Soal Jawab Agama Siri 84
(Bacaan Al-Quran Untuk Si Mati, Zakat Emas, Minyak Wangi Berakohol Dan lain-lain)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 84 adalah menjawab persoalan bacaan al-Quran untuk simati, zakat emas, hukum menggunakan minyak wangi beralkohol, berpegang dengan kitab-kitab samawi dan berkumpul di akhirat nanti dengan orang yang dicintai ketika di dunia.
706. Soalan : Adakan bacaan al-Quran yang di sedekahkan kepada si mati sampai kepadanya?
Jawapan :
Pendapat yang kuat mengatakan bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada simati akan sampai. Berkata Muhammad bin Ahmad al-Marwazi : “Saya mendengar Imam Ahmad bin Hanbal berkata : “Jika kamu masuk ke perkuburan, maka bacalah Fatihatul kitab, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Nas dan jadikanlah pahalanya untuk para penghuni kubur, maka sesungguhnya pahala itu sampai kepada mereka.
Tapi yang lebih baik adalah agar sipembaca itu berdoa sesudah selesai dengan ucapan : “Ya Allah, sampaikanlah pahala ayat yang telah aku baca ini kepada si fulan…” (Hujjatu Ahlis sunnah waljamaah hal. 15).
Berkata Ibnu Qayyim al-Jauziyah: “Sesuatu yang paling utama dihadiahkan kepada mayat (simati) adalah sedekah, istighfar, berdoa untuknya dan berhaji atas nama dia. Adapun membaca al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada mayat secara sukarela dan tanpa imbalan (mendapat upah), maka akan sampai kepadanya sebagaimana pahala puasa dan haji juga sampai kepadanya (yasaaluunaka fiddin wal hayat jilid I/442).
Untuk yang masih hidup sedekah yg baik ulama menyatakan bahawa doa itu lebih afdhal kerana doa seorang sahabat kepada sahabatnya tanpa pengetahunnya mustajab di sisi Allah SWT , Begitu juga doa anak yg soleh kepada kedua ibu bapanya dan doa ibu bapa kepada anak-anaknya mustajab di sisi Allah SWT.
707. Soalan : Bagaimana kita hendak membuat kiraan zakat emas yang dijadikan perhiasan dan zakat emas yang tersimpan?
Jawapan :
Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya denganya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk)." (Surah at-Taubah ayat 103)
Pengiraan Zakat emas (diambil dari lembaga Zakat Selangor)
Zakat emas dikira dalam dua keadaan :
Pertama : Emas Perhiasan Wanita :
Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan.LZS mengambil kira kadar uruf emas (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan) bagi pemakai perhiasan tersebut. Jika kadar pemakaian itu tidak mecapai kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor sebanyak 800 gram.
Rumus Pengiraan : (Timbangan emas x harga semasa x 2.5% = zakat emas)
Contoh Pengiraan : Salmah ada rantai emas dengan berat 900 gram. berapakah zakat emas yang perlu dia bayar ?
Berat emas = 900 gram
harga semasa = RM 150 / gram bagi emas 916
900g x RM 150 x 2.5% = RM 3,375.00
Zakat emas yang perlu dibayar oleh Salmah adalah sebanyak : RM 3,375.00
Kedua : Emas Yang Disimpan:
Emas yang disimpan bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan sama ada dalam bentuk mata wang, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya. Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram.ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai (perkara pertama). Nisab emas yang disimpan ialah sebanyak 85 gram.
Rumusan Pengiraan : (Timbangan emas x harga semasa x 2.5% = zakat emas)
Contoh Pengiraan : Ahmad memulakan pelaburan emas fizikal nya dengan berat 300g . selepas setahun pelaburan emas beliau telah bertambah dan sekarang berat emas beliau telah menjadi 350g. jadi berapa zakat emas yang perlu dibayar oleh beliau ?
Haul (cukup masa) = 1 tahun (Kalender Hijrah)
Jadi emas yang kena zakat ialah emas semasa yang beliau ada iaitu sebanyak 350 g.
Harga semasa RM 165 / gram bagi 999.9
350g x RM 165 x 2.5% = RM 1,444.00
Zakat emas yang perlu dibayar oleh Ahmad sebanyak RM 1,444.00
Contoh perniagaan emas :
Katakan Emas dalam pegangan anda seperti berikut :
Tahun Hijrah 1432
1.Muharram - 50 gram
2. Safar - 60 gram
3. Rabiul Awal -100 gram
4. Rabiul Akhir - 120 gram
5. Jamadil Awal - 140 gram
6. Jamadil Akhir - 160 gram
7. Rejab - 180 gram
8. Syaaban - 200 gram
9. Ramadhan -220 gram (jual 70gram nak pakai untuk raya)
10. Syawal - 150 gram
11. Zulkaedah - 150 gram
12. Zulhijjah - 160 gram
Tahun Hijrah 1433
13. Muharram - 170 gram
14. Safar - 170 gram
15. Rabiul Awal - 200gram
Berdasarkankeadaan diatas ,
1.Dari bulan Muharam 1431 ke bulan Muharam 1432 anda tidak wajib zakat, kerana dalam 1 tahun emas anda ada 50 gram sahaja (kurang dari nisab 80 gram).Bulan safar juga begitu sebab tak cukup nisab lagi untuk berzakat.
2. Cuba lihat pada bulan Rabiul awal 1432 hijrah anda ada 100 gram hingga Rabiul Awal 1433 mempunyai 200 gram sudah cukup nisab untuk berzakat. Jadi apabila cukup 1 tahun (Rabiul Awal 1433) penambahan bagi emas tersebut dalam tempoh itu, ianya dikira ke atas keseluruhan berat emas simpanan anda. Merujuk kepada pembelian emas anda, anda perlu zakat kan ke atas keseluruhan emas tuan iaitu 200 gram kerana nisab tuan telah bermula pada bulan Rabiul Awal dan ada penambahan berat emas sepanjang tempoh tersebut.
708. Soalan : Apakah hukum mengguanakan minyak wangi dan minyak rambut mempunyai alkohol di dalamnya?
Jawapan :
Persoalan alkohol selalu dikaitkan dengan sah atau ketidaksahan sembahyang, kerana itu timbullah keraguan adakah alkohol itu najis? Ini kerana ada sebahagian minyak wangi dan minyak rambut mengandungi alkohol sehingga timbul persoalan, bolehkah minyak wangi atau minyak rambut yang bercampur alkohol dibawa sembahyang?
Pengertian alkohol :
Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengewap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara.
i. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates)
ii. Sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan penghidratan etil (hydration of ethylene). (The New Websters Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17)
Cara yang pertama di atas merupakan cara bagaimana menghasilkan khamar (arak) atau minuman yang memabukkan.
Kenajisan arak : Menurut jumhur (majoriti) ulama yang terdiri daripada Imam-Imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafie˜i, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama rahimahumullah, arak adalah najis berdasarkan firman Allah s.w.t.:
Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah ayat 90)
Oleh kerana arak itu menurut jumhur ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu, mana-mana alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak adalah najis juga hukumnya.
Ini memberi maksud bahawa kenajisan alkohol adalah bertitik tolak dari sebab kenajisan arak. Dari itu, dapat difahami bahawa alkohol itu bukanlah semestinya najis jika ia tidak diambil daripada arak, sebagai contoh tapai yang biasa dimakanpun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak haram dimakan kerana sifatnya yang tidak memabukkan.
Akan tetapi, jika tapai itu sifatnya memabukkan (sampai ke peringkat boleh memabukkan), maka memakan tapai itu adalah haram. Adapun alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia yang mana sifatnya sangat memudharatkan seperti mana racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan di mana tidak ada seorang ulamapun yang menghukumkannya sebagai najis ainiyyah.
Imam an-Nawawi rahimahullah mengatakan bahawa salah satu najis itu ialah setiap yang memabukkan dalam bentuk cecair. Maksudnya setiap yang memabukkan lagi cair.
Imam Ibnu Hajar rahimahullah dalam menghuraikan kata-kata Imam an-Nawawi rahimahullah di atas berkata: "(Tiap-tiap yang memabukkan) ialah tiap-tiap yang boleh memabukkan. Maka termasuk dalam pengertian itu setitik yang memabukkan; dan yang dikehendaki dengan yang memabukkan di sini ialah apa jua yang boleh menutup atau menghilangkan upaya akal.
Ibnu Hajar rahimahullah menghuraikan lagi: (Cecair) itu seperti arak dengan segala jenisnya yang diambil daripada anggur; dan nira (tuak) yang diambil selain daripada anggur. Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa setiap arak mengandungi alkohol, tetapi tidak semua alkohol berasal daripada arak.
Hukum alkohol daripada arak. Alkohol yang dihasilkan atau diambil daripada arak, meminumnya adalah jelas haram sebagaimana keterangannya di atas. Adapun menggunakan minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak adalah haram juga, kerana berlumur dengan najis tanpa ada keperluan yang syar’i adalah haram hukumnya sebagaimana kata Ibnu Hajar rahimahullah: "Haram berlumur dengannya (najis) di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada apa sesuatu hajat (yang syar’i)"
Dengan itu, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak kerana ia adalah najis.
Hukum alkohol sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia. Alkohol sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Bagaimanapun minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis.
709. Soalan : Apakah hukum berpegang dengan kitab- kitab samawi sebelum Rasulullah SAW di lantik menjadi Rasul menurut Jumhur ulama' berserta dalilnya?
Jawapan :
Apabila Allah SWT telah mengutus Muhammad SAW menjadi Nabi dan Rasul dan menurunkan al-Quran sebagai panduan untuk umat manusia maka semua kitab-kitab samawi iaitu Kitab Zabur, Taurat dan Injil tidak dibenarkan lagi untuk beramal dengannya. Pernah satu ketika Saidina Umar al-Khattab membawa beberapa lembaran Kitab Turat dia merasa kagum maka Nabi SAW melarangnya. Kitab Suci Al Quran adalah Kitab Suci yang sudah sempurna, sehingga tidak memerlukan kitab-kitab suci lainnya untuk mendukung Kebenaran dari Ayat-Ayat Suci Al Quran.
Terdapat hadis yang menjelaskan larangan menggunakan kitab-kitab selain al-Quran :
Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam pada suatu hari melihat di tangan Umar bin Khathab radhiyallahu ‘anhu ada selembar dari Taurat, dan Umar mengagumi isinya,, maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam marah dengan kemarahan yang keras. Dalam hadis diriwayatkan:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ أَصَابَهُ مِنْ بَعْضِ أَهْلِ الْكُتُبِ فَقَرَأَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَغَضِبَ فَقَالَ أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً لَا تَسْأَلُوهُمْ عَنْ شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ مُوسَى صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ حَيًّا مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتَّبِعَنِي
Dari Jabir bin Abdullah ‘Umar bin khatab menemui Nabi Sallallahu’ Alaihi Wasallam dengan membawa tulisan yang dia dapatkan dari Ahli Kitab. Nabi Sallallahu’ Alaihi Wasallam terus membacanya dan marah seraya bersabda: “Bukankah isinya hanya orang-orang yang bodoh Wahai Ibnu Khottob?. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, saya datang kepada kalian dengan membawa cahaya yang terang. Janganlah kalian bertanya kepada mereka tentang sesuatu! Bagaimana jika mereka mengabari kalian kebenaran lalu kalian mendustakannya atau mereka (menyampaikan) kebatilan lalu kalian membenarkannya?. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya Musa ‘alaihissalam hidup maka tidak ada jalan lain selain dia mengikutiku.” (Sebagaimana diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnadnya 3/387 nomor 14623, dan Al-Baihaqi dalam Syu’bul Iman, dan Ad-Darimi 1/115-116 dengan lebih sempurna.
Maksud hadis diatas adalah sbb :
Bahwa Nabi Musa as sendiri yang dituruni Kitab Taurat seandainya dia masih hidup pasti dia wajib mengikuti Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam, dan meninggalkan syari’at yang telah dia sampaikan kepada manusia.
Hanya Nabi SAW saja yg boleh mengambilnya dan menyuruh kita beramal dengannya, contoh cara ibadah dan puasa yg paling baik adalah cara ibadah dan puasa Nabi Daud a.s. Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash, ia berkata bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam mengatakan padanya,
أَحَبُّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ صَلاَةُ دَاوُدَ – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – وَأَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ ، وَكَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ ، وَيَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا
“Sebaik-baik solat di sisi Allah adalah solatnya Nabi Daud ‘alaihis salam. Dan sebaik-baik puasa di sisi Allah adalah puasa Daud. Nabi Daud dahulu tidur di pertengahan malam dan beliau solat di sepertiga malamnya dan tidur lagi di seperenamnya. Adapun puasa Daud yaitu puasa sehari dan tidak berpuasa di hari berikutnya.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari no. 1131).
710. Soalan : Saya ada mendengar satu ceramah agama, seorang ustaz ada menerangkan sebuah hadis Nabi SAW bahawa kita akan dikumpulkan dengan orang yang kita cintai di dunia. Soalan saya : Sekiranya sesorang itu meminati dan mencintai seorang artis pujaan, seorang ahli sukan, penyanyi atau pemimpin politik yang tidak bawa Islam, seandainya orang yang di minati atau dicintai itu masuk neraka adakah dia juga akan masuk neraka?
Jawapan :
Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik r.a. : Ada seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW : “Bilakah kiamat itu tiba?” Rasulullah bersabda : “Apa yang telah kamu persiapkan untuk itu?” Lelaki itu menjawab : “Cinta Allah dan Rasul-Nya.” Rasulullah menjawab : “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 4775)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa setiap mukmin yang beriman dan bertakwa akan bertemu di syurga orang yang dicintai ketika di dunia dahulu.
Apabila ditanya oleh Nabi SAW kepada Arab Badwi apakah persiapan beliau untuk menghadapi kiamat, beliau menjawab dia mencintai Allah dan Rasul-Nya. Jika benar apa yang beliau ucapkan maka di hari akhirat nanti beliau akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT mencintai dan meredainya. Begitu juga jika beliau mencintai Rasul-Nya maka beliau akan bertemu dan berkumpul bersama-sama baginda di syurga.
Jika di dunia kita mencintai Rasulullah SAW, para sahabat baginda, alim ulama, orang-orang soleh, para mujahid Islam, orang-orang mukmin, ibu bapa, isteri, anak-anak, ahli keluarga dan sahabat-sahabat seperjuangan insya Allah kita akan bertemu dengan mereka di dalam syurga , salah satu tempatnya adalah di Pasar Syurga setiap hari Jumaat.
Tanda kita mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mengikut sunah dan ajaran Rasulullah SAW dan banyak berselawat ke atas baginda maka kita akan bertemu dan dikumpulkan bersama baginda.
Nabi SAW menyuruh umatnya apabila ingin mencari sahabat maka carilah sahabat yang soleh kerana sahabat yang soleh bukan sahaja akan membantu menyelamatkan kita ketika di dunia tetapi dia juga akan memberi syafaat ketika di hari akhirat nanti.
Nabi SAW mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasehati kita.
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Maksudnya : “Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.” (Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)
Ulama Salaf ada memberi pesanan : "Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semuga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam syurga. Dikatakan juga , apabila Allah SWT. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."
Tetapi sekiranya seseorang itu ketika di dunia dia mencintai seorang artis, seorang ahli sukan, penyanyi atau pemimpin yang zalim sekiranya mereka yang dicintai itu masuk neraka berkemugkinan besar dia akan bersama-sama dengan mereka ini. Sebabnya jika mereka ini melakukan kemugkaran dan dia redha dengan kemungkaran tersebut (cinta di atas kemungkaran tersebut) maka secara tidak langsung mereka akan mengheret peminatnya, penyokongnya dan pembantunya bersama-sama dalam neraka. Nauzubilahiminzalik.
No comments:
Post a Comment