Saturday, February 22, 2014

FASIK ~ LUPA DIRI

Lupa Diri Terhadap Tuhan Sifat Orang Fasik

SATU sifat berbahaya yang boleh memudaratkan manusia dalam kehidupannya ialah sifat lupa diri. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sifat lupa diri ialah pokok kepada segala amalan kejahatan. Dengan lain perkataan, amalan kejahatan yang dilakukan setiap insan acap kali bertitik tolak daripada sifat lupa diri.

Hakikat ini diperkuatkan dengan firman Allah yang merakamkan keburukan sifat lupa diri di kalangan makhluknya. Antaranya, kisah penderhakaan iblis kepada Allah dengan keengganannya untuk mentaati perintah Allah kerana sifat lupa diri menguasai dirinya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis, dia berasal daripada golongan jin dan menderhaka terhadap perintah Tuhannya.” – (Surah al-Kahfi, ayat 50)

Begitu juga kisah Firaun bersama pengikutnya yang melakukan kezaliman dan kerosakan di atas muka bumi ini, di samping menentang seruan dibawa Nabi Musa adalah kerana lupa diri sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Masuklah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tiada cacat; dan kepitlah tanganmu di celah ketiakmu ketika berasa takut (nescaya hilanglah takutmu). Yang demikian itu adalah dua bukti daripada Tuhanmu (untuk kamu menunjukkan) kepada Firaun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik-derhaka.” – (Surah al-Qasas, ayat 32)

Lanjutan itu, Allah memberi peringatan kepada orang Islam agar jangan sekali-kali bertindak seperti orang yang lupa diri di mana Allah menyifatkan mereka sebagai orang fasik iaitu orang yang suka berbuat dosa dan kejahatan serta durhaka kepada Allah.

Dalam hal ini, Allah berfirman dalam surah al-Hasyr, ayat 19 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang yang fasik lagi derhaka.”

Yang dimaksudkan dengan fasik, Syeikh Raghib al-Asfahani mendefinisikan sebagai keluar daripada landasan syariat atau agama. Istilah fasik digunakan khusus kepada orang yang diperintahkan dengan hukum Allah namun mereka menolak untuk mentaatinya dan seterusnya mengingkari sama ada sebahagian mahupun keseluruhan hukum itu.

Dengan lain perkataan, istilah fasik ditujukan kepada mereka yang banyak melakukan dosa, baik dosanya kepada Tuhannya atau dosanya kepada sesama manusia.

Bertolak daripada sini, dapat disimpulkan bahawa sifat fasik ini pada hakikatnya adalah sifat lupa diri itu sendiri. Ia berdasarkan analogi berikut iaitu apabila seseorang manusia lupa diri, maka secara automatik dia akan lupa kepada Tuhannya. Serentak dengan sifat lupa kepada Tuhannya menguasai dirinya, maka dia sudah pastinya akan berani melawan dan menentang segala hukum Allah.

Kesannya, tercetuslah kezaliman, berlakulah kerosakan dan tersebarlah kekacauan di seluruh pelosok muka bumi ini. Ringkasnya di sini dapatlah disimpulkan betapa sifat fasik itu begitu sinonim dan signifikan kepada kerosakan dan kezaliman itu sendiri.

Mungkin timbul pula persoalan mengapa dan bagaimana sifat lupa diri ini boleh wujud dalam diri seseorang manusia. Sebenarnya ada beberapa punca utama yang boleh menyebabkan seseorang lupa diri dalam kehidupannya.

Pertama ialah apabila seseorang itu lupa kepada Allah yang selayaknya disembah, dipuji dan dipuja, dipanjatkan doa dan diminta segala pertolongan. Allah jugalah yang menurunkan al-Quran sebagai kitab hidayah dan pedoman kepada umat manusia. Namun, manusia sering ingkar dan angkuh, lalu membelakangkan ajaran al-Quran.

Ketika itu, dia lupa kepada Tuhannya dan mula menempah saat-saat kehancurannya. Hatinya sudah mula menjadi semakin keras dan berkarat dengan timbunan dosa dan tertutup rapat daripada menerima cahaya kebenaran dan seruan taubat ke jalan yang benar.

Oleh itu, dia semakin berani melakukan amalan kemaksiatan dan kedurhakaan kepada Allah sehingga seluruh detik kehidupannya sarat dengan kegiatan menyalahi syariat . Di samping itu juga, dia sudah bertuhankan iblis yang berjaya menyesatnya daripada landasan yang lurus. Akhirnya, dia termasuk ke dalam golongan penghuni neraka yang disediakan azab yang tiada terperi.

Sebab kedua yang mengakibatkan manusia lupa dirinya ialah lupa akan asal usulnya sebagai hamba dan makhluk Allah. Kisah keangkuhan iblis menjadi bukti nyata hingga menyebabkan iblis lupa diri lalu enggan tunduk patuh kepada perintah Allah agar sujud kepada Nabi Adam. Iblis menganggap bahawa penciptaan dirinya daripada api lebih baik daripada penciptaan Nabi Adam daripada tanah sehingga dia lupa asal-usul dirinya juga adalah hamba dan makhluk Allah.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML