Soal Jawab Agama Siri 86
(Syafaat Di Akhirat, Ulama Jahat, Anak Kecil Meninggal Dunia, Binatang Perosak Dan Hukum ASB dan ASN)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 86 adalah menjawab persoalan syafaat di akhirat, siapakah ulama su' (jahat), anak meninggal sebelum baligh. membunuh binatang perosak dan hukum melabur di ASB dan ASN.
716. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan semasa semua manusia di timbang amal kebaikan (pahala) dan amal kejahatan (dosa), di Mizan nanti sekiranya amal kejahatan (dosa) manusia melebihi kebaikan (pahala) dan manusia akan dimasukkan ke dalam neraka, masih adakah syafaat yang boleh menyelamatkan manusia daripada dimasukkan ke dalam neraka?
Jawapan :
Masih terdapat beberapa syafaat (pertolongan) yang boelh menyelamatkan manusia daripada di masukkan ke dalam api neraka.
8 Jenis Syafaat Di Padang Mahsyar Kelak ialah :
1. Al-Quran.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bacalah al Quran , sesungguhnya pada hari kiamat nanti al Quran akan datang sebagai pembawa syafaat kepada yang membacanya"
(Hadis Riwayat Muslim)
2. Puasa.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
3. Malaikat.
Firman Allah SWT maksudnya : "Allah mengetahui segala sesuatu yang dihadapan mereka (malaikat) dan yang di belakang mereka, dan mereka tiada memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai Allah." (Surah Al-Anbiya ayat 28)
4. Nabi Muhammad SAW.
4.1. Syafa’at Nabi SAW diperuntukkan bagi kaumnya yg tidak mempersekutukan Allah SWT (Syirik)
Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya syafa’atku diperuntukkan bagi umatku yang sama sekali tidak berbuat syirik kepada Allah SWT ” (Hadis Riwayat Ahmad)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Orang yang paling berbahagia dengan (mendapatkan) syafaatku pada hari kiamat adalah orang yang mengucapkan (kalimat) Laa ilaaha illallahu (tidak ada sesembahan yang benar kecuali Allah) dengan ikhlas dari hati atau jiwanya.“ (Hadis Riwayat Bukhari).
4. 2. Syafaat Nabi SAW diperuntukkan bagi pelaku dosa besar di kalangan umatnya.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Syafa’atku adalah bagi pelaku-pelaku dosa besar (kabair) dari kalangan umatku.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
4. 3. Syafa’at Nabi SAW bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan (debat) dan dusta serta orang yang selalu memperbaiki akhlak.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan bagi seseorang yang memperoleh sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun berbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.”(Hadis Riwayat Abu Daud).
4. 4. Syafaat Nabi SAW diperuntukkan bagi umatnya yang banyak berselawat kepadanya.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Orang yang lebih berhak mendapat syafa’atku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Hadis Riwayat Ibn Mas’ud r.a)
Sabdanya lagi : “Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan dunia dan akhiratnya dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Hadis Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).
5. Para Syuhada.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Orang yang mati syahid itu dapat memberikan syafaat kepada 70 orang di kalangan keluarganya." (Hadis Riwayat Abu Darda)
6. Ulama.
Dari Utsman bin Affan r.a, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Di hari kiamat, yang memberi syafaat tiga golongan, iaitu para Nabi, kemudian ulama, kemudian syuhada” (Hadis Riwayat. Ibnu Majah)
7. Para Hafiz Al-Quran.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka." (Hadis Riwayat Tarmizi)
8. Syafaat-syafaat kecil.
8.1. Solehin ialah orang yang soleh, iaitu orang yang taat pada Allah, Nabi Muhammad, agamanya, ibu bapanya, gurunya dan hormati jirannya dan masyarakat sekitar. Termasuk sahabat yang soleh boleh memberi syafaat kepada sahabatnya yang lain.
8.2. Shadiqin ialah orang yang jujur dan benar bagi setiap perkara dalam urusan hidupnya sama ada perniagaan, pemerintahan dan lain-lain lagi.
8.3. Anak yang meninggal dunia sebelum ditaklifkan hanya memberi syafaat kepada ibu bapanya.
717. Soalan : Di dalam masyarakat kita terdapat orang berilmu dipanggil ulama, tetapi sebahagian daripada mereka tidak berani menegakkan kebenaran kerana menjaga kepentingan jawatan mereka. Mereka sanggup bersyubahat menyokong pemimpin yang zalim dan mengeluarkan fatwa-fatwa yang bertentangan dengan hukum Islam yang sebenarnya. Apakan pandangan Islam terhadap ulama seperti ini dan bagimana kedudukan mereka di akhirat nanti jika tidak bertaubat dan kembali menyatakan kebenaran?
Jawapan :
Untuk menjawap persoalan tersebut terdapat hadis Nabi SAW.
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW.; "Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali". (Hadis Riwayat Baihaqi)
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Ulama itu ada tiga jenis. (Pertama) orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. (Kedua) orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). (Ketiga) orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dari ilmunya." (Hadis Riwayat ad-Dailami).
Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh dari gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ulama su' (ulama jahat) yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para Nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari masa ke semasa.
Balasan ulama seperti ini di hari akhirat jika tidak bertaubat sebelum mati adalah seperti hadis berikut :
Di dalam sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan hadis Usamah bin Zaid r.a.: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pada hari kiamat nanti akan ada seseorang yang didatangkan, kemudian dilemparkan ke dalam neraka. Isi perutnya terburai, sehingga ia berputar-putar sebagaimana berputarnya keldai yang menggerakkan penggilingan. Penghuni neraka pun berkumpul mengerumuninya. Mereka bertanya: ‘Wahai fulan, apakah yang terjadi pada dirimu? Bukankah dahulu engkau memerintahkan kami untuk berbuat kebaikan dan melarang kami dari kemungkaran?’. Dia menjawab: ‘Dahulu aku memerintahkan kalian berbuat baik akan tetapi aku tidak mengerjakannya. Dan aku melarang kemungkaran sedangkan aku sendiri melakukannya’.”
718. Soalan : Adakah benar pendapat yang mengatakan bahawa ibu bapa akan masuk syurga sekiranya terdapat tiga orang anaknya mati semasa kecil?
Jawapan :
Mana-mana pandangan atau pendapat yang sejajar dengan Islam serta mempunyai bukti atau keterangan, maka pendapat itu adalah betul lagi diterima. Begitulah juga dalam masalah ini, kerana berdasarkan kepada keterangan sebuah hadis ‘Anas yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di mana baginda Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :
Maksudnya : “Tidak ada manusia di kalangan muslim yang kematian tiga anak kecil yang belum sampai had baligh, melainkan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga dengan limpah kurnia dan rahmat kepada mereka”. (Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam hadis tersebut, amat jelas di mana ibu bapa yang kematian tiga orang anak di masa kecilnya akan dimasukkan ke dalam syurga dengan syarat mereka menerima qada’ Allah dengan penuh kerelaan dan kesabaran.
Selain dari itu, hadis tersebut juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mati sebelum baligh adalah merupakan ahli syurga dan termasuk juga kanak-kanak orang kafir. Begitulah menurut pendapat Imam Nawawi dan disokong oleh ulama’ yang lain.
719. Soalan : Bagaimana hukum membunuh binatang pengganggu seperti lipas, semut, lalat, nyamuk dan binatang-binatang serupa lainnya?.
Jawapan :
Syariat Islam dibangun untuk menciptakan/mendatangkan kemaslahatan (jalbun mashalih) dan menghapus semua bahaya dan kerosakan (dar' ul mafasid). Semua yang mendatankan kerosakan dan mengganggu boleh dihilangkan sesuai dengan tingkatan kerosakan dan gangguan yang timbul. Hal ini dijelaskan dalam Sabda Nabi Sallallâhu 'Alaihi Wa sallam:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
"Tidak boleh ada bahaya dan tidak boleh membahayakan"
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan disahihkan al-Albani dalam Irwa’ al-ghalil no. 896).
Dari sini, para Ulama menetapkan kaedah yang berbunyi:
الضَرَرَ يُزَالُ
"Semua madharat (bahaya, gangguan) (harus) dihilangkan."
Sehingga semua yang mengganggu dan mendatangkan kerosakan harus dihilangkan (dilenyapkan) sesuai dengan tingkat kerosakan yang ditimbulkannya.Tentang masalah membunuh serangga yang sering ada di dalam rumah seperti lipas, semut dan sejenisnya pernah ditanyakan kepada Syaikh Bin Bâz rahimahullâh dan beliau menjawab:
"Serangga-serangga tersebut apabila menimbulkan gangguan maka boleh dibunuh, namun tidak boleh dilakukan dengan menggunakan api (dibakar). Boleh dibunuh dengan berbagai alat pembasmi lainnya berdasarkan sabda Rasulullâh Sallallâhu 'Alaihi Wasallam:
خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِى الْحِلِّ وَالْحَرَمِ الْحَيَّةُ
وَالْغُرَابُ الأَبْقَعُ وَالْفَارَةُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ وَالْحُدَيَّا
Maksudnya : "Lima (hewan) perosak yang boleh dibunuh di luar tanah suci dan di tanah suci iaitu: ular, gagak, tikus, serigala dan rajawali." (Muttafaqun ‘alaihi)
Nabi Sallallâhu 'Alaihi Wasallam telah memberitahukan bahawa sifat pengganggu ada pada hewan-hewan tersebut. Nabi Sallallâhu 'Alaihi Wasallam memanggil binatang-binatang pengganggu itu disebut fawâsiq. Nabi Sallallâhu 'Alaihi Wasallam pun mengizinkan untuk membunuhnya. Demikian juga serangga-serangga, diperbolehkan membunuhnya di tanah suci dan luar tanah suci apabila binatang-binatang tersebut menimbulkan gangguan, seperti semut, lipas, nyamuk , tikus dan hewan lain menimbulkan gangguan.
720. Soalan : Saya ingin membuat pertanyaan tentang Amanah Saham Bumiputra. dan Amanah Saham National
1. Apakah hukumnya kita membuat pelaburan disini.?
2. Bolehkah kita gunakan duit dividen yang kita dapat
Harap tuan dapat terangkan..?
Jawapan :
Menurut Fatwa Negeri Selangor bahawa pelaburan di dalam ASB dan ASN adalah tidak halal kerana terdapat aktiviti pelaburan yang bercampur-campur yang patuh syariah dan juga yang tidak patuh syariah.
Keputusan fatwa tersebut adalah seperti berikut :
"Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-
Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:
ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”
Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.
2. Kalau wang haram, maka menggunakan atau memakannya adalah haram. Oleh itu wang keuntungan yang haram eloklah diserahkan kepada Baitumal, digunakan untuk kepentingan awam.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment