Saturday, February 22, 2014

FADHILAT MENUNTUT ILMU

Fadilat dan Kebaikan Menuntut Ilmu





Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Menuntut ilmu adalah satu kewajipan bagi setiap muslim dan muslimat bagi . Banyak sekali dalil yang menunjukkan keutamaan ilmu, para penuntut ilmu dan yang mengajarkannya.

Sebenarnya banyak hadis-hadis Nabi SAW yang memerintahkan kita agar menuntut ilmu dan kelebihan-kelebihan menuntut ilmu itu.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan meghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan.”
(Hadis Riwayat Abu ad-Darda’ r.a)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”
(Hadis Riwayat Muslim dalam Sahihnya hadis no: 2699).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda maksudnya : “Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut ) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(Hadis Riwayat al-Bazzar)

Empat jenis golongan yang diberikan pahala di dalam menuntut ilmu iaitu :

1.Golongan yang sukar bertanya akan sesuatu ilmu

2.Golongan pengajar atau orang yang mengetahui sesuatu ilmu dan mengajar kepada orang lain

3.Golongan yang mendengar orang yang mengajar ilmu

4.Golongan orang yang suka dan kasih akan majlis ilmu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin menndapat habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Surah al-Ankabut ayat 69)

“Pimpinan” Allah boleh wujud dalam pelbagai bentuk, seperti dipertemukan dengan guru yang benar, ditunjuki kepada buku daripada penulis yang jujur, dipersahabatkan dengan orang-orang yang soleh, dibimbing kepada pemahaman yang syumul dan mampu pula menghayatinya  dan ditanam dalam dirinya akhlak yang mulia apabila berinteraksi dengan ilmu agama. Oleh itu janganlah merasa ragu-ragu atau rendah diri untuk berusaha memahami agama Islam. Yakinilah bahawa Allah akan memimpinnya selagi mana dia ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu.

Sayyidina Ali k.w pernah berkata :

1. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ia adalah warisan para nabi, manakala harta pula warisan Qarun dan Fir’aun.

2. Ilmu boleh menjaga diri kamu, sedangkan harta, kamu yang menjaganya.

3. Orang yang memiliki ilmu mempunyai ramai teman, sedangkan pemilik harta mempunyai ramai musuh.

4. Ilmu pengetahuan itu akan bertambah jika diamalkan, sedangkan harta akan berkurangan jika dibelanjakan.

5. Pemilik ilmu pengetahuan sentiasa dihormati, sedangkan pemilik harta akan dikenali sebagai si kedekut.

6. Pemilik ilmu akan memberi syafaat, pemilik harta akan dihisab.

7. Biarpun masa berlalu namun ilmu tidak lapuk ditelan zaman, tetapi harta itu semakin lama semakin usang,

8. Ilmu pengetahuan dapat menyinari hati, tetapi harta mengeraskan hati.

9. Orang berilmu mengakui dirinya sebagai hamba Allah, sedangkan orang berharta mengakui dirinya pemilik.”

Apabila kita berniat di dalam hati untuk menuntut ilmu Allah sebenarnya tidak ada jalan pintas (short cut) untuk memahami agama Islam, maka janganlah mengharapkan kefahaman dalam agama secara serta merta atau melalui jalan yang mudah. Sebaliknya hendaklah bersiap sedia untuk melakukan banyak pengorbanan dari sudut tenaga, masa, kewangan dan kehidupan. Proses menuntut ilmu sememangnya memerlukan banyak pengorbanan dan hal ini diketahui oleh Rasulullah. Oleh itu baginda menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang melakukan pengorbanan tersebut dengan bersabda, maksudnya:

“Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”
(Riwayat Muslim dalam Sahihnya (penomboran Fu’ad Abd al-Baqi), hadis no: 2699).

Peruntukkan masa kita datang ke majlis ilmu yang di adakan dimasjid-masjid atau surau-surau , janganlah kita hanya memikirkan urusan duniawi semata-mata. Janganlah hanya menyebukkan diri untuk menghadiri program hiburan, ke salon-salon kecantikan, pusat membeli belah, bersiar-siar mebuang masa dan melayan hobi-hobi yang kurang manfaatnya seperti memancing dan lain-lain lagi. Aktiviti-aktiviti tersebuat tidak membawa kita kepada amal soleh dan menambahkan ilmu yang bermanfaat kepada kita. Masa hidup kita semakin singkat sedangkan bekalan pahala kita terlalu sedikit dikhuatiri kita tidak sempat nak menuntut ilmu sadar-sadar sudah berada dialam barzakh!

Walaupun kita belum mampu sepenuhnya untuk melaksanakan ilmu yang kita miliki tetapi apabila kita bercita-cita dan berusaha untuk meningkatkan amal maka Allah SWT akan mencatat niat dan keazaman kita  sebagai amal kebaikan dan diberi-Nya pahala yang berlipat kaliganda.

Sahabat yang dikasihi,
Ilmu yang yang kita miliki akan menyebabkan hati kita semakin tenang dan merendahkan diri. Adab seorang yang berilmu dia tidak suka berbangga-bangga dihadapan  para ulama dan berdebat dengan orang jahil supaya dia dipuji sebagai orang yang berilmu.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.”(Hadis Riwayat Ibn Hibban - Para perawi yang dipercayai lagi sahih demikian terang Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 77)

Rasulullah SAW juga telah menggariskan beberapa peringkat kelebihan ilmu dengan sabda baginda maksudnya : “Sesungguhnya ilmu itu adalah umpama gedung dan anak kuncinya adalah pertanyaan.”

Orang yang mengamalkan ilmunya akan ditambahi oleh Allah dengan ilmu dalam pelbagai bentuk. Orang yang berusaha memahami agama Islam akan meningkat keimanannya dan iman itu sendiri adalah apa yang dibuktikan dengan hati, lidah dan perbuatan. Keimanan seperti ini akan ditambahi oleh Allah dengan hidayah-Nya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah.”
(Surah al-Kahf ayat 13)

Orang yang mengamalkan ilmu juga bererti mengamalkan hidayah yang Allah kurniakan kepadanya, meningkatkan ketakwaannya, maka dengan itu Allah akan mengurniakan kepadanya al-Furqan yang membolehkan dia membezakan antara yang benar dan batil. Allah akan juga menambahi Rahmat-Nya dan memberikannya cahaya untuk terus berada di atas jalan yang benar. Perhatikan dua firman Allah berikut yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (al-Furqan) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(Surah al-Anfal ayat 29)

Oleh itu marilah sama-sama kita mengambil kesempatan yang berharga di dalam kehidupan ini untuk memperuntukkan masa kita dan bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu yang bermanfaat. Maka menuntut ilmu itu tidak mengira usia sama ada seseorang itu muda atau tua, lelaki atau perempuan semua digalakkan menuntut ilmu.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML