Thursday, January 9, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 85

Soal Jawab Agama Siri 85 

(Nafkah Anak, Hukum Makan Daging Gajah dan Kuda, Berkorban, Syarat Khatib, Husnul Khatimah Dan Su'ul Khatimah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 85 adalah menjawab persoalan nafkah anak jika kematian bapa, hukum memakan daging gajah dan kuda, tidak boleh potong kuku dan gunting rambut siapa yang hendak berkorban, syarat-syarat menjadi khatib khutbah, tanda-tanda husnul khatimah dan su'ul khatimah.

711. Soalan :  Saya hendak bertanya soalan, siapakah yang wajib bertanggungjawab (dari segi nafkah) ke atas anak-anak yang kematian bapa? ibu masih ada tetapi kurang kemampuan.
  
Jawapan;

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan kewajipan bapa ialah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang berpatutan. Seorang tidak di bebani lebih dari kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kerana anaknya, dan jangan pula seorang bapa (menderita) kerana anaknya. Ahli waris pun (berkewajipan) seperti itu juga”.(Surah al-Baqarah ayat 233)

Berdasarkan ayat ini para ulama menyimpulkan bahawa; kewajipan nafkah asalnya tertanggung di atas bahu bapa. Jika bapa tidak mampu atau mati, nafkah si anak ditanggung oleh waris-waris si anak (iaitu kerabat-kerabatnya yang akan mewarisi darinya) merangkumi ibunya sendiri, datuknya, neneknya, saudaranya, bapa saudaranya dan sebagainya lagi yang dapat mewarisi darinya. Jika waris ramai, tanggungan nafkah wajib dikongsi mengikut kadar pewarisan masing-masing. Sebagai contohnya; jika si anak hanya mempunyai nenek dan saudara lelaki sahaja, maka nenek wajib menanggung 1/6 nafkahnya dan saudara lelaki pula nafkah selebihnya iaitu mengikut kadar pewarisan mereka. Ini merupakan pandangan mazhab Hanbali berdalilkan ayat di atas.

Menurut mazhab Syafiie; nafkah anak wajib di tanggung oleh usul-usulnya (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek hingga ke atas) dengan didahulukan usul lelaki ke atas usul perempuan. Selama masih ada usul lelaki (bapa, datuk hingga seterusnya), nafkah tidak ditanggung oleh usul perempuan (ibu, nenek hingga seterusnya). Bagi anak yang kematian bapa atau bapanya tidak mampu, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuknya, diikuti oleh bapa kepada datuknya hinggalah seterusnya ke atas. Yang lebih dekat didahulukan dari yang jauh. Jika si anak mempunyai datuk dan juga bapa kepada datuknya, nafkahnya wajib ditanggung oleh datuk kerana ia lebih dekat. Jika sama-sama dekat (seperti si anak mempunyai datuk sebelah bapa (iaitu bapa kepada bapanya) dan juga datuk sebelah ibu (iaitu bapa kepada ibunya), kewajipan nafkah dikongsi bersama. Apabila tidak ada lansung datuk atau datuk yang ada tidak mampu, barulah kewajipan nafkah berpindah kepada usul-usul perempuan (iaitu ibu atau nenek atau yang lebih atas).

Perlu disebutkan; kewajipan menanggung nafkah orang lain tertakluk kepada kemampuan. Jika tidak mampu, tidaklah seseorang itu dibebani oleh Syarak untuk menanggung nafkah orang lain sedang nafkahnya sendiri tidak tertanggung. Hal ini telah disepakati ulama. 
Maksud kemampuan itu ialah mempunyai lebihan setelah ditolak keperluan diri sendiri sama ada dari hartanya sedia ada atau dari pendapatannya. Sabda Nabi SAW maksudnya : "Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk ahli kerabat kamu. Jika ada suatu lebihan lagi setelah itu, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Hadis Dahih Riwayat Muslim; 997, dari Jabir r.a.). Wallahu a’lam.
712. Soalan : Apakah hukumnya memakan daging gajah dan daging kuda?
Jawapan :
  
1. Daging gajah.

Menurut jumhur ulama (Mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali); daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang bertaring.  Abu Tsa’labah al-Khusyani r.a. menceritakan; “Nabi SAW telah melarang kami dari memakan daging haiwan yang bertaring dari binatang-binatang buas” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari; 5530, 5780. dan Sahih Riwayat Muslim; 1932).

Maksud bertaring ialah haiwan yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya (an-Nihayah. Al-Majmu’). Di antara contoh yang disebut ulama  bagi binatang-binatang jenis ini ialah; anjing, kucing, singa, harimau, serigala, gajah, kera dan seumpamanya (lihat; Nailul-Autar, as-Syaukani; 1/131. Al-Majmu’, an-Nawawi; 9/14. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; perkataan “At’imah”).

2. Daging kuda.

Daging kuda halal memakannya kerana kehalalannya telah sabit dari hadis-hadis Nabi SAW. Asma binti Abu Bakar r.a. menceritakan; “Kami pernah menyembelih seekor kuda pada zaman Nabi SAW dan memakannya” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari; 5510, 5519). 
Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan; “Nabi SAW menegah kami dari memakan daging kaldai pada hari Khaibar dan membenarkan kami memakan daging kuda” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari; 5520. Sahih Riwayat Muslim; 1941). Wallahu a’lam.
713. Soalan : Ustaz, saya ingin bertanya adakah benar sesiapa yang hendak berkorban pada hari Raya Haji ini tidak boleh potong rambut dan kuku. Jika benar waktu bila larangan tersebut bermula?
Jawapan :

Disunatkan orang yang ingin melaksanakan korban untuk tidak memotong kukunya, mencukur/memotong rambut dan juga mencukur/mencabut bulu pada badannya sama ada bulu ketiak, bulu ari-ari, misai, janggut dan sebagainya apabila masuk bulan Zulhijjah dari hari pertamanya hinggalah setelah korbannya dilaksanakan. Jika dilakukan hukumnya adalah makruh. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW; “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah (yakni mengetahui masuknya bulan Zulhijjah), sesiapa dari kamu yang ingin melakukan ibadah korban hendaklah dia menahan (menangguh) dari (membuang/memotong) bulu/rambut dan kuku-kuku di badannya hingga ia melaksanakan korbannya” (Hadis Sahih Riwayat Muslim; 1977/41, dari Ummu Salamah r.ha).

Menurut Syeikh Ibrahim al-Marwaruzi; hukum anggota-anggota badan yang lain sama seperti hukum rambut/bulu dan kuku (yakni makruh dibuang sebelum dilaksana korban).

Menurut ulama'; Hikmah tegahan ini ialah supaya keampunan Allah SWT yang datang melalui ibadah korban itu akan meliputi seluruh tubuhnya termasuklah rambut, bulu-bulu badan, kuku dan sebagainya.

Menurut Syeikh Mansur Ali Nashif;  ia juga dituntut dari ahli keluarga orang yang melakukan korban supaya keampunan Allah SWT yang sempurna itu turut merangkumi mereka (at-Taj al-Jami’, 3/115). Wallahu a’lam.

714. Soalan : Apakah adab-adab untuk Khatib yang membaca khutbah? Adakah perlu terlalu panjang sehingga 40 minit kerana terdapat makmum yang berbagai kedudukan di dalam masyarakat yang perlu balik cepat untuk sambung kerja, untuk makan tengahari dan sebagainya terutama daripada syarikat swasta.?

Jawapan :
Berdasarkan kepada hadis sahih, sudah banyak di perkatakan oleh para ulama' mengenai syarat-syarat dan adab serta etika seorang imam dan khatib yang seharusnya diikuti supaya dia menjadi seorang imam atau khatib yang dihormati dan disegani.

Antara syarat seorang imam dan khatib itu mestilah mempunyai pengetahuan agama yang mencukupi, khususnya dalam bab sembahyang dan mereka juga mesti fasih membaca al-Quran dengan makhraj dan tajwidnya yang betul. Manakala adab dan etikanya pula, seorang imam atau khatib itu mestilah peka dan prihatin dengan keadaan makmum di belakangnya yang sudah pasti terdiri daripada manusia yang mempunyai  pelbagai ragam dan kedudukan serta peringkat umur dan pengetahuan agamanya.  Di samping itu, dia juga harus prihatin dan mengambil kira keadaan masa, tempat dan suasana. Ammar bin Yasir berkata: “Aku mendengar Rasullah bersabda: “Sesungguhnya panjang sembahyang seseorang (imam) dan pendek khutbahnya adalah tanda kefahamannya (terhadap ajaran Islam), maka panjangkan sembahyang dan pendekkan khutbah”.

Maksud panjang sembahyang dalam hadis ini ialah sembahyang lebih panjang daripada khutbah, bukan bermaksud panjang sembahyang sehingga menyusahkan makmum.  Ada riyawat lain menyebutkan bahawa khutbah Rasullah dan sembahyangnya adalah sederhana.  
Anas bin Malik pula berkata: “Aku tidak pernah melihat orang sembahyang lebih ringkas dan lebih sempurna selain daripada Rasulullah”. Dan dalam satu peristiwa dimana Rasullah pernah menegur sahabat agungnya, Muaz bin Jabal yang pernah menjadi imam sembahyang di sebuah perkampungan dan membaca surah yang panjang.  Tindakannya itu menyebabkan seorang daripada makmum telah mufaraqah dan terus sembahyang bersendirian kerana beliau terlalu banyak kerja yang hendak diuruskan. Perbuatan makmum ini dimarahi oleh Muaz lalu memberitahu Rasulullah.  

Rasulullah pun bersabda kepada Muaz, maksudnya: “Apakah engkau hendak membuat fitnah” sambil diulanginya tiga kali dan terus bersabda lagi:  “Kalau engkau membaca surah pendek-pendek, tentulah semua orang boleh mengikuti engkau kerana di antara kalangan makmum ada yang sakit, uzur, tua, kanak-kanak dan ada yang mempunyai banyak urusan”. 
Rasulullah sendiri pernah mempercepatkan sembahyang tatkala mengimamkan satu sembahyang semata-mata kerana terdengar tangisan seorang kanak-kanak, kerana takut ibunya tidak khusyuk.

Khutbah juga tidak seharusnya dipanjangkan, cukuplah di antara 10 dan 15 minit sahaja.  Khutbah yang pendek, padat ditambah dengan penggunaan bahasa yang baik adalah lebih berkesan daripada yang panjang berjela-jela sehingga menjemukan dan membosankan para jemaah. Apatah lagi di setengah masjid ruang solatnya kecil sehinggakan ketika sembahyang Jumaat terdapat ramai para jemaah yang terpaksa sembahyang di luar masjid sebab ruang dalam masjid telah penuh, dimana mereka  terdedah dengan panas terik dan kadang-kadang hujan pula.

Kesimpulannya bahawa imam atau khatib yang sering sahaja membaca surah-surah dan berkhutbah panjang serta tidak mengambilkira kesesuaian waktunya sehingga menyusahkan para jemaah adalah tidak selaras dengan sunnah Rasulullah S.A.W. , Wallahu a’alam.
715. Soalan : Bolehkan ustaz huraikan apakah yang dimaksudkan dengan Husnul Khatimah dan Su'ul Khatimah?

Jawapan :

Husnul khatimah bermaksud berakhimya kehidupan manusia di dunia dengan kesudahan yang baik sebaliknya su’ul khatimah iaitu berakhirnya kehidupan manusia sebagai penyudah yang buruk. Keadaan seseorang saat tutup usia memiliki nilai tersendiri, kerana balasan baik dan buruk yang akan diterimanya bergantung pada keadaan ketika saat tutup usianya.

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesungguhnya amalan itu (tergantung) dengan penutupnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan selainnya)

Husnul Khatimah adalah pengakhiran yang baik, iaitu seorang hamba, sebelum meninggal, ia diberi taufik dan hidayah untuk menjauhi semua yang dapat menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Dia bertaubat dari dosa dan maksiat, serta semangat melakukan ketaatan dan perbuatan-perbuatan baik, hingga akhirnya dia meninggal dalam keadaan ini. 

Ini berdasarkan hadis shahih dari Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Apabila Allah menghendaki kebaikan pada hamba-Nya, maka Allah memanfaatkannya”. Para sahabat bertanya, “bagaimana Allah akan memanfaatkannya?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Allah akan memberikannya taufik untuk beramal soleh sebelum dia meninggal.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Tirmidzi dan dishahihkan al Hakim dalam Mustadrak) 

Husnul khatimah memiliki beberapa tanda, di antaranya ada yang diketahui oleh hamba yang sedang sakaratul maut, dan ada pula yang diketahui orang lain. Tanda husnul khatimah, yang hanya diketahui hamba yang mengalaminya, iaitu diterimanya khabar gembira saat sakaratul maut, berupa redha Allah sebagai anugerah-Nya. 

Allah Ta’ala berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: ‘Rabb kami ialah Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan):’Janganlah kamu merasa takut dan jenganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) Syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.” (Surah Fushshilat, ayat 30)

Su’ul khatimah (penyudahan yang buruk) adalah meninggal dalam keadaan berpaling dari Allah, berada di atas murka-Nya serta meninggalkan kewajiban dari Allah. Su’ul khatimah ialah apabila sewaktu akan meninggal dunia seseorang dikuasai oleh perasaan was-was yang disebabkan keragu-raguan atau keras kepala atau mencintai keterlaluan terhadap kehidupan dunia yang akibatnya ia harus masuk ke Neraka secara kekal jika tidak diampuni oleh Allah SWT.

Sebab-sebab su’ul khatimah secara ringkas antara lain adalah perasaan ragu dan sikap keras kepala yang disebabkan oleh perbuatan atau perkara dalam agama yang tidak pernah dilaksanakan dan sentiasa membelakangkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW menunda-nunda taubat, banyak berangan-angan tentang kehidupan duniawi, senang dan membiasakan maksiat, bersikap munafik dan bunuh diri.

Tidak diragukan lagi, demikian ini akhir kehidupan yang menyedihkan, selalu dikhawatirkan oleh orang-orang yang bertakwa. Semoga Allah menjauhkan kita darinya. Terkadang nampak pada sebahagian orang yang sedang sakaratul maut, tanda-tanda yang mengisyaratkan su’ul khatimah, seperti: menolak mengucapkan syahadah, justeru mengucapkan kata-kata buruk dan haram, serta menampakkan kecenderungan padanya dan lain sebagainya. 

Biasanya terdapat tanda-tanda buruk yang mengaibkan seperti keluar ulat dari mulutnya semasa dimandikan, wajahnya bertukar menjadi hitam, jika digali kubur , kubur menjadi sempit atau ada lintah atau ular di dalam kubur yang hendak dikebumikan mayat tersebut dan berbagai-bagai lagi ditunjukkan oleh Allah SWT tanda-tanda kematian su'ul khatimah. Nauzubilahiminzali. Wallahu a'lam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML