Thursday, January 9, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 82

Soal Jawab Agama Siri 82 

(Hukum Faraid, Aurat Wanita, Berkhalwat, Menggunakan Telefon Bimbit Dan Murtad)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 82 adalah menjawab persoalan hukum faraid, menceritakan aurat wanita Islam, hukum berkhalwat, menggunakan telefon bimbit semasa khutbah Jumaat dan saudara baru hendak kembali murtad. 

696. Soalan : Seorang wanita meninggal dunia meninggalkan wang berjumlah RM 100,000.00. Si mati meninggalkan suami, anak perempuan 2 orang, adik lelaki 2 orang, adik perempuan 2 orang. Ibu dan bapa simati sudah lama meninggal dunia dan simati tidak mempunyai anak lelaki. Bolehkan ustaz jelaskan bagaimana cara untuk membahagikan harta pusaka si mati mengikut hukum faraid?

Jawapan :

Harta peninggalan si mati (wanita tersebut) sebanyak = RM 100,000.00

Suami akan mendapat bahagian 18/72 = RM 25,000.00

Anak perempuan 2 orang, setiap seorang akan mendapat bahagian 24/72 = RM 33,333.33

Adik lelaki 2 orang, setiap seorang akan mendapat  bahagian 2/72 = RM 2,777.77

Adik perempuan 2 orang, setiap seorang akan mendapat bahagian 1/72 = RM 1,333.33

697. Soalan :  Apakah hukum memberitahu ciri-ciri bahagian aurat kepada yang bukan mahram tanpa menunjukkan bahagian tersebut? Contohnya seorang perempuan memberitahu kepada kawan lelakinya tentang rambutnya yang panjang, lurus dan sebagainya. Tetapi lelaki tersebut tidak pernah melihat rambut perempuan itu.

Jawapan :

Hukum memberitahu ciri-ciri bahagian aurat kepada yang bukan mahram adalah ditegah oleh syarak, maksudnya haram hukumnya walaupun orang itu tidak melihat aurat tersebut. Terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud r.a., Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang perempuan bergaul dengan perempuan lain kemudian menceritakan perihal perempuan lain itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya itu melihat perempuan yang diceritakannya". 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam  Ibnu Kathir menyatakan di dalam Tafsirnya mengenai Firman Allah Subhanahu Wa Taala (au nisaa`ihinna), maksudnya adalah, seorang wanita muslimah juga dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita muslimah, namun tidak boleh kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah); agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita muslimah kepada suami-suami mereka. 

Walaupun hal ini mesti dihindari (mahdzuuran) pada semua wanita, akan tetapi kepada wanita ahlu zimmah lebih ditekankan lagi. Illah (sebab) batas aurat wanita muslim dihadapan wanita bukan muslim sama seperti aurat perempuan dengan lelaki bukan mahram adalah kerana wanita bukan muslim ini tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan. Bagi wanita ahlu zimmah tidak ada larangan mengenai masalah ini (menceritakan aurat wanita lain). Adapun untuk wanita Muslimah, sesungguhnya, dia memahami bahawa hal ini (menceritakan aurat wanita lain kepada suaminya) adalah haram. Oleh kerana itu, hendaknya dia menjaga diri dari hal tersebut.

698. Soalan : Apabila seorang lelaki dan wanita yang belum berkahwin berdua-duaan ditempat yang sunyi. Mereka bercumbu-cumbuan tetapi tidak melakukan zina. Apakah hukuman yang dikenakan ke atas mereka berdua  jika ditangkap oleh Badan Pencegah Maksiat? Adakah perbuatan tersebut di kira berdosa besar?  Adakah jalan untuk mereka bertaubat dan bagaimana caranya?

Jawapan :

Merujuk kepada persoalan ditimbulkan, sebagaimana diketahui, zina adalah perbuatan yang dikutuk oleh Allah SWT. Dalam hubungan ini, ada banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW melarang umat Islam melakukan zina. Antaranya, Allah SWT berfirman, bermaksud: “dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk” (Surah al-Isra’ ayat 32) 

Oleh kerana zina itu ialah perbuatan yang terkutuk, maka apa saja yang berkaitan dengannya, sama ada perbuatan, kelakuan, perkataan atau apa sahaja kegiatan yang boleh menjerumuskan atau membawa seseorang itu terjerumus ke dalam perbuatan zina, maka ia diharamkan oleh Allah SWT.  Hukuman yang dikenakan ke atas mereka adalah hukum takzir.

Mengikut kaedah dalam ajaran Islam, perbuatan yang boleh membawa kepada perkara haram, maka ia juga haram. Begitu juga sebaliknya, sesuatu yang boleh membawa kepada perbuatan baik, berpahala, maka ia juga berpahala. Justeru, apa yang berlaku kepada lelaki dan wanita (berkhalwat dan bercumbuan) telah melakukan perbuatan yang memalukan dan perbuatan tersebut ditegah oleh Islam. Jika disabitkan kesalahan hukuman ke atas mereka yang hukuman Takzir.

Walaupun mereka tidak melakukan zina tetapi bercumbu dan bersunyi-sunyian dan melakukan perkara lain yang ditegah agama dianggap berdosa kerana ia lambat laun akan membawa kepada zina. Perbuatan itu haram disisi Islam walaupun tidak sama dengan dosa zina yang merupakan dosa besar. 

Tetapi melakukan suatu perbuatan yang boleh membawa kepada penzinaan itu adalah haram kerana perbuatan itu akhirnya menuju ke arah penzinaan. Ini berasaskan kepada hadis Rasulullah SAW. Baginda melarang orang yang menternak kambing seumpamanya, daripada menternaknya di tepi sempadan orang lain walaupun ia masih berada dalam tanah miliknya sendiri tetapi kerana berdekatan dengan sempadan itu, ditakuti binatang ternakan itu boleh memasuki dan memakan tanaman orang lain. 

Oleh itu, ia dilarang oleh Rasulullah SAW. ini bermaksud baginda melarang kita melakukan sesuatu yang boleh membawa kita terjebak ke dalam perbuatan haram. Oleh itu, segeralah bertaubat dan menyesal di atas perbuatan itu. Kembalilah kepada ajaran Islam sebenar, kuatkan iman dan rajin beribadat kepada Allah SWT. Pintu taubat masih terbuka dan Allah Maha Pengampun terhadap hamba-Nya yang menyesal dan bertaubat. Insya Allah, taubat mereka akan diterima Allah SWT. Kembalilah kepada agama Islam dengan sebenar-benarnya supaya hidup akan mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT.


699. Soalan :Apakah hukum menggunakan telefon bimbit  semasa khatib sedang menbaca khutbah Jumaat ?

Jawapan : 

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi  Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu  mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”. (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis ini, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa  barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadis ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang  Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan dalam hadis tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.  Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit  ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Wallahu a'lam

700. Soalan : Saya ada mengenali seorang saudara baru..Dia telah memeluk agama Islam 6 tahun sebab berkahwin dengan orang Islam tetapi Islam pada nama sahaja. Menurutnya ajaran Islam langsung tidak diajarkannya sekarang di ambang penceraian. Kawan saya ini bercadang hendak kembali kepada agama asalnya Kristian. Bagaimana cara saya hendak memberikan motivasi kepada beliau . Suaminya tidak memberikan nafkah dan tinggalkan dia berseorangan.?

Jawapan :  

Cuba puan nasihatkannya secara baik dan jelaskan Islam yg sebenarnya dan kehidupan dihari akhirat dan jelaskan kepadanya supaya dia bersabar ini dugaan untuk dia. Islam agama yg benar yang salah adalah penganutnya, yakinkan dia bahawa jika dia kekal dengan Islam Insyaa Allah , Allah SWT akan memberi jalan mudah kepadanya dalam kehidupan ini.

Islam sudah menunjukkan jalan terbaik bagi menghadapi ujian Allah SWT seperti bersabar seperti pesan junjungan besar Nabi SAW yang sewajarnya diikuti dan diamalkan oleh setiap orang beriman.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Di samping itu orang Islam juga harus bertawakal kepada Allah tatkala menghadapi ujian Allah SWT. Bertawakal bermakna berusaha dengan segala upaya untuk mengatasinya kemudian menyerahkannya kepada Allah SWT yang menentukan.

Firman Allah yang bermaksud:“Dan sepenuhnya urusanku ini, kuserah pasrahkan bulat-bulat kepada Allah, sebab Ia Maha memperhatikan semua urusan hamba-Nya.” (Surah al-Mukmin, ayat 44). 

Saya doakan semoga puan diberi kekuatan untuk memujuk hati saudara baru kita itu supaya tetap dengan Islam . Banyakkan berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberikan taufaik dan hidayah-Nya kepada saudara baru kita itu supaya dia membatalkan hasrat untuk kembali kepada agama asalnya. Wallahu a'lam..

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML