Thursday, January 9, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 96

Soal Jawab Agama Siri 96

(Ciri-ciri Dajjal, Hukum Bersalaman, Makhluk Jin, Menjaga Anak Yatim Dan Selesaikan Hutang)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 97 adalah membicarakan persoalan Dajjal di akhir zaman, hukum bersalaman dengan wanita yang ajnabi, kehidupan mahkluk jin, memuliakan dan menjaga harta anak yatim dan cara selesaikan hutang jika si beri hutang sudah meninggal dunia.

Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan ciri-ciri Dajjal bermata satu yang dijelaskan dalam hadis Nabi SAW?

Jawapan :

Apa yang disebut dalam hadis ialah; Dajjal bermata satu adalah buta sebelah matanya, bukan bermata satu ditengah-tengah dahinya. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan akan memperingatkan umatnya tentang seorang penipu yang buta sebelah matanya (iaitu Dajjal). Ketahuilah bahawa ia buta sebelah matanya dan Tuhanmu tidaklah buta sebelah matanya. Di tengah antara dua matanya tertulis ‘kafir’” (Hadis Soheh al-Bukhari; 7408. Soheh Muslim; 2933, dari Anas bin Malik r.a.). 

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda; “Dajjal itu mata kirinya buta, rambutnya lebat / kusut, serta mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya adalah syurga, sedang syurganya adalah neraka” (Hadis Soheh Muslim, 2934, dari Huzaifah r.a.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas'ud dan kemudian membunuh Dajjal itu."


Soalan : Apakah hukumnya bersalaman dengan wanita yang ajnabi (bukan mahram)?

Jawapan : 

Berdasarkan pengamatan ulama, seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan wanita ajnabi.

Seorang tokoh mazhab Shafie yang disegani, Imam al-Nawawi menegaskan :
"Sesungguhnya halal melihat kepada wanita ajnabi jika ia ingin menikahinya, atau ketika urusan jual beli, atau ketika mengambil sesuatu barang atau memberi kepadanya dan seumpamanya dan tidak harus menyentuhnya dalam sesuatu situasi berkenaan". (Kitab al-Azkar, 228).

Dalilnya ialah ummul Mukminin Aisyah r.a pernah bersumpah menafikan Rasulullah SAW. pernah menyentuh tangan wanita dalam bai’ah peristiwa hijrah :

"Demi Allah, tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita pun, baginda hanya berbai’ah dengan ucapan". (Fath al-Bari 11/345-346 dan Sharh Sahih Muslim 13/10).

Hadis ini menjelaskan bahawa bai’ah wanita hanya berlaku dengan ucapan sahaja tanpa bersalaman. (Sharh Sahih Muslim 13/10).

Ini disokong oleh satu riwayat lain di mana Umaimah binti Raqiqah r.ah pernah berkata : "Aku datang kepada Rasulullah SAW. dalam kumpulan wanita, kami ingin berbai’ah dengannya. Kami berkata : “Kami berbai’ah denganmu wahai Rasulullah bahawa kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, kami tidak mencuri, tida berzina, tidak membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan membuat cerita dusta yang direka-reka serta kami tidak akan mengingkari perintahmu pada kebenaran”.

Lantas Rasulullah SAW. bersabda : “Pada perkara yang kamu mampu dan berdaya”. 

Umaimah menceritakan lagi : “Kami berkata bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih mengasihani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbai’ah denganmu wahai Rasulullah”.

Lalu Nabi SAW menjawab : “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita atau seumpama perkataanku kepada seorang wanita”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi 4/151-152, al-Nasa’i 7/149, Ibn Majah 2/959. al-Tirmizi menyebut : ‘Hadis ini hadis hasan sahih).

Hadis ini adalah nas yang jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW. tidak bersalaman dengan wanita ketika berbai’ah. Jika Nabi seorang yang maksum tidak bersalaman ketika bai’ah, maka lebih aula hukumnya dalam situasi selain bai’ah. Apabila Rasulullah SAW. tidak bersalaman dengan wanita, sudah tentu kita juga wajib mengikut sunnah baginda kerana baginda SAW. adalah qudwah dan ikutan kita semua. Wallahualam

Soalan : Saya pernah membaca beberapa ayat al-Quran bahawa Allah mencipta alam buana ini dari ledakan Big Bang dan seperti dalam teori fizik, dari situlah Allah SWT mencipta planet-planet melalui pergerakan graviti terhadap bahan yang terhasil dari ledakan itu sendiri. Bumi kita sekarang terletak dalam salah sebuah galaksi yg terdiri dari jutaan galaksi yg lain (Maha Suci Allah). 

Dalam al-Quran saya tidak ketemukan apa-apa hidupan lain di planet tersebut, adakah terdapat  hidupan lain yang dinamakan ‘makhluk asing’ di planet -planet yang lain? Tidak berlawanan dengan ayat yang menyatakan manusia adalah ciptaan Allah yang paling sempurna dan menjadi khalifah di alam ini, dalam banyak teori mengenai keujudan mereka (alien) tubuh fizik mereka tidak sehebat kita, berkaki pendek, kepala dan bermata besar, tidak boleh bercakap melainkan dengan telepati sahaja. Namun mereka amat pintar terbukti dengan kemampuan teknologi UFOnya (kalis graviti, memansuhkan inertia, dan lain-lain). 

Apakah ada hadis sahih menjelaskan keujudan makhluk asing di planet-planet tersebut? Apakah Nabi Muhammad SAW pernah membuat hubungan dengan mereka?

Terdapat teori lain yang mendakwa kenderaan Jin merupakan kapal piring terbang 
(UFO). Apakah pandangan Islam terhadap dakwaan ini?

Jawapan :

Terimakasih di atas soalan tersebut dan saya akan cuba menjelaskan setakat kemampuan yang ada berdasarkan nas-nas di dalam al-Quran dan hadis-hadsi Nabi SAW.

1.Pertama : Mengenai kebenaran teori Big Bang :

Terdapat ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan mengenai teori Big Bang.

Firman Allah SWT maksudnya :  "Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya." (Surah al-Anbiya' (21) ayat 30)

Memang terbukti bahawa sarjana-sarjana Barat sudah mengakui dan menerima teori Big Bang bukanlah lagi teori, tapi satu realiti sedangkan fenomena Big Bang ini sudah dijelaskan dalam dalam al-Quran. Lawati laman web Harun Yahya dari Turki untuk lebih memahami teori Big Bang.

2. Kedua:  Apakah ada makhluk asing hidup di galaksi dan planet yang bertaburan itu? Jawapan yang paling selamat ialah Wallahu a'lam (Allah yang lebih Mengetahui). 

Walaubagimana pun perlu kita fahami bahawa  di dalam al-Quran surah az-Zaariyat (51) ayat 56 Allah SWT berfirman maksudnya :"Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah kepada-Ku". 

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua makhluk ciptaan Allah SWT ini di muka bumi ini adalah semata-mata untuk menyembah dan beribadah kepaad Allah SWT. Jika ada makhluk-maklhuk lain di planet-planet lain ianya tidak lari daripada makhluk jenis jin , kerana penciptaan jin berlaku sebelum Nabi Adam a.s di ciptakan oleh Allah SWT.

Dalam al-Quran , Allah SWT berfirman maksudnya : “Maka Aku bersumpah dengan apa yang kamu lihat dan dengan apa yang tidak kamu lihat” (Surah al-Haaqqah (69) ayat 38-39)

Yang pasti sudah ada dua jenis makhluk yang tidak dapat kita lihat telah mampu dilihat oleh sebahagian orang termasuk para Nabi, antaranya Malaikat dan Jin. Jika Jin ini menampakkan dirinya dalam bentuk piring terbang pun ada kemungkinan juga. Malaikat memenuhi 7 petala langit, dijelaskan oleh ayat”

Firman Allah SWT maksudnya : ”Semua langit hampir  pecah di sebelah atasnya (kerana kebesaran Allah) sedang malaikat-malaikat bertasbih serta memuji Tuhannya” (Surah asy-Syuura(42) ayat 5)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Tidak ada siapa yang mengetahui bilangan tentera Tuhanmu (malaikat) kecuali Dia sendiri”  (Surah al-Muddatsir (74) ayat 31)

Di dalam al-Quran terdapat huraian mengenai makhluk jin.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami telah menciptakan Jin sebelum Adam dari api yang amat panas” (Surah al-Hijr (15) ayat 27)

” Sesungguhnya ia (jin) dan pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka” (Surah al-A'raf (7) ayat  27)

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Jin ada tiga species: yang terbang melayang, sejenis lagi yang berbentuk ular dan anjing dan satu lagi berdiam di dalam lumpur dan berjalan.” (Hadis Riwayat Tabrani, a-lHakim dan al-Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani dalam sahih al-Jaami’ 3/85)

Di dalam riwayat ada menceritakan bahawa Nabi SAW  pernah membuat perhubungan dengan makhluk ghaib iaitu  Malaikat (Malaiat Jibril) dan Jin, memang benar sama sekali.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan ingatlah ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Qur:an…” (Surah  al-Ahqaf (46) ayat 29)

Selain daripada kedua makhluk ghaib tersebut tidak terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW ada membuat perhubungan.

Ramai yang tertanya-tanya kapal piring terbang (UFO) yang pernah dilihat oleh manusia, adakah ianya dimiliki oleh makhluk jin atau makhluk asing?

Sebenarnya kapal piring terbang (UFO) adalah kenderaan makhluk jin dan makhluk yang dilihat oleh manusia seperti makhluk asing, berukuran lebih kecil daripada manusia sebenarnya mereka adalah jenis jin yang menampakkan keujudannya di alam dunia. Keadaan ini jarang-jarang berlaku dan tidak mustahil boleh berlaku dengan izin Allah.

Persoalan ini pernah ditanya oleh Muhammad Isa Daud (MID) kepada sahabatnya daripada Jin Islam (JI) bernama Mustafa . Dialog mereka seperti berikut :

MID :  Selama ini ada anggapan bahawa mata kalian selamanya merah, apakah benar"?

JI      : Tidak selamanya demikian. Mata kami , sebagaimana halnya dengan mata manusia, banyak sekali macamnya. Ada mata yang merah hitam, kuning, coklat tua, seperti mata mausia.  Adanya sinar-sinar halus yang memancar dari mata kami, yakni sinar yang selamanya cenderung berwarna merah. Ia tidak menakutkan bagi sesiapa yang menatapnya, bahkan disitu terdapat suatu keindahan.

Sedangkan telinga kami kedua-duanya mirip telinga kuda, khususnya dalam hal bentuknya yang runcing. Ada pula di antara kami yang telinganya mirip telinga kucing. Kalau ada di antara kami menyerupakan diri dalam bentuk-bentuk tertentu, maka yang paling mereka sukai adalah kucing, kuda atau harimau.

Hidung kami serupa hidung manusia. Hanya ia tidak mancung seperti hidung kalian. Lazimnya hidung kami pesek atau bulat mirip hidung lelaki atau wanita Filipina.

Jin Islam memanjangkan janggutnya, kerana mengikut sunah Nabi Muhammad SAW. Terdapat juga yang tidak berjanggut.

Rambut kami sangat tebal, dan lebih tebal lagi pada kaum wanita jin. Di kalangan kaum lelaki rambut kami terasa lebih kasar, dan dalam skala besar lebih banyak yang botak.

Rambut kaum wanita, bagi kami sangat -sangat panjang. Dan itu, merupakan lambang kecantikan. Sehingga ada di antara mereka yang rambutnya terseret di tanah kerana panjangnya.

MID    : Bagaimana pula tangan dan kaki kalian.?

JI         : Tangan kami seperti tangan kalian. Cuma dari segi panjang lengan dan kuku, agak berbeza. Lengan kami, dalam bandingannya dengan tubuh kami, terbilang sangat panjang, bila dibandingkan dengan lengan kalian terhadap tubuh kalian. Demikian pula halnya dengan kuku-kuku kami. Sebab, jari-jari kami pun panjang-panjang. Sedangkan kaki kami , beza dengan kaki  kalian dalam hal letak tumit dan keruncingan jari-jarinya.

MID    : Apakah kalian juga punya tulang, jantung, organ pernafasan dan pencernaan?

JI         : Ya sama seperti kalian, sekalipun tulang kami, dibandingkan dengan kulit atau daging kami, agak besar. Sekarang ini, kami memiliki kelenturah yang tidak mungkin kalian bayangkan. Organ-organ kami yang selebihnya, agak kecil-kecil. Semuanya berfungsi seperti tubuh kalian, sekalipun kami tidak memerlukan  oksigen untuk bernafas sebanyak yang kalian perlukan.

Begitu pula dengan alat pencernaan yang mencerna segala yang kami makan. Sisa-sisa pencernaan kami juga keluar dari lubang-lubang pencernaan seperti kalian alami, sekalipun najis kami tidak berbentuk kasar, melainkan lebih mirip dengan wab yang sangat pekat.

Sedangkan air kencing, juga berbentuk gas yang sangat kuat tekanannya, tetapi sangat ringan dan mirip aliran air pancur dikalangan kalian. Itu sebabnya , maka ada syaitan yang boleh mengencingi telinga seorang muslim yang sedang tidur tidak menyebut ASMA ALLAH dan yang dimalam harinya tidak pernah berniat untuk menunaikan kewajipan kepada Allah, Tuhan semesta alam.

Muhammad Isa Daud menceritakan terdapat peristiwa yang berlaku  :

"Seorang Amerika (namanya Mash) berjumpa di kebunnya makhluk yang pendek tinggi sekitar 160 sentimeter. Di pinggan kanannya ada senjata, sedang di pinggang kirinya tergantung beg besar. Mereka melarikan diri dengan pesawat mereka tingginya kira-kira 2.5 meter. Pesawat mereka diperbuat dari bahan sejenis kaca, pintu pesawat tertutp, dari bawah ke atas. Pesawat berlepas dengan penyemburan cahaya yang sangat menyilaukan."

JI     :  Aku bersumpah kepadamu dengan nama Allah, bahawa mereka adalah jin. Akan tetapi, lazimnya, mereka menampakkan diri dalam bentuk yang lebih tinggi dan besar daripada bentuk mereka yang sebenarnya.

MID  :  Dari mana mereka datang?

JI     : Entah, tetapi mungkin saja mereka itu adalah penghuni ruang cahaya yang terdapat di antara sinar merah dan awan. Atau, penduduk yang datang dari dasar lautan. Sekarang engkau sudah tahu secara lengkap. Kerana itu kemukakan kebenaran yang engkau ketahui ke seluruh dunia, sehingga tidak ada lagi kegelapan yang ditimbulkan oleh tipu-muslihat jin dan yang terbentuk kerana dugaan-dugaan salah. 

[ Perhatian : Misteri terlihatnya UFO (Kapal Piring berbentuk bulat) sebenarnya adalah pesawat daripada makhluk jin bukannya makhluk asing dari planet yang lain daripada bumi. Mustafa (Jin Islam) yang berbicara dengan Muhammad Isa Daud menjelaskan beliau sudah melakukan penerbangan lebih seratus kali di angkasa raya tetapi tidak berjumpapun dengan makhluk asing yang dikatakan oleh manusia. Jika kalian bertemu dengan apa saja bentuk rupa makhluk samaada cantik atau hodoh sebenarnya mereka adalah terdiri daripada makhluk jin yang boleh menyerupai sesuatu. ]

Jin yang berdiam di suatu tempat dan memperlihatkan diri dalam peristiwa-peristiwa yang ganjil-ganjil. Apabila mereka (jin) berhadapan dengan seorang muslim yang bertakwa dan kuat akidahnya, lalu orang itu membaca Ayat Kursi dan ayat pertama dalam surah Ash- Shaffat . [Firman Allah SWT maksudnya, "Demi (rombongan malaikat) yang berbaris bershaf-shaf" (Surah Ash-Shaffat ayat 1) ], pasti mereka terbakar dengan kekuatan yang diberikan Allah, atau lari lintang pukang, tanpa mahu kembali lagi ketempat itu.

Dari hadis riwayat Tabrani di atas, memang terdapat species Jin yang terbang di angkasa. Ini diperkuatkan oleh dalil al-Quran :

Firman Allah SWT maksudnya : ” kecuali syaitan (jin) yang mencuri-curi yang dapat didengar (dari Malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang” (Surah al-Hijr (15) ayat 18)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : " ...tapi sekarang barangsiapa yang mencuba mengintip tentu akan menemui panah api yang sedia menunggu.”(Surah al-Jin (72) ayat 9) 

Maka dengan sifat dan keupayaan jin di angkasalepas mengintip rahsia langit, maka sudah tentu mereka memiliki keupayaan terbang dan kekuatan yang canggih. Walllahu a'lam.

(Ruj: DrSulaiman al-Ashqay, Alamul Jinn was Syayaathin/134; Dr alBasith alJamal, Mausu’ah al-Isyaraat al-Ilmiyah fi alQur:an was Sunnah dan Buku Dialog Dengan Jin Islam - Muhammad Isa Daud)

768. Soalan : Saya terdengar pendapat mengatakan pemegang wasiat harta anak yatim mempunyai sebahagian hak keatas harta tersebut. Dan ia dibolehkan utk membelanjakan asalkan tidak dgn secara pembaziran.

Betulkah pandangan sebegini?

Jawapan : 

Panduan mengurus harta anak yatim dijelaskan dalam ayat berikut:

“Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas berpatutan dan janganlah kamu tergesa-gesa membelanjakannya sebelum mereka dewasa. Barangsiapa (di antara penjaga) itu mampu, maka hendaklah dia menahan diri (dari makan memakan harta anak yatim itu dan barangsiapa (penjaga) yg miskin, bolehlah dia memakan harta itu menurut kadar yg patut…) AQT 4 (an-Nisaa’ : 06

Tafsir Ibn Jauzi (w. 597H, Baghdad) menjelaskan dalam tafsirnya, maksud makan harta anak yatim dengan berpatutan itu:

1. Menggunakannya dengan cara pinjaman (loan)

2. Membelanjakan menurut kadar keperluan dan tidak berlebihan

3. Menggunakan harta itu setimpal dengan nilai kerja yang dilakukan demi kepentingan anak yatim itu

4. Pengurus mengambil dalam keadaan terdesak, apabila ia kelapangan ia memulangkan semula, tapi kalau tidak mampu, maka ia halal.


Begitulah maksud ayat itu dan maksud memakan harta anak yatim oleh pengurusnya. 

Soalan : Apa hukum pula kakitangan kerajaan yang menerima gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai judi dan arak? Bagaimana pula anak-anak yang mendapat wang dari bapa terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya? Bagaimana pula persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba?

Jawapan :

Perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;

1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas traksaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut.

Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi.

Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran (maksudnya):

“dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing, baginda memakannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.

Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah berubah baunya dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

5. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:

“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:


“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675). Wallahu a'lam.

Soalan : Bagaimana melunaskan hutang, apabila orang yang memberi hutang sudah meninggal dunia atau tidak diketahui sekarang dia berada di mana?

Jawapan :

Hal ini telah dijawab oleh Syaikh Ibnu ‘Uthaimin Rahimahullah. Beliau mengatakan, “Apabila kamu mempunyai hutang kepada seseorang dan kamu merasa belum membayarnya dan merasa hutang tersebut masih ada sampai orang yang memberi hutang mengambil haknya, dan apabila orang yang memberi hhutang tadi telah meninggal, maka hutang tersebut diberikan pada ahli warisnya. Jika kamu tidak mengetahui ahli warisnya atau tidak mengetahui orang tersebut atau tidak mengetahui di mana dia berada, maka hutang tersebut dapat disedekahkan atas namanya dengan ikhlas. Dan Allah subhanahu wa ta’ala mengetahui hal ini dan akan menunaikan pada orang tersebut.” (Syarh Riyadhis Sholihin, Bab Taubat, 1/47)

Dan juga telah diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu bahawa beliau membeli hamba daripada seorang lelaki. Kemudian beliau masuk (ke dalam rumah) untuk mengambil wang pembayaran. Akan tetapi tuan hamba tadi telah pergi sehinggakan Ibnu Mas’ud yakin lagi tuan hamba tersebut tidak akan kembali. Akhirnya beliau bersedekah dengan wang tadi dan mengatakan, “Ya Allah, wang ini adalah milik tuan hamba tadi. Jika dia redha, maka balasan untuknya. Namun jika dia enggan, maka balasan untukku dan baginya kebaikanku sesuai dengan kadarnya.” (Tazkiyatun Nufus pada Bab At Taubah yang dikumpulkan dari tulisan Ibnu Rojab, Ibnul Qoyyim, dan Imam Al Ghozali oleh Dr. Ahmad Farid)

Kesimpulan:

a) Kena pastikan bahawa memang orang yang kita berhutang dengannya tidak dapat ditemui.

b) Jika tidak dapat ditemui, maka bayarkan hutang itu kepada warisnya.

c) Jika tidak diketahui siapa warisnya, maka boleh bersedekah dengan meniatkan untuk pemilik hutang tersebut.


Wallahua’lam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML