Siapa Yang Mendapat Haji Mabrur Di Jamin Masuk Syurga
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Mengerjakan fardu haji ke Baitullah adalah termasuk di dalam rukun Islam ke lima bagi sesiapa yang berkemampuan dan cukup perbelanjaan. Sekiranya seseorang muslim itu telah cukup perbelajaan tidak ada halangan quata dan masaalah kesihatan tetapi dia enggan menunaikan haji dan tidak ada langsung niat untuk menunaikannya , jika sekiranya dia mati maka matinya adalah kematian jahilaih. (kerana mengingkari kefarduan rukun Islam ke 5).
Ingatlah! Pemergian kalian ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji adalah jihad dijalan Allah SWT. Banyakkan bertaubat kepada Allah SWT, memohon kemaafan saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai, jika ada hutang-hutang yang lama belum dibayar maka diselesaikanlah atau minta halal kerana kita telah bebas daripada perkara-perkara yang wajib di selesaikan.
Ketika di Tanah Suci janganlah merosakkan ibadah kita dengan melakukan perkara mungkar serta kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam, seperti mengumpat, mencaci, memaki hamun dan mengutip batu di Tanah Suci untuk dibawa balik ke tanah air.
Oleh itu bagi setiap orang Islam yang ingin mengerjakan ibadat haji mestilah mengetahui segala rukun, syarat-syaratnya dengan betul supaya hajinya diterima oleh Allah SWT.
Apalah gunanya jika ibadat haji yang mempunyai ganjaran dan kelebihan begitu besar seperti ganjaran orang yang berjihad di jalan Allah itu rosak dan binasa disebabkan perkara mungkar dan khurafat yang kita kerjakan. Malah ibadat haji yang kita kerjakan itu tidak diterima oleh Allah dan ia menjadi sia-sia.
Oleh yang demikian, bakal jemaah haji seharusnya mengambil perhatian berat berhubung perkara ini dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara mungkar dan khurafat. Mudah-mudahan dengan kita menjauhi segala perkara mungkar dan khurafat itu ibadat haji kita akan diterima oleh Allah.
Daripada Abdullah bin Masu'd bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Hubungkanlah sekalian kamu antara haji dan umrah kerana ia menghapuskan dosa dan kemiskinan seperti menghembus tukang besi akan kotoran besi, emas dan perak. (Hadis riwayat Tirmizi).
Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah dan tidak dicemari perkara dosa dan maksiat, dia akan kembali seperti hari pertama dia dilahirkan". (Hadis riwayat Bukhari).
Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah yang bermaksud : "Dan (diantara) kewajipan manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Barang siapa mengingkari (kewajipan) haji, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.".
(Surah Ali-Imran ayat 97)
Sesiapa yang telah mencukupi perbelanjaan untuk menunaikan haji maka dia wajib mengerjakannya tanpa ditangguh-tangguh lagi kerana ajal dan maut seseorang tidak siapa mengetahuinya.
Lantaran itu, jelas di sini bahawa ibadah haji wajib ke atas setiap muslim, baligh, berakal, merdeka, aman perjalanan dan berkemampuan. Satu syarat tambahan untuk wanita iaitu adanya mahram bersamanya.
Yang dimaksudkan dengan kemampuan ialah:
1. Memiliki bekalan yang mencukupi bagi perjalanan pergi ke Tanah Suci dan perjalanan pulang ke tanah airnya untuk dirinya dan perbelanjaan mereka yang di bawah tanggungannya semasa pemergiannya.
2. Pengangkutan yang sesuai.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Islam itu dibina atas lima perkara: Kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa (pada bulan) Ramadan)." (Hadis Riwayat Muttafaq Alaih).
Dalam satu hadis Nabi SAW melarang keras sesiapa yang enggan atau tidak berniat langsung untuk menunaikan salah satu rukun Islam yang lima iaitu mengerjakan fardu haji tanpa alasan yang dibenarkan syarak dan dia pula berkemampuan maka matinya adalah mati sebagai Yahudi atau Nasrani. na'uzubillahiminzalik.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memiliki bekalan dan kemudahan pengangkutan yang menyampaikannya ke Baitullah tetapi ia tidak berhaji, maka tiada halangan baginya untuk mati sebagai Yahudi atau Nasrani".(Hadis Riwayat Tirmizi dan Baihaqi).
Terdapat 4 tingkatan ibadah haji yang dilakukan oleh orang-orang Islam sama seperti ibadah solat dan puasa iaitu :
Pertama : Haji Mardud.
Haji Mardud ialah haji yang tidak diterima olah Allah SWT lantaran kerana kekurangan syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab yang lain yang menyebabkan hajinya tidak diterima atau ditolak oleh Allah SWT.
Kedua : Haji Maqbul.
Haji Maqbul adalah haji yang sah dan diterima oleh Allah SWT dan orang yang mengerjakan haji maqbul ini dianggap sebagai telah menunaikan perintah Allah dan telah menyempurnakan rukun Islam yang ke lima tanpa diberi ganjaran pahala.
Ketiga : Haji Makhsus.
Haji Makhsus adalah ibadah haji yang dikerjakan oleh orang-orang yang tertentu yang sempurna segala syarat dan rukunnya, ia bukan sahaja sekadar dianggap sah dan diterima oleh Allah SWT tetapi diampunkan segala dosanya.
Haji ini termasuk ke dalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ibnu Majah, An-Nasai dan Ahmad daripada Abu Hurairah yang bermaksud :
” Sesiapa yang menunaikan ibadah Haji, tidak ia melakukan keburukan dan kekejian, maka kembalilah ia seperti hari yang dilahirkan oleh ibunya ”
Keempat : Haji Mabrur
Haji Mabrur adalah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa, tidak semua muslim boleh mendapatkannya. Haji ini bukan sahaja sekadar dianggap menunaikan kewajipan, tetapi selain dari diampunkan segala dosanya, ia juga akan dimasukkan ke dalam syurga.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani daripada Abdullah b. Abas yang bermaksud :” Haji mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan syurga ”
Sahabat yang dihormati,
Setiap mukmin yang telah dipilih menjadi tetamu Allah SWT dan berpeluang mengerjakan fardu haji maka dia perlulah berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT semoga ibadah haji yang dikerjakannya adalah mendapat Haji Mabrur.
Adapun perkataan “MABRUR” di segi pengertian bahasanya ialah perbuatan yang tidak ada syubahat atau keraguan padanya atau hanya diertikan dengan makna yang diterima.
Makna Haji Mabrur pada istilah ialah haji yang diterima dan balasannya yang luarbiasa iaitu syurga, manakala lawannya ialah Haji Mardud iaitu haji yang ditolak dan tidak diterima.
Apakah syarat-syarat untuk mendapat Haji Mabrur?
Untuk mencapai tingkatan haji yang mabrur, tidak semudah seperti yang disangkakan tetapi tidak mustahil untuk mendapatkannya. Ia memerlukan beberapa syarat yang tertentu berdasarkan masa-masa tertentu.
Sebelum menunaikan fardu haji ada beberapa perkara yang seharusnya diperbetulkan sebelum berangkat keTanah Suci iaitu :
1. Niat semata-mata kerana Allah SWT.
Niat semata-mata kerana Allah swt, jangan sekali dicampur-adukkan dengan perasaan riak dan takbur. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Umar Al-Khattab yang bermaksud ” Sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap seorang itu apa yang diniatkan ”
2. Wang perbelanjaan diperolehi daripada sumber yang halal.
Wang yang diperolehi dan akan digunakan untuk tujuan menunaikan ibadat Haji hendaklah daripada sumber yang halal, jangan sekali dicampur-adukkan dengan sesuatu yang haram atau yang syubahat.
3. Kewajipan diri sendiri telah sempurna dan tidak mempunyai tanggungan lain yang wajib disempurnakan.
Setelah cukup syarat yang mewajibkan seseorang itu menunaikan haji tanpa memaksa diri sendiri dan semua tanggungan yang lain telah disempurnakannya tanpa menjejaskan pemergiaannya ke tanah suci untuk mengerjakan haji.
4. Semasa mengerjakan haji dijaga semua perkara iaitu :
a. Menyempurnakan segala rukun-rukun haji.
b. Menyempurnakan segala perkara-perkara wajib haji.
c. Membayar segala jenis dam yang dikenakan.
d. Tidak melakukan larangan ketika berihram haji seperti persetubuhan, kemaksiatan dan kemungkaran. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud :
” Masa untuk mengerjakan Ibadah Haji itu ialah beberapa bulan termaklum, oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya dengan niat mengerjakan Ibadah Haji itu, maka tidak boleh mencampuri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan Haji ”
5. Selepas menunaikan haji (sudah balik ketanah air)
Orang yang telah menunaikan Haji, dianggap telah membersihkan dirinya daripada segala dosa dan kesalahan, setelah menunaikan ibadah haji khasnya setelah kembali ke tanah air maka beberapa perkara perlu diawasi :
a. Mengekalkan diri sentiasa dalam keadaan bersih dari sebarang noda dan dosa dengan menjauhkan perkara-perkara mungkar yang dilarang.
b. Memperbanyakkan amal soleh untuk meningkatkan iman dan ketakwaannya.
c. Memperbaiki diri ke arah yang lebih sempurna di segi akhlak dan kelakuannya.
Dengan terlaksananya segala apa yang dinyatakan seperti di atas, maka besar kemungkinan seseorang itu akan mencapai ke tahap Haji Mabrur yang diidamkan oleh setiap pengunjung Baitullahil Haram.
Sahabat yang dikasihi,
Dengan huraian yang ringkas ini, diharap akan dapat memberikan satu gambaran tentang Haji Mabrur dan pencapaiannya atau sekurang-kurangnya dapat dijadikan sebagai panduan untuk mencapai Haji Mabrur.
Sesiapa di antara kalian yang belum lagi menunaikan haji maka berdoalah kepada Allah SWT semoga dipermudahkan oleh Allah SWT dan diberikan-Nya rezeki untuk menjadi tetamu-Nya kerana mereka yang terpilih sahaja layak menjadi tetamu-Nya.
Untuk bakal-bakal haji yang telah dipilih tahun ini maka kalian perlulah membuat persiapan serapi mungkin iaitu persiapan fizikal, mental, emosi dan kerohanian. Saya doakan kalian semua semoga dikurniakan taufik dan hidayah-Nya serta kemampuan untuk melaksanakan ibadah haji dengan sempurna dan penuh ketakwaan, terhindar dari sifat riak yang merosakkan amalan.
Kepada Allah SWT diserahkan segala urusan dan kepada-Nya dipohonkan ganjaran di atas setiap amal yang dikerjakan.
No comments:
Post a Comment