Wednesday, February 26, 2014

IBADAH KORBAN

Ibadah Korban Fadilat dan Kebaikannya.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Ibadah korban yang dilaksanakan ketika Idul Adha dan Hari Tasrik itu adalah berkenaan dengan kisah Nabi Ibrahim a.s.  yang bermimpi diperintah Allah SAW untuk menyembelih puteranya Ismail yang ketika perintah itu akan dlaksanakan, bahkan pisau tajam sudah berada di atas leher Ismail, sembelihan itu gagal dilaksanakan kemudian oleh Allah SWT gantikan dengan kibas.

Firman Allah SWT maksudnya : "Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim (yakni sudah dewasa), Ibrahim berkata: “Hai anakku : Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku (disuruh) menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ismail  menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu itu; insya Allah bapak akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (terdengarlah suara panggilan) dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu (sudah melaksanakan perintah) Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar (seekor kibas).Kami abadikan (kisah ini) untuk Ibrahim ( pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian , "Selamat sejahtera bagi Ibrahim" (Surah ash-Shaffat ayat 102-109)

Melaksanakan ibadah korban amat digalakkan oleh Islam kerana fadilatnya cukup besar.

Aisyah meriwayatkan, bahwa Nabi SAW bersabda : Tidak ada amal yang dilakukan oleh anak Adam pada hari nahr yang lebih dicintai Allah, selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan). Dan haiwan yang disembelih itu kelak di hari kiamat akan datang (menemui orang yang korban) lengkap dengan tanduk, kuku dan sepatu kakinya. Dan sesungguhnya darah akan diterima Allah  sebelum darah itu jatuh ke tanah. Kerana itu lakukanlah korban itu dengan seikhlas mungkin. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Dari hadis ini jelaslah bahawa haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan menjadi kendaraan ke syurga. Itulah kebaikan korban di akhirat. Sementara di dunia dapat memberikan dagingnya kepada orang-orang miskin dengan ini akan mendapat pahala sedekah. Kerana sasaran utama daging korban adalah untuk fakir miskin bukannya untuk orang kaya, bahkan yang berkorban pun boleh memakannya.

Sahabat yang dihormati,
Menurut Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, hukum ibadat korban adalah sunat muakkad. Bagi yang bernazar, ia akan menjadi wajib, manakala makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya sedangkan berkemampuan untuk melaksanakannya.

Namun begitu, ibadah korban adalah wajib ke atas Nabi Muhammad SAW. seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Termizi bermaksud: "Diwajibkan ke atasku melaksanakan ibadah korban namun ia merupakan suatu amalan sunat bagi kamu."

Walaupun ibadah korban ini sunat tetapi ianya adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut).

Ibadah korban bertujuan untuk membersihkan diri mereka yang melakukan korban daripada melakukan dosa

Selain itu, persoalan yang turut mengelirukan ialah sama ada perlu atau tidak orang yang berkorban menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan tersebut. Rasulullah SAW. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim bermaksud: "Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu."

Hadis di atas tidak menunjukkan bahawa ia adalah satu kemestian untuk menyaksikan ibadah korban dan akan terbatalnya ibadah tersebut sekiranya tidak berbuat demikian.

"Dengan kata lain, ibadah korban dan akikah boleh dilaksanakan secara berwakil bagi pihak yang ingin melaksanakan korban dan akikah sekalipun mereka tidak ada bersama-sama ditempat ibadah tersebut dilaksanakan, " jelas al-Hakim.

Terdapat banyak kelebihan dalam mengerjakan ibadah korban seperti mana yang terkandung dalam surah al-Kauthar, ayat 2 yang bermaksud:"Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. "

Dengan melaksanakan ibadah korban juga dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap kedekut dan bakhil. Sebaliknya dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama muslim dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur." (Surah al-Hajj ayat 36)

Seperti yang diketahui, ibadah korban selain memenuhi tuntutan agama ia juga sebagai pemangkin untuk mengembangkan syiar Islam. Ini termaktub dalam matlamat utama ibadah ini dilakukan iaitu untuk membantu fakir miskin dan golongan yang kurang bernasib baik di kalangan umat Islam.

Tetapi, apa yang dapat dilihat pada hari ini, di sesetengah tempat, ibadah korban telah bertukar menjadi adat kerana syariatnya tidak dipenuhi. Daging-daging tidak diagihkan dengan betul dan dimasak seolah-olah kenduri biasa.

Sebenarnya, begitu ramai pihak yang ingin melakukan ibadah tersebut semata-mata untuk membantu orang yang kurang berkemampuan. Ini mungkin disebabkan mereka tidak mengetahui secara khusus tentang kaedah pengagihan yang diamalkan sekarang.

Bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan dengan sistematik khususnya melibatkan pengagihan, sewajarnya ia diberikan kepada penganjur yang boleh mengendalikannya dengan adil dan telus.

Untuk memenuhi keperluan umat Islam diluar negara yang miskin dan tertindas tidaklah menjadi satu kesalahan malahan digalakkan untuk kita melaksanakan ibadah korban di luar daripada negara kita seperti  dengan mengadakan program korban  seperti di Sudan, Laos, Kemboja, Palestin dan Iraq amat bertepatan dengan matlamat ibadah tersebut . Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan hubungan persaudaraan di kalangan umat Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Kenapakan kita terlalu berat untuk melakukan ibadah korban walaupun kita berkemampuan untuk mengambil satu bahagian daripada tujuh bahagian seekor lembu, atau sesekor kambing? Kenapa kita terlalu berkira-kira untuk menambahkan saham (pahala) kita di hari akhirat sedangkan kita sanggup membeli barang-barang perhiasan atau pun perabut yang mahal semata-mata untuk dipandang cantik bila tetamu datang ke rumah kita? Jika dikira kita hanya perlu menyimpan hanya rm 1 setiap hari untuk mendapatkan satu bahagian daripada seekor lembu iaitu berharga  antara rm 350 - 400. untuk menjalankan ibadah korban.

Seorang mukmin yang berkemapuan tidak akan melepaskan peluang untuk berkorban setiap tahun kerana cukup besar fadilat dan pahalanya di sisi Allah SWT. Oleh itu bersegeralah untuk melakukan korban dengan menghubungi pihak masjid atau surau atau agensi swasta yang menguruskannya korban ke luar negara kerana masa masih ada masa lagi untuk berbuat demikian. Jika kita tangguh-tangguhkan adakah kita pasti tahun hadapan kita berpeluang untuk berkorban? Kerana kita tidak mengetahui bila saat kematian akan menjemput diri kita.

Maksud Korban

Menyembelih binatang ternakan yangterdiri daripada unta, lembu, kambing dan kibas yang sampai umur* pada hari raya korban (Aidil Adha) iaitu pada 10 Zulhijjah selepas sembahyang sehingga gelincir matahari hari terakhir tasyrik iaitu 13 Zulhijjah dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah.

*Umur binatang yang boleh dikorbankan:
 Unta 5 thn ke atas – 7 bahagian.
 Lembu, kerbau 2 thn ke atas – 7 bahagian.
 Kambing 2 thn ke atas- 1 bahagian.
 Biri-biri, kibas 1 ½ thn- 1 bahagian.

٭Ditegah berkorban dengan binatang yang cacat, berpenyakit, patah anggotanya dan terlalu kurus.

Kelebihan Korban
Sangat banyak hadis Rasulullah saw yang menerangkan tentang keutamaan berkorban, dan di dalamnya terdapat pelbagai rahsia dan hikmah yang sangat besar. Hadis-hadis tersebut di antaranya: "Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu". (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah) 

"Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: "Ya Rasulullah, apakah Ud-hiyyah (korban) itu?". Rasulullah menjawab: "Itulah sunnah ayahmu Ibrahim". Para sahabat kembali bertanya: "Apakah yang kita akan peroleh dari Ud-hiyyah itu?". Rasulullah menjawab lagi: "Pada setiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan". (HR. Ahmad dan Ibn Majah) 

"Barangsiapa yang diberi kemudahan, sehingga ia mampu berkorban akan tetapi tidak mahu berkorban, maka janganlah ia mendekati tempat solat kami ini". (HR. Ahmad dan Ibn Majah) 

Daripada penjelasan beberapa hadis di atas, maka jelaslah bahawa amalan korban itu adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam dan juga sunnah yang diwarisi dari Nabi Ibrahim a.s. Bagi orang-orang yang melaksanakan korban, ia akan dapat satu kebajikan daripada setiap helai bulu haiwan yang telah dikorbankan itu. Selain itu juga korban tersebut akan memperoleh manfaat atau faedahnya jika sekiranya korban tersebut benar-benar dilaksanakan kerana Allah dengan tujuan untuk menegakkan sunnah dan terlepas dari maksud dan tujuan yang lain. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan binatang-binatang korban itu Kami jadikan buat kamu sebagai sebahagian dari upacara-upacara (agama) Allah. Padanya ada kebaikan bagi kamu. Oleh kerana itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berbaris-baris. Maka apabila gugur (sembelihan-sembelihan itu), makanlah daripadanya dan berilah makan fakir yang menjaga kehormatan dan fakir yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan (binatang-binatang) itu untuk kamu agar kamu bersyukur". 

"Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya dan tidak pula darah-darahnya. Tetapi akan sampai kepada Allah ialah ketaqwaan dari kamu. Demikianlah dipermudahkannya korban-korban kepada kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan hendaklah kamu gembirakan orang-orang yang berbuat kebajikan ". (al-Hajj : 36-37) 

Hukum Korban
Hukumnya Sunat Muakkad(dituntut). Adapun bagi mereka yang bernazar,hukumnya wajib. Bagi mereka yang berkemampuan Makruh meninggalkan amalan ini.

Wajib hukumnya kepada Rasulullah berdasarkan hadis: “Diwajibkan ke atas ku melaksanakan ibadat korban namun ia merupakan satu amalan sunat bagi kamu”.(Riwayat Imam Tirmizi)

Waktu melakukan ibadah Korban
Korban boleh dilakukan selama 4 hari Hariraya Aidiladha.

Bolehkah diniatkan akikah semasa melakukan korban?
Boleh juga diniatkan akikah semasa korban, cuma kurang martabat dan nilainya berbanding korban. 7 bahagian daging korban (tidak termasuk akikah) akan menjadi seekor binatang tunggangan kita meniti titian sirat di hari akhirat.

Pembahagian daging
Tiap-tiap orang sunat makan daging korbannya sendiri (lembu yang dikorbankan). Menyalahi sunnah nabi sekiranya lembu A yang dikorban tetapi daging lembu B yang diberi. (dicampur-campur daging lembu A dan B). Hati, jantung, daging peha (depan, belakang) juga mesti dibahagi tujuh bahagian. Tulang rusuk juga mesti dibahagi 7, misalnya 2 batang/keping tulang seorang. Bahagian seperti kepala dan kaki tidak wajib dibahagi 7 (kaki cuma ada 4 kaki).

Bolehkah daging korban diberi kepada orang kaya?
Daging korban boleh diberi kepada orang miskin atau kaya walaupun orang itu juga melakukan ibadah korban, tetapi tidak boleh diberi kepada orang kafir,

Bolehkah daging korban disimpan?
Pada permulaan Islam tidak boleh, Nabi larang simpan daging korban. Namun akhirnya dibolehkan. Satu bahagian daging korban dibahagi tiga. 1/3 dari satu bahagian kita ambil, 2/3 dari satu bahagian dibahagikan. Daging korban yang boleh disimpan ialah 1/3 dari 1 bahagian yang dikorbankan. Daging akikah tidak boleh disimpan, hendaklah dihabiskan.

Sedekah pahala korban untuk Nabi
Nabi Muhammad s.a.w. juga telah mengorbankan dua ekor kibas yang besar salah satunya untuk dirinya dan yang satu lagi untuk umatnya. Kita juga sepatutnya melakukan korban untuk Nabi

Bahawasanya Nabi berkorban dua ekor kibas kedua-duanya berwarna putih bercampur hitam. Seekor untuk diriNya s.a.w  dan seekor lagi untuk umatNya yang mengaku KeEsaan Allah ta’ala ( yang beriman) dan menyaksikan (mengaku) KeRasulanNya”.

Ibadah Korban Amalan di Tuntut di Hari Raya Eidul Adha.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Eidul Fitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Eidul Adha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun.

 Bermula dengan Takbir Eidul Adha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Eidul Adha serta khutbah Eidul Adha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Eidul Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. mengorbankan puteranya Nabi Ismail a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran puteranya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Eidul Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Eidul Adha  sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Ibadah korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya : “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. 
(Surah al-Kautsar ayat 2)

Mengikut tafsiran ulama maksud solat  pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban (ibadah korban).

Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:
“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”. 

Sahabat yang dimuliakan,
Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. 

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” 
(Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim). 

Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim a.s.. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan :

Pertama : Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.

Kedua :  Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya.

Ketiga : Berkongsi merasai nikmat Allah s.w.t.hasil daripada ibadah korban (nikmat daging sembelihan) dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.

Keempat :  Menghidupkan amalan sunah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w ketika Hari Raya Eidul Adha dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban binatang ternakan.

Kelima : Melahirkan sifat ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t dengan tujuan mencari keredhaan-Nya semata-mata.

Keenam :  Melahirkan budaya gotong royong di kalangan umat Islam dan membina ukuwah Islamiyah dan silaturahim

Sahabat yang dikasihi,
Ibadah korban juga mengingatkan kita kembali kisah dalam al-Qur'an iaitu kisah pengorbanan anak Nabi Adam a.s. iaitu peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia. 

Firman Allah s.w.t. maksudnya :  “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”.
(Surah al-Maidah ayat 27)

Sesuatu ibadah itu yang dikerjakan mestilah ikhlas dan dibena atas dasar taqwa kepada Allah s.w.t. barulah akan diterima oleh-Nya. Oleh itu jika kita berkemampuan tunaikanlah ibadah korban ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan paling afdhal adalah setiap tahun sekali kerana ganjaran pahalanya cukup besar yang akan kita terima daripada Allah s.w.t.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML