Saturday, February 22, 2014

GANGGUAN SYAITAN

Sifat Orang Mukmin Akan Menjauhkan Dirinya Daripada Amalan Syaitan

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syaitan merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Syaitan ialah musuh utama bagi seorang mukmin seperti yang kerap kali diulang oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran.

Firman Allah S.W.T. 


إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ


Maksudnya : "Sesungguhnya syaitan ialah musuh kepada kamu, maka jadikanlah dia musuh. Sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka."
(Surah Faatir ayat 6)

Kita haruslah sedaya upaya berusaha menjauhi amalan-amalan yang diwarisi daripada syaitan atau perbuatan yang boleh menyebabkan kita menjadi pengikutnya. Walaupun kita berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat, hadis-hadis Rasulullah S.A.W banyak mendedahkan hakikat sebenar syaitan dan cara-cara untuk menghindari tipu muslihatnya.

Di sini dinyatakan hadis-hadis mengenai perkara ini untuk panduan kita bersama iaitu:

Pertama : Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
" Apabila seseorang daripada kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya, syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya. "
( Hadis Riwayat Muslim)

Berusahalah sedaya-upaya makan dengan tangan kanan walaupun ada diantara kita seorang yang kidal. Sekiranya kita makan dengan menggunakan sudu dan garpu, suaplah ke mulut dengan tangan kanan agar tidak menyerupai syaitan yang makan dengan tangan kiri.

Kedua : Syaitan minum dan makan dalam keadaan berdiri.

Rasulullah S.A.W melihat seseorang yang minum sambil berdiri.
Baginda menegur,  " Jangan begitu! "
Orang itu bertanya, " Mengapa? "
Rasulullah menjawab, " Adakah kamu suka minum bersama kucing? "
Orang itu menjawab, " Tidak. "
Rasulullah S.A.W meneruskan : " Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu sesuatu yang lebih buruk daripadanya, iaitu syaitan. "
( Hadis Riwayat al-Darimiy dengan sanad yang sahih)

Oleh itu, elakkan makan dan minum sambil berdiri kecuali dalam keadaan yang tidak mengizinkan seperti keadaan yang sesak dengan orang ramai atau kawasan yang kotor.

Ketiga : Syaitan ketawa apabila menguap sehingga mengeluarkan bunyi .

Sekiranya kalian menguap, ingatlah itu adalah daripada syaitan.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya :
" Menguap adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang daripada kalian menguap, tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi 'Haaa', maka ketawalah syaitan. "
( Hadis Riwayat Bukhari)

Jika tidak dapat menahan diri daripada menguap, maka tutuplah mulut dengan tangan dan berusaha tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W. yang maksudnya : "Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka). "
( Hadis Riwayat  Muslim)

Keempat : Syaitan kencing di telinga :

Apabila seseorang itu tidur sehingga pagi hari (tidak bangun solat subuh) maka syaitan kencing di kedua belah telinganya seperti hadis Nabi S.A.W.

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya :
" Itu ialah orang yang syaitan telah kencing di dalam kedua-dua telinganya atau salah satu telinganya. "
(Hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah S.A.W berkata demikian apabila diceritakan kepada baginda tentang seseorang yang tidur sehingga pagi.

Kelima : Syaitan dapat makan, minum dan tempat bermalam :

Nabi S.A.W.bersabda yang bermaksud : "Apabila seseorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah dengan membaca 'Bismillah' ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan kepada golongannya:

" Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga memiliki makanan malam. "

Sebaliknya apabila seseorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, berkatalah syaitan kepada golongannya ;

" Kalian telah mendapat tempat bermalam. "

Apabila seseorang tidak mengingati Allah ketika makan, maka berkatalah syaitan kepada golongannya: " Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam. "

Menyebut nama Allah ( Bismillah) ini dituntut juga ketika keluar dari rumah, menutup bekas-bekas makanan dan minuman, ketika menutup pintu dan tingkap agar terselamat daripada gangguan syaitan."
(Hadis Riwayat Muslim)

Keenam : Syaitan makan sisa-sisa makanan :

Apabila Rasulullah S.A.W  makan, baginda menjilat jari-jarinya sebanyak tiga kali dan tidak meninggalkan walau pun sedikit sisi makanan.

Anas berkata, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
" Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh, hendaklah dia mengambilnya dan membersihkan sebarang kotoran yang melekat padanya lalu memakannya. Janganlah meninggalkannya untuk syaitan. "

Anas melanjutkan : " Rasulullah S.A.W.  juga menyuruh kami untuk menghabiskan sebarang sisa makanan. "


Nabi S.A.W.  berpesan yang maksudnya : " Ini kerana kalian tidak tahu di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan. "
( Hadis Riwayat Muslim)

Tidak usahlah kalian menjadi pemurah kepada syaitan dengan membiarkan sisa-sisa makanan. Untuk mengelakkan daripada meninggalkan sisi makanan kalian perlulah mengambil makanan di dalam jumlah yang sedikit perlu untuk keperluan kalian sahaja. Janganlah mengambil makanan mengikut hawa nafsu.

Ketujuh : Orang yang membazir ialah saudara syaitan:


" Siapakah yang telah mempersaudarakan seorang yang membazir dengan syaitan?. "
Allah S.W.T. sendiri yang mempersaudarakan antara keduanya.

Firman Allah S.W.T:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا


Maksudnya :
"Sesungguhnya orang-orang  yang membazir itu ialah saudara-saudara syaitan".
(Surah Al-Isra' ayat 27)


Kelapan : Syaitan mengganggu ibadat manusia :

Sahabat bernama Uthman bin Abi al-‘Ash  mengadu kepada Rasulullah S.A.W:
" Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan Al-Quranku, dan ia selalu mengelirukan aku. "


Maka Rasulullah S.A.W. menjawab maksudnya  :" Itulah syaitan yang disebut sebagai 'Khanzab', maka apabila merasai gangguannya, mohonlah perlindungan Allah dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali. ‘Uthman bin al-‘Ash kemudian berkata; " Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku. "
(Hadis Riwayat Muslim)


Kesembilan : Sikap terburu-buru adalah daripada syaitan :

Kadang-kadang kita bersikap terburu-buru di dalam melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kita menghadapi kerugian, kualiti kerja yang merosot dan sebagainya. Sikap gopoh dan terburu-buru ini adalah antara hasutan syaitan.

Sabda Rasulullah S.A.W  yang bermaksud : " Ketenangan adalah daripada Allah manakala tergesa-gesa adalah daripada syaitan. "
( Hadis Riwayatl Baihaqi)


Kesepuluh : Sikap cemburu adalah daripada syaitan :

Cemburu di sini ialah cemburu membabi-buta tanpa bukti dan usul periksa. Seperti hadis daripada riwayat Aishah r.ha.

Nabi S.A.W. bertanya : " Apa yang terjadi kepada kamu, wahai Aishah? Adakah kamu cemburu? "
" Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti tuan? "


Kemudian Rasulullah S.A.W  melanjutkan : "Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?"

" Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan? "

" Ya. "
" Dan apakah syaitan itu ada di setiap manusia? "

" Ya. "

" Apakah syaitan juga bersama kamu wahai Rasulullah? "

" Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku daripadanya. " 
(Hadis Riwayat Muslim) 


Kesebelas : Perasaan marah adalah daripada syaitan :

Apabila seseorang itu di dalam keadaan marah, syaitan menguasai dirinya sehingga sanggup melakukan perkara di luar batas kemanusiaan. Perkara ini boleh diatasi dengan membaca  
"A'uzubillahi minash syaitan"dan mengambil wuduk.


Sulaiman bin Surd r.a.  berkata : "Ketika aku sedang duduk bersama Nabi S.A.W, terdapat dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang daripada mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul.

Maka Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah 'A'uzubillahi minash syaitan' nescaya kemarahannya akan hilang. "
( Hadis Riwayat Bukhari)


Rasulullah S.A.W.  bersabda maksudnya : " Sesungguhnya, kemarahan itu berasal dari syaitan. Dan syaitan  tercipta dari api. Dan sesungguhnya, api itu dapat dipadamkan dengan air. Jika salah seorang diantara kalian marah, maka berwuduklah"
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud,  hadis ini hasan.)

Keduabelas : Syaitan gemar berkeliaran pada waktu senja :


Kita sering dilarang oleh ibu bapa kita supaya tidak berada di luar rumah pada waktu senja.

Pesanan ini berasal daripada hadis daripada Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Apabila malam menjelang tiba, maka tahanlah anak-anak kalian (daripada keluar) kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu waktu Isyak, maka lepaskanlah mereka. "
(Hadis Riwayat Bukhari)


Ketigabelas : Pasar adalah tempat kegemaran syaitan.

Tempat-tempat seperti ini merupakan tempat syaitan berkumpul.

Rasulullah S.A.W  bersabda maksudnya : " Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar dan janganlah menjadi orang terakhir yang keluar dari pasar kerana sesungguhnya pasar ialah medan tempur syaitan dan di situlah benderanya dipacakkan. "
( Hadis Riwayat Muslim)


Pada masa kini pusat membeli belah, pasaraya dan bursa saham juga termasuk di dalam hadis di atas.

Keempatbelas : Syaitan boleh membesar seperti rumah :


Imam Ahmad Bin Hanbal dalam musnadnya meriwayatkan dari seseorang yang dibonceng oleh Nabi S.A.W. Dia berkata , " Tunggangan Nabi S.A.W tergelincir, maka aku katakan celaka syaitan. "

Nabi S.A.W  bersabda maksudnya : " Janganlah kalian menyebut 'celakalah syaitan!' kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata, 'Demi kekuatanku!' . Sebaliknya sebutlah 'Bismillah!' kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat. "

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan hadis-hadis yang dikemukakan seperti di atas dapatlah kita mengetahui amalan dan perbuatan yang disukai oleh syaitan laknatullah. Semoga perkongsian ini dapat membantu kita untuk lebih berhati-hati dalam menjalani kehidupan seharian agar selamat dan terpelihara daripada musuh nombor satu manusia. Mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T daripada muslihat, godaan dan tipu daya syaitan yang mendorong manusia supaya bersama-sama dengannya di neraka kelak.

Apakah senjata yang dapat menghancurkan syaitan? 
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : "Wahai Iblis, apakah senjata yang dapat menghancurkan engkau?"
Berkata Iblis, "Ya Nabi Allah. Orang-orang yang banyak berzikir dan banyak bersedekah dengan bersembunyi (ikhlas hati) serta berbanyak-banyak taubat dan banyak membaca al-Quran Kalam Allah, dan banyak sembahyang di tengah malam. Itu semua akan menghancurkan aku".


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML