Sunday, December 29, 2013

AMAL SOLEH ( JAUHI 4 DOSA BESAR )

Orang Mukmin Sentiasa Meningkatkan Amal Kebaikan dan Meninggalkan Amal Kejahatan

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Dari Abul Abbas, Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutalib r.a. dari Rasulullah SAW. sebagaimana yang beliau riwayatkan dari Allah SWT. Baginda bersabda, "Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan, kemudian menjelaskan hal itu. Maka barangsiapa berkeinginan dengan satu kebaikan, Allah mencatatnya satu kebaikan penuh. Dan barangsiapa berkeinginan dengan satu kebaikan kemudian ia laksanakan kebaikan itu, Allah mencatatnya sepuluh kebaikan sampai tujuhratus kali lipat, atau sampai berlipat ganda. Dan jika seseorang berkeinginan dengan satu kejahatan, namun belum melaksanakannya, Allah mencatatnya dengan satu kebaikan penuh. Dan barangsiapa berkeinginan dengan satu kejahatan, kemudian melaksanakannya, Allah mencatatnya (dosa dari) satu kejahatan sahaja."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

Huraiannya :

Allah SWT bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada para hamba-Nya. Sekiranya seseorang baru berniat untuk melakukan kebaikan maka Allah SWT telah memberikan kebaikan penuh walaupun dia belum melaksanakannya, kemudian apabila niat tadi dilaksanakan pula maka ganjaran yang akan diperolehi adalah 10 kebaikan dan boleh digandakan sehingga 700 kebaikan atau lebih.

Sabaliknya pula apabila seseorang berniat untuk membuat kejahatan selagi niat tadi belum dilaksanakan maka dia tidak mendapat apa-apa dosa malahan dikurniakan satu kebaikan penuh. Apabila sesorang berniat untuk membuat kejahatan kemudian dia melaksanakannya maka dia hanya mendapat satu kejahatan sahaja.

Betapa besarnya rahmat Allah SWT sehinggakan seseorang yang berniat hendak melakukan satu kejahatan dan belum melaksanakan hasrat tersebut ianya dibalas dan diberinya kebaikan dan pahala oleh Allah SWT.

Dalam keadaan yang menguntungkan ini pun di hari akhirat nanti majoriti manusia masih mempunyai berat timbangan kejahatan melebihi daripada kebaikannya dan dimasukkan ke dalam neraka. Apakah sebabnya ramai manusia akan memasuki neraka sedangkan peluang untuk dia melakukan kebaikan terbentang luas dan diganjari pahala yang berlipat kali ganda?

Jika diperhatikan terdapat empat amalan kejahatan yang dlakukan manusia dosanya bertimbun-timbun tanpa disedari yang menyebabkan kejahatan dan dosanya  melebihi daripada kebaikan yang dilakukannya.

Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Membuat  fitnah.

Fitnah adalah dosa besar yang tidak di ampunkan oleh Allah SWT sekiranya orang yang membuat fitnah tidak memohon maaf daripada orang yang difitnahkan. Sekirannya fitnah tersebut disebarkan melalui internet dan berjuta-juta manusia membaca dan melayarinya maka setiap seorang yang mendapat berita tersebut maka orang yang membuatnya akan mendapat dosa. Jika selama 20 tahun berita fitnah itu masih ada di internet selagi ada orang membacanya maka dosa itu akan mengalir terus kepada pembuat fitnah seperti air sungai yang mengalir. Sekiranya orang yang difitnah itu memaafkan kesalahan orang yang membuat fitnah, dosa tersebut tidak akan terhapus kerana berita fitnah tersebut sukar untuk di hapuskan kerana ramai orang yang menyimpan vedio atau tulisan tersebut atau mereka masih mempercayainya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim) 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua : Memiliki sumber wang haram contoh daripada sumber judi, rasuah atau perniagaan yang haram.

Orang yang memiliki wang haram akan menggunakannya untuk menyara keluarga, membeli rumah, tanah dan dilaburkan dalam perniagaan. Sekiranya pemilik asal  harta haram ini telah meninggal dunia tetapi warisnya tetap menggunakan harta tersebut untuk perniagaan, membeli harta dan mengembangkan harta tersebut. Apabila ianya bermula haram maka pengunaannya terus menerus akan menjadi haram dan dosanya tetap ditanggung oleh pemilih asalnya. Anak, cucu dan cicitnya tidak mengetahuinya asal harta tersebut mereka tidak berdosa yang tanggung dosa adalah pemilik asal. Maka dosa-dosa yang akan diperolehi bertali arus masuk ke alam barzakh, dan azab di alam barzakh akan diterima berterusan hingga ke hari kiamat, na'uzubillahiminzalik.

Harta yang haram tidak sah jika digunakan untuk bersedekah, bayar zakat , mengerjakan haji dan sebagainya. Di akhirat nanti semua hasil sumbangan daripada harta haram akan dilemparkan dimuka memiliknya.

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat.” (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13) 

Ketiga : Membuat bid'ah dan mengubah undang-undang Allah SWT kepada undang-undang ciptaan mausia.

Salah satu dosa besar yang tidak diampunkan Allah SWT adalah membuat bid'ah dalam agama dan mengubah undang-undang ciptaan Allah SWT (Islam) kepada undang-undang ciptaan manusia.

Sabda Nabi S.A.W bermaksud : "Sesungguhnya setepat tepat perkataan adalah al-Quran, dan sebaik baik pertunjuk adalah pertunjuk Rasulullah SAW, dan seburuk buruk perkara adalah perkara "MUHDASAT" Tiap tiap perkara MUHDASAT merupakan BID'AH.Tiap tiap perkara BID'AH adalah sesat,dan tiap tiap kesesatan itu tempatnya adalah neraka." (Hadis Sahih riwayat Muslim, Ahmad, An-Nasai dan lain-lain).

Jika seseorang membuat satu bid'ah dalam agama (bid'ah yang sesat contoh ajaran sesat dan lain-lain) atau mengubal satu undang-undang yang bertentangan dengan undang-undang Islam. Kemudian undang-undang itu diikuti oleh negara dan manusia maka dosa kerana meninggalkan undang-undang Islam dan mengikut undang-undang ciptaan manusia ini ditanggung oleh mereka yang mengubalnya , meluluskannya dan yang menyokong supaya dijadikan satu akta untuk dilaksanakan. Walaupun mengubalnya sudah meninggal dunia tetapi undang-undang itu dilaksanakannya di dunia dia tetap mendapat dosa besar yang  akan berterusan masuk ke alam barzakh.

Keempat : Mengamalkan ilmu sihir dan mengajarkan ilmu tersebut atau mencipta satu kaedah untuk membuat maksiat (contoh satu cara permainan judi dan sebagainya)

Satu lagi dosa yang berterusan akan ditanggung oleh seseorang itu adalah apabila dia mengajarkan ilmu yang batil seperti ilmu sihir, ilmu perbomohan yang syirik atau kaedah-kaedah untuk membuat maksiat sedangkan ilmu itu diikuti , dipelajari dan diperturunkan kepada orang lain maka dosa-dosa besarnya akan ditanggungnya selain perkara tersebut di amalkan oleh orang lain.

Sahabat yang dimuliakan,
Jelaslah kepada kita bahawa empat kaedah yang dinyatakan di atas adalah jenis-jenis amalan yang akan menghimpunkan dosa-dosa besar yang berterusan sehinggakan amal soleh seseorang tidak akan mampu nak menutup dosa-dosa tersebut. Bertaubat saja tidak mencukupi kerana betapa besar dan banyakkan dosa-dosa yang akan menuruti seseorang itu akibat daripada perbuatannya di dunia.


Oleh itu marilah sama-sama kita pertingkatkan amal-amal soleh kita. Banyakkan niat-niat yang baik walaupun belum mampu untuk melaksanakannya dan bila berkemampuan teruskan melaksanakan kebaikan dan amalan soleh tersebut.

Firman Allah SWT maksudnya : "Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya."
(Surah al- Zalzalah ayat 7)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman maksudnya : “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”
(Surah Ali-Imran ayat 92.)

Insaflah kita semua di atas dosa-dosa kita dan mohon ampun kepada Allah SWT dan tingkatkan amal soleh kita, laksanakanlah sebanyak-banyaknya setakat kemampuan kita untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML