Saturday, March 1, 2014

JAUHI DIRI DARI SIFAT MAZMUMAH

Jauhi Diri Daripada Sifat Mazmumah (Sifat Tercela)

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Setelah kita melihat sepuluh sifat-siafat mahmudah yang perlu menghiasi akhlak seorang Mukmin, maka kita perlu juga mengetahui apakah sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat tercela yang perlu kita jauhi daripada diri kita. Jika kita amalkan sifat-sifat tercela ini, ianya boleh membawa kita jauh daripad Allah s.w.t dan jauh daripada iman dan Islam.

Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri kita adakah masih ada sifat-sifat mazmumah ini dan bagaimanakah caranya kita dapat membaikinya hingga kita buangkan sifat-sifat ini untuk ditukarkan kepada sifat mahmudah.

Sifat mazmumah ialah sifat-sifat yang tidak baik dan tercela, juga sifat yg patut kita jauhi.
Menurut Imam Ghazali antara sifat-sifat mazmumah ialah seperti berikut:

1. Gemar Makan dan Minum:
Nabi s.a.w bersabda maksudnya ” Yang terlebih Afdhal (utama) pada Allah s.w.t ialah orang yg banyak berlapar dan banyak tafakur (berfikir sambil meneliti) .Dan yang terlebih benci kepada Allah ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum”.

2. Banyak berkata-kata (yg sia-sia):
Telah menjadi lumrah manusia suka berkata-kata, berbual-bual dan bersembang-sembang tetapi biarlah perkataan kita itu tidak sia-sia.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, melainkan bisikan-bisikan daripada yang menyuruh (manusia) bersedekah, atau berbuat makruf, atau mendamaikan manusia”
(Surah AnNisa ayat 114)

Abu Said al-Khudri r.a menceritakan, "Bahawasanya manusia itu apabila berpagi-pagi maka bersegeralah segala anggota kepada lidah. Dan mereka semuanya berkata : 'Kami menuntut kepada engkau dengan nama Allah bahawa engkau benar atas petunjuk, kerana bahawasanya jika engkau lurus, kami akan lurus dan jika engkau bengkok nescaya kami akan bengkok.'."

3. Marah:
Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud :
"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

4. Hasad dengki, dan iri hat:
Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ” Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu.”

5. Kasih kepada harta:
Tiada salah memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi kemewahan yang membawa kepada sifat bakhil , tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam.

Dalam sebuah hadis sahih, seseorang yang bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w mengenai perbandingan antara kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka jawab baginda:
"Ketahuilah kamu bahawa jika dibandingkan kenikmatan yang ada di dunia ini dengan kenikmatan di dalam Syurga, maka dunia sebenarnya adalah tak lebih seperti seketul bangkai yang ditarik atau direbut oleh beberapa ekor anjing."

Sementara dalam sebuah hadis lain, bertanya pula seseorang kepada Rasulullah s.a.w. mengenai perbandingan antara dunia dengan akhirat, maka jawab baginda: "Celupkan jarimu ke air laut, maka air yang menitis dari hujung jarimu itulah dunia, manakala air yang selebihnya tertinggal di lautan itulah akhirat."

6. Takbur:
Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu takbur atau sombong diri seperti nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : "Jauhilah sifat takbur, sesungguhnya seseorang hamba yang selalu bersifat takbur lambat laun Allah akan memerintahkan malaikatnya, tulislah hambaku ini dalam golongan orang-orang yang zalim."
( Hadis Riwayat Ibn Adi Abi Umamah ).

Sifat takbur, merupakan satu sifat yang amat di cela dan di kecam oleh Islam. Baik dalam hadis mahupun
dalam Al Quran terdapat berbagai-bagai keterangan yang menganjurkan setiap Muslim agar menjauhi sifat takbur itu.
Ciri-ciri sifat takbur ialah:
1. Lupakan hakikat diri sendiri selaku mahkluk yang amat lemah.
2. Lupakan kekuasaan Allah.
3. Memandang hina kepada orang lain.
4. Enggan menerima kebenaran.
5. Memandang dirinya sahaja yang pandai, besar, sempurna, benar dan kuat.

7. Riyak ;
Riyak pula ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan yang baik dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal?" Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda:" Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

8. Ujub;
Sifat ujub pula ialah berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujub bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain.

Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan menganggapnya bagai angin lalu. Nabi s.a.w. telah mengkhabarkan kepada kita dalam sebuah hadis: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan mudah dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

9. Kasih akan Dunia dan takut mati.
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupandan kesenangan dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :" Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak."

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"

Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"

Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita jauhi sifat-sifat mazmumah di atas, kerana sifat-sifat ini adalah sifat ahli Neraka. Orang yang banyak amalan kebaikannya ketika di dunia tetapi bila dia buat kerana yang lain daripada Allah, kerana riak, ujub dan takbur segala amalan-amalannya adalah umpama debu-debu yang berterbangan. Allah s.w.t akan lemparkan amalan yang dilakukan bukan kerana-Nya kemuka orang tersebut. Dari itu berhati-hatilah kita jangan sampai sifat mazmumah ini ada dalam diri kita.

Jauhi Diri Kita Daripada Sifat Fasik

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu sifat yang mazmumah dan keji adalah sifat fasik. Fasik di definisikan sebagai keluar daripada landasan syariat atau agama. Istilah fasik digunakan khusus kepada orang yang diperintahkan dengan hukum Allah namun mereka menolak untuk mentaatinya dan seterusnya mengingkari sama ada sebahagian mahupun keseluruhan hukum itu. Dengan lain perkataan, istilah fasik ditujukan kepada mereka yang banyak melakukan dosa, baik dosanya kepada Tuhannya atau dosanya kepada sesama manusia.

Orang fasik adalah orang Mukmin atau orang Muslim yang secara sedar melanggar ajaran Allah (Islam) atau dengan kata lain org tersebut percaya akan adanya Allah, percaya akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. tetapi dalam tindak perbuatannya mereka mengingkari terhadap Allah dan hukumNya, selalu berbuat kerosakan dan kemaksiatan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Orang Fasik adalah orang yang melanggar perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan dimuka bumi. Mereka itulah orang yang rugi”
(Surah Al Baqarah ayat 27)

Allah berfirman dalam surah al-Hasyr, ayat 19 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang yang fasik lagi derhaka.”

Bertolak daripada sini, dapat disimpulkan bahawa sifat fasik ini pada hakikatnya adalah sifat lupa diri itu sendiri. Ia berdasarkan analogi berikut iaitu apabila seseorang manusia lupa diri, maka secara automatik dia akan lupa kepada Tuhannya. Serentak dengan sifat lupa kepada Tuhannya menguasai dirinya, maka dia sudah pastinya akan berani melawan dan menentang segala hukum Allah.

Sahabat yang dimuliakan,
Salah satu sifat orang fasik adalah suka memutuskan silaturahim. Islam sangat menganjurkan untuk memelihara hubungan baik terhadap sanak saudara, dan orang-orang memutuskan silaturahim sangat dicela oleh Islam, seperti di dalam firmanNya, “Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan takutlah dari memutuskan silaturahim”
(Surah an-Nisa’ ayat 1)

Al-qarabat bererti hubungan silaturahim yang terbentuk atas dasar kekelurgaan. Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi maksudnya, “Aku adalah Allah, Aku adalah Zat yang Maha Pengasih. Aku ciptakan ‘rahim’. Aku ambilkan kata itu dari namaku. Siapa yang membina hubungan dengan sanak famili (silaturahim) aku akan menyambungkan ia dengan namaku. Dan siapa yang memutuskannya, Aku juga akan memutuskan hubungan dengannya.”

Allah s.w.t.telah berfirman maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan teliti (tabayyun) agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
(Surah Al-Hujuraat ayat 6)

Allah SWT dengan begitu tegas telah memberikan peringatan kepada kita di dalam menghadapi sesuatu berita terutamanya berita yang dibawa atau disiarkan oleh orang-orang fasik. Ertinya, jangan terpedaya atau mudah percaya begitu saja kepada suatu berita, khabar, pendapat, atau maklumat yang disebarkan oleh orang-orang fasik.

Orang fasik adalah orang yang melakukan dosa besar dan sering melakukan dosa kecil. Orang fasik tidak boleh menjadi saksi dalam Islam dan tidak boleh menjadi wali nikah dalam perkahwinan sebelum dia bertaubat. Jika tidak berhati-hati, memang tidak mudah bagi kita untuk memahami erti 'fasik' yang sebenar. Ini adalah kerana, di dalam Al-Quran, kata fasik muncul dalam berbagai konteks. Seseorang boleh dikategorikan sebagai fasik akibat melakukan dosa besar atau dosa kecil.  Sebahagian ulama mazhab Syafi'i menyatakan bahawa seseorang dapat dikatakan tidak fasik (adil) apabila kebaikannya lebih banyak dari kejahatannya dan tidak terbukti bahawa ia sering berdusta.

Islam memiliki mekanisme yang cukup rapi, dipercayai dan meyakinkan di dalam konsep penyampaian berita atau maklumat. Islam meletakkan 'kefasikan' dan 'keadilan' sebagai hal yang penting. Al-Mawardi meriwayatkan sebuah hadis Nabi s.a.w.: "Umumkanlah orang fasik dengan keadaan yang ada padanya agar masyarakat mewaspadainya."
Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan jika Aku (Allah) hendak membinasakan suatu negeri, maka Aku perintahkan kepada orang yang hidup mewah dinegeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan (fasik) dalam negeri itu, maka sepantasnya berlaku terhadap mereka (ketentuan-Ku) kemudian Aku hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya”
(Surah Al Isra' ayat 16)

Orang Islam yang berbuat fasik, berbuat kerosakan, kejahatan dan maksiat dimuka bumi ini, maka Allah menyediakan seksa Neraka yang pedih.

Akhirkata marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada sifat fasik kerana sifat fasik adalah sifat yang dibenci oleh Allah s.w.t. Sekiranya ada sifat-sifat fasik ini menguasai diri kita maka cepat-cepatlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah s.w.t.

Jauhilah Makan Secara Berlebihan Kerana Boleh Menutup Pintu Hati

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah S.W.T berfirman maksudnya : "Dan, makan serta minumlah kamu, tetapi jangan sampai berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raf ayat 31)

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya
(memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertga untuk pernafasan."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunannya – hadis no: 2302 dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih.” Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan)

Hadis ini telah salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umatnya jika makan hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadith ini maksudnya bukan demikian. Pembahagian tersebut ialah had maksima, kalau boleh hendaklah kurang daripada itu. Sebab itu baginda menyebut jika tidak dapat, bererti tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

Hadis di atas di samping menganjurkan agar menghadkan kadar makan dan minum, Nabi SAW juga mengingatkan tentang bahaya perut jika ia diisi dengan tanpa hadi. Difahamkan daripada hadis di atas juga bahawa perut kita hanya selamat jika ia diisi dengan makanan satu pertiga sahaja. Tetapi jika ia dipenuhi dengan makanan melebihi ruang itu, maka kemungkinan besar ia merbahaya kepada kesihatan kita sendiri.

Sayidina Umar r.a berkata : "Jauhilah daripada membuat perut kamu penuh, kerana perut yang penuh menjadi bebanan ketika hidup di dunia dan menjadi daging yang berbau busuk sesudah mati."

Kesan sampingan dan bahaya makan minum sering dilapurkan dan ia diakui sendiri oleh pakar perubatan bahawa punca penyakit yang diidapi oleh masyarakat manusia dan ada yang membawa kematian khususnya masyarakat moden hari ini, ia berpunca daripada banyak makan daripada kekurangan makanan. Penyakit-penyakit seperti darah tinggi, lemah jantung, kencing manis , gout dan lain-lain semuanya berpunca daripada lebih makan atau tidak mengawal makanan dengan cara yang betul.

Satu ketika Nabi S.A.W berjumpa dengan seorang lelaki yang mempunyai perut boroi (buncit). Maka Nabi S.A.W. menunjukkan kearah perut lelaki itu dengan jarinya seraya bersabda yang bermaksud : "Kalaulah makanan-makanan ini (yang menyebabkan perut boroi) di berikan kepada orang yang memerlukan adalah lebih baik." (Hadis Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Orang yang kuat makan dan makan banyak biasanya perut akan menjadi boroi disebabkan lemak-lemak tidak sempat dibakar dan ianya berkumpul diperut. Adalah lebih baik jika makan sekadarnya dan wang lebihan untuk membeli makanan tadi ditukarkan menjadi sedekah dan di berikan kepada fakir miskin lebih menfaatnya dan mendapat pahala.

Dalam hadis yang lain Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Orang yang banyak makan tiada nilai disisi Allah. Maka di datangkan pada hari kiamat seorang yang besar, panjang, kuat makan dan kuat minum tetapi apabila ditimbang amalannya tidak ada sebesar nilai kepak nyamuk pun di sisi Allah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh sebab itu Imam Al Ghazali dalam Minhajul ‘Abidin menjelaskan terdapat 10 bahaya berpunca daripada lebihan makanan. Di antara bahaya-bahaya makan minum tanpa had itu ialah;

1. BANYAK MAKAN HATI MENJADI KERAS DAN MEMADAMKAN CAHAYANYA.

Dalam sebuah hadis yang agak masyhur bahawa Nabi SAW mengingatkan; “Hati anak Adam ditempa bentuknya mengikut makan dan minum”. Ertinya bentuk dan sifat hati itu berpunca daripada makan minum.

Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak (berlebih) makan dan minum, walau pun yang halal. Kerana hati itu ibarat tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air”.

Hukama’ pula ada berkata; “Perut itu umpama kuali yang berada di bawah hati, bila ia mendidih asapnya akan terkena pada hati. Jika banyak asap, ia akan kotor dan menjadi hitam”. Ertinya bahan kimia daripada makanan itu menghasilkan toksid yang boleh membinasakan hati dan jantung.

2. BANYAK MAKAN HATI MENJADI RESAH DAN MERUNTUN ANGGOTA KE ARAH PERKARA SIA-SIA DAN MAKSIAT.

Seorang yang sentiasa kenyang sentiasa lupa daratan. Segala pancainderanya, seperti mata, telingan, lidah dan kemaluannya cenderung untuk melakukan perkara haram. Tetapi bila perut lapar, semua anggota menjadi aman dan tenteram daripada runtutan maksiat, hatta perkara fudhul (tidak berfaedah).

Jika makan yang haram, maka yang terhasil daripada anggota dan pancainderanya adalah perkara haram juga. Jika makan yang halal, yang terhasilnya adalah perkara baik dan manfaat serta keuntungan di dunia dan akhirat. Tapi jika makan belebihan, walaupun halal, ia mendatangkan kesan sampingan yang memudharatkan pula.

3. BANYAK MAKAN AKAN MELEMAHKAN AKAL DAN TERHALANG DARIPADA MENJADI CERDIK.

Benar sekali apa yang disebut oleh Imam Ad Daraqutni; “Bila engkau ingin sesuatu dari keperluan dunia dan akhirat, maka janganlah engkau makan dahulu sehingga perkara yang engkau ingin itu tercapai atau berhasil. Kerana makan itu akan merubahkan fikiran menjadi lemah. Bukti itu telah dialami oleh banyak orang yang mempraktikkannya”.

4. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN KURANG IBADAH.

Banyak makan menyebabkan badan menjadi berat, mata mengantuk, anggota badan lesu dan lemah. Walau pun dipaksa untuk melakukan sesuatu, tetapi tidak berdaya lagi, kecuali hanya tidur seperti bangkai terbuang.

Diceritakan bahawa Nabi Yahya as pernah bertemu dengan iblis sedang membawa sesuatu serupa joran (alat memancing). Nabi Yahya a.s. bertanya; “Untuk apa engkau bawa alat ini”.

Jawab iblis; “Inilah syahwat untuk aku pancing anak-anak Adam”.

Tanya Nabi Yahya lagi; “Adakah aku juga hendak engkau pancing?”.

Jawab iblis; “Tidak ada peluang. Tetapi pernah pada suatu malam, engkau makan agak banyak. Maka aku dapat memancing kamu sehingga engkau terasa berat untuk mengerjakan solat”.

Kata Nabi Yahya; “Kalau macam itu, mulai hari ini aku tidak lagi mahu makan kenyang sepanjang hidup aku”.

Kata iblis dengan penuh kesal; “Betapa menyesalnya aku kerana membuka rahsia ini. Mulai hari ini kami golongan iblis tidak akan menceritakan lagi rahsia ini kepada sesiapa pun”.

Ada pun kisah Nabi Yahya terlebih makan itu cuma berlaku sekali sahaja dalam hidupnya.

Cubalah bayangkan, bagi orang yang sentiasa kenyang pada setiap malam. Tentu sekali bukan sahaja malas, bahkan terasa rugi untuk bangun beribadah malam. Bila terjaga pada waktu malam sayang sekali untuk tinggalkan kain selimut dan tilam empuk untuk bangun beribadah kepada Allah.

5. BANYAK MAKAN AKAN MENGHILANGKAN KEMANISAN DALAM BERIBADAH.

Seperti seorang seniman yang sedang asyik menumpukan kepada kanvas lukisannya, ia pasti lupa alam sekelilingnya. Setelah selesai dihasilkan lukisannya, ia akan terasa suatu kepuasan. Demikian juga dengan badah yang dilakukan dengan takun dan khusyuk, akan terasa sedap dan nikmat. Selesai ibadah akan terasa suatu kepuasan.

Sayidina Abu Bakar berkata; “Sejak aku menganut Islam, belum pernah perut aku kenyang dengan makanan. Kerana aku ingin mendapat kemanisan dan kepuasan dalam beribadah. Juga belum pernah aku kenyang dengan minuman, kerana aku sangat rindukan Allah”.

Sayidina Abu Bakar r.a. ialah salah seorang sahabat Nabi SAW yang mendapat maqam (tingkatan) mukasyafah. Ini seperti mana diakui oleh Nabi SAW sendiri, maksudnya; “Tiada yang melebihi kamu Sayidina Abu Bakar dalam rasa kemanisan beribadah puasa dan solat. Sesungguhnya ia ialah kerana sesuatu yang tersimpan di dalam dadanya (takwa)”.

Inilah tanda dan sifat orang yang telah mendapat maqam mukasyafah kerana mengurangkan makan dan minum.

6. BANYAK MAKAN SEMBARANGAN MAKANAN AKAN MUDAH TERJERUMUS KEPADA SYUBHAT ATAU MUDAH MENDEKATI PERKARA HARAM.

Menurut Imam al-Ghazali, barang halal itu datang kepada kamu hanya sekadar untuk menjadi bekalan sahaja. Seperti mana disebut oleh Nabi SAW, maksudnya; “Sesungguhnya yang halal itu tiada datang kepada kamu, melainkan sekadar untuk menjadi bekal dan sekejab sahaja. Tetapi yang haram itu datang kepada kamu bertimbun-timbun”.

Banyak makan makanan syubhat menimbulkan was-was dalam hati. Sukar menghafal ilmu dan mudah lupa. Oleh sebab itu dalam hadis riwayat Bukhari bahawa Rasulullah SAW mensifatkan, di antara halal dengan haram ada di tengahnya perkara syubhat. Walau pun perkara syubhat belum haram, tetapi ia lebih mendekati ke arah haram dan termasuk perkara larangan, bagai taman larangan kawasan istana. Kerana, siapa yang suka meniti di atas syubhat, lambat laun ia akan terjerumus kepada haram. Bagi orang warak perkara syubhat dijauhinya bagai menjauhi perkara haram.

7. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN TIMBUL PELBAGAI PERKARA BURUK.

Di antara perkara buruk atau kesan sampingan berpunca daripada banyak makan ialah;

a). Hati dan badan menjadi penat kerana sebuk berusaha mencari perbelanjaan untuk tujuan menyediakan makanan yang lazat-lazat dan mahal-mahal perencah dan resepinya.

b). Badan akan menjadi penat dan letih dalam mencari pelbagai resepi, menyiapkan pelbagai jenis masakan, mencuci alat-alat yang telah diguna untuk makan dan sebagainya.

c). Menghabiskan masa, fikiran, dan pertimbangan untuk mengimbangkan resepi agar terasa lazat. Kerana bimbangkan risiko kekurangan salah satu bahan, nanti kurang sedap.

d). Selepas makan, kesibukan itu bersambung lagi, seperti kena mencuci gigi, menyiapkan peralatan selepas makan seperti kertas tisu, menghidang makan ringan sebagai pencuci mulut dan lain-lain.

e). Jika perut allergic terpaksa pula pergi ke jamban. Menghadapi risiko kesan sampingan seperti terkena penyakit darah tinggi, lemah jantung atau kencing manis dan lain-lain, maka terpaksa pula jumpa doktor dan sediakan ubat sepanjang masa.

f). Selalu rugi di bidang agama seperti;

i). Banyak makan menjadikan seseorang malas beribadah atau melambat-lambat sembahyang, kerana terasa penat akibat perut terlalu kenyang. Jika ibadah pun telah mengurangkan perkara-perkara sunat.

ii). Orang yang banyak makan akan sentiasa hendak membuang air kecil atau air besar atau sentiasa kentut. Oleh sebab itu wuduknya tidak dapat kekal. Ertinya, ia tidak mampu kekal dalam keadaan suci, iaitu sentiasa berada dalam wuduk. Sedangkan orang yang sentiasa berwuduk, menurut hadis, ia sentiasa diampuni dosa oleh Allah sepanjang ia berwuduk.

iii). Banyak makan menyebabkan kurang tahan beriktikaf atau tidak dapat berlama-lama dalam mesjid, kerana keluar untuk keperluan cari makan atau kerana terbatal wuduk (sentiasa kentut) atau kerana hendak buang air kecil atau air besar.

iV). Orang yang banyak makan ia tidak tahan berpuasa, kerana tidak tahan berlapar.

Demikian beberapa kelemahan keburukan orang yang banyak makan dan ia merupakan satu kerugian.

Sesungguhnya puasa, iktikaf, dawamut toharah (sentiasa berkeadaan suci – sentiasa berwuduk, termasuk juga menjaga kebersihan pakaian pada diri) dan lain-lain itu merupakan perkara yang menjadi ibadah dan mendapat pahala. Sedangkan banyak makan, menyebabkan peluang untuk berada dalam keadaan ibadah dan mendapat pahala menjadi terganggu oleh kesan sampingan akibat makan banyak seperti perasaan malas, mengantuk, terkentut, buang air kecil dan besar (menyebabkan tidak tahan berada dalam keadaan sentiasa wuduk) dan lain-lain.

Kerana itu Nabi SAW mengingatkan, maksudnya; “Punca segala penyakit ialah rakus atau lahap dalam makan dan punca segala ubat ialah berpantang”.

Malik bin Dinar pernah berkata; “Wahai saudara ahli Basrah, disebabkan makan terlalu banyak, maka kita terpaksa kerap pergi ke tandas, tempat yang hina. Ertinya kita dimalukan oleh Tuhan. Oleh sebab itu, maka aku amat inginkan sekiranya diberi rezki oleh Tuhan, cuma cukup untuk menjilat lidah sahaja pada batu krikil”.

Oleh itu orang yang Cuma menghabiskan masa untuk fakir makan dan minum sahaja, maka semua urusan yang dilakukan (untuk mencari makanan) hanya semata-mata untuk keduniaan dan tidak ada apa-apa bahagian untuk di akhirat. Kerana apa yang diusahakan semata-mata untuk menghasilkan najis dan mengakibatkan pula badan lesu, menanggung penyakit dan masa (umur) tebuang percuma sahaja.

8. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN AMAT SAKIT KETIKA SAKARATUL MAUT DAN URUSAN PERHITUNGAN DI AKHIRAT MENJADI RUMIT.

Dalam hal ini Nabi SAW ada mengingatkan yang bermaksud :  “Berat atau ringannya sakit sakaratulmaut itu bergantung kepada sedikit atau banyaknya kenikmatan dunia yang kita ambil. Jika banyak kenikmatan dan kesenangan dunia yang kita ambil dan nikmat, maka beratlah kita hadapi sakit sakaratul maut, kerana sedih dan sayang untuk meninggalkan dunia yang telah mendarah-daging bagi kita”.

9. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN KURANGNYA GANJARAN DI AKHIRAT, KERANA NIKMATNYA TELAH DITERIMA DI DUNIA.

Firman Allah, maksudnya; “Dan ingatlah hari ketika orang-orang kafir dimasukkan ke dalam neraka, kepada mereka dikatakan; ‘Kamu telah menghabiskan rezki dan kesenanganmu yang baik di dunia dan kamu telah pun bersenang-senang dengannya, maka pada hari ini dibalas pula dengan azab yang menghinakan. Kerana kamu dahulu di dunia sombong dan fasiq tanpa hak” (Surah Al Ahqaaf ayat 20).

Jika kita hanya mengambil dan menggunakan nikmat dunia semata-mata untuk merasakan kesenangan di dunia, maka akibatnya nikmat di akhirat akan dikurangkan oleh Allah.

Diriwayatkan bahwa suatu masa Khalid Ibnu Walid menghidangkan makanan yang enak-enak kepada Saidina Umar. Lalu Saidina Umar berkata; “Makan yang enak ini kita akan makan sekarang, tetapi bagaimana dengan nasib orang –orang fakir di kalangan sahabat Muhajirin yang meninggal dunia, kerana belum pernah kenyang makan roti yang dibuat daripada sya’ir (iaitu gandum yang amat murah harganya)”.

Khalid menjawab; “Ya, Amirul Mukminin, bagi mereka sudah ada syuga. Sekarang mereka sudah mendapat ganjarannya”. Kata Sayidina Umar lagi; “Kalau begitu, mereka sudah dapat syurga, sedangkan kita baru dapat makanan yang enak ini. Amat celakalah kita, kerana di antara kita dengan mereka berbezaan amat jauh sekali”.

Sayidina Umar amat faham tentang peringatan Rasulullah SAW, bahawa jika seseorang itu telah mendapat nikmat dunia dan bermewah-mewah dengannya, nanti di akhirat ganjarannya akan berkurangan.

10. BAHAYA MAKAN MERUMITKAN SOAL JAWAB DI AKHIRAT.

Bahaya makan terakhir ialah mengakibatkan seseorang itu akan menghadapi saat rumit ketika berhadapan dengan soal jawab di akhirat.

Walau pun memakan rezki yang halal, tapi jika di akhirat kita disoal siasat oleh Allah di Mahkamah Akhirat tentang daripada mana kita perolehi yang halal itu dan ia diperhitungankan satu persatu. Jika kita memakan makanan yang syubhat, kita akan disalahkan, kerana hanya ingin bersenang-senang. Sedangkan hal ehwal keadaan jiran, orang miskin dan lain-lain orang yang susah, tanpa dibantu, itu akan ditanya kelak oleh Allah kepada kita.

Sesiapa yang tidak membantu orang yang memerlukan bantuan, sedangkan ia mampu, maka ia dianggap tidak tergolong sebagai umat Islam.

Sebuah hadis bahawa Nabi SAW bersabda amat tegas sekali, maksudnya; “Siapa yang tidak memikirkan urusan sesama Muslim, ia dianggap bukan golongan mereka (bukan golongan Muslim)” (Hadis Riwayat Al Hakim dari Ibnu Mas’ud).

Oleh itu, dalam hidup ini, kita selaku umat Islam telah tersedia memikul amanah, sama ada amanah masyarakat atau amanah diri dan keluarga. Jadi, tidak pantaslah setiap hari kita cuma memikirkan tentang makan dan mengisi perut sahaja. Kerana kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap keluarga dan masyarakat.

Memang dalam hidup ini, lebih-lebih lagi untuk mengisi tugas dan tanggungjawab terhadap Allah dan juga masyarakat, kita perlukan badan sihat. Badan yang sihat, terbina daripada makanan minum yang baik dan berzat. Memang makanan itu perlu, tetapi janganlah sampai makan terlalu berlebihan sehingga melupakan tanggungjawab lain yang lebih utama.
 
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sentiasa meningkatkan amal soleh, amal ibadah dan amal kebajikan supaya dengan amalan ini dapat membantu kita ketika di periksa dan ditimbang dengan mudah di Mizan ( timbang amal manusia). Kurangkan makan dan minum walaupun halal tetapi iannya boleh menutup (hijap) pintu hati kita untuk lebih khusyuk dan  tenang ketika berhubung dengan Allah S.W.T. Hati yang mati adalah hati yang terputus hubungan dengan Allah  kerana pemilik hati tersebut banyak makan, minum, tidur, bermalas-malas , suka mengikut hawa nafsu dan berkekalan buat perkara maksiat.

Sesiapa Yang Mengambil Hak Orang Lain Perlu Di Kembalikan Sebelum Kematian Datang

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap muslim wajiblah menyelesaikan semua bentuk hak-hak yang belum di selesaikan ketika di dunia ini sebelum saat kematian tiba. Hak yang dimaksudkan disini terbahagi kepada dua iaitu hak Allah SWT dan hak sesama manusia.

Hak Allah SWT adalah berbentuk  amal ibadah yang ditinggalkan seperti meninggalkan solat fardu, puasa Ramadan, fidyah puasa, belum menunaikan nazar, belum mengerjakan fardu haji (walaupun sudah memiliki syarat-syaratnya) dan zakat (belum membayarnya walaupun telah sampai nisab dan tempuhnya).

Hak manusia yang wajib di tunaikan dan dipulangkan seperti hutang-piutang, melanggar perjanjian, pernah mengambil hak orang lain seperti tanah, buah-buahan, makanan, barang-barang keperluan lain, mencuri barang-barang orang lain, mencuri bekelan letrik (sambungan tanpa kebenaran), mencuri air (sambungan tanpa kebenaran), tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, monopoli harta pusaka keluarga (tidak dibahagikan secara adil sesama hak waris mengikut hukum faraid). 

Hak sesama manusia ini ada yang berbentuk bukan benda seperti pernah membuat fitnah, mengumpat, memaki hamun, memukul dan mencederakan orang lain,  membunuh dan membuat perbuatan sihir (kerana hasad dengki).

Sahabat yang dimuliakan,
Segerakanlah tunaikan hak-hak Allah SWT ketika di dunia ini tanpa ditangguh-tangguhkan kerana semuanya akan di tanya nanti di akhirat kenapa kalian melambat-lambatkan "membayar hutang" perkara fardu yang diwajibkan sedangkan kalian mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya. Di samping menunaikan ibadah tersebut jangan lupa beristighfar dan memohon ampun kepada-Nya di atas dosa dan kesalahan yang kalian telah lakukan.

Hak sesama manusia perlu diselesaikan segera di dunia ini kerana kita tidak tahu bila masa kita akan meninggal dunia. Sekiranya hak ini tidak diselesaikan di dunia hak ini akan di adili dimahkamah Allah SWT.

Dari Abu Salamah r.a., terdapat banyak permusuhan antara dirinya dengan orang banyak. Hal ini diberitakannya kepada Aisyah r.a. Aisyah berkata: Hai Abu Salamah! Hindarilah perbuatan mengambil tanah orang lain! Nabi SAW  pernah bersabda: "Barangsiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak agak sejengkal, maka akan dikalungkan kepadanya tujuh lapis bumi."(Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW  bersabda: "Siapa yang merosak nama baik atau harta benda orang lain, maka minta maaflah kepadanya sekarang ini, sebelum datang hari di mana mata wang tidak laku lagi. Kalau ia mempunyai amal baik, sebahagian dari amal baiknya itu akan diambil, sesuai dengan kadar aniaya yang telah dilakukannya. Kalau ia tidak mempunyai amal baik, maka dosa orang lain itu diambil dan ditambahkan kepada dosanya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dari Abdullah Umar r.a., Nabi SAW. bersabda: "Aniaya itu menjadi kegelapan di hari kiamat."
(Hadis Riwayat Bukhari)
 
Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, nescaya Tuhan akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Baihaqi)
 
Rasulullah SAW bersabda maksudnya  : “Seorang mukmin akan dibebaskan dari api neraka, lalu mereka diberhentikan di atas jambatan (qanthrah) antara syurga dan neraka, mereka akan saling diqisas antara satu sama lainnya atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas dari segalanya, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang diantara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia”.(Hadis Riwayat Bukhari).

Jambatan (qanthrah) disini, bukan sirat yang letaknya di atas Neraka Jahannam. Jambatan ini dibentangkan setelah orang mukmin berjaya  melewati sirat  yang berada di atas Neraka Jahannam.

Perlu diingatkan disini sesiapa pun dikalangan orang muslim , samaada pemimpin, menteri, penguat-kuasa unsang-undang atau pegawai keselamatan tidak boleh sama sekali menganyanya dan menzalimi orang lain samaada yang dizalimi itu seorang muslim atau bukan muslim. Terutama yang dizalimi itu rakyat biasa yang tidak berdosa, yang hanya berkumpul untuk menyatakan pendapat dan pandangan mengenai sesuatu isu yang melibatkan penyelewengan dan salah guna kuasa pemerentah. Ingat setiap titis darah yang mengalir tanpa hak akan dibalas oleh Allah SWT di hari akhirat. Mungkin di dunia ini mereka akan terlepas tetapi ingat dijambatan (qanthrah) akan diadili seadil-adilnya. Orang yang zalim tidak akan terlepas dijambatan tersebut, walaupun dia telah berjaya meniti di Siratul Mustakim masih adalah qisas yang akan dijalankan keatas dirinya oleh Allah SWT.

Begitu juga sesiapa sahaja di kalangan umat Islam yang mengambil hak orang lain berupa tanah, perniagaan, melanggar perjanjian, mencuri bekalan letrik (sambungan tanpa kebenaran TNB), berniat tidak mahu membayar hutang dan sebagainya semuanya tidak terlepas di akhirat. Dosa sesama manusia perlu di selesaikan di dunia kerana taubat kerana dosa sesama manusia tidak akan di ampunkan oleh Allah SWT (kerana ada tempat pengadilan yang telah disediakan) . 

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita perbaiki amalan kita dan segeralah bertaubat kepada Allah SWT dan memohon kemaafan sesama manusia dalam bentuk apa saja kesalahan. Semoga apabila kita bertemu Allah SWT nanti kita berada di dalam keadaan bersih dari noda dan dosa dan bergembira untuk memasuki syurga Allah SWT dengan rahmat-Nya.

Jauhilah Enam Penyakit Umat-umat Yang Terdahulu

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah medan ujian yang disediakan oleh Allah S.W.T. siapa di antara kita yang mampu istiqamah dengan cara hidup Islam. Ada dikalangan umat Islam yang hidupnya hanyalah memuaskan hawa nafsu, ajaran Islam ditinggalkan dan dia hanyut dibawa arus jahiliah. Ada pula mengambil Islam dalam bentuk ibadah khusus semata-mata semata-mata sedangkan hubungan sesama manusia yang melibatkan pergaulan, cara berpakaian, perniagaan dan muamalah jauh daripada syariat Islam. Tidak kurang ramai yang mengambil Islam semasa pernikahan dan kematian saja sedangkan dalam kehidupannya sehari-hari cara berpolitik, mentadbir negara terlalu jauh dengan akhlak dan hukum-hukum Islam. Akibatnya Islam hanya tinggal nama saja sedangkan syariatnya tidak lahir dalam kehidupan umat Islam.

Terlalu banyak penyakit-penyakit umat Islam hari ini, menyerupai penyakit-penyakit umat terdahulu yang dibinasalkan oleh Allah S.W.T. kerana keingkaran mereka mematuhi ajaran yang di bawa oleh rasul-rasul mereka.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah S.A.W.. bersabda maksudnya :  "Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi S.A.W.  menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah :

1. Terlalu banyak seronok,

2. Terlalu mewah,

3. Menghimpun harta sebanyak mungkin,

4. Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia,

5. Saling memarahi,

6. Hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim".

(Hadis Riwayat Hakim)

Huraiannya 6 penyakit tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Terlalu banyak berseronok.

Orang yang sedang leka dengan keseronokan dunia adalah orang yang lalai dan tidak pernah terlintas tentang kematian. Baginya mati itu tidak perlu difikirkan kerana dia akan pergunakan sesempatan di dunia ini untuk berhibur , bergaul bebas antara lelaki dan wanita, menyanyi, bergelak ketawa dan memuaskan nafsunya semata-mata.

Sekali Rasulullah S.A.W. masuk ke tempat sembahyang (musolla) dan baginda melihat beberapa orang sedang bergelak ketawa atau berbual kosong.

Lalu baginda bersabda yang bermaksud :
"Kalau kamu semua memperbanyakkan mengingati perkara yang melenyapkan segala kelazatan hidup, niscaya kamu akan menjadi sibuk (tekun beribadat) sepertimana aku melihat kematian."

"Oleh itu perbanyakkanlah mengingati mati kerana tidak berlalu satu hari melainkan kubur akan berkata, 'aku rumah kesepian, aku rumah keseorangan, aku rumah tanah dan aku rumah ulat dan cacing."

Keseronokan juga disebabkan mendapat kedudukan dan menjadi pemimpin dalam masyarakat, dia  disanjung dan dipuja, dihormati dan ramai pengikut. Seronok kerana semua kehendaknya dipenuhi dan mampu menjatuhkan orang lain yang tidak disukainya.

Kedua : Terlalu mewah.

Rezeki yang kita miliki hasil usaha kita sebenarnya bukan semua adalah hak kita. Oleh itu Islam mewajibkan zakat dan mengalakkan bersedekah dan membantu orang fakir-miskin. Sikap suka bermewah-mewah dan membazir bukannya lahir daripada akhlak Islam tetapi ianya adalah lahir daripada hasutan syaitan. Islam menyuruh umatnya hidup sederhana, tidak membazir dan banyak memberikan sumbangan harta dijalan Allah S.W.T.

Sikap suka bermewah dengan makanan dan pakaian, perhiasan rumah, kereta mewah dan berbangga dengan harta yang dimiliki akan menimbulkan perasaan riak dan sombong dan sifat ini amat dibenci oleh Allah S.W.T. Contoh yang diceritakan dalam al-Quran adalah kisah Qarun.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
"Barang siapa bertawaduk kerana Allah, maka akan diangkat darjatnya oleh Allah, barang siapa yang sombong, maka akan dijatuhkan darjatnya oleh Allah, barang siapa bersikap bersederhana (tidak boros dan tidak pula kikir), maka akan dijadikan kaya oleh Allah, barang siapa membazir, maka akan dijadikan miskin oleh Allah dan barang siapa memperbanyak ingatan kepada Allah, maka dicintai oleh Allah."

Ketiga : Menghimpun harta sebanyak mungkin

Islam mengalakkan umatnya mencari harta kekayaan dengan cara yang halal supaya dengan harta itu akan menjadikan umat Islam mempunyai kekuatan ekonomi dan umat Islam tidak mudah dipandang hina oleh orang bukan Islam. Tetapi Islam meletakkan harta bukannya sebagai matlamat tetapi ianya hanyalah sebagai alat saja untuk kebaikan Islam. Tetapi sekiranya seorang itu bekerja siang malam, mengumpulkan harta tanpa memperdulikan  ibadah kepada Allah, melupakan menuntut ilmu, tidak ada masa untuk mendidik ahli keluarga, kerja-kerja kebajikan dalam masyarakat diabaikan, maka Islam melarangnya. Terutama apabila harta yang diperolehi dengan cara haram seperti mengambil rasuah, bermain judi, menipu dalam perniagaan dan sebagainya.

Rasulullah S.A.W  bersabda maksudnya : "Barang siapa yang mendapat harta dengan jalan haram, kemudian ia menyambung silaturahim dengan harta itu, atau bersedekah dengannya, atau menginfakkan di jalan Allah, di hari kiamat nanti ia dan seluruh harta itu akan dikumpulkan dan dilemparkan ke dalam api neraka."

Sungguh hadis itu memberi isyarat bahawa harta haram itu tidak boleh memberikan manfaat apapun bagi yang membelanjakannya. Bahkan ia diancam dengan api neraka.

Keempat : Tipu menipu dalam dalam merebut harta benda dunia.

Islam melarang umatnya menipu dalam perniagaan hinggakan kita mengambil harta orang lain secara tidak sah dan besar dosanya disis Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat 188)  

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : " Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah S.W.T. akan mengalungi tanah tersebut sehingga tujuh petala bumi."

Kelima : Saling memarahi.

Islam melarang pergaduhan, maki hamun , permusuhan dan saling memarahi. Sifat suka marah adalah sifat yang disukai oleh syaitan. Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsunya.

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi S.A.W. "Berilah aku wasiat?."

Nabi S.A.W. bersabda: : "Janganlah engkau marah"

Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi S.A.W. bersabda : " Janganlah engkau marah"

(Hadis Riwayat. Bukhari).

Mengelak rasa marah adalah sepanjang waktu perlu mengawal emosi supaya tidak lekas marah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang cepat marah dan suka marah.

Perlu diingat, marah itu bara api syaitan yang menjunam ke dalam hati manusia dan syaitan itu adalah musuh manusia nombor satu. Jauhkan diri kita daripada sifat marah.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menahan kemarahannya dan dapat melaksanakannya, niscaya Allah akan memanggilnya di hadapan manusia ramai dan menyuruhnya memilih di antara bidadari yang dikehendakinya.”

Keenam : Hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim

Abul Laits Assamarqandi r.a. meriwayatkan dengan sanadnya dari Alhasan berkata Nabi Muhammad S.A.W. bersabda maksudnya : "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagai mana api makan kayu."

Ibrahim bin Aliyah dari Abbad bin Ishaq dari Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad S.A.W. bersabda maksudnya : "Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorangpun iaitu:   1. Buruk sangka 2.  Hasad dengki 3. Takut sial kerana sesuatu

Lalu ditanya: "Ya Rasulullah, bagaimana untuk selamat dari semua itu?" Jawab Nabi S.A.W: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut dari sesuatu maka hadapilah (jangan tinggalkan)." Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kau lahirkan dalam amal perbuatanmu sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah S.W.T. maafkan selama belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika buruk sangka maka jangan kau buktikan, jangan berusaha menyelidiki mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was atau takut dalam hati maka teruskan hajatmu dan jangan tinggalkan."

Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah!

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita berazam untuk menjauhi enam penyakit umat-umat yang terdahulu yang mana penyakit tersebut menyebabkan mereka ditimpa bala dan mendapat kemurkaan Allah S.W.T. Bila kita kembali mengambil al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W dan mengambil contoh akhlak Rasulullah S.A.W. maka kita akan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.



No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML