Thursday, January 9, 2014

SOAL JAWAB AGAMA SIRI 80

Soal Jawab Agama Siri 80 

(Terbuka Aurat, Menangis Semasa Solat, Was-was Batal Wuduk, Wang Faedah Dan Murtad)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 80 adalah membicarakan persoalan terbuka aurat ketika solat, menangis ketika solat, was-was batal wuduk kerana angin keluar, wang faedah dan kes murtad.

686. Soalan :  Sahkah solatnya seorang wanita yang terdedah auratnya ketika solat?
   
Jawapan :

Aurat Wanita Di Dalam Sembahyang

1. Ulama Mazhab Syafie sepakat, aurat wanita di dalam sembahyang, wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Tiada terkecuali biarpun sembahyangnya seorang diri di tempat gelap atau di dalam khemah.

2. Makruh menutup muka seperti memakai purdah yang menampakkan kawasan mata dan dahinya, atas pendapat banyak ulamak. Satu pendapat di dalam Kifayatul Akhyar, membolehkan memakai purdah seperti yang disebutkan itu bagi mengelakkan pandangan liar lelaki ajnabi di dalam masjid.

3. Batas aurat itu adalah ditutup daripada pandangan sebelah atasnya dan daripada kelilingnya. Tiada pada pandangan daripada bawahnya. Jika dia sujud, maka tapak kakinya perlu ditutup dengan pakaian, dan tidak boleh terbuka berdasarkan pandangan daripada keliling.

4. Syarat aurat itu juga ialah kain yang dipakainya mestilah tidak nipis sampai menampakkan warna kulit atau warna rambut.


5. Bila aurat itu terbuka kerana ditiup angin, tidak membatalkan solat dengan syarat ditutup dengan segera dan terbuka itu tidak melebihi kadar waktu melafazkan subhanaAllah.

687. Soalan : Saya hendak tanya apakah hukumnya kita menangis ketika dalam solat fardu atau pun sunat. Satu lagi kalau kita menangis ( bukan la terisak-isak cuma air mata yang keluar) apakah solat kita menjadi batal? 

Jawapan :

Menangis ketika solat fardu dan sunat tidak membatalkan solat. Diharuskan menangis dalam solat kerana takutkan Allah SWT, takut akan seksanya serta takut amalan tidak diterima oleh-Nya. Ia merupakan sifat ahli takwa, yang sentiasa mendambakan keredaan dah kasih sayang-Nya yang Maha Agung.

Tidak semua kita yang mampu mengalirkan air mata dalam solat. Malahan hanya sedikit yang menangis dalam solat. Tangisan dalam solat sangat bermakna di hadapan Allah SWT.

Menangis dalam solat adalah antara ciri orang yang beriman kepada Allah SWT, firman-Nya yang bermaksud: "...apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. (Surah Maryam ayat 58)

Abdullah bin Syirkhir berkata yang bermaksud: "Aku melihat Rasulullah SAW mendirikan solat mendirikan solat sambil baginda teresak-esak bagaikan dadanya terdapat air yang sedang mendidih di dalam cerek". (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasaie, dan al-Tirmidzi)

Begitulah apa yang digambarkan oleh para sahabat nabi SAW dalam memperakui sikap baginda dalam solat. Pernah juga diriwayatkan dalam beberapa athar bahawa tempat sujud baginda akan basah dek tangisan baginda dalam sujud. Baginda berpesan agar pembaca al-Quran itu menangis, kalau tidak boleh menangis buat-buatlah menangis.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:" Bacalah al-Quran serta menangis ketika membacanya, jika kamu tidak dapat menangis maka buat-buatlah menangis." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam banyak keadaan para sahabat menangis bersama Rasulullah SAW sama ada dalam solat, membaca al-Quran mahupun dalam keadaan umat Islam terhimpit dalam kesusahan. Ringkasnya, air mata, Rasulullah SAW dan para sahabat tidak dapat dipisahkan daripada al-Quran.

688. Soalan : Adakala ketika solat saya rasa macam saya terkentut. Ini disebabkan rasa nak terkentut tadi hilang tetapi saya tidak dapat pastikan sebab tidak ada rasa angin keluar. Oleh itu bagaimana saya hendak pastikan bahawa saya benar-benar terkentut? 

Jawapan :

Perasaan was-was itu adalah dari syaitan yang bertujuan untuk menyesatkan manusia. Syaitan sentiasa berusaha sedaya upaya mengganggu manusia dengan meniupkan bisikan-bisikan yang halus dalam hati supaya timbul kecelaruan yang mempengaruhi keputusan akal. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Nas ayat 4-6 bermaksud "Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan)ke dalam dada manusia, dari golongan jin dan manusia". 

Oleh itu saudara dinasihatkan supaya menjauhi penyakit ini dengan cara banyak-banyak membaca ta'awwuz (mohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan dan bisikan syaitan) dan surah al-Nas apabila hendak melakukan sesuatu perkara dan lakukan ia dengan penuh yakin.

689. Soalah : Saya ingin tahu apakah yang patut saya lakukan terhadap wang faedah yang diperoleh daripada bank konvensional.  Apakah saya boleh mengambilnya atau biarkan sahaja digunakan oleh pihak bank ?

Jawapan:

Tidak syak lagi bahawa wang faedah atau “interest” yang diberikan oleh mana-mana bank konvensional adalah ditegah dan haram hukumnya seseorang mengambil dan menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadinya atau keluarganya seperti membeli makanan, pakaian, tempat tinggal atau menggunakan wang itu untuk membayar hutangnya, walaupun orang yang memberi hutang itu bukan Islam atau untuk membayar hutangnya, atau untuk membayar cukai, termasuk cukai pendapatan.

Sikap sesetengah orang tidak mahu mengambil wang “interest” dan membiarkannya terus berada di dalam bank adalah juga salah dalam ajaran Islam kerana ini bermakna dia mengukuhkan lagi kedudukan bank yang mengamalkan sistem riba serta menolong dan membantu berkembangnya maksiat.

Menolong perkara yang haram adalah haram.  Lebih malang lagi bagi umat Islam yang menyimpan wang mereka di bank luar negara seperti di Eropah atau Amerika dan tidak mengambil faedah “Interest”di mana akhirnya wang itu digunakan oleh bank itu bagi membantu pertubuhan-pertubuhan Kristian dan Yahudi yang berada di negara-negara Islam bagi memantapkan lagi usaha mereka untuk mengkristiankan umat Islam atau sekurang-kurangnya membuat pelbagai kegiatan bagi melemahkan keimanan umat Islam dan seterusnya terpesong daripada ajaran Islam.

Oleh itu, wang faedah atau “interest” hendaklah diambil dan diserahkan kepada Baitulmal untuk dibelanjakan dan membiayai projek-projek kebajikan umum seperti membantu fakir miskin, anak-anak yatim, membuat jambatan, jalan dan seumpamanya.

Kesimpulannya, ada empat hukum berkaitan penggunaan wang “interest” atau mana-mana wang daripada sumber haram, iaitu :

1. Mengambil dan menggunakannya untuk kepentingan peribadi hukumnya haram;

2. Membiarkannya tersimpan dalam bank hukumnya haram juga;

3. Mengambil dan merosakkannya seperti dibakar atau dibuang ke laut, juga hukumnya haram;

4. Mengambil dan menyerahkannya kepada Baitulmal, inilah yang dituntut.

Satu hal yang perlu dijelaskan disini bahawa penggunaan wang itu pada urusan kebajikan umum bukanlah termasuk dalam ertikata sedekah, cuma ia satu cara perbelanjaan atau penggunaan wang haram pada satu-satunya jalan yang diharuskan.

Mereka yang mengambil wang "interest"  dan menyerahkannya kepada Baitulmal tidak mendapat pahala sedekah, tetapi akan mendapat pahala dari dua segi, iaitu:

1. Keengganannya menggunakan wang haram untuk faedah sendiri adalah satu sikap yang baik dan akan diberi pahala oleh Allah SWT.

2. Dia sebagai orang tengah yang membuat kebajikan dengan menyerahkannya kepada Baitulmal juga diberi pahala oleh Allah SWT.

Wallahu a'lam.

690. Soalan : Saya ingin bertanya mengenai perbuatan orang Islam yang murtad dan menjadi Kristian tetapi selepas itu memeluk Islam semula. Saya ingin tahu apakah hukum Islam mengenai perbuatan orang seperti itu. Adakah perbuatan seumpama itu dibolehkan dalam Islam? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Sebagai seorang muslim, kita wajib untuk meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diterima oleh Allah SWT. Allah berfirman, maksudnya : “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam” 
(Surah Ali-Imran (3) ayat 19).

Selain itu, Allah juga berfirman, maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi” (Surah Ali-Imran (3) ayat 85). 

Sebenarnya banyak lagi ayat al-Quran yang menerangkan kepada kita bahawa sesungguhnya Islam itu satu-satunya agama yang benar dan diturunkan Allah serta diterima-Nya. Dengan sebab itu, dalam pegangan agama, seseorang muslim tidak boleh memperolok dan mempermainkan agama Islam yang telah menjadi iktikad serta keyakinannya selama ini. Adalah menjadi suatu dosa besar jika melakukan sedemikian.

Perlakuan seperti ini adalah merupakan satu jenayah agama yang sangat besar di sisi Allah SWT. Allah berfirman, maksudnya: “...dan sesiapa yang murtad di antara kamu (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam) lalu dia mati sedang dia tetap dalam kekafiran, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya selama-lamanya” 
(Surah al-Baqarah (2) ayat  217).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman, maksudnya: “sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.” (Surah an-Nisaa’ (4) ayat 137).

Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, jelas menunjukkan bahawa orang seperti yang disebutkan dalam soalan saudara itu telah melakukan jenayah besar dalam ajaran Islam dan sekiranya dia murtad, maka segala pahala amalan yang dilakukannya sebelum ini samada sembahyang, puasa, zakat dan mungkin pelbagai ibadat lain lagi akan terhapus begitu sahaja.Dan amat malang sekali sekiranya orang tersebut meninggal dunia dalam kekufuran, maka dia akan menjadi orang yang mati dalam keadaan syirik kepada Allah SWT serta dosanya pasti tidak akan diampunkan.Tetapi sekiranya dia Islam, kemudian murtad dengan menganut Kristian, selepas itu memeluk Islam semula dengan mengucap dua kalimah syahadah dan bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah SWT serta memperelokkan agamanya berbanding sebelumnya, insya Allah taubatnya itu akan diterima Allah SWT dengan syarat dia tidak lagi mempermain-mainkan agamanya. Sebaliknya terus berusaha menjadi seorang Islam yang baik, menghayati Islam sepenuhnya, mempelajari dan mengukuhkan lagi iman dan akidahnya kepada Allah SWT.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML