Wednesday, February 26, 2014

HIJRAH MEMILIH PEMIMPIN ISLAM

Pemilihan Pemimpin Yang Bertakwa Adalah Salah Satu Tuntutan Hijrah


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hijrah Rasulullah SAW daripada Mekah ke Madinah adalah kerana baginda Nabi SAW ini membina atau mencari satu tempat dakwah yang subur yang akan dapat menegakkan Islam sebagai Daulah Islamiah.

Terbukti pilihan Nabi SAW berdasarkan wahyu Allah SWT bahawa kota Madinah adalah tempat yang subur dan strategik untuk merealisaskan Islam dan melaksanakan hukum-hukum Allah SWT yang telah ditanzilkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Tindakan pertama Rasulullah SAW selepas hijrah dalam membangunkan negara Madinah ialah mendirikan masjid dan keduanya membina pasar. Kedua tindakan nabi ini adalah simbolik kepada pembangunan insan dan pembangunan ekonomi yang dititikberatkan dalam membina sesebuah negara. Masjid adalah tempat membangunkan manusia untuk bertakwa kepada Allah SWT dan menghubungkan manusia sesama mereka. Manakala pasar pula sebagai pusat kegiatan ekonomi yang kedua penting dalam membangunkan negara.

Hijrah pada zaman Nabi SAW bukanlah semudah yang disangka. Ia berlaku akibat ancaman daripada kaum Musyrikin yang menentang dakwah Islamiah Nabi dan juga mengancam nyawa orang yang mengikut ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Peristiwa hijrah juga memberi gambaran kepada umat Islam bahawa bumi Allah tidak sempit untuk mereka hidup dengan baik dan mengecapi apa yang telah disediakan oleh Allah untuk mereka yang beriman. Ini jelas tertera dalam surah az-Zumar, ayat 10 yang bermaksud:

“(Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

Tanpa penghayatan dan memahami konteks hijrah masa kini, akan membawa kegagalan kepada umat Islam sendiri.

Tarikh ini menjadi sebahagian daripada hari memperingati di dalam kalendar Islam kerana ia merupakan titik tolak kepada era pergerakan dakwah Islamiah yang disebarkan oleh Rasulullah SAW  ke seluruh pelosok dunia. Hasilnya sehingga ke hari ini Islam menjadi salah satu agama terbesar dunia dengan jumlah seramai lebih 1.3 bilion atau satu per lima daripada penduduk dunia.

Perjalanan yang menempuh pelbagai cabaran ini bukanlah semata-mata kerana takutkan ancaman dan asakan daripada kaum kafir Quraisy tetapi menjadi strategi Nabi Muhammad  SAW  sendiri untuk melalukan keberkesanan dakwahnya dan juga menjadi sebahagian ujian bagi umat Islam. Ia tidak akan berjaya tanpa perancangan bijak, teliti dan penuh berhati-hati. Ia juga tidak akan berjaya tanpa sifat pengorbanan untuk keluar dari tanah air sendiri semata-mata untuk penyebaran dakwah Islam.

Jelas betapa hebatnya hijrah tersebut yang bukan hanya berfokuskan semata-mata menyampaikan dakwah tetapi Nabi SAW  berjaya mendirikan daulah (negara) Islam Madinah yang lengkap melalui pakatan murni yang dimeterai dalam Perlembagaan Madinah. Ahli sejarah menganggap ia adalah satu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.

Daripada hanya sebuah agama kecil akhirnya berkembang menjadi agama terbesar dunia. Daripada kelompok minoriti yang lemah menjadi majoriti yang perkasa dalam pelbagai bidang. Daripada umat yang lemah dan dihina beranjak kepada umat terbilang yang penuh penciptaan ketamadunan. Daripada bangsa yang jahil dan zalim menjadi bangsa berilmu dan beradab. Itulah hasil perubahan yang tercetus hanya kerana hijrah.

Strategi dan pelan tindakan hijrah berkait rapat dengan bukti yang menunjukkan betapa lemahnya usaha manusia untuk menghancurkan Islam. Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau – mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah Al-Anfaal:30)

Ayat tersebut antara lain menjadi kata perangsang kepada Nabi SAW dan umat Islam agar tidak takut dengan ancaman orang kafir kerana Allah s.w.t. mengatasi segala perlakuan mereka. Namun begitu asas pertolongan Allah bukan diberikan dengan percuma, tanpa usaha dan ikhtiar yang bijak tetapi disertai dengan tahap keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. yang cukup hebat.

Sahabat yang dimuliakan,
Hijrah  bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud:"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Sudah lebih setengah abad Malaysia merdeka dalam keadaan rasuah dan jenayahnya yang sangat parah. Ia telah merosakkan negara dan rakyat sehingga menjadikan negara dan rakyatnya mundur. Begitu juga dengan agihan ekonomi yang berlaku secara tidak adil. Yang kaya di kalangan kroni terus menerus menjadi kaya dan yang miskin terus miskin walaupun keras berusaha. Perkara ini tidak tepat dengan kehendak Islam.

Kita semua sedang berada diambang Pilihanraya Umum Ke 13. Bila-bila masa sahaja apabila Parlimen dibubarkan maka setiap rakyat Malaysia yang layak mengundi dan telah berdaftar akan menjalankan tanggungjawab untuk memilih pemimpin samaada peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Oleh itu mengambil semangat hijrah, perlu untuk kita berubah dengan meletakkan kepimpinan negara kepada manusia yang amanah yang bukan sahaja mampu membangunkan negara, tetapi amanah dalam pemerintahan dan adil layanannya kepada rakyat.

Pemimpin yang dirahmati Allah SWT adalah pemimpin yang sentiasa mendatangkan pertolongan, rahmat dan keberkahan-Nya. Tapi pemimpin yang jauh dari rahmat Allah SWT adalah pemimpin yang tidak adil, tidak mengambil peraturan dan undang-undang Allah SWT, maka kepemimpinannya itu akan mendatangkan kesulitan, azab yang berujung kepada kemusnahan dan kehancuran, oleh kerana itu sangat penting kita mengetahui kriteria pemimpin yang dirahmati Allah SWT.

Terdapat enam kriteria pemimpin yang dirahmati Allah:

Pertama : Pemimpin yang menyedari kesalahannya dan mahu memperbaikinya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dia berkata: 'Hai kaumku mengapa kamu minta disegerakan keburukan sebelum (kamu minta) kebaikan? Hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat'.". (Surah an-Naml ayat 46)

Kedua : Pemimpin yang mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan taatilah Allah dan Rasul, supaya kamu diberi rahmat’’.(Surah Ali-Imran ayat 132).

Ketiga : Pemimpin yang membawa keredaan, keselamatan, cahaya dan jalan yang lurus.

Firman Allah SWT maksudnya : ‘‘Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus’’.(Surah al-Maaidah ayat 16)

Keempat : Pemimpin yang berbuat baik.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah Amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik’’. (Surah al-’Araf ayat 56)

Kelima : Pemimpin yang menunaikan solat, zakat, dan mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah SWT maksudnya : ‘‘Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat’’. (Surah an-Nur ayat 56)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : ‘‘Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana’’. (Surah at-Taubah ayat 71)

Mendirikan solat merupakan gambaran dari hubungan yang baik dengan Allah SWT, sedangkan menunaikan zakat merupakan gambaran dari keharmonian hubungan dengan sesama manusia. Makruf adalah suatu istilah yang berkaitan dengan segala sesuatu yang dianggap baik oleh agama, akal dan budaya, dan sebaliknya  mungkar pula adalah perbuatan yang berlawanan dengan makruf. Dari gabungan itu semua, seseorang yang diberi kedudukan oleh Allah SWT untuk memerentah satu negara, ia berkewajiban untuk melahirkan suatu masyarakat yang hubungannya dengan Allah baik, kehidupan masyarakatnya harmoni dan agama, akal dan budayanya terpelihara.

Keenam : Pemimpin yang mampu mengatasi konflik dan perselisihan di dalam masyarakat.

Firman Allah SWT maksudnya : ‘‘Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat’’.(Surah al-Hujurat ayat 10)

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu kita perlulah berhijrah dalam ertikata sebenarnya iaitu berhijrah peribadi kita kepada amalan yang lebih baik dan "hijrahkan" kepimpinan negara dengan memilih pemimpin yang beriman dan bertakwa dan pemimpin yang cenderung kepada kebaikan dengan berhati-hati ketika mengundi dalam pilihanraya.

Perkembangan di timur tengah adalah satu perkembangan positif bertukarnya satu demi satu pemimpin negara Islam yang zalim dan menindas rakyatnya kepada pemimpin Islam yang jujur dan amanah.

Yakinlah Allah SWT akan gilirkan para pemimpin dunia yang telah lama memerentah kepada kepimpinan baru yang lebih telus, amanah dan mesra rakyat. Perkara ini amat mudah bagi Allah SWT kerana segala kekuasaan dan kejayaan sesuatu golongan untuk mentadbir negara adalah ditangan Allah SWT.

Allah SWT memuliakan siapa yang Dia kehendaki dan menghina siapa yang Dia kehendaki. Pada tanganNya kerajaan dan kekuasaan hakiki. .

Di samping itu, kita sebagai individu Muslim juga mesti berubah ke arah yang lebih baik dalam amal ibadah dan kefahaman kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga tahun baru hijrah ini akan membawa perubahan bermakna kepada seluruh dunia ke arah melihat dunia yang lebih adil dan terkeluar daripada kezaliman, peperangan dan penindasan yang banyak berlaku di masa ini.

Allah SWT  berfirman melalui surah Ar-Ra’ad, ayat 11 yang bermaksud:

“…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML