Hikmat dan Fadhilat Ayat-ayat Allah.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Kitab suci Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT. kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW adalah sebagai peduman hidup manusia, ianya wajib dipelajari, difahami dan dihayati dalam kehidupan. Diberi pahala oleh Allah SWT apabila membacanya setiap hari walaupun tidak difahami maknanya.
Selain daripada Al-Quran dijadikan sebagai sumber hukum, Nabi SAW ada pergunakan ayat-ayat al-Quran sebagai pendinding dari gangguan syaitan dan sebagai doa kepada Allah SWT. untuk menghindari dari segala bencana dan bala.
Sebagai hamba Allah dan umat Muhammad SAW kita diminta sentiasa berdoa dan memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya terselamat dari hasutan Iblis dan terpelihara daripada musibah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tiap-tiap suatu pekerjaan yang tidak dimulai dengan 'Bismillaahi'rrahmaanirrahiim', maka ia tidak berkat."
Sabda baginda lagi, "Tiada seorang hamba mengucapkan, 'Bismillaahi'rrahmaanirrahiim' melainkan hancur syaitan sebagaimana hancurnya timah (yang ditaruh) di atas api".
Salah satu hadis dari Abu Hurairah r.a, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Ya Abu Hurairah, apabila engkau merecak (menaiki) kenderaan, maka engkau membaca 'Bismillaah dan surah Fatihah ditulis bagimu kebaikan yang dihitung sebanyak langkah (yang engkau langkahkan) dan bila engkau menanaiki bahtera, engkau baca 'Bismillaah dan surah al-Fatihah' ditulis bagimu kebaikan-kebaikan sehingga engkau keluar daripadanya."
Saidina Ali k.w pernah meriwayatkan satu hadis dari Nabi SAW yang bermaksud :
"Apabila engkau mendapat sesuatu musibah (kecelakaan) bacalah 'Bismillaahi'rrahmaanirrahiim, wa laa haula walaa quwwata illaa billaahil 'aliyil 'aziim'. Nescaya Allah menjauhkan daripadanya 70 pintu dari segala macam bala, kesusahan dan dukacita."
(Hadis Riwayat Ibnu Sinny dan Addailamy)
Sahabat yang di hormati,
Surah al-Fatihah yang dipanggil juga sebagai Ummul Quran atau Ummul Kitab adalah satu surah yang boleh digunakan sebagai rawatan dalam menyembuhkan berbagai penyakit.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Surah al-Fatihah itu dapat menyembuhkan dari penyakit terkena racun."
Sabda baginda lagi yang bermaksud, "Surah al-Fatihah itu dapat menyembuhkan dari segala penyakit." (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
Dari Anas bin Malik r.a. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Apabia engkau berbaring atas lambungmu di tempat tidur dan engkau bacakan surah al-Fatihah dan Qul huwallaahu ahad, maka sentosalah engkau pada tidurmu itu daripada yang menyakiti."
Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud :
"Barangsiapa mendatangi (pulang) kerumahnya, maka dibacanya akan surah al-Namd (surah al-Fatihah) dan surah al-Ikhlas, maka menafikan Allah daripadanya fakir dan mendapat ia kebajikan yang banyak di tempat itu."
Untuk kebaikan ayat Kursi Nabi SAW berpesan pada Saidina Ali k.w. sabda baginda yang bermaksud, "Tidaklah dibaca ayat (ayatul Kursi) ini dalam satu rumah, melainkan pindah syaitan selama 30 hari dan tidak masuk tukang sihir lelaki dan wanita selama 40 hari. Ya Ali, ajarkanlah dia kepada anakmu dan keluargamu dan jiranmu. Tidak diturunkan akan ayat yang lebih agung dan mulia daripadanya."
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa membaca akan ayatul Kursi pada ketika mengiringi tiap-tiap solat fardu, diampuni Allah akan dosanya dan dihapuskan Allah daripadanya tiap-tiap kejahatan."
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Barangsiapa membaca ayatul Kursi ketika hendak tidur sekali, nescaya ia terpelihara daripada tiap-tiap kejahatan syaitan,jin, manusia dan binatang."
Pernah Nabi SAW berpesan pada Saidina Ali k.w katanya yang bermaksud :
"Apabila berkehendak engkau akan sesuatu hajat, maka bacalah ayatul Kursi, kemudian langkahkanlah dengan kaki kanan, mudah-mudahan apa yang dihajatkan diperkenankan Allah."
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Barangsiapa membaca ayatul Kursi pada tiap-tiap pagi (sesudah subuh) sekali, insya Allah terpelihara ia akan kejahatan hari itu, dan jika dibacanya sekali ayatul Kursi pada petang hari (sesudah magrib) nescaya terpelihara ia pada kejahatan malam itu hingga pagi."
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Barangsiapa membaca ayatul Kursi pada ketika hendak keluar rumahnya, nescaya malaikat akan mengawali dan memeliharanya"
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai panduan dan amalan yang baik, gunakanlah ayat-ayat Allah ini sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita. Oleh kerana kita berhadapan dengan musuh number satu didunia ini dan ianya ghaib tidak boleh dilihat dengan mata kasar, maka ayat-ayat Allah ini boleh membantu kita dari gangguan dan godaannya.
Perkara yang paling penting kita menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan amalan setiap hari disamping itu barulah menggunakan ayat-ayat Allah ini sebagai syifa dan doa memohon perlindungan daripada Allah SAW.
No comments:
Post a Comment