Wednesday, February 26, 2014

IBADUR RAHMAN

Hayati 15 Sifat-sifat Ibadur Rahman (Hamba Allah) Yang di Rahmati Allah SWT Dunia dan Akhirat


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam Surah al-Furqan ayat 63-77, Allah SWT menyatakan 15 sifat-sifat Ibadur Rahman (hamba Allah)  yang mendapat kemuliaan dan keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

63  Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih (Ibadur Rahman) itu adalah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina) mereka mengucapkan "salam". (QS. 25:63)

64 Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.,(QS. 25:64)

65 Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, jauhkan azab Jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".(QS. 25:65)

66 Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.(QS. 25:66)

67 Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.(QS. 25:67)

68 Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya),(QS. 25:68)

69 (Yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina,(QS. 25:69)

Asbabun Nuzul ayat 68 - 69.

Ibnu Masud r.a berkata, "Kedua-dua ayat ini diturunkan berkenaan denganku yang suatu ketika bertanya kepada Rasulullah SAW tentang dosa yang paling besar. Baginda menjawab,"Menyekutukan Allah, padahal Dialah yang menciptakanmu." Aku bertanya hal yang sama lagi. Rasulullah SAW menjawab, "Membunuh anakmu kerana kamu takut miskin". Aku bertanya lagi. Baginda pun menjawab, "Berzina dengan tetanggamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

70 kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka mereka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(QS. 25:70)

71 Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.(QS. 25:71)

72 Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.(QS. 25:72)

73 Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.(QS. 25:73)

74 Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." (QS. 25:74)

75  Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,(QS. 25:75)

76 mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.(QS. 25:76)

77 Katakanlah (kepada orang-orang musyrik):` Tuhanku tidak mengindahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya?, Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu) (QS. 25:77)

Berdasarkan ayat-ayat di atas  terdapat 15 sifat-sifat Ibadur Rahman (hamba Allah) :

1. Berjalan dimuka bumi dengan rendah hati. 

2. Bila disapa oleh orang yang jahil akan dibalas dengan ucapan salam (sejahtera) kepada mereka.

3. Pada waktu malam sentiasa melaksanakan solat tahajud.

4. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhi seksaan Neraka Jahanam.

5. Sentiasa membelanjakan hartanya dengan berhati-hati tidak membazir dan tidak kikir.

6. Tidak mempersekutukan  Allah SWT dengan makhluk-Nya  iaitu menjauhkan diri daripada perbuatan syirik.

7. Tidak membunuh manusia melainkan apa yang dibenarkan oleh syarak.

8. Tidak melakukan perbuatan berzina.

9. Sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

10. Sentiasa mengerjakan amal soleh.

11. Tidak menjadi saksi palsu

12. Bila bertemu orang yang suka membuat perbuatan tidak berfaedah, tidak dilayainya untuk menjaga kehormatan diri.

13. Sentiasa menerima peringatan dan arahan Allah SWT dengan hati yang terbuka tanpa ragu-ragu.

14. Sentiasa berdoa supaya dikurniakan isteri dan anak-anak yang menyenangkan hati.

15. Sentiasa berdoa supaya menjadi pemimpin untuk kepada orang-orang yang bertakwa.

Huraian untuk sifat-sifat di atas adalah seperti berikut :

1. Berjalan dimuka bumi dengan rendah hati.

Seorang mukmin peribadinya seimbang dengan menundukkan pandangan bila berjalan dan tidak merasa  sombong dan bangga diri. Sebagaimana Luqman memberi nasihat kepada anaknya seperti firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 18 yang bermaksud : "Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri."

2. Bila disapa oleh orang yang jahil akan dibalas dengan ucapan salam (sejahtera) kepada mereka.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah SWT menghimpunkan makhluk-Nya di hari kiamat, penyeru pada hari itu menyeru: "Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan". Baginda bersabda: "Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat." Kemudian mereka ditanya: "Apakah keistimewaan kamu?" Mereka menjawab: "Apabila kami di zalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut". Lalu dikatakan kepada mereka: "Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang-orang yang beramal".

3. Pada waktu malam sentiasa melaksanakan solat tahajud .

Dalam al-Quran Allah SWT menceritakan sifat orang bertakwa sentiasa melaksanakan solat tahajud , firman-Nya yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)”. (Surah al-Dzaariyaat ayat15-18)

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”  ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

4. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhi seksaan Neraka Jahanam.

Sifat orang mukmin ini digambarkan dalam firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 16 yang bermaksud : "(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka". 

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bila seseorang selesai membaca tasyahud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: ' Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah dajjal'. (Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai kepentingannya)". (Hadis riwayat Muslim)

5. Sentiasa membelanjakan hartanya dengan berhati-hati tidak membazir dan tidak kikir.

Firman Allah SWT : “Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Surah al-Israk ayat 26 – 27)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “… dan takutlah kamu dari sifat kikir, kerana sesungguhnya sifat kikir itu telah membinasakan umat sebelum kalian, yang mendorong mereka melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan semua yang diharamkan Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)

6. Tidak mempersekutukan  Allah SWT dengan makhluk-Nya  iaitu menjauhkan diri daripada perbuatan syirik.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar". (Surah An-Nisa' ayat 48).

7. Tidak membunuh manusia melainkan apa yang dibenarkan oleh syarak.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.”
(Surah An- Nisa’ ayat 93)

Dari Ibnu Mas’ud radiallahuanhu dia berkata : Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda : "Tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi bahwa tidak ada Ilah selain Allah dan bahwa saya (Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam) adalah utusan Allah kecuali dengan tiga sebab : Orang tua yang berzina, membunuh orang lain (dengan sengaja), dan meninggalkan agamanya berpisah dari jamaahnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. Tidak melakukan perbuatan berzina.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Dan janganlah kamu mendekati zina , sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah Al- Israa’ ayat 32)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam neraka.”
(Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)

9. Sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :“Barangsiapa bertaubat kepada Allah sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan menerima taubat orang tersebut.”
(Hadis Riwayat Muslim)

10. Sentiasa mengerjakan amal soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud :  “Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Surah al-Kahfi ayat 110)

11. Tidak menjadi saksi palsu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Dipastikan dua kaki dari orang yang bersaksi palsu itu pada hari kiamat nanti akan melangkah ke neraka" ( Hadis Riwayat Ibn Majah dan Hakim)"

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Mahukah ku tunjukan tentang dosa yang paling besar? Iaitu syirik kepada Allah, derhaka kepada orang tua, ingatlah ucapan-ucapan dusta dan ingatlah saksi yang dusta dan Nabi mengulang-ngulangi hingga kami (para sahabat berkata
( dalam hati): ohh, bilakah baginda hendak diam" (Hadis Riwayat Bukhari ) 

12. Bila bertemu orang yang membuat perbuatan tidak berfaedah tidak dilayainya untuk menjaga kehormatan diri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sebaik-baik Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang bukan kepentingannya."  (Hadis Riwayat Tarmizi)

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Jangan banyak bicara selain zikir kepada Allah kerana banyak bicara selain zikrullah menyebabkan hati keras dan sejauh-jauh manusia dari Allah ialah yang berhati keras." (Hadis Riwayat Tarmizi)

13. Sentiasa menerima peringatan dan arahan Allah SWT dengan hati yang terbuka tanpa ragu-ragu.

Allah SWT berfirman: “Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para sidiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (Surah an-Nisa' ayat 69)

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya : "Apabila kamu merasa gembira setelah melakukan kebaikan dan merasa berdukacita setelah melakukan keburukan, maka itu tandanya kamu beriman" (Hadis riwayat Muslim)

14. Sentiasa berdoa supaya dikurniakan isteri  dan anak-anak yang menyenangkan hati.

Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya serta setia kepada suami yang soleh.

Firman Allah SWT maksudnya : “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…”
(Surah An-Nisa’ ayat 34)

Orang mukmin sentiasa berdoa semoga mendapat anak yang soleh sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai Tuhanku , anugerahkanlah kepadaku (seorang anak)  yang termasuk orang yang soleh." (Surah Ash-Shaffat ayat 100)

15. Sentiasa berdoa supaya menjadi pemimpin untuk kepada orang-orang yang bertakwa.

Di dalam ayat yang lain Allah SWT menjelaskan sifat orang bertakwa dalam firman-Nya bermaksud: "iaitu orang yang berdoa:' Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. Iaitu orang yang sabar, orang yang benar, orang yang taat, orang yang menginfaqkan (ke jalan Allah) dan orang yang memohon keampunan pada waktu sahur '." (Surah Ali Imran, ayat 16-17)

Sahabat yang dimuliakan,
Apakah balasan Allah SWT kepada Ibadur Raman yang memiliki 15 sifat-sifat di atas?

Menerusi ayat 75 Surah al-Furqan, Allah SWT menjanjikan balasan syurga dan memberikan martabat yang tinggi kerana kesabaran mereka melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dan berakhlak dengan akhlak yang mulia semasa hidup di dunia.

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud :  "Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada mereka karena kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera.”
(Surah al-Insan ayat 10-12)

Oleh itu marilah sama-sama kita mendidik diri kita supaya melayakkan diri kita menjadi Ibadur Rahman (hamba Allah) yang dimuliakan dan mampu memenuhi 15 sifat-sifat seperti yang tersebut diatas. Sentiasalah kita berdoa dan istiqamah di atas jalan Islam hingga mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT di dunia dan akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML