Sunday, December 29, 2013

KEWAJIPAN MEMPELAJARI ILMU TAUHID

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam kitab dikatakan, awaluddin makrifatullah (awal-awal agama ialah mengenal Allah). Apabila seseorang itu tidak mengenal Allah, segala amal baktinya tidak akan sampai kepada Allah SWT. Sedangkan, segala perintah suruh yang kita buat, baik yang berbentuk fardu maupun sunat, dan segala perintah larang yang kita jauhi, baik yang berbentuk haram maupun makruh, merupakan persembahan yang hendak kita berikan kepada Allah SWT.

Kalau kita tidak kenal Allah SWT, maka segala persembahan itu tidak akan sampai kepada-Nya. Ini berarti, sia-sialah segala amalan yang kita perbuat.

Bila seseorang itu sudah kenal Allah barulah apabila dia berpuasa, puasanya sampai kepada Allah SWT. Apabila dia solat, solatnya sampai kepada Allah. Apabila dia berzakat, zakatnya sampai kepada Allah SWT. Apabila dia menunaikan haji, hajinya sampai kepada Allah SWT. Apabila dia berjuang, berjihad, bersedekah dan berkorban, serta membuat segala amal bakti, semuanya akan sampai kepada Allah SWT.

Kerana itulah, makrifatullah (mengenal Allah) ini amat penting bagi kita. Jika kita tidak kenal Allah, kita bimbang segala amal ibadah kita tidak akan sampai kepada-Nya, ia menjadi sia-sia belaka. Boleh jadi kita malah hanya akan tertipu oleh syaitan saja. Kita mengira amalan yang kita perbuat sudah kita persembahkan pada Allah SWT, padahal itu adalah jebakan syaitan.

Ini kerana kita tidak mengenal Allah, sehingga kita tidak mampu membedakan ilah (tuhan) yang kita ikuti, apakah itu Allah, atau syaitan yang menipu daya.

Sebab itulah mengenal Allah SWT  itu hukumnya fardu ‘ain bagi tiap-tiap mukmin.

Mengenal Allah SWT dapat kita lakukan dengan cara memahami sifat-sifat-Nya. Kita tidak dapat mengenal Allah SWT melalui zat-Nya, keranan membayangkan zat Allah itu adalah suatu perkara yang sudah di luar batas kesanggupan akal kita sebagai makhluk Alah Kita hanya dapat mengenal Allah melalui sifat-sifat-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Perkataan makrifat ertinya mengenal dan apabila disebut makrifatullah ertinya ialah mengenal Allah.

Asal makrifat itu ialah dapat membezakan sesuatu dengan sesuatu dan di dalam konteks ilmu tauhid , dapat membezakan antara Allah dan makhluk.Makrifatullah atau mengenal Allah itu hukumnya wajib atas tiap – tiap mukallaf samada lelaki atau perempuan sebagai wajib fardu ain sekira – kira dapat melepaskan dirinya daripada syak kepada yakin dan daripada jahil kepada ilmu.

Firman Allah SWT maksudnya : "Maka ketahuilah, bahawa tidak  ada tuhan (yang patut disembah) selain Allah, dan mohonlah ampunan atas dosamu dan atas (dosa) orang-orang mukmin lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat usaha dan tempat tinggalmu. " (Surah Muhammad ayat 19)

ﻔﺎﻋﻟﻡﺃﻨﻪﻻﺇﻟﻪﺇﻻﺍﷲ  Ertinya : Maka ketahuilah, bahawa  tidak ada tuhan ( yang patut disembah) selain Allah.

Dapat diistimbat hukum dari ayat di atas tentang kewajiban makrifat kerana perkataan ‘faklam’ di dalam ayat di atas menggunakan sighah fiil amar yang mana tiap – tiap lafaz amar di dalam Al Quran dan hadis zahirnya menunjukkan wajib. Perkara – perkara yang wajib dikenal tentang Allah itu ada tiga perkara :-

1)Mengenal nama – nama Allah.

2)Mengenal sifat – sifat Allah.

3)Mengenal af’al (perbuatan) Allah.

Adalah nama – nama Allah dan sifat – sifatNya itu tersangat banyak yang mana tidak dapat dikira banyaknya dan tidak seorang pun yang mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja.Oleh itu para ulama membahagikan makrifat itu kepada dua peringkat iaitu:-

1) Mengenal secara ijmal. Ertinya mengenal secara umum dengan cara merangkumi iaitu dengan mengiktikadkan bahawa Allah itu Zat Yang Wajib Disembah yang bersifat dengan sifat – sifat kamalat (kesempurnaan) yang tidak terhingga banyaknya dan Maha Suci Ia daripada sekelian sifat – sifat kekurangan yang tidak layak dengan ketuhananNya dan Dia mempunyai nama – nama yang elok yang tidak diketahui banyaknya melainkan Dia.

2) Mengenal secara tafsil. Ertinya mengenal dengan huraian satu persatu dua puluh sifat yang wajib bagi Allah , lawannya dua puluh sifat yang mustahil dan satu sifat yang harus dengan dihuraikan bagi tiap – tiap satu sifat itu dari hal pengertiannya , pembahagiannya serta dalilnya samada dalil akli atau nakli.

Begitu juga wajib seseorang itu mengenal dan mengetahui nama – nama Allah yang sembilan puluh sembilan (asma ul husna) secara tafsil kerana nama - nama Allah yang sembilan puluh sembilan itu terdapat di dalam Al Quran dan hadis.

Kedua – dua peringkat makrifat di atas wajib atas tiap – tiap mukallaf. Bagi makrifat pula mempunyai tiga syarat iaitu :-

1) Iktikad yang jazam. Ertinya wajib seseorang itu mengenal Allah dengan keyakinan yang teguh dan iktikad yang mantap 100% tanpa syak , zan , dan waham.

Syak itu ertinya keadaan hati yang berada di dalam keadaan antara yakin dengan tidak yang bersamaan padanya antara percaya dengan tidak percaya. (50% yakin : 50% tidak yakin)

Zan pula bererti keadaan hati yang berat kepada yakin tetapi ada sedikit ketidakyakinan. (75% yakin : 25% tidak yakin)

Waham pula bererti keadaan hati yang berat kepada tidak yakin tetapi ada sedikit keyakinan. (25% yakin : 75% tidak yakin)

Ketiga – tiganya tertolak dan menafikan makrifat bahkan menafikan iman. Bukan itu sahaja jika tidak yakin itu hanya 1% sahaja juga dikira tidak sempurna iman dan keyakinannya kepada Allah SWT.

2) Muafakat dengan yang sebenar. Ertinya sesuatu makrifat dan kepercayaan itu mestilah kepercayaan yang diredai Allah yang diajar oleh nabi dan diiktikadkan oleh para sahabat dan salafussoleh.Kepercayaan yang tidak diredai Allah , menyalahi ajaran nabi dan bertentangan dengan kepercayaan salfussoleh tidak dinamakan makrifat.

3) Dengan dalil. Ertinya sesuatu kepercayaan itu hendaklah disertai dalil yakni bukti – bukti yang berupa dalil nakli dan juga akli.Sesuatu kepercayaan yang tidak disertai bukti dan dalil tidak dinamakan makrifat tetapi dinamakan taklid.

Dalil Naqli (Al Quran dan As Sunnah)

Begitu banyak dalil dalam Al Quran yagn menyatakan bahwa Allah SWT. adalah Pencipta, Pemelihara, Pengatur, Penguasa seluruh alam semesta seperti yang telah banyak disebutkan di atas. Dalam firman Nya yang lain, bahkan Allah SWT memperkuat persaksiannya seperti terlihat dalam ayat:

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah: "Siapakah yang lebih kuat persaksiannya?" Katakanlah: "Allah. Dia menjadi saksi antara aku dan kamu. Dan al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengannya aku memberi peringatan kepadamu dan kepada orang-orang yang sampai al-Quran (kepadanya). Apakah sesungguhnya kamu mengakui bahwa ada tuhan-tuhan yang lain di samping Allah?" Katakanlah: "Aku tidak mengakui". Katakanlah:

"Sesungguhnya Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan (dengan Allah)". (Surah al-An’aam (6) ayat 19)

Dalil ‘Aqli (akal)

Allah SWT berfirman maksudnya : “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,”
(Surah Ali ‘Imraan (3) ayat 190)

Begitu banyak bukti Kebesaran Allah SWT  yang dengan mudah akan kita dapati di sekeliling kita, atau bahkan lebih dekat lagi, yaitu pada diri-diri kita. Bagaimana Allah SWT. telah dengan sempurna menciptakan alam raya ini dengan sedemikian teraturnya, sedemikian sempurnyanya yang semuanya tidak lain hanya menunjukkan Kebesaran Nya semata.

Setiap fitrah manusia yang lurus akan mengakui keberadaan Rabbnya dan Rabb seru sekalian alam, Allah SWT. Hal ini digambarkan oleh Nabi Ibrahim a.s.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan”.” (Surah al-An’aam (6) ayat 79)

Selain itu, jauh sebelum manusia diturunkan ke muka bumi, Allah SWT. telah mengambil persaksian dari setiap jiwa untuk mengakui Allah SWT. sebagai rabbnya. Hal ini dapat dilihat dalam Al-Quran pada ayat:

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) :

"Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)", (Surah al-A’raaf (7) ayat 172)

Apakah maknanya taklid?

Taklid ertinya menuruti kepercayaan orang lain seperti guru atau ibu bapa tanpa memeriksa dalil dan bukti.Taklid terbahagi kepada dua iaitu :-

1) Taklid yang jazam. Ertinya taklid yang sangat teguh sehingga kepercayaan dan keyakinannya tidak berubah selama – lamanya walupun orang yang diikutinya berubah pendirian.

2) Taklid yang ghairu jazam. Taklid yang tidak teguh dan sentiasa di dalam keraguan dan berubah – ubah pendirian dan dapat berubah juga apabila orang yang diikutinya itu telah berubah pendirian.

Menurut pendapat yang kuat dari kalangan ulama , hukum iman orang yang bertaklid itu , sekiranya taklidnya jazam , maka imannya adalah sah. Hanya sanya ia berdosa kerana meninggalkan kewajiban belajar.

Namun ia berada di dalam keadaan bahaya bergantung kepada orang yang diikutinya.Sekiranya benar orang yang diikutinya maka selamatlah ia dan sekiranya tidak maka binasalah ia bersama dengan orang yang diikutnya.Wal iyazubillah.

Sekiranya taklidnya tiada jazam maka imannya tidak sah kerana menyerupai imannya tatkala itu dengan syak , zan dan waham.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita  mempelajari ilmu tauhid dengan bersungguh – sungguh daripada guru – guru yang berkelayakan dengan disertai dalil yang jelas sehingga dapat mengeluarkan dirinya daripada taklid kepada ilmu dan daripada syak kepada yakin memandangkan perkara akidah ini adalah sangat besar bahayanya dan tidak dimudahkan seseorang itu bertaklid semata – mata.

Apabila jelas akidah tauhid kita kepada Allah SWT dan keyakinan kepada rukun Iman yang lain maka barulah sempurna iman kita , daripada iman yang sempurna akan melahirkan akhlak Islam, ketakwaan kepada Allah SWT  dan ihsan.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML