Thursday, January 9, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 78

Soal Jawab Agama Siri 78 

(Tanggungjawab Anak Lelaki, Makanan Yang Haram dan Halal, Binatang Yang Di Haramkan Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم   
   
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.  

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 78 adalah menjelaskan persoalan tanggungjawab anak lelaki, makanan yang halal dan haram, jenis-jenis binatang yang di haramkan, jenis minuman dan pekerjaan yang haram dan akibat buruk mereka yang ambil perkara haram.

676. Soalan : Apakah tanggungjawab anak lelaki kepada kedua ibunya setelah berkahwin? Adakah dia perlu membantu ibu bapanya lagi kerana dia telah mempunyai tanggungjawab yang baru ?

Jawapan :

Walaubagaimana pun seorang anak lelaki telah berkahwin dan memiliki keluarganya sendiri tetapi tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya tidak boleh diabaikan kerana ia masih terikat dengan tanggungjawab tersebut. 

Dalam Hadith Sahih Bukhari, seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad SAW maksudnya : 

“Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?”

Jawab Nabi “Ibu kamu”

“Selepas itu?”

“Ibu kamu”

“Selepas itu?” 

“Ibu kamu”

Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?”

Jawab Nabi “Ayah kamu” 

Lihatlah betapa tingginya nilai ibu di dalam Islam. Seorang ibu tidak ada apa cara sekalipun dapat kita membalasnya. 

Seorang lelaki datang kepada Sayyidian Umar al-Khattab r.a dan berkata, "Saya telah mendokong ibu saya sepanjang tawaf dan haji, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu." 

Jawab Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun setitis air mata ibumu semasa melahirkanmu." 

Hadis di atas menjelaskan  selepas Allah dan Rasul-Nya, orang yang perlu dihormati dan dikasihi adalah ibu dan bapa. Bukan setakat menghormati dan mengasihi mereka tetapi segala keperluan hidup ,keselamatan  dan hak-hak mereka perlulah di penuhi sekadar kemampuan si anak tadi. 

Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk jenis mubah, begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat). 

Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah SAW. bersabda: "Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: 'Seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: 'Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis'. Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (Hadis Riwayat Ibnu Majah) 

Jadi perintah ibu atau bapa yang bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya. Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka tolaklah dengan cara yang baik. 

Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tuanya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga. Sebab itulah dalam Islam anak lelaki beroleh 2 bahagian dan anak perempuan memperolehi 1 bahagian dalam pembahagian harta pusaka secara hukum faraid, ini menunjukkan betapa Islam menghargai tanggungjawab yang dipikul oleh anak lelaki sebagai ketua keluarga.

677. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan apakah jenis makanan yang diharamkan dan dihalalkan oleh Allah SWT yang dinyatakan di dalam al-Quran?

Jawapan :

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah; 'Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barang siapa yang dalam keadaan terpaksa sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-An’am ayat 145)


Makanan yang diharamkan adalah :


1, Bangkai.

2. Darah yang mengalir.

3. Daging babi.

4. Binatang yang disembelih atas nama selain Allah.


Makanan yang halal pula dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 172 : 
  
Allah berfirman SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah ayat 172) 

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT adalah Zat Yang Maha Baik, tidak mau menerima kecuali yang baik, dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin sesuai dengan apa yang diperintahkan kepada para Rasul. 

Allah Ta’ala berfirman (maksudnya) : "Wahai para Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh. Allah Ta’ala berfirman (maksudnya) : "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu sekalian…”. (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan firman Allah dan hadis Nabi SAW, dapat disimpulkan bahwa jenis-jenis makanan yang halal ialah : 

1. Semua makanan yang baik, tidak kotor dan tidak menjijikan.

2. Semua makanan yang tidak diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

3. semua makanan yang tidak memberi mudarat, tidak membahayakan kesihatan jasmani dan tidak merosak akal, moral, dan akidah.

4. Binatang yang hidup di dalam air, baik air laut maupun air tawar.

 Binatang yang tidak disebutkan statusnya:

Jika tidak terdapat status binatang yang diharamkan maka binatang tersebut menjadi halal. 
Berdasarkan sabda Nabi SAW maksudnya :“Apa yang Allah halalkan di dalam kitab-Nya, maka ia halal. Apa yang Allah haramkan, maka ia haram. Apa yang Allah diamkan tentangnya, maka ia adalah dimaafkan.” (Hadis Riwayat al-Bazzar dan katanya: sanadnya sahih, juga disahihkan oleh al-Hakim).


678. Soalan : Selain daripada daging babi yang diharamkan oleh Allah SWT, apakah jenis-jens binatang lain yang diharamkan untuk memakannya?

Jawapan :

 Binatang-binatang yang diharamkan memakannya adalah seperti berikut :

1. Semua binatang buas (as-Siba’) yang bertaring. 

Kata Ibn al-Athir: “iaitu binatang pemangsa yang memakan secara menerkam seperti: singa, harimau, serigala dan seumpamanya. 

Sabda Nabi SAW maksudnya :“Setiap yang memiliki taring dari kalangan pemangsa, maka memakannya adalah haram“. (Hadis Riwayat Malik, Muslim dan lain-lain dari hadis Abi Tha’labah al-Khusyani). 

Al-Syafi’e berpandangan bahawa as-siba’ yang diharamkan ialah yang menyerang manusia seperti singa, harimau dan serigala. 

2. Semua jenis burung berkuku tajam dan menyambar. 

Dalilnya ialah hadis Ibn Abbas, katanya: “Rasulullah SAW melarang (memakan) setiap yang bertaring dari binatang buas dan setiap yang berkuku (claw) dari burung.” (Hadis Riwayat Muslim) 

Adapun yang dimaksudkan dengan burung yang mempunyai kuku ialah: yang kukunya tajam digunakan untuk menangkap dan melukakan serta mengoyak mangsa. Contohnya: helang, enggang, gagak dan layang-layang. Dikecualikan daripadanya: merpati dan burung-burung kecil; kerana ia termasuk dalam al-mustatob (perkara yang dipandang baik). 

3. Keldai peliharaan. 

Di antara perkara yang diharamkan oleh Nabi SAW dalam peperangan Khaibar ialah keldai peliharaan. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Para ulama sepakat tentang halalnya keldai liar -dan kuda belang dan seladang 
Nabi SAW telah dihadiahkan dengan keldai liar lalu baginda memakannya. (Hadis Riwayat al-Bukhari dari hadis Abi Qatadah). 

4. Al-Jallalah (Binatang yang memakan kotoran). 

Iaitu binatang yang memakan kotoran dan sesuatu yang menjijikkan. Ibn Hazm menghadkannya hanya kepada yang berkaki empat sedangkan Ibn Hajar menyatakan ianya umum. Dalilnya: 

Hadis Ibn Umar: Rasulullah SAW melarang dari memakan al-Jallalah dan meminum susunya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan at-Tirmizi yang mensahihkannya). 

5. Anjing dan kucing.

Hampir tiada khilaf di kalangan ulama tentang pengharaman anjing .Pengharaman anjing datang dengan beberapa faktor: 

a).  Ia adalah najis menurut jumhur ulama; lantaran arahan Nabi SAW supaya bekas yang dijilat oleh anjing hendaklah dibasuh 7 kali yang pertama dengan air tanah. (Hadis Riwayat Muslim). 

b). Ia termasuk di dalam al-mustakhbath (yang dipandang jijik); 

c). Ia memakan kotoran.

Larangan Nabi SAW daripada memakan harga anjing dan kucing. (Riwayat as-Sahih). 

6. Semua jenis binatang yang menjijikkan.
  
Firman Allah SWT: ” dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk” (Surah al-A’raf ayat 157) 

Kebanyakan ulama memberikan garis panduan dalam hal ini seperi berikut: 

Apa yang dipandang jijik dan kotor oleh manusia (yang murni fitrahnya) dari jenis haiwan – bukan kerana sesuatu ‘illah atau kerana tidak biasa sebaliknya semata-mata kerana menganggapnya jijik, maka ia adalah haram.

Apabila sebahagian manusia menganggapnya jijik sedangkan yang tidak, maka yang diambil kira ialah tanggap majoriti. 

Setiap yang jijik di sisi syarak itu tentulah akan memudaratkan diri dan agama manusia.
Kebanyakan haiwan yang tidak dimakan oleh manusia sedangkan tiada dalil yang jelas menunjukkan ia haram, merupakan haiwan dari kategori ini. contoh : tikus, cacing,  siput babi dan lain-lain. 

7. Semua binatang yang diarahkan untuk dibunuh atau dilarang dari dibunuh.
  
Sebilangan ulama berpendapat bahawa binatang-binatang yang dilarang oleh Nabi SAW dari membunuhnya atau yang diarahkan untuk membunuhnya adalah haram. 

Binatang yang diarahkan bunuh: 

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Dari ‘Aisyah bahawa Rasul SAW bersabda: "5 jenis binatang semuanya fawasiq boleh dibunuh di Tanah Haram: burung gagak, burung layang-layang, kala jengking, tikus, anjing dan al-’aqur (sejenis binatang yang menggigit).” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasai). 

Binatang yang dilarang bunuh: 

Sabda Nabi SAW maksudnya :Dari Ibn Abbas bahawa Nabi SAW telah melarang daripada membunuh 4 jenis binatang: semut, lebah, belatuk dan nuri. 

8. Binatang beracun samada yang ikan atau selainnya, diburu atau dijumpai mati. 

Ini adalah jelas kerana Islam melarang al-khabai’th. Juga dengan umum ayat:
Firman Allah SWT  maksudnya : ” Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah ayat 195) 

9. Haiwan dua alam:
  
Kata al-Qadi Ibn al-’Arabi: Pendapat yang sahih berhubung haiwan yang hidup di darat dan air ialah dilarang; kerana terdapat percanggahan dalil halal dan haram. Lalu kami memenangkan dalil haram sebagai langkah berhati-hati (ihtiyat). 

Sementara sebilangan ulama pula berpandangan bahawa semua haiwan yang memang hidup di laut adalah halal sekalipun ia mungkin boleh hidup di daratan kecuali katak kerana ada dalil lain berhubungnya. 

Apa yang dinyatakan di sini adalah secara ringkas saja jenis-jenis perkara-perkara yang diharamkan memakannya berhubung persoalan halal dan haramnya binatang-binatang yang mempunyai berbagai-bagai spesis. Pendetailan tajuk boleh dirujuk di dalam kitab-kitab tafsir dan hadis hukum serta buku-buku Fiqh.


679. Soalan : Apakah jenis-jenis minuman dan hasil pekerjaan yang diharamkan oleh Allah SWT?


Jawapan :

Perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah S.W.T. adalah seperti berikut : 

1. Minuman keras (arak) (Terdapat 10 perkara yag dilarang mereka yang  terlibat dengan arak) 

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesuatu yang memabukkan dalam keadaan banyak, maka dalam keadaan sedikit juga tetap haram.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i, Abu Dawud dan Turmudzi). 

2. Makan hasil curi dan penipuan, pelacuran dan perbomohan.
  
Rasululullah SAW enggan makan daging kambing yang dihidangkan kepadanya dan berkata yang bermaksud : “Aku mendapati daging kambing ini diambil tanpa izin dari pemiliknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Abu Mas’ud al-Ansari ra berkata:  “Nabi SAW menegah dari harta hasil jualan anjing, hasil pelacuran dan hasil perbomohon (dengan cara yang dilarang).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

3. Hasil daripada menggambil riba. 

Firman Allah SWT maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu ..." (Surah al Baqarah ayat 278-279) 

4. Menggambil duit rasuah.
  
Sabda Rasulullah SAW maksudnya :  “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api Neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani) 

5. Hasil daripada bermain judi 

Allah berfirman maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. (Surah al-Baqarah ayat 219) 

6. Hasil daripada jualan barang haram seperti daging babi, anjing, arak, dadah dan lain-lain
  
Haram ertinya dilarang, jadi makanan yang haram adalah makanan yang dilarang oleh syarak untuk dimakan. Termasuk sumber daripada jualan barang-barang yang haram adalah haram.

680. Soalan : Apakah kesan dan akibat buruk yang akan diterima oleh sesiapa yang memakan dan mengambil benda haram?

Jawapan : 

1. Doanya tidak diterima.

Orang yang memakan daripada sumber yang haram atau makanan dan minuman yang haram doanya tidak dimakbulkan oleh Allah SWT. 

Di riwayatkan dari Abu Hurairah r.a katanya : “Kemudian Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa sallam menyebutkan orang yang lama bepergian, rambutnya kusut, berdebu, dan menengadahkan kedua tangannya ke langit, 'Wahai Rabb-ku, wahai Rabb-ku,' padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan diberi makan dengan yang haram, bagaimana doanya dikabulkan?” (Hadis Riwayat Muslim) 

2. Kehidupannya tidak berkat.

Seseorang yang menggunakan sumber yang haram atau makanannya dari barang yang haram tidak berkat, rumah tangga akan porak peranda dan jiwa anak-anak tidak akan tenang, syaitan akan mudah menguasai mereka. 

3.Di masukkan kedalam neraka (tidak sempat bertaubat).

Jika meninggal dunai dan  tidak sempat bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam api neraka . 
Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya". (Hadis Riwayat Al-Tarmizi) 

4. Menyebabkan Allah S.W.T murka. 

Apabila perkara haram menjadi amalan manusia samaada daripada makanan, minuman, perbuatan, pekerjaan dan lain-lain.

Alllah S.W.T. akan menurunkan bala dalam bentuk kehancuran sesebuah negara. 

Firman Allah S.W.T. bermaksud : "Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya saat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri binasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya".(Surah Al-Isra' ayat 16)


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML