Wednesday, February 26, 2014

HUKUM PENYEMBELIHAN CARA ISLAM

Penyembelihan Cara Islam dan Tinggalkan Makanan Yang Syubhat




Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Penyembelihan dari segi bahasa bererti potong atau belah bagi menghilangkan nyawa binatang. Dari segi syarak bermaksud menghilangkan nyawa binatang yang halal dimakan dengan menggunakan alat yang tajam selain dari kuku, gigi, dan tulang untuk membolehkan haiwan itu halal dimakan oleh orang Islam.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi Wasallam maksudnya : “Sembelihan adalah di antara pangkal dagu dan pangkal leher” (Hadis Riwayat Ibnu ‘Abbas)

HUKUM PENYEMBELIHAN :

Hukumnya wajib dilakukan ke atas sesuatu haiwan itu untuk membolehkan ia halal dimakan.

Haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum Islam diistilahkan sebagai bangkai dan najis.

Firman Allah Subhanahu Wata‘ala maksudnya:
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya)”
(Surah Al-Ma’idah ayat 3)

DALIL PENSYARI‘ATAN PENYEMBELIHAN :

Firman Allah Subhanahu Wata‘ala maksudnya:
“Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.”  (Surah Al-An‘am ayat 118)

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi Wasallam yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik terhadap sesuatu. Oleh kerana itu, jika kamu membunuh, perbaikkanlah cara membunuhnya, apabila kamu menyembelih maka perelokkanlah cara penyembelihannya serta tajamkanlah pisaunya dan mudahkanlah penyembelihannya itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

RUKUN PENYEMBELIHAN :

Penyembelih:

1. Islam sama ada lelaki atau perempuan atau kanak-kanak yang mumayyiz.

2.  Ahli kitab, samada Yahudi atau Nasrani.

3. Berakal dan berfikiran waras.

4. Tidak melakukan penyembelihan di dalam ihram haji (bagi binatang buruan).

Binatang Yang Disembelih:
Binatang yang halal itu segala jenis binatang yang baik dan tidak mendatangkan mudarat kepada orang yang memakannya seperti ayam, itik, lembu dan sebagainya. Binatang yang tidak halal dimakan dibahagikan kepada dua kumpulan:

a) Haiwan darat. Semua haiwan darat dihalalkan untuk orang Islam, kecuali seperti berikut:

1. Babi dan keturunannya.

2. Anjing.

3. Haiwan halal yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.

4. Haiwan yang bertaring dan menggunakannya untuk mencakar dan membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau, beruang, gajah dan seumpamanya.

5. Burung yang mempunyai kuku pencakar atau memakan secara menyambar seperti burung helang, gagak, dan sebagainya.

6. Haiwan-haiwan yang diperintah oleh Islam membunuhnya, iaitu seperti ular, tikus, lipan, lipas, kala jengking, dan seumpamanya

7. Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya, iaitu seperti semut dan lebah.

8. Haiwan-haiwan yang dipandang jijik oleh umum, seperti kutu, lalat, ulat, dan seumpamanya.

9. Haiwan yang hidup dua alam, iaitu di air dan di darat seperti katak, buaya, kura-kura, dan sebagainya.


b)       Haiwan Laut. Pada hakikatnya, semua haiwan laut hanya hidup dalam air sahaja dan adalah halal bagi orang Islam, kecuali:

1. Semua jenis haiwan laut yang mengandungi racun.

2. Semua jenis haiwan laut yang boleh memabukkan jika dimakan; dan semua jenis haiwan laut yang boleh mendatangkan kemudharatan atau bahaya kepada kesihatan manusia.

Alat Penyembelihan:

Alat penyembelihan yang hendak digunakan mestilah tajam, boleh melukakan, dan mengalirkan darah binatang tersebut. Contohnya seperti pisau, parang, dan sebagainya.Alat tersebut mestilah tidak boleh diperbuat daripadaa gigi, tulang, atau kuku.

Bahagian Yang Disembelih:
Sembelihan yang sah hendaklah memutuskan halqum (saluran pernafasan) dan mari’ (saluran makanan dan minuman) dan memutuskan vena jagular dan arteri karotid. Hukum memutuskan halkum dan mari’ adalah wajib manakala memutuskan vena jagular dan arteri karotid adalah sunat.

Syarat sah penyembelihan adalah seperti berikut:
1. Penyembelihan dilakukan oleh orang Islam atau ahli kitab.

2. Dilakukan dengan niat menyembelih kerana Allah

3. Binatang itu masih hidup ketika disembelih

4. Binatang itu adalah halal dimakan.

5. Menggunakan alat yang tajam selain dari kuku, gigi dan tulang.

6. Putus halqum dan urat mari’ dengan sebab penyembelihan.

7. Mati dengan sekali sembelihan sahaja.

8. Tidak dilakukan penyembelihan kerana selain dari Allah.

9. Tidak dilakukan dalam ihram (binatang buruan darat).

Tambahan: Sejajar dengan perkembangan semasa penyembelihan bagi tujuan komersil mesti dilakukan oleh orang yang mendapat sijil tauliah penyembelihan dari Jabatan Agama Islam Negeri.

PERKARA SUNAT SEMASA PENYEMBELIHAN

1. Membaca basmalah.

2. Menghadap binatang tersebut ke arah qiblat.

3. Membaca salawat ke atas Nabi SAW.

4. Memutuskan dua urat dari kiri dan kanan supaya cepat mati.

5. Menggunakan pisau yang tajam.

6. Binatang itu dibaringkan di atas rusuk kiri.

7. Melakukan penyembelihan dengan segera.

PERKARA MAKRUH SEMASA PENYEMBELIHAN

1. Mengasah pisau di hadapan binatang yang hendak disembelih.

2. Menyembelih hingga terputus kepala.

3. Penyembelihan dilakukan oleh orang perempuan.

HIKMAH PENYEMBELIHAN :

Penyembelihan diwajibkan ke atas setiap haiwan yang halal dimakan oleh orang Islam untuk memastikan sumber yang dimakan dapat memberikan kesan positif pada diri seseorang muslim itu dari segi mental, fizikal, sikap, atau perwatakan, dan sebagainya.

Sesuatu yang bersumberkan yang haram, buruk dan najis lazimnya akan menghasilkan sesuatu keburukan yang lain pula. Selain itu, penyembelihan juga dapat memberikan banyak kebaikan dan hikmat. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Untuk menunjukkan perbezaan yang nyata antara cara orang Islam dan cara orang kafir dalam soal mematikan haiwan.

2. Untuk menunjukkan perbezaan daging yang halal dimakan dan yang haram dimakan oleh orang Islam.

3. Untuk memastikan haiwan tersebut tidak mengalami kesakitan yang terseksa ketika disembelih kecuali dalam masa yang singkat.

4. Agar darah dari dalam haiwan berkenaan dapat mengalir dengan cepat. Ini seterusnya dapat mengelakkan daripada jangkitan kuman yang mungkin ada dalam darah haiwan tersebut.

5. Sebagai meminta keizinan dari Allah subhanahu wata‘ala kerana haiwan dan manusia adalah makhluk Allah subhanahu wata‘ala yang bernyawa.

Cara-cara membasuh haiwan yang telah disembelih :

Contoh ayam , itik, angsa dan sebagainya.

1. Setelah disembelih pastikan haiwan tersebut telah mati 100 %.

2. Belah perut dan keluarkan usus, hati dan semua organ yang terdapat di dalam perut.

3. Basuh hingga bersih haiwan tersebut semua kesan darah dan najis yang ada di dalam perutnya. (alirkan air keatasnya supaya darah dan najis dapat dibersihkan sebelum dibuangkan bulunya)

4. Baru rendam dalam air panas dan baru dimasukkan kedalam mesin untuk mencabut bulu-bulu haiwan tersebut.

Cara-cara membasuh ikan.

1. Belah perut ikan dan keluarkan semua organ dan tahi ikan.

2. Basuh kotoran yang terdapat di dalam perut ikan .

3. Akhir sekali alirkan air keatas ikan supaya darah dan kotoran (tahi ikan) dapat dibersihkan dengan sempurna.

Sahabat yang dimuliakan,
Umat Islam perlulah prihatin untuk memakan hanya makanan yang halal semata-mata. Halal yang dimaksudkan disini bukanlah halal darisegi jenis binatang yang halal dimakan sahaja tetapi proses penyembelihan betul (tidak ada keraguan) dan proses membasuh dan menyediakannya juga bersih dan tidak menimbulkan keraguan.

Terdapat beberapa kes ditempat penyembelihan ayam , ada ayam-ayam yang belum mati sepenuhnya telah direndam kedalam air panas menyebabkan kematiannya bukan kerana penyembelihan tetapi kerana direndam dengan air panas, maka ayam seperti ini dikira sebagai bangkai. Organ yang ada di dalam perut ayam tidak dikeluarkan dahulu dan dibasuh sebelum dimasukkan kedalam mesin membuangkan bulu-bulu ayam.

Pastikan juga bahawa penyembelih adalah seorang Islam yang taat kepada ajaran Islam bukannya seorang yang fasik kerana meninggalkan solat, puasa dan melakukan dosa-dosa besar.

An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, 'Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya..." (Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu apabila kita meragui sesuatu perkara maka tinggalkanlah yang meragukan dan ambillah yang jelas dan tidak meragukan supaya kita dapat menjaga kehormatan dan agama. Produk-produk ayam yang dikeluarkan oleh pengusaha muslim yang menyediakan ayam-ayam basah dan mendapat pengiktirafan (IMP) telah ada dipasaran, maka sebagai orang Islam perlulah membantu pengusaha muslim pada masa yang sama kita mendapat produk yang "halalan tayyiban", berkualiti , bersih dan tidak meragukan.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML