Saturday, February 22, 2014

FAHAMAN .LIBERAL

Jauhi Fahaman Islam Liberal Kerana Boleh Merosakkan Akidah Kita

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Islam adalah satu cara hidup yang lengkap dan sempurna yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW . Islam yang sempurna ini meragkumi aspek akidah, ibadah, syariah, dan perundangan tidak boleh dikurangkan atau ditambah-tambah perkara pokok yang asas di dalam syariat Islam.

Firman Allah Surah al-An’am: 153. Maksudnya: "Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa."

Islam sebagai agama yang sangat cemerlang dalam sejarahnya, sering berhadapan dengan pelbagai aliran yang dengki lalu cuba merosakkannya atau mengelirukan penganutnya. Bermula dengan kelahiran fahaman rafidhah, jabariyyah, murji’ah dan sebagainya sehingga lahirnya fahaman dan ideologi seperti sekularisme, kapitalisme, komunisme, sosialisme , nationalisme dan lain-lain yang cuba menyesatkan manusia dari agama yang benar ini.

Terkini, agama ini dihadapkan pula dengan fahaman liberal di kalangan penganutnya sendiri. Ia mungkin lebih dikenali atau mengaku sebagai “Islam Liberal” di dalam media-media yang terselindung seperti laman web dan forum maya dalam internet.

Secara umum dan sebagai pengenalan, aliran Islam Liberal mendakyahkan kebebasan berfikir dan kebebasan mentafsir agama. Dengan kata lain, ia menyeru agar semua orang diberi hak untuk bercakap tentang Islam. Hak untuk memberi pandangan mengenai Islam, al-Quran dan hadis tidak wajar dibataskan kepada golongan agama sahaja. Inilah sebahagian dari kempen mereka.

Fikrah dan kefahaman Islam yang betul dan sahih tidak boleh di selewengkan dengan kefahaman-kefahaman asing yang dibawa oleh musuh-musuh Islam untuk merosakkan akidah Islam dan mengelirukan umat Islam mengenai ajaran Islam yang sebenar.

Sebenarnya, aliran ini adalah lanjutan dari perkembangan pemikiran modenisme yang berusaha untuk menyesuaikan Islam dengan realiti kehidupan moden yang sedang berkembang hari ini. Sedangkan, kita sepatutnya menyesuaikan kehidupan di zaman moden ini dengan Islam, bukan mengubah Islam mengikut acuan kemodenan.

Nampaknya, setelah gagal menghapuskan Islam dengan senjata, dan gagal juga menghapuskan Islam dengan kempen pelbagai ideologi yang bercanggah dengan akidah Islam, musuh-musuh Islam mengubah pula strategi mereka dengan menggunakan pendekatan nama Islam sendiri. Mereka menggunakan tafsiran ayat al-Quran dan hadis-hadis pula untuk mengelirukan umat yang jahil supaya tidak berpegang dengan hukum-hakam agama. Inilah modenisme model Islam liberal.

Islam liberal adalah satu kefahaman yang sesat dan menyempang dari ajaran Islam yang sebenar.

Makna liberalisme itu sendiri kita boleh faham yang mana ia bererti bebas berfikir dan berbuat apa sahaja asal tidak mengganggu kebebasan orang lain. Oleh itu ada seseorang yang berpegang kepada ini akan bebas bercakap mengenai apa sahaja mengenai agama mengikut cita rasa mereka. 

Kebelakangan ini suara golongan Islam liberal begitu lantang yang mahukan lebih banyak kebebasan dalam bersuara dan berfikir selain mentafsir sendiri al-Quran mengikut kehendak sendiri.

Lebih menakutkan, mereka juga membenarkan pluralisme agama atas alasan bahawa semua agama adalah sama.

Jika golongan Islam liberal ini  tidak dikawal dan disekat akhirnya ia mampu merosakkan akidah dan ummah keseluruhannya.

Mereka mendakwa tidak mengganggu orang lain kerana hakikatnya ia mengganggu orang Islam yang masih berpegang teguh kepada ajaran sebenar. Prinsip bagi mereka yang berpegang kepada pluralisme agama.

Golongan ini menggunakan akal dan kefahaman sendiri dalam hal ehwal agama tanpa bantuan mereka yang arif dalam bidang agama.

Menurut fahaman mereka untuk membentuk sistem pemerintahan ia adalah fahaman dan bikinan manusia. Apa yang dilakukan itu adalah pilihan manusia dan bukan telah ditetapkan oleh Tuhan dan syariat. Padahal dalam Islam sudah lengkap segalanya termasuk sistem perundangan dan sistem politik. Namun bagi mereka sistem politik mereka adalah mengikut akal dan hawa nafsu semata-mata selain perlu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana autoriti. Agenda kedua mereka adalah untuk mewujudkan teologi pluralisme.

Seterusnya mereka ini konon-kononnya mahu membebaskan wanita dengan memberi hak sepenuhnya sehingga boleh menceraikan suami dan sebagainya. Menentang sistem faraid dan menentang lelaki berpoligami. Semua sistem ini mahu dirombak mereka. Seterusnya adalah untuk memberi promosi dan memperjuangkan supaya wujudnya kebebasan berpendapat sepenuhnya atau sebebas-bebasnya. Suatu yang luar biasa dan sesat mereka berfahaman bahawa wanita boleh menjadi imam kepada kaum lelaki.

Inilah antara agenda utama mereka yang ternyata sudah jauh terpesong. Mereka kalau boleh mengatakan al-Quran itu adalah ciptaan manusia seperti yang dipegang oleh penulis seperti Salman Rushdie.

Terdapat tiga jenis liberal yang diamalkan oleh golongan Islam liberal ini iaitu :
Pertamanya liberal darisegi akidah .

Akidah golongan ini adalah paling parah. Mereka ini sudah terpesong dan akhirnya akan memegang kepada pluralisme agama. Maknanya agama apa pun boleh duduk dalam satu entiti. Padahal Islam hanya satu dan tidak ada yang lain.

Oleh itu bagi mereka yang memegang kepada pluralisme agama, mereka percaya bahawa semua agama adalah sama. Ini adalah sesuatu yang bahaya kerana mereka tidak berpegang kepada tauhid. Padahal konsepsi tauhid Islam adalah terlalu jauh berbeza dengan erti tauhid bukan Islam. Mereka menyatakan bahawa nama Allah itu boleh dikongsi bersama dengan bukan Islam sedang nama Allah itu adalah sesuatu yang sangat eksklusif.

Ini jelas bahawa Allah SWT  adalah tidak beranak dan diperanakkan yang berbeza dengan fahaman agama Kristian dan Yahudi. 

Golongan ini berpegang bahawa semua orang tidak mengira agama akan masuk syurga dan ini adalah sangat bercanggah dengan Islam seperti dalam Hadis Nabi SAW: “Hanya satu kumpulan yang berjaya masuk syurga iaitu kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah”.

Kalau tidak apa guna Nabi SAW mengajak orang Yahudi dan Nasrani masuk Islam dan menjalankan dakwah sehingga ada sahabat Nabi SAW terbunuh oleh orang Musyrik.

Kedua  adalah liberal syariat seperti membenarkan kahwin campur.

Ini yang cuba diketengahkan oleh puak-puak ini padahal ia adalah jelas dilarang oleh Islam dan ini akhirnya merosakkan pendirian umat Islam itu sendiri.

Menariknya buku-buku mengenai fahaman ini turut diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Kemudian bagi yang percaya kepada fahaman liberal syariat ini mereka boleh dan dibenarkan membuat maksiat sewenang-wenangnya.

Padahal perkara ini sangat jelas dalam Islam dan pihak berkuasa agama perlu tegas dalam perkara ini. Sebab itu mereka berpegang kepada liberal syariat dan mereka menentang sebarang penahanan polisi sosial.

Ketiga adalah liberal dari segi akhlak.

Mereka ini melihat soal akhlak adalah soal individu. Siapa pun tidak boleh campur tangan dalam soal akhlak individu. Di dalam Islam seorang tidak boleh melakukan maksiat secara terang-terangan kerana maksiat yang dilakukan boleh mempengaruhi orang lain. Dalam Islam terdapat konsep amar makruf nahi mungkar iaitu konsep dakwah dan tarbiah untuk membetulkan kemugkaran yang dilakukan oleh masyarakat.

Jika kita tidak menghalang perlakuan ini berlaku maka masyarakat kita adalah terdiri daripada masyarakat tidak bertamadun. Padahal binatang pun telah ditetapkan peraturan oleh tuannya.

Sebab itu kita lihat golongan ini tidak ada segan silu membuat maksiat terang-terangan. Sebab itu jika kita membiarkan golongan Islam liberal ini berleluasa struktur Islam itu runtuh sama ada dari segi akidah, syariat dan akhlak.

Islam adalah sebaik-baik agama daripada semua agama. Sesiapa yang menganut agama agama selain agama yang dibawa baginda SAW adalah sesat dan akan diazab dengan dahsyat di neraka. Ini jelas menunjukkan tidak ada pluralisme agama.

Islam menolak pluralisme agama, akan tetapi Islam tidak menolak pluraliti agama dan menerima hakikat kewujudan berbagai agama, bangsa, puak, budaya, bahasa dan sebagainya di bumi Allah ini.

Islam mengiktiraf hak-hak mereka, yakni hak orang bukan Islam untuk hidup dan beramal dengan ajaran dan kepercayaan keagamaan mereka. Hal ini jelas dalam sejarah negara Islam Madinah al-Munawwarah dengan Sahifah Madinah yang terkenal itu, yang mana orang yang berlainan agama dari agama Islam, diberi perlindungan dan kebebasan yang optimum dalam kegiatan keagamaan mereka. Tidak ada paksaan dalam agama untuk mengajak orang bukan Islam kepada ajaran Islam.

Pengikut pluralisme agama menuduh penentang tidak memahami secara benar gagasan atau konsep pluralisme agama mereka. Pada hakikatnya, merekalah yang naif, tidak memahami dan tidak dapat membezakan antara pluraliti dengan pluralisme dan salah dalam memahami kewujudan pelbagai agama dan bangsa di Madinah al-Munawwarah itu.

Sahabat yang dimuliakan, 
Penentang pluralisme agama dari awal-awal, sudah menerima hakikat kewujudan pelbagai agama di dunia ini, hatta sejak zaman Nabi SAW lagi. Golongan Pluralis ini telah jatuh ke dalam gaung kesesatan yang dalam apabila mendakwa dan berpendirian bahawa pelbagai agama yang wujud di zaman Nabi SAW itulah pluralisme agama.

Islam mengiktiraf hak-hak mereka, yakni hak orang bukan Islam untuk hidup dan beramal dengan ajaran dan kepercayaan keagamaan mereka. Hal ini jelas dalam sejarah negara Islam Madinah al-Munawwarah dengan Sahifah Madinah yang terkenal itu, yang mana orang yang berlainan agama dari agama Islam, diberi perlindungan dan kebebasan yang optimum dalam kegiatan keagamaan mereka.

Kalau semua agama itu sama, tidak perlu lagi Nabi SAW dan sahabat-sahabat berdakwah dan berjihad, mengajak orang bukan Islam menganut Islam bahkan memerangi orang murtad. Demikian juga dalam masyarakat yang berbagai bangsa, agama dan budaya yang wujud di zaman Damsyik dan Baghdad, tidak terdapat catatan yang ulama menyamakan agama Islam dengan agama lain.

Kita hendaklah berwaspada terhadap ajaran dan pemikiran Islam liberal ini. Antara ciri-ciri fahaman ini adalah :

1. Berpegang pada relativisma atau kepercayaan bahawa kebenaran tidak bersifat mutlak. Justeru, semua pandangan agama-agama boleh diterima kerana ia bergantung kepada penilaian individu.

2. Melihat agama sebagai hasil perkembangan pemikiran manusia, bukan berasaskan sumber al-Quran dan hadis.

3. Menganggap Islam terbuka kepada pelbagai tafsiran.

4. Menuntut kebebasan dalam mentafsirkan ajaran agama, walaupun tidak memiliki kelayakan asas dalam bidang agama.

5. Menolak apa sahaja bentuk kewibawaan ilmiah atau autoriti dalam agama.

6. Beranggapan ada perbezaan antara Islam yang sebenar dengan Islam yang ditafsirkan oleh ulama tradisi.

7. Selalu mengkritik tafsiran ulama tradisi dengan dakwaan ia tidak sesuai dengan kemodenan. Mereka mengatakan hukum hudud tidak sesuai dalam masyarakat majmuk. Dan mengatakan agama Islam ini adalah ciptaan ulama.

8. Pandangan terhadap agama bersifat liberal kerana tidak mahu terikat dengan tradisi yang diamalkan.

9. Menuntut keterbukaan ijtihad termasuk dalam bidang akidah, ibadah dan perkara yang telah disepakati ulama (ijmak).

10. Menyamakan suasana kehidupan beragama di negara ini dengan kehidupan beragama di Eropah pada abad ke 16 hingga 18 Masihi (ketika masyarakat Eropah ditindas golongan gereja).

11. Menafikan hak agama dalam mengawal moral penganutnya.

12. Menganggap perkara agama sebagai hak individu, tidak boleh dijadikan nilai yang dipaksa dalam pentadbiran atau undang-undang.

13. Mempromosikan emansipasi atau kebebasan wanita dan persamaan hak dengan kaum lelaki.

14. Mendukung penuh demokrasi liberal.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jauhi golongan Islam Liberal ini kerana bahayanya sama dengan bahaya fahaman Syiah dan ajaran sesat. Semuanya sesat lagi menyesatkan dan perlulah kita semua kembalilah kepada ajaran Islam sebenar semoga kita terselamat di dunia dan akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML