kepada syurga sentiasa ada halangan dan rintangannya. Itulah yang dinamakan cabaran iman.

Allah SWT memberi khabar gembira terhadap orang-orang yang sanggup mengorbankan gelora hawa nafsunya demi untuk berbakti di jalan Allah SWT bahawa mereka nanti akan diberi ganjaran syurga yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan.

Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai-nilai istiqamah di dalam hati dan sabar adalah kunci kekuatan tersebut. Ia menjadikan manusia dapat bertahan daripada dipengaruhi oleh sebarang hasutan yang menarik diri mereka kepada neraka atau dengan lain perkataan kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarrab untuk seseorang itu sampai ke syurga.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jaga iman , hubungan hati kita kepada Allah SWT dan akhlak Islam yang mulia, untuk menjadi contoh dan ikutan kepada orang lain. Orang mukmin tidak akan mudah dipengaruhi hawa nafsu amarah sebaliknya  orang fasik dan munafik akan mudah dipengaruhi oleh hawa nafsunya sendiri di tambah pula dengan bisikan dan godaan syaitan. Oleh itu untuk kita terpilih menjadi penghuni syurga seluas langit dan bumi perlulah bersabar dengan godaan  dan tarikan dunia dan sanggup bersusah payah di dunia ini semata-mata mencari reda dan rahmat Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML