Saturday, February 22, 2014

GANJARAN BERPUASA

Nikmat dan Ganjaran Untuk Orang Berpuasa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT tidak mensyariatkan puasa dengan tujuan yang sia-sia. Hasil kajian sains moden menunjukkan puasa memberi banyak faedah kepada kesihatan. Salah seorang daripada sarjana moden yang membuat kajian tentang puasa . Para ahli sains telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara didapati puasa adalah satu cara menjaga kesihatan yang paling baik.

Puasa adalah amalan sejagat. Bukan umat Nabi Muhammad SAW sahaja disyariatkan berpuasa. Bahkan umat-umat Nabi terdahulu juga berpuasa tetapi dengan tata cara yang berbeza.

Begitu juga dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan, adakalanya mereka menahan diri daripada makan dan minum apabila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu.
Pun begitu ia tidak bermakna darjat dan status puasa orang Islam setaraf dengan puasa-puasa yang lain. Puasa yang benar menurut perintah Allah dan aturan Nabi memiliki banyak keutamaan dan kelebihan:

Dalam sebuah hadis Nabi SAW menjelaskan lima kelebihan bulan Ramadan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu.

“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka iaitu bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

Sebagai dorongan dan motivasi orang-orang yang menjaga puasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Rayyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya. (Hadis Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada sahabat Sahal bin Sa’d).”

Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar. Oleh itu kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas ke syurga yang dinamakan ar-Rayyan. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang-orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke syurga melalui pintu ar-Rayyan yang dijaganya dan tidak ada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

Allah SWT juga menjanjikan pahala yang sangat banyak bahkan tanpa batas kepada orang-orang yang ikhlas dan menjaga kualiti puasa mereka. Sahabat Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi SAW bersabda bahawa Allah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus…”

Dalam hadis Qudsi yang lain pula Allah berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi." (Hadis Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai daripada sahabat Abi Hurairah dan Abi Sa’id).

Hadis ini juga memberi isyarat bahawa puasa juga berfungsi sebagai terapi jiwa. Allah SWT menjanjikan rasa gembira sebanyak dua kali kepada orang-orang yang berpuasa. Kali pertama ialah ketika berbuka puasa dan kali kedua ialah ketika bertemu dengan Allah.

Antara keutamaan puasa yang besar dan bermakna ialah, ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Ini seperti yang disampaikan oleh sahabat Abu Hurairah r.a dari Nabi yang bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu". (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dalam teks yang lain pula Nabi SAW menyebut yang bermaksud: "Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi. (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sahabat yang dimuliakan,
Puasa adalah perisai buat membenteng diri daripada melakukan dosa dan menjauhi api neraka. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : “Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat”. (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)

Nabi SAW  menyebutkan bahawa, “Sesiapa yang berpuasa sehari di jalah Allah, nescaya Allah akan jauhkan neraka Jahannam sejauh perjalanan 100 tahun.” (Hadis Imam Nasa’i ).


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML