Soal Jawab Agama Siri 77
(Meninggalkan Solat Jumaat, Solat Secara Duduk, Hukum Tayamum, Gangguan Syaitan Dan Ahli Sunah Wal Jamaah)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 77 adalah menjelaskan persoalan hukum meninggalkan solat Jumaat, solat secara duduk, hukum bertayamum, gangguan syaitan ketika solat dan ahli Sunah Wal Jamaah.
671. Soalan : Apakah hukum meninggalkan solat Jumaat melebihi 3 kali berturut-turut dengan alasan sakit kaki, sakit pinggang dan lain-lain, walhal pada masa yang lain boleh pula berjalan ke tempat-tempat lain.Jika seorang oku bagaimana pula.?
Jawapan :
Seseorang Islam yang tidak mengalami uzur syarie wajib hadir untuk melaksanakan solat Jumaat. Ini kerana hukum mendirikan solat Jumaat itu adalah fardu Ain/fardu yang perlu dibuat oleh orang Islam yang sihat.
Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
من ترك الجمعة ثلاثا من غير غذر فقد تبد الاسلام وراء ظهره
(رواه البيهقي)
Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali dengan tiada keuzuran maka dia telah meletakkan Islam itu di belakangnya (meninggalkannya).”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Di dalam hadis yang lain pula Baginda bersabda:
من ترك الجمعة من ترك الجمعة ثلاثا من غير عذر فهو منافق
(رواه ابن حبان)
Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat tiga kali dengan tiada keuzuran maka dia adalah seorang munafiq.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepada satu kaum, yang tidak bersembahyang Jumaat:
أن النبى صلى الله عليه وسلم قال لقوم يتخلفون عن الجمعة لقد هممت أن آمر رجلا يصلى بالناس, ثم أحرق على رجال يتخلفون عن الجمعة بيوتهم
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepada satu kaum yang meninggalkan sembahyang Jumaat: “Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya lelaki itu bersembahyang dengan beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan sembahyang Jumaat.”
(Hadis riwayat Muslim)
Munafik di sini dari segi agamanya ia tetap berugama Islam ,cuma beliau tidak boleh dipercayai. Seorang OKU mestilah sedaya mungkin berusaha untuk datang ke masjid bagi menunaikan solat jumaat.
Cuba lihat di Mekah,walaupun orang tersebut dikategorikan sebagai OKU tetapi mereka tetap datang walaupun menggunakan papan luncur atau menggunakan kudrat tangan sebagai anggota bagi menggantikan kaki untuk berjalan ke masjid begitu juga mereka merangkak.
Soalnya sekarang kenapa mereka boleh lakukan ? Sedangkan mereka juga OKU? Dalam beribadah tiada pengecualian ke atas mana-mana orang Islam yang sihat. Apa yang penting niat seseorang. Ini kerana mendirikan solat itu merupakan tiang agama sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis Nabi SAW.
672. Soalan : Apa hukum solat 5 waktu bagi orang yang tua, uzur atau sakit dimulakan dengan duduk walhal dalam tertib solat diharuskan berdiri dahulu. Orang itu boleh berjalan dan berdiri diluar solat seperti biasa. Tapi bila nak solat dimulakan dengan duduk pula. Apa hukumnya? Sah atau tidak solatnya?
Jawapan :
Rukun solat ada 13, salah satu daripadanya ialah berdiri bagi yang mampu dan mempunyai kudrat kecuali yang memang tidak lagi mampu berdiri sebaliknya hanya boleh duduk atau baring, maka mereka diberi kelonggaran untuk lakukan solat dalam keadaan duduk atau berbaring maka solat orang sedemikian adalah sah.
Berbalik kepada soalan, orang yang mampu berdiri tetapi solat dalam keadaan duduk maka solatnya tidak sah,ini kerana berdiri itu rukun,jika rukun ditinggalkan maka batallah solat tersebut,dan beliau tidak boleh duduk atau baring sebagaimana yang di terangkan tadi.
Kepada orang yang benar-benar tidak boleh berdiri sebaliknya beliau hanya boleh duduk atau berbaring sahaja,ini merupakan suatu kelonggran atas dasar rukhsah yang diberikan oleh Allah dan bukannya buat-buat tidak larat untuk dapat peluang duduk.
Hadis Imraan ibn Hussein, dimana Rasulullah SAW bersabda :
صلِّ قائماً فإن لم تستطع فقاعداً ، فإن لم تستطع فعلى جنب
Maksudnya : "Solatlah berdiri, jika tidak mampu hendaklah duduk, dan jika tidak mampu berbaring disebelah tepi" (Hadis riwayat al-Bukhaari no. 1117) -[Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 8/126].
Pada dasarnya, seorang yang sakit hendaklah melakukan solat mana yang mungkin pada setiap rukun solat, dan dia tidak perlu melakukannya kedudukan mana yang tidak mampu dilakukan, sebagaimana firman Allah SWT :
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." - (Surah al-Baqarah (2) ayat 286)
Begitu juga dengan sabda Nabi SAW :
إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya : "Jika apa aku perintahkan kamu melakukan sesuatu, maka lakukan sejauh mana yang kamu mampu" (Hadis riwayat al-Bukhaari no. 7288, dan Muslim no. 1337)
Wallahu a'lam
673. Soalan : Apakah syarat-syarat di bolehkan bertayamum dan adakah debu yang melakat di dinding bangunan atau di badan bas boleh digunakan untuk bertayamum?
Jawapan :
Tayamum dibolehkan dalam apajua suasana yang menyebabkan kesukaran bagi seseorang itu untuk menggunakan air seperti biasa. Antara contoh-contoh kesukaran tersebut adalah:
1. Apabila seseorang itu tinggal di tempat yang sememangnya tiada air, seperti di negara-negara yang dilanda kemarau panjang. Maka dia boleh bertayamum. Tayamum dibolehkan samada di perkampungan asal mahupun di kala perjalanan. Ia tidak disyaratkan oleh suasana musafir.
2. Tayamum juga dibolehkan bagi seseorang yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan air sekalipun dia sedia mengetahui bahawa air itu ada. Antara kesukaran yang dimaksudkan ialah sumber bekalan yang tersangat jauh, tidak mempunyai timba untuk mencedok air dari perigi, sungai yang di sekitarnya berkeliaran dengan binatang buas, air yang telah dicemari dengan bahan kimia, air yang terlalu sejuk, air yang dijual dengan harga yang tidak mampu dibelinya dan berbagai lagi.
3. Tayamum juga dibolehkan apabila bekalan air yang sedia ada adalah sangat terhad dan hanya mencukupi untuk dijadikan air minuman kepada si-Tuannya.
4. Tayamum juga dibolehkan jikalau seseorang itu meyakini bahawa jikalau dia terus mencari air, waktu solat akan berakhir padahal dia masih belum melaksanakannya.
5. Tayamum juga dibolehkan bagi seseorang yang tidak boleh menyentuh air disebabkan oleh kecederaan tubuh badannya.
Cara bertayamum ialah sebagaimana ajar Nabi SAW dalam hadis berikut: "Sesungguhnya cukuplah engkau mengerjakan sebegini - Nabi SAW menepuk tanah dengan kedua tapak tangannya kemudian meniupnya kemudian menyapu muka serta tangannya dengan kedua tapak tangannya itu. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0208.)
Tayamum hendaklah dengan menggunakan debu tanah yang bersih yang berasal dari bumi sepertimana firman Allah SWT maksudnya : "…kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…(Surah al-Maidah (5) ayat 6) dan juga dari sabda Nabi SAW : "Kamu diberikan kelebihan atas manusia dengan 3 perkara: Dijadikan barisan-barisan kamu seperti barisan para malaikat, dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci apabila kamu tidak mendapatkan air."(Hadis riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih - 1/725/0186.)
Daripada dua dalil di atas telah ditentukan bahawa agen penyuci yang dibolehkan bagi etika tayamum ialah debu-debu tanah mukabumi. Ulama-ulama fiqh telah memperluaskan maksud debu tanah mukabumi ini kepada tanah dan jenis-jenisnya, pasir, kerikil, debu arsenik dan kapur. (Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/196.)
Apabila hendak bertayamum seseorang itu perlu memastikan bahawa yang akan digunakan itu adalah debu tanah mukabumi dan bukannya debu-debu habuk partikel udara yang kebanyakkannya merupakan sisa kumuhan kimia yang terapung lalu melekat di dinding bas, perabut atau tingkap bangunan atau habuk-habuk di kerusi bas /kapal terbang/ keretapi)
Sesetengah pendapat membolehkan bertayamum dengan menggunakan apa sahaja yang berupa debu, tanpa mengira samada ia berasal dari bumi atau tidak. Pendapat ini membolehkan bertayamum dengan tepung gandum, bedak talkum, serbuk kayu, habuk-habuk yang berada di atas perkakas rumah. habuk-habuk di kerusi bas, kapal terbang atau keretapi dan sebagainya. Ada juga yang menambah, apa sahaja bentuk debu yang ditemui di mukabumi ini maka ia boleh digunakan sebagai agen untuk tayamum.
Pendapat ini menurut analisa ulama yang muktabar adalah tidak tepat kerana ia jelas menyalahi ketentuan syarak yang menyatakan bahawa yang dibolehkan untuk tayamum ialah debu-debu tanah mukabumi. Perkataan tanah debu di dalam al-Quran berasal dari kata Bahasa Arab yang asalnya bererti tanah. (Imam as-Suyuti - Tafsir Jalalain, 1/451, Shaikh M. Ali ash-Shabuni - Tafsir Ayat-ayat Hukum dalam al-Qur'an, 1/951.)
Oleh itu apabila Allah telah memerintahkan : "……hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih ……" (Surah al-Maidah (5) ayat 6) , maka yang dimaksudkan ialah tanah mukabumi ini dan bukan sebarang jenis debu-debu yang tidak berasal dari tanah mukabumi. Hal ini diperincikan lagi oleh Nabi SAW yang telah bersabda:" ……dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci ……" (Hadis riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih - 1/725/0186.)
Imam Ibnu Ruysd seterusnya menambah : Pendapat yang mengatakan kebolehan bertayamum dengan menggunakan apa sahaja yang berada di atas mukabumi adalah lemah. Sebab tidak semuanya itu termasuk dalam kategori 'debu tanah'. Sebab kata 'debu tanah' yang umum itu diertikan sebagai apa yang disebut sebagai bumi. Dengan demikian ia bukanlah diertikan sebagai kapur atau salji atau rumput (dan sebagainya). Allah sahajalah dalam segala hal yang akan menunjukkan kebenaran. (Imam Ibnu Ruysd - Bidayatul Mujtahid, 1/143.)
Dalam kenyataannya ini Imam Ibnu Ruysd tidak memandang kapur sebagai sesuatu yang boleh digunakan untuk bertayamum. Walaubagaimanapun sesetengah ahli fiqh lain berpendapat kapur itu dibolehkan kerana ia adalah juga suatu benda yang asli dari bumi ini. Yang dimaksudkan kapur itu adalah debu-debunya yang dikikis dari bukit-bukit batu kapur sebagaimana yang banyak terdapat di negara kita.)
674. Soalan : Ketika solat saya sering diganggu oleh syaitan sehingga lidah saya semakin sukar untuk membaca surah al-Fatihah dan bacaan-bacaan lain dalam solat. Bacaan saya selalu tersekat-sekat dan tidak lancar. Kadang-kadang saya terlupa bilangan rekaat dan terasa malas untuk solat . Bolehkan ustaz berikan sedikit garis panduan supaya saya boleh mengatasi masaalah yang sedang saya hadapi?
Jawapan :
Pertama, saudara hendaklah mengetahui bahawa syaitan akan menganggu solat kita.
Ibn Qayyim ketika mentafsirkan maksud ayat :
مِنْ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
Maksud: (bisikan) daripada jin dan manusia. (Surah al-Nas: ayat 5)
Beliau menjelaskan bahawa pandangan yang tepat bagi maksud ‘jin dan manusia’ ialah merujuk kepada bisikan atau waswas.
Bahkan dalam hadis, diriwatakan Uthman bin Abi al-Aas datang berjumpa Nabi dan bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ حَالَ بَيْنِي وَبَيْنَ صَلاتِي وَقِرَاءَتِي يَلْبِسُهَا عَلَيَّ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ، فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ ، وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاثًا. قَالَ: فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَأَذْهَبَهُ اللَّهُ عَنِّي.
Maksud: “Wahai Rasulullah, syaitan telah datang antara diriku dan solat dan menjadikan aku keliru dalam bacaanku.” Rasulullah SAW menjawab: Itu adalah syaitan yang bernama Khanzab. Jika kamu menyedari kehadirannya, makan mohonlah perlindungan Allah daripada gangguannya dan ludahlah (tanpa air liur) ke kiri sebanyak tiga kali.” Uthman berkata: “Aku melakukannya dan Allah menjauhkan syaitan daripadaku.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua, ibadah disyariatkan oleh Allah bersama dengan kemudahan untuk dilaksanakan. Allah tidak pernah memberikan kepayahan dan kesempitan untuk perlu dirasai oleh hamba-hamba-Nya dalam melakukan sebarang ketaatan.
Ketiga, berusahalah bersungguh-sungguh untuk membetulkan bacaan, dan jangan sampai ia menganggu solat dan mendatangkan rasa malas. Kerana malas tersebut datang dari syaitan. Oleh itu juga, banyakkan berdoa minta berlindung dari syaitan
Wallahu a'lam.
675. Soalan : Bolehkah ustaz tolong huraika apa itu Ahli Sunnah Wal Jamaah dan apa akidahnya?
Jawapan:
Ahli Sunah Waljamaah atau Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah ( أهل السنة والجماعة) atau lebih sering disingkat Ahli Sunah atau Ahlu al-Sunnah (أهل السنة) atau Sunni. Ahli Sunah ialah mereka yang sentiasa tegak di atas Islam berdasarkan Al-Quran dan hadis yang sahih dengan pemahaman para sahabat, tabiin, dan tabiut tabiin. Perlu dijelaskan di sini bahawa Ahli Sunah Waljamaah berbeza dengan Syiah darisegi akidah, ibadah, feqah, hukum hakam dan perjuangan . Syiah terkeluar daripada Islam termasuk bermacam-macam ajaran sesat yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Ahli Sunah ialah orang-orang yang mengikuti sunah dan berpegang teguh dengannya dalam semua perkara yang di atasnya Rasulullah berada dan juga para sahabatnya. Oleh sebab itu, Ahli Sunah yang sebenarnya ialah para sahabat Rasulullah Sallallahualaihiwasallam dan orang-orang yang mengikuti mereka hingga ke hari kiamat.
Sejarah pemikiran dalam dunia Islam wujud pelbagai fahaman dan idealogi. Oleh kerana sebahagian umat Islam tidak mendalami ilmu akidah Islam berdasarkan sistem Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah) maka benteng tidak dapat dikukuhkan daripada menghalang fahaman songsang menyirap masuk dalam umum masyarakat Islam.
Tidak cukup umat Islam mengahadapi dengan masaalah fahaman lain yang dinilai secara kajian ia menganggu-gugat perpaduan umat Islam di Malaysia wujud satu lagi fahaman yang sesat juga menganggu kekuatan umat Islam iaitu fahaman Syiah . Fahaman Syiah ini tidak nampak bahayanya oleh sebahagian pihak tetapi hakikatnya ia mampu merosakkan segala kesatuan umat Islam. Umat Islam perlu menguatkan diri dengan ilmu akidah sebenar dan menjauhi segala unsur Syiah dan ajaran-ajaran sesat yang lain dan idelogi sesat seperti fahama sosialis, kapitalis, nationalis, liberal, pluralisme, anti-hadis dan sebagainya. Maka kita wajib mengenal akidah, memahami serta mengikut fahaman sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk terselamat di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment