Empat Perkara Boleh Membawa Kebaikan Dunia Dan Akhirat
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada sesaorang sesungguhnya ia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat.Iaitu :
Pertama : Hati yang sentiasa bersyukur
Kedua : Lisan yang sentiasa berzikir
Ketiga : Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah, dan
Keempat : Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami)nya.”
Huraiannya :
Sesungguhnya setiap insan dalam menghadapi gelombang kehidupan pasti menjadikan doa sebagai senjata paling ampuh. Apatah lagi kehidupan seorang muslim. Malah salah satu permohonan yang tidak pernah diabaikan adalah permintaan memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Permohonan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan terlepas dari bahang api neraka. Doa ini dirakamkan di dalam al-Quran.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”
(Surah al-Baqarah ayat 201)
Merasai dan menikmati kebaikan yang dimaksudkan bukanlah hanya dengan kenikmatan yang bersifat dunia. Seperti dengan melimpahnya harta , kedudukan yang tinggi, isteri yang cantik, anak-anak yang ternama atau yang seumpamanya. Terdapat kebaikan yang lebih bererti dan bermakna sehingga sesaorang benar-benar menikmati kebaikan dunia dan akhirat. Inilah yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah SAW. dalam hadisnya di atas. Jelas dari hadis di atas apabila seseorang ingin mencapai kebaikan di dunia dan akhirat maka ada empat perkara yang mesti dimiliki dan dipertahankannya.
Pertama : Hati yang sentiada bersyukur .
Bersyukur kepada Allah SWT bukan sekadar mengungkapkan kalimah hamdalah (alhamdulillah) dan terima kasih kepada Allah SWT. Ia tidak memadai dengan ucapan lisan tetapi mesti dibuktikan dengan amalan dalam bentuk pengabdian kepada- Nya. Bersyukur bukan hanya mengadakan kenduri kesyukuran sebagai tanda terima kasih kepada Allah SWT.
Sesungguhnya syukur itu adalah menumbuhkan rasa syukur di dalam hati. Kemudian apabila hati telah merasakan rasa syukur, maka tingkahlaku yang kita perlihatkan merupakan lambang atau jelmaan dari rasa syukur. Sehingga segala tingkah laku kita tidak ada penyimpangan dan penyelewengan dari jalan Allah. Segalanya menunjukkan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah. Sesungguhnya tingkah laku manusia adalah refleksi dari apa yang ada di dalam hatinya.
Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud :
“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam diri terdapat segumpal darah, bila baik segumpal darah ini, maka baiklah seluruh tubuhnya. Dan jika buruk, maka buruklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah segumpal darah itu adalah hati.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu apabila kita bersyukur dengan apa yang dimiliki, maka segala pemberian Allah pasti terasa nikmat. Dan Allah akan terus menambah rasa nikmat itu. Namun jika kita tidak pandai bersyukur, maka Allah mengingatkan bahawa azab-Nya sangat pedih.
Firman Allah SWT .yang bermaksud :
“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan: 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim ayat 7).
Kedua : Lisan yang sentiasa berzikir.
Setiap muslim amat dianjurkan untuk berzikir dengan lisan setiap hari. Apabila lisan telah biasa dengan zikir, insya Allah segala kata-kata yang lahir adalah perkataan yang baik (kalimah tayyibah). Seutama-utama zikir dengan lisan adalah mengucapkan kalimah Laailaahaillallah. Menyebut nama Allah memang mesti sentiasa kita lakukan baik ketika hendak melakukan sesuatu yang baik maupun sesudahnya.
Rasulullah SAW sendiri sentiasa berzikir kepada Allah dalam berbagai situasi dan keadaan. Perintah untuk sentiasa berzikir begitu banyak dirakamkan dalam al-Quran.
Firman Allah SWT .yang bermaksud :
“Wahai orang-orang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepada Allah pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Ahzab ayat 41-42)
Apabila di dunia kita sentiasa membasahi lidah denga zikir kepada Allah, nescaya kebaikan dunia akan kita raih dan secara tidak langsung akan kita raih juga kebaikankan ukhrawi.
Amalkanlah zikir al-Mathsurat pada waktu pagi dan petang kerana zikir ini adalah amalan yang di buat oleh Rasulullah SAW, amalkanlah insya Allah ianya merapatkan hubungan hati kita dengan Allah SWT.
Ketiga : Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah.
Ujian dan cubaan bagi manusia yang hidup tentu akan datang silih berganti. Kadangkala ujian itu dalam bentuk perkara duniawi yang menyenangkan seperti harta yang banyak, kedudukan yang tinggi, wajah yang cantik atau tampan, ilmu yang luas dan sebagainya. Namun tidak sedikit ujian itu dalam bentuk yang tidak menyenangkan secara duniawi sehingga perkara ini disebut sebagai musibah, seperti penyakit, kemiskinan ,kedudukan yang rendah, kurang pandai dan sebagainya.Terlepas dari menyenangkan atau tidak ,seorang Muslim mesti tabah dan istiqamah dalam menghadapi berbagai bentuk ujian dari Allah SWT.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan sungguh akan Kami berikan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mengucapkan. ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah ayat 155-157)
Orang yang sabar dan istiqamah dalam menghadapi berbagai ujian Allah merupakan orang yang akan mendapat kebahagiaan dalam hidupnya kerana dalam keadaan yang demikian dia tidak tergelincir kejalan yang salah sehingga kebaikan di dunia dan akhirat diraihnya. Dengan sabar, seseorang akan sentiasa sedia menghadapi segala kemungkinan dalam hidupnya sehingga ia tak akan lupa diri dalam kejayaan dan keberhasilan serta tidak putus asa dalam kesengsaraan dan kesulitan.
Keempat : Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami) nya.”
Memilih isteri yang solehah merupakan suatu kewajipan bagi seorang muslim. Bersama isteri yang solehah bermakna terbina rumahtangga yang bahagia dan akan menghasilkan generasi yang soleh. Isteri yang solehah bukanlah diukur dengan kecantikan, kekayaan ,status sosial dan seumpamanya.Lebih penting lagi adalah iman dan aqidah yang mantap, akhlak yang mulia dan sentiasa berfikir serta bertindak ke arah masa depan yang lebih baik sebagaimana yang di kehendaki dalam Islam.Antara kelebihan memilih isteri solehah adalah ia membantu suaminya dalam kepentingan akhirat .
Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash . Sesungguhnya Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud : “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri solehah yang membantu kepentingan akhirat suaminya.”
(Hadis Riwayat Ruzain)
Seorang isteri solehah juga akan mentaati kepimpinan suaminya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Seorang perempuan yang beriman kepada Allah tidak halal mengizinkan orang yang dibenci suaminya memasuki ke rumahnya, tidak boleh keluar jika suaminya tidak menyukainya, tidak boleh mentaati seorang pun di rumah suaminya (kecuali suaminya), tidak boleh meninggalkan tempat tidurnya dan tidak boleh memukul suaminya. Jika suaminya berlaku zalim kepadanya, hendaklah ia tetap di sisi suaminya sehingga ia dapat menjadikan suaminya senang. Jika suaminya mahu menerimanya hal itu sangat menguntungkan dirinya dan Allah pun akan menerima alasannya, memenangkannya dan dia tidak berdosa sedikit pun. Sekiranya suaminya tetap tidak meredhainya, sesungguhnya alasannya di sisi Allah tetaplah kuat.”
(Hadis Riwayat Hakim)
Oleh itu amatlah penting memilih isteri yang solehah, maka seorang pemuda yang akan menamatkan zaman bujangnya mestilah memilih wanita yang demikian sebagai calun isteri. Sementara wanita yang telah menjadi isteri mesti terus membina kesolehannya.Seterusnya apabila ibu bapa yang memiliki anak yang solehah, apabila ada pemuda yang juga soleh datang melamar, maka tiada alasan bagi ibu bapa untuk menolak lamarannya. Apatah lagi bila kedua insan yang soleh bersepakat untuk mewujudkan rumah tangga Islam.
Sahabat yang dikasihi,
Dari huraian di atas jelas bahawa kehidupan yang hasanah (baik) di dunia tidak hanya di ukur semata-mata dengan melimpahnya kebendaan dan perkara-perkara yang bersifat kesenangan dunia. Namun kehidupan yang hasanah bagi seorang muslim adalah bila dia mampu menjalankan kehidupan sesuai dengan nilai-nilai Islam sehingga amal solehnya lebih banyak berbanding amal-amal yang tidak baik.
Dengan mengerjakan amal soleh seorang muslim mesti secepat mungkin melaksanakannya. Jangan sekali-kali dia menunda-nunda melakukan amal soleh hanya kerana kemalasannya. Disamping itu dalam beramal soleh seorang muslim juga tidak boleh merasa sudah banyak pahala yang di perolehi malah sebaliknya, iaitu merasa masih terlalu sedikit amalannya. Kita mesti rakus dan sentiasa merasa kurang senang dalam beramal soleh. Ini kerana apabila kita merasakan telah banyak amalan kebaikan maka keghairahan untuk memperbanyakkan amal soleh akan hilang dari diri kita.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Surah al-Kahfi ayat 110)
No comments:
Post a Comment