Berdosa Besar Sekiranya Majikan Mengabaikan Pembayaran Gaji (Upah) Pekerjanya
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam kehidupan seharian kita bekerja mencari nafkah adalah salah satu tuntutan agama. Bekerja untuk menyara dan memberi nafkah kepada ahli keluarga di kira seperti keluar berjihad dijalan Allah SWT. Setiap mukmin perlulah pastikan pekerjaan yang dilakukan adalah pekerjaan yang halal supaya hasil (gaji) yang akan diperolehi nanti menjadi halal.
Haram hukumnya bekerja dikaunter pembayaran (casher) di Pasaraya yang menjual arak, syarikat insuran dan perbankkan yang mengenakan riba kepada pelanggannya, kedai-kedai judi dan kelab-kelab malam yang mengandungi hidangan arak , muzik-muzik black metal dan pergaulan bebas lelaki dan wanita.
Jika bekerja ditempat yang tidak ada perkara-perkara haram , syubahat dan tidak menimbulkan fitnah maka Islam mengharuskannya. Jika bekerja ditempat yang mana majikannya tidak membenarkan solat fardu dilakukan maka seorang muslim dilarang mencari nafkah ditempat tersebut kerana bumi Allah SWT luas dan rezeki Allah SWT ada dimana-mana sahaja tidak tertumpu hanya di satu-satu tempat sahaja.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
« لا تستبطئوا الرزق ، فإنه لم يكن عبد ليموت حتى يبلغ آخر رزق هو له ، فأجملوا في الطلب ، أخذ الحلال وترك الحرام »
Maksudnya : “Janganlah merasa terlambat datangnya rezki , kerana sesungguhnya seseorang sekali-kali tidak akan meninggal dunia sehingga ia sampai pada jatah rezekinya yang terakhir. Maka carilah nafkah dengan cara yang baik, iaitu dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram.”(Hadis Riwayat Al-Hakim II/IV no.2134, dan Ibnu Hibban VIII/33 no.3241, dan dinyatakan Sahih oleh syaikh Al-Albani di dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shohihah VI/108 no.2607, dan Shohih At-Targhib wa At-Tarhib II/143 no.1697).
Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:”Berikanlah upah kepada pengambil upah (orang yang bekerja) sebelum kering peluhnya” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Huraiannya :
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa sekiranya kita menjadi majikan dan mengambil seseorang bekerja dengan kita maka jangan diabaikan gaji atau upah yang sepatutnya diberikan kepadanya. Berdosa besar jika majikan menipu dengan tidak memberikan hak bayaran sepatutnya diberikannya. Nabi SAW menyuruh disegerakan upahnya iaitu sebelum kering peluhnya.
Bayangkan jika sehari saja tidak dibayar upahnya sudah mendapat dosa besar bayangkan jika majikan tidak membayar gaji pekerjanya selama sebulan atau mungkin berbulan-bulan lamanya maka dosa yang akan ditanggung dihari akhirat nanti berlipat kali ganda. Di akhirat nanti ketika itu tidak ada dinar atau harta tetapi bayarannya adalah dengan pahala solat, puasa dan zakat yang dimiliki oleh majikan yang tidak membayar gaji tersebut jika tidak cukup dengan pahala maka seseorang boleh menjadi muflis.
Bekerja merupakan keharusan mutlak yang harus dilakukan oleh seorang muslim untuk mendapat rezeki yang telah disediakan oleh Allah S.W.T, bahkan kalau perlu, seseorang itu digalakkan merantau ke pelbagai pelusuk dunia untuk meraih rezeki yang halal. Hal ini juga termasuk dalam kontek jihad.
Bekerja adalah senjata utama untuk memerangi kemiskinan, modal dalam mencapai kekayaan dan faktor dominan dalam mencipta kemakmuran hidup. Seseorang itu dituntut supaya redha dengan pekerjaannya dan menjalankan kerja-kerja yang telah diamanahkan dengan tekun untuk menjamin kebersihan upah yang diterima daripada pekerjaan tersebut. Oleh itu, sesuatu pekerjaan yang dibuat hendaklah diniatkan kerana Allah.
Terdapat sekurang-kurangnya 3 jenis balasan bagi mereka yang kerjanya menjadi ibadah iaitu:
1) mendapat balasan dalam bentuk material (gaji).
2) mendapat balasan dalam bentuk kepuasan kerana dapat menyiapkan atau menyelesaikan kerjanya.
3) mendapat pahala untuk bekalan di hari akhirat.
Dalam konteks hubungan majikan-pekerja pula Islam melihat bahawa pekerja itu bukanlah sebagai hamba kepada manusia lain untuk menghasilkan sesuatu pengeluaran kerana penghambaan hanya dikhususkan untuk Allah S.W.T. Oleh itu hendaklah ada keadilan antara majikan dan pekerja di mana gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut bahkan kalau perlu sebelum keringatnya kering kerana Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud: "Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.” .
Dalam riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:“Tiga orang yang Aku musuhi pada hari kiamat nanti adalah orang yang telah memberi kerana Aku lalu berkhianat dan orang yang membeli barang pilihan lalu dia makan lebihan harganya serta orang yang mengupah pekerja kemudian pekerja tersebut menunaikan akadnya sedangkan upahnya tidak diberikan” (Hadis Riwayat Bukhari)
Sahabat yang dihormati,Dalam al-Quran terdapak kisah mengenai dibolehkan mendapat upah kerana bekerja kepada seseorang majikan.
Dalam Surah al-Kahfi ayat 77 menceritakan perihal upah:“ "Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Nabi Musa berkata: Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya".
Ayat ini menunjukkan harus mengambil upah di atas pembinaan tembok berkenaan iaitu satu kerja yang telah dibuat. Ulama Islam telah sepakat bahawa upah daripada kerja wujud dalam perundangan Islam. Ini disebabkan manusia diciptakan Allah SWT mempunyai kelebihan dan kepandaian yang berbeza-beza.
Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, mereka akan saling perlu memerlukan kepada yang lain. Kelebihan dan kepandaian ini dapat diambil manfaat secara baik melalui upah di antara satu pihak dengan yang lain.
Dalam Surah al-Talaq ayat 6, Allah SWT mengingatkan untuk memberi upah kepada wanita penyusu bayi. Jika harus memberi upah dalam penyusuan maka sudah tentu dikiaskan juga kepada perkara yang lain dalam kehidupan manusia.
Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar pernah bersama-sama mengupah sorang kafir daripada Bani al-Dail yang mahir tentang jalan menunjuk arah dalam musafir mereka.
Dalam satu hadis riwayat Imam Bukhari, Rasullulah SAW menegaskan bahawa salah seorang yang menjadi musuh baginda pada hari akhirat kelak ialah orang yang mengupah pekerja dan menggunakan pekerja itu tetapi tidak membayar upahnya.
Hadis ini jelas menunjukkan keharusan mengupah dan satu amaran bahawa adalah melakukan dosa yang besar jika majikan tidak membayar gaji kepada pekerja mereka yang telah disuruh melakukan pekerjaan.
Ijmak ulama sendiri memperakukan keharusan memberi gaji atau upah daripada kalangan para sahabat, tabieen, fuqaha termasuk imam mazhab yang empat Hanafi, Malik, Syafie dan Ahmad.
Secara fitrahnya, pemilikan harta manusia adalah berdasarkan kepada kerja yang mereka lakukan. Keperluan upah atau gaji yang setimpal ini boleh dilihat dari aspek individu, keluarga dan juga masyarakat. Daripada individu, manusia membina sesebuah masyarakat sama ada berjaya atau sebaliknya. Jadi, mereka perlu berdikari mencari kerja agar mendapat upah sebagai bekalan kemajuan diri.
Dalam hadis riwayat al-Baihaqi, Nabi SAW telah menyuruh seorang lelaki yang papa mendapatkan kapak dan keluar bekerja selama beberapa hari. Sebahagian duit upah yang didapati oleh lelaki berkenaan disuruh untuk membeli makanan untuk ahli keluarganya dan baginda SAW menyuruh lelaki berkenaan terus bekerja.
Akhirnya lelaki itu berterima kasih kepada Rasulullah dan baginda SAW bersabda ini adalah lebih baik bagi lelaki itu berbanding nanti beliau datang pada hari kiamat dengan muka yang berkerut dengan masalah papa.
Sunnah Nabi SAW ini memberi pengajaran kepada kita bahawa pemilikan harta oleh individu akan menyebabkan mereka hidup tenang. Mereka dituntut untuk mendapatkan segala kekayaan dan kebajikan di atas muka bumi. Ini tidak dapat dilakukan melainkan dengan bekerja yang akhirnya mendapat ganjaran dalam bentuk upah.
Upah yang baik dapat mendorong individu menjadi lebih kreatif, berfikir dan bersungguh-sungguh bekerja dan akhirnya menambahkan lagi produktiviti mereka. Keperluan yang pelbagai juga mendesak individu untuk mendapatkan upah setimpal yang dapat menguruskan keperluan diri dan menjadi ahli masyarakat yang berdikari.
Tanpa upah yang sepadan, sudah tentu mereka akan membawa masalah dalam masyarakat kerana terpaksa hidup bergantung dengan ihsan orang lain yang sudah tentu akan mewujudkan ketidakstabilan dan penindasan dalam masyarakat.
Dengan upah yang baik pula, individu akan dapat menjauhi tarikan untuk melakukan jenayah seperti mencuri, tipu dan menerima rasuah.Mereka boleh mengelakkan diri daripada berhasad dengki kepada majikan dan akhirnya dapat memenuhi keperluan asas kehidupan iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan juga harta.
Memenuhi keperluan ini adalah wajib dan pihak berkenaan khasnya pemerintah perlu memastikan keperluan asas manusia ini dapat dipenuhi dengan baik.Sebagai individu yang berkeluarga, dengan adanya gaji atau upah yang setimpal, maka mereka dapat memenuhi keperluan tempat tinggal, pakaian, pendidikan, makanan ahli keluarga di bawah tanggungan dengan baik termasuk ibu bapa yang tua yang tiada sumber pendapatan lagi. Ini akan memperkasakan lagi tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga.
Apabila wujud kemantapan individu hasil kerja dengan upah yang baik, maka bukan sahaja keluarga menjadi rukun dan damai bahkan masyarakat sendiri akan maju ke hadapan hasil sumbangan setiap individu dengan menjadi komponen masyarakat bekerja yang membawa kepada pemilikan harta melalui gaji yang diterima dan dapat menjauhi daripada bergantungan kepada orang lain.
Sahabat yang dikasihi,
Jika kita sebagai majikan dan mempunyai pekerja yang bekerja untuk kita maka pastikan pekerja tersebut tidak dizalimi dengan kita enggan membayar upah atau gaji yang sepatutnya diberikan. Jika perbuatan ini berlaku maka hidup kita tidak akan berkat dan akan mendapat kemurkaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Islam menggalakkan disegerakan bayaran upah atau gaji dan dikira sebagai sedekah jika majikan dengan sukarela memberi tambahan upah kepada pekerjanya yang telah melakukan pekerjaan seperti perjanjian.
No comments:
Post a Comment