Wednesday, February 26, 2014

HIDAYAH DAN TAUFIK

Orang Mukmin Sentiasa Berdoa Kepada Allah SWT Semoga Mendapat Hidayah dan Taufik Daripada-Nya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Selalu kita berdoa kepada Allah supaya sentiasa diberkan-Nya kita hidayah (petunjuk) dan taufik. Cuma, perlulah kita ingat bahawa hidayah dan taufik ini adalah berbeza pengertiannya. Sekiranya seseorang itu sudah ingin kepada agama dan ingin hendak melaksanakan hidup secara lslam, kemudian dia pun belajar mengenai agama serta syariat-syariatnya (tauhid, fikah dan tasawuf), maka dia dikatakan sudah mendapat hidayah (petunjuk) daripada Allah SWT.

Dia sudah mendapat hidayah (petunjuk) dari Allah SWT iaitu Allah SWT  sudah ketuk pintu hatinya supaya ingin beragama. Dia sudah ingin melaksanakan hidupnya secara Islam, cara makan minumnya, cara susunan rumahtangganya, cara kenduri kendaranya dan sebagainya. Dan ilmu pun sedikit sebanyak sudah dipelajari iaitu ilmu syariat. Tetapi dia belum tentu lagi mendapat taufik dari Allah SWT.

Orang yang mendapat taufik ialah apabila dia melaksanakan ilmu yang dipelajarinya itu, pelaksanaannya tepat dan betul. Jadi bagi orangorang yang sudah mendapat hidayah (petunjuk) kemudian melaksanakan apa yang dipelajarinya itu dengan betul, maka bererti dia telah mendapat taufik bersama. Ertinya, dia telah dapat kedua-dua hidayah dan taufik dari Allah SWT.

Tiada seorang hamba pun dapat atau boleh melakukan amal kebaikan kecuali dengan mendapat hidayah dan taufik daripada Allah SWT . Sebaliknya tiada yang melakukan kejahatan kecuali kerana Allah SWT telah melepaskannya dari inayah dan taufik. Manusia tidak berdaya untuk menghendaki sesuatu kecuali dengan kehendak Allah SWT, maka barulah ia dapat melaksanakannya.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk." (Surah al- Qasas ayat 56)

Ibnu Katsir rahimahullah berkata: "Allah berfirman kepada Rasul-Nya shallallahu 'alaihi wasallam, 'sesungguhnya engkau tidak boleh memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai.' Maksudnya: itu bukan urusanmu. Tetapi, kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi  hidayah (petunjuk ) kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Dia yang memiliki hikmah yang mendalam dan alasan yang kuat, sebagaimana firman Allah SWT maksudnya : "Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat hidayah (petunjuk), akan tetapi Allah-lah yang memberi hidayah (petunjuk)  siapa yang dikehendaki-Nya." (Surah al Baqarah ayat  272)

Dan juga firman-Nya yang bermaksud : "Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman - walaupun kamu sangat menginginkannya-." (Surah Yusuf ayat 103) .

Bahkan ayat ini lebih khusus daripada ayat yang lainnya. Maksudnya, Allah lah yang paling mengetahui orang yang berhak mendapat hidayah dari orang-orang yang tersesat. (Tafsir al-Qur'an al-'Adzim, III/ 523).

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang yang telah mendapat hidayah dan taufik adalah seorang yang dipilih oleh Allah SWT. Mula-mula hatinya telah diketuk oleh Allah untuk ingin kepada beragama serta ingin melaksanakan hidupnya cara lslam hingga mendorong dia mempelajari ilmu syariat. Kemudian apabila dia melaksanakan tindak tanduknya, perjuangan dan jihadnya, perbuatan dan usaha ikhtiarnya, semuanya tepat dengan ilmu syariat yang di pelajarinya.

Dalam hal ini, kadang-kadang kita dapati setengah-setengah orang itu sudah ingin kepada agama dan sudah ingin melaksanakan hidupnya cara lslam dan dia pula sudahpun mempelajari ilmu syariat samada di bidang tauhidnya. fikah dan tasawufnya tetapi apabila dia cuba melaksanakan tindak tanduk serta perbuatan dan usaha ikhtiarnya, didapati tidak tepat dengan ilmu yang dipelajarinya. Ada saja salahnya. Orang demikian sudah mendapat hidayah (petunjuk) tetapi tidak mendapat taufik dari Allah SWT.

Sebab itu, kadang-kadang perbuatannya berlawanan saja dengan syariat, berlawanan dengan kehendak Allah serta berlawanan dengan Al-Quran dan sunnah. Padahal ilmunya sudah tepat dan keinginannya pun sudah ada. Dan kerana itu jugalah, kita mesti selalu memohon kepada Allah dua-dua sekali iaitu taufik dan hidayah. Janganlah kita memohon kepada Allah akan hidayah (petunjuk) saja. Hendaklah kita minta taufik dari-Nya disamping kita memohon hidayah (petunjuk). Kalau kita mendapat petunjuk dan taufik dari Allah, maka setiap perbuatan kita serta cakap-cakap kita sesuai dengan kehendak Allah, tepat dengan kehendak syariat serta Al-Quran dan sunnah. Orang yang telah mendapat kedua-dua hidayah dan taufik inilah yang dikatakan orang yang sudah mendapat hikmah. Orang yang mendapat hidayah sahaja, belum tentu dia berhikmah.

Sahabat yang dikasihi,
Dalam hadis riwayat Muslim terdapat kisah Abu Talib tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT walaupun Nabi SAW berhajat supaya bapa saudara baginda mengucap kalimah syahadah.

Hadis riwayat Musayyab bin Hazn Radhiyallahu’anhu, ia berkata: Ketika Abu Talib menjelang kematian, Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. datang menemuinya. Ternyata di sana sudah ada Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah bin Mughirah.

Lalu Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. bersabda yang bermaksud : "Wahai pamanku, ucapkanlah: Laa ilaaha illallah, ucapan yang dapat kujadikan saksi terhadapmu di sisi Allah. "

Tetapi Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah berkata : "Hai Abu Talib, apakah engkau membenci agama Abdul Muthalib?"

Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. terus-menerus menawarkan kalimat tersebut dan mengulang-ulang ucapan itu kepada Abu Talib, sampai ia mengatakan ucapan terakhir kepada mereka, bahwa ia tetap pada agama Abdul Muthalib dan tidak mau mengucapkan: Laa ilaaha illallah.

Lalu Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam. bersabda maksudnya : "Sungguh, demi Allah, aku pasti akan memintakan ampunan buatmu, selama aku tidak dilarang melakukan hal itu untukmu."

Kemudian Allah Taala menurunkan firman-Nya yang bermaksud : "Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat mereka, sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang-orang musyrik itu penghuni neraka Jahim."

Dan mengenai Abu Talib, Allah Taala menurunkan firman-Nya yang bermaksud : "Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk."

(Hadis Shahih Muslim No.35)

Sahabat,
Pengajaran yang boleh kita perolehi daripada hadis di atas adalah kita perlu sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah SWT semoga Dia menetapkan hati dan jiwa kita supaya sentiasa kekal dengan hidayah dan taufik dan istiqamah dengan iman dan Islam hingga kita bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan reda meredai.

Apakah perbezaan di antara hidayah dan taufiq?

Hidayah adalah keimanan yang menetap di dalam hati seseorang. Keimanan yang mencakup tiga aspek iaitu 1. Keyakinan di dalam hati (i'tiqadi) , 2. Pengikraran dengan lisan (Iqrari) dan 3. Perlaksanaan dengan anggota badan (amali).

Hidayah juga bermaksud orang yang mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Daripada seorang kufur menjadi seorang yang beriman dan taat pada perintah Allah SWT. 

Seseorang yang telah mendapai iman daripada Allah SWT adalah seorang yang mendapat hidayah. Ini bermakna, semua manusia yang menganut agama Islam adalah mendapat hidayah daripada Allah SWT tetapi tidak semua dari kalangan mereka mendapat taufiq untuk mengerjakan amal soleh.

Menurut kitab Jauharah Tauhid, pengertian taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.

Taufiq tidak akan diberikan oleh Azza Wajalla melainkan hanya kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengabdikan diri dengan rasa kehambaan demi mendekatkan diri kepadaNya Ianya berdalilkan ayat dibawah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh berusaha di dalam agama Kami, nescaya Kami akan beri petunjuk (hidayah) kepada mereka akan jalan-jalan kami." (Surah al-Ankabut ayat 69)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang maksudnya : "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman" (Surah al-An'am ayat 125)

Sahabat yang dimuliakan,
Allah SWT tidak menyeksa sesuatu kaum itu melainkan hidayah itu terlebih dahulu disampaikan kepada mereka. Berpindah dari keadaan jahil kepada takwa itu adalah sesuatu yang sesuai dengan kehendak hidayah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesiapa yang mendapat petunjuk, maka sesungguhnya itu adalah petunjuk untuk dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu untuk dirinya sendiri (pula). Dan tidaklah memikul beban seorang pemikul akan beban orang lain, dan Kami (Allah) tidak akan mengazab sebelum Kami (Allah) mengutus seorang rasul." (Surah al-Israk ayat 15)

Hidayah dan taufik adalah hak Allah SWT , Dia akan beri kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Seorang rasul tidak mampu memberi hidayah kepada orang yang dikasihinya walaupun ahli keluarganya sendiri.

Kisah Nabi Nuh a.s. telah berdakwah hampir 1000 tahun tetapi isteri dan anak lelakinya tidak mahu beriman kepada Allah SWT dan tidak beriman kepada baginda sendiri. 

Nabi Luth a.s. juga menghadapi masaalah yang sama bahawa isteri baginda tidak menerima seruan dakwah yang dibawa oleh baginda sebaliknya bersekongkol dengan golongan homeoseks dengan memberitahu bahawa suaminya (Nabi Luth a.s) mempunyai tetamu lelaki yang segak dengan tujuan mendapat upah yang lumayan.

Nabi Muhammad SAW juga tidak mampu memberi hidayah kepada bapa saudaranya Abu Talib yang banyak berjasa kepada baginda di saat akhir kematiannya.

Abu Talib merupakan bapa saudara kepada Rasulullah SAW. Abu Talib begitu sayang dan kasih kepada Muhammad SAW tetapi beliau sendiri tidak memeluk Islam. Sehinggakan saat kematian beliau, Nabi SAW mengajar beliau mengucap, beliau tetap dengan pendirian dan teguh bersama dengan tuhan nenek moyangnya. Selepas kematian Abu Talib, Nabi SAW bersabda maksudnya : "Demi Allah , aku meminta ampun daripada Allah selagi tidak di larang". 

Lalu turunnya wahyu kepada Nabi SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.(Surah at- Taubah ayat 113)

Dari keterangan di atas telah jelas bahwa Rasulullah SAW hanya mampu berusaha dan berdakwah kepada bapa saudaranya. Adapun hidayah dan taufiq hanya Allah SWT yang mampu memberikan. 

Nabi SAW juga pernah berdoa kepada Allah SWT supaya memberi hidayah dan taufik kepada salah seorang daripada dua lelaki (pembesar Quraisy) iaitu Umar bin al-Khattab atau Abu Jahal . Akhirnya Allah SWT kabulkan doa baginda dan Umar bin al-Khattab telah beriman dan masuk Islam dan menjadi seorang sahabat Nabi SAW yang besar.

Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahal atau ‘Umar bin Al-Khattab.” (Hadis riwayat Tirmizi). 

Sahabat yang dikasihi,
Tugas kita sebagai pendakwah (daie) atau pendidik (murabbi) adalah tugas yang murni di sisi Allah SWT. Kita menjalankan tugas mendidik (tarbiah) kepada umat Islam sendiri dan menyampaikan dakwah Islam kepada orang yang bukan Islam. Perlu di ingat bahawa berjaya atau gagalnya tarbiah atau dakwah yang kita jalankan bukanlah urusan kita kerana hidayah dan taufik adalah urusan Allah SWT. 

Di akhirat nanti kita tidak akan ditanya berapa ramai orang yang kita dakwahkan telah masuk Islam, tetapi kita akan ditanya adakah kita telah berdakwah kepada orang bukan Islam yang ada disekeliling kita. Adakah kita telah sediakan program dakwah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka?

Marilah sama-sama kita bergerak dalam satu saf yang tersusun rapi untuk mengembeling tenaga untuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah kerana kerja-kerja ini adalah kerja-kerja para rasul yang mulia dan sesiapa yang menjalankan kerja-kerja ini akan mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT .  Tidak ada balasan yang lebih baik melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi yang akan di sediakan oleh Allah SWT.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML