Soal Jawab Agama Siri 74
(Kematian Anak Kecil, Qada Puasa Ibu Yang Telah Meninggal Dunia, Upah Haji Dan Lain-lain.)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 74 adalah menjelaskan persoalan kematian anak yang belum baligh, qada puasa untuk ibu yang telah meninggal dunia, upah haji, darah istihadah dan cara berwuduk ketika luka berbalut.
656 Soalan : Dua hari sebelum raya baru-baru ini anak bongsu saya telah kembali ke Rahmatullah kerana sakit jantung bengkak. Anak lelaki berumur 4 tahun. Saya redha tapi hati saya sangat sedih dan sangat rindukan anak saya. Saya cuba sedaya upaya untuk tidak menangis, meratap tetapi hati saya tidak dapat melupakan detik-detik akhir dia bersama saya hingga ke hembusan nafas terakhir. Saya takut untuk menghadapi waktu pagi sessudah subuh kerana waktu itulah arwah meninggalkan saya selama-lamanya.
Saya memohon kepada Allah agar dapat berjumpa anak saya dalam mimpi. Saya nak lihat wajahnya yang damai, yang tidak dalam kesakitan dan penderitaan. Dengan harapan hati saya tenang dan gembira dengan keadaan dia di sana disisi Allah. Tapi masih tidak dikabulkan.
Apa yang berlaku kepadanya sebagai ahli syurga, apa yang dibuatnya, siapa yang menemaninya dan sebagainya.?
Jawapan :
Bersabarlah puan ada hikmah yang besar setiap kejadian ciptaan Allah SWT.
Hadis riwayat Abu Hassan radhiyallahu’anhu, ia berkata: "Saya mengatakan kepada Abu Hurairah, bahawa dua orang anakku telah meninggal dunia. Adakah berita (hadits) Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang dapat engkau sampaikan kepadaku yang dapat menyenangkan hati kami berkenaan dengan anak kami yang meninggal itu. Abu Hurairah menjawab: Ada! Anak-anak kecil (yang meninggal) menjadi kanak-kanak syurga, ditemuinya kedua ibu bapaknya, lalu dipegangnya pakaian ibu bapaknya - sebagaimana saya memegang tepi pakaian ini – dan tidak berhenti (memegang pakaian) sampai Allah memasukkannya dan kedua ibu bapaknya kedalam syurga." (Hadis Sahih Riwayat Muslim : 2635-1524)
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Huraian :
1. Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.
2. Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah :156)
3. Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.
4. Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.
5. Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.
657. Soalan : Saya nak bertanya bolehkah kita hendak qadakan puasa untuk arwah ibu yang pernah tinggalkan puasa masa hayatnya dulu ketika sakit?. Bagaimana cara dan niatnya. Saya harap ustaz dapat bantu menjawab kemusykilan saya ini.
Jawapan :
Sebagai anak kita boleh tolong mengqadakan puasa Ramadan yg ditinggalkan oleh arwah ibu kita. Niatnya sahaja aku qada puasa Ramadan untuk ibuku kerana Allah Taala.
Jika waris tidak mampu untuk menggantikan puasa arwah ibu (di sebabkan ibu uzur dan sakit) maka hendaklah digantikan membayar fidyah secupak makanan asasi untuk setiap hari yang ditinggalkan.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 184 :
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (184)
Maksudnya : "(iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): Memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 184)
Pada ayat 184 dan permulaan ayat 185, Allah SWT menerangkan bahawa puasa yang diwajibkm itu ada beberapa hari yaitu pada bulan Ramadan menurut banyaknya hari bulan Ramadan itu (29 atau 30 hari).
Sekalipun Allah SWT. telah mewajibkan puasa pada bulan Ramadan kepada semua orang-orang yang beriman, akan tetapi Allah Yang Maha Bijaksana memberikan keringanan kepada orang-orang yang sakit dan musafir untuk tidak berpuasa pada waktu itu dan menggantinya pada hari-hari lain di luar bulan Ramadan. Jika sakit yang tidak boleh sembuh maka diwajibkan membayar fidyah untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan.
658. Soalan : Bapa saya belum sempat mengerjakan haji beliau telah meninggal dunia, bolehkan saya upah haji untuk arwah bapa dan adalah dalil yang membenarkannya?
Jawapan :
Islam membenarkan untuk waris-waris si mati membayar upah haji bagi melaksanakan hasrat arwah ayah melalui jalan melantik seorang wakil yang layak (dengan syarat-syaratnya) berdasarkan kepada dalil dari hadis seperti di bawah ini:-
Telah berkata seorang perempuan kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, bahawasanya bapa saya telah sampai kewajibannya mengerjakan haji di waktu dia telah tua, dan dia tidak kuasa (mampu) menunggang untanya?" Jawab Rasulullah SAW: "Kalau begitu engkau kerjakanlah haji ganti untuknya". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.)
Daripada riwayat yang lain, dari Ibnu Abbas r.a. katanya seorang perempuan dari suku bangsa Juhainah datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: "Ya Rasulullah, ibuku telah bernazar untuk berhaji, namun belum dia sempat mengerjakan haji dia telah meninggal dunia. Adakah boleh saya gantikan Haji untuknya?" Jawab Rasulullah SAW: "Ya, Hajikanlah dia, jika ada ibumu berhutang, tidakkah engkau akan membayarkan untuknya? Bayarlah, kerana hak Allah (bagi sesorang Muslim yang telah bernazar mengerjakan Haji) itu lebih berhak untuk dibayar". (Hadis Riwayat Bukhari.)
Huraiannya :
Hadis di atas dengan jelas memberitahu seseorang yang telah memenuhi syarat untuk mengerjakan haji tetapi atas sebab tua atau uzur (tidak sihat dan sukar untuk sembuh), atau meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan Haji, maka anak-anaknya (lelaki atau perempuan) boleh berbuat manasik haji itu bagi pihak dirinya.
659. Soalan : Bolehkah ustaz menjelaskan apakah darah istihadah? Dan adakah apabila keluar darah istihadah seorang wanita boleh solat dan berpuasa?
Jawapan :
Darah istihadah ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan juga nifas. Darah istihadah merangkumi;
1. Darah yang keluar sebelum umur kemungkinan haid iaitu sembilan tahun mengikut jumhur ulamak.
2. Darah yang keluar kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam mengikut mazhab Syafi’ie.
3. Darah yang keluar melebihi tempoh maksima haid atau melebihi tempoh kebiasaan haid.
4. Darah yang melebihi tempoh maksima nifas.
5. Darah yang keluar dari wanita yang hamil mengikut pandangan jumhur ulamak selain mazhab Syafi’ie.
6. Darah yang keluar melebihi umur putus haid
Darah istihadhah tidak turun dari rahim sebagaimana darah haid atau nifas, akan tetapi keluar dari urat yang dipanggil al-‘Azil . Sifat darah istihadhah -menurut mazhab Syafi’ie- adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning).
Apabila keluar darah istihadah (bukan darah haid atau nifas) wanita diwajibkan solat dan berpuasa. Ketika solat perlu pakai tuala wanita dan ulama menjelaskan bahawa hanya satu wuduk untuk satu solat sahaja.
Cara kita dapat bezakan darah istihadah dengan darah haid adalah dengan tiga cara :
1. Dengan merujuk kepada kebiasaan haidnya yang lalu.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW. kepada Wanita yang istihadah pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid dan adapun yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadhah). Ini berpandukan hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi SAW; ‘Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi SAW. menjawab; ‘Tidak. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat (عرق), bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Jadi, seorang wanita semasa menghadapi masalah tersebut, jika ia mengingati tempoh kebiasaan haidnya, hendaklah ia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadah.
2. Dengan melihat kepada perbezaan darah.
Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadah, maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wuduk dan kerjakanlah solat”. (Hadis Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).
Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadhah.
3. Dengan merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita.
Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari. Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi r.a. yang menceritakan; Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi SAW untuk meminta fatwa dari baginda. Lalu baginda bersabda; Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah….(Hadis Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Menurut al-Albani; hadis hasan).
660. Soalan : Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wuduk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wuduk ?
Jawapan :
Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wuduk;
Pertama : Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wuduknya.
Kedua : Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.
Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?
Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wuduk atau mandi wajib sebagaimana asalnya.
No comments:
Post a Comment