Kebahagiaan Berada di Padang Mahsyar Bergantung Kehidupan Kita Ketika Di Dunia.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila berlakunya kiamat dan manusia semuanya di keluarkan daripada kuburan dan akan dihimpunkan di suatu tempat (seperti padang) yang terbentang luas, tempat ini di namakan Padang Mahsyar.
Keadaan Manusia Ketika Berhimpun Di Padang Mahsyar :
Pertama : Manusia Di himpunkan Dalam Keadaan Tiga Golongan.
Daripada Abu Hurairah, katanya, RasulullahSAW bersabda bermaksud:
"Manusia yang dihimpunkan ke Padang Mahsyar pada hari kiamat adalah tiga golongan.
"Pertama golongan yang berjalan kaki;
Kedua, golongan berkenderaan dan
Ketiga, golongan yang berjalan dengan (berkakikan) mukanya."
Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana mereka dapat berjalan dengan mukanya?"
Baginda menjawab: "Sesungguhnya Tuhan yang telah menjadikan mereka boleh berjalan dengan kaki, berkuasa menjadikan mereka berjalan dengan muka mereka."
(Hadis riwayat at-Tarmizi).
Kedua : Manusia Tidak Berkasut, Tidak Berpakaian dan Tidak Berkhatan :
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Kamu benar-benar datang sendiri-sendiri kepada Kami sebagaimana Kami ciptakan kamu pada mulanya, dan apa yang telah Kami kurniakan kepadamu, kamu tinggalkan dibelakangmu (di dunia)..." (Surah al-An'am, ayat 94).
Dan firman-Nya lagi pada ayat 29 Surah al-A'raf, maksudnya: "Kamu akan dikembalikan kepada-Nya sebagaimana kamu di ciptakan semula."
Mengenai keadaan yang disebut itu, Rasulullah menerangkan dalam hadis berikut:
Daripada Ibn Abbas, katanya, Rasulullah berdiri berucap kepada kami, sabdanya: "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya kamu dihimpunkan di Padang Mahsyar dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup." (Kemudian Baginda membaca firman Allah bererti: Seperti Kami ciptakan manusia pada mulanya, demikian pula Kami ulangi ciptaannya, itulah janji yang sesungguhnya Kami akan lakukan) Ketahuilah! Sesungguhnya orang yang mula-mula sekali diberi pakai pakaian pada hari kiamat ialah Ibrahim al-Khalil." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat yang lain daripada Aisyah, bahawa Nabi bersabda: "Dihimpunkan manusia di Padang Mahsyar pada hari kiamat dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup." Aisyah berkata: "Ya Rasulullah! adakah orang perempuan dan lelaki semuanya melihat satu sama lain?" Nabi menjawab: "Wahai Aisyah! Kedahsyatan keadaan pada masa itu menghalang masing-masing daripada melihat satu sama lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Pada satu riwayat yang lain oleh al-Nasa'i dan al-Hakim daripada Aisyah, katanya: Aku bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana pula keadaan aurat?" Nabi menjawab: "Tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya saja."
Maksud dua hadis itu ialah Rasulullah menerangkan bahawa manusia akan ke Padang Mahsyar dengan keadaan sebagaimana Tuhan menjadikan mereka keluar dari perut ibu dulu - tidak berpakaian, tidak berkasut dan tidak berkhatan.
Mendengarkan keterangan itu, Saidatina Aisyah bertanya: "Bagaimana hal aurat masing-masing ya Rasulullah! Adakah orang lelaki dan perempuan memandang satu sama lain?"
Rasulullah menjawab: "Wahai Aisyah! Kedahsyatan huru-hara kiamat menghalang manusia dari memandang satu sama lain, usahkan hendak memerhatikan aurat, tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal menjaga keselamatan dirinya saja.”
Ketiga : Manusia Akan Menjadi Buta Matanya :
Golongan yang menentang dakwah Nabi SAW, berpaling daripada petunjuk al-Quran dan menentang Islam nanti di akhirat mereka akan menjadi buta. Mereka khairan kenapa mereka buta di akhirat sedangkan ketika di dunia dahulu merekatidak buta (celik)
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan sempit dan kami akan menghimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: Ya Tuhanku, mengapakah Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, pada hal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: “Demikianlah sudah datang kepadamu ayat Kami maka kamu melupakannya dan begitu pula pada hari ini kamupun dilupakan”. (Surah Taha, ayat 124 hingga 126).
Allah menerangkan pula bahawa orang-orang yang berpaling dari ajaran al-Quran itu tidak mengindahkannya dan menentang petunjuk-petunjuk yang terdapat di dalamnya maka dia akan selalu dalam kesepian dan kesulitan dalam menempuh hidupnya. Dia akan selalu bimbang dan gelisah walaupun dia memiliki kekayaan, pangkat dan kedudukan kerana selalu diganggu oleh fikiran dan khayalan yang bukan-bukan mengenai kekayaan dan kedudukannya itu. Dia akan dibayangi akan kehilangan kesenangan yang telah dicapainya. Sehingga ia melakukan tindakan-tindakan yang menimbulkan kebencian dan kerugian di dalam masyarakatnya.
Kemudian di akhirat nanti ia akan dikumpulkan Allah bersama makhluk-makhluk lainnya dalam keadaan buta matanya dan buta mata hatinya . Sebagaimana dia di dunia selalu menolak petunjuk-petunjuk Allah yang terang benderang dan memicingkan matanya agar petunjuk itu jangan terlihat olehnya sehingga ia berlarut-larut dalam kesesatan, demikian pula di akhirat ia tidak dapat melihat suatu alasan pun untuk membela dirinya dari ketetapan Allah Yang Maha Adil.
Sebagian Ahli Tafsir mengatakan bahwa orang yang berpaling dari ajaran Allah itu memang menjadi buta pancaindera tidak melihat suatu apapun sebagai tambahan seksaan atasnya.
Seorang yang buta di kala terjadi huru-hara dan malapetaka akan lebih kalang-kabut fikirannya kerana tidak tahu apa yang akan dibuatnya dan tidak tentu arah yang akan ditujunya untuk menyelamatkan dirinya kerana tidak melihat dari mana datangnya bahaya yang mengancamnya. Tetapi sesudah itu matanya akan menjadi terang kembali kerana akan melihat sendiri buku catatan amalnya dan bagaimana hebat dan dahsyatnya seksaan neraka sebagaimana tersebut dalam ayat:
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang berdosa melihat neraka, maka mereka meyakini bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak menemukan tempat berpaling dari padanya. (Surah al-Kahfi ayat 53)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah SWT supaya kita akan terselamat ketika dihimpunkan nanti di Padang Mahsyar. Ketika ini jika tidak cukup bekalan amal soleh, amal ibadah dan amal kebaikan yang dilakukan semasa di dunia dahulu maka penyesalan yang akan dirasai dan tidak berguna lagi ketika itu. Jadikanlah semua masa, harta dan jihad kita semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment