Thursday, February 27, 2014

IMAM ABU HANIFAH BERDEBAT DENGAN SEORANG ATHEIS

Perdebatan Di Antara Al-Imam Abu Hanifah Dengan Seorang Atheis (Dahri)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada zaman tabiin terjadinya suatu perdebatan antara seorang atheis (tidak percaya kewujudan Tuhan) dengan Imam Abu Hanifah yang beragama Islam (ulama muda ketika itu) . Beliau ini datang bersama gurunya (Sheikh Hammad) dan gurunya telah diajak berdebat dengan seorang atheis itu namun tidak dibenarkan pemuda itu, katanya: “Tidak  selayaknya seorang ulama besar berdebat di dalam majlis sebegini, cukuplah diserahkan kepada muridnya yang masih muda ini untuk berbincang-bincang dengan mereka-mereka ini.”

Sebelum berlakunya perdebatan ini telah berlaku perdebatan di antara seorang atheis ini dengan para ulama, di beritakan bahawa ulama yang berdebat ketika itu tidak mampu hendak menjawab persoalan atheis tersebut.

Ramai ulama telah kalah berdebat, kemudian si atheis ini bertanya kepada orang ramai:

"Masih adakah ulama di kalangan kamu yang mampu berdepat denganku?"

Mereka menjawab: "Ada, beliau bernama Sheikh Hammad".

Si atheis pun mohon khalifah agar perintahkan Sheikh Hammad untuk berhujah dengannya. Khalifah memperkenankan permintaan si atheis dan memerintahkan Sheikh Hammad dengan diberi tangguh hingga keesokan harinya. Pada pagi esok, Imam Abu Hanifah yang masih muda telah mendapati gurunya itu berada dalam keadaan dukacita. Beliau pun bertanyakan sebabnya. Gurunya menjawab:

"Aku telah dipanggil oleh Khalifah untuk berdebat dengan si atheis dalam perhimpunan para ulama. Semalam aku juga telah bermimpi sesuatu yang buruk".

Imam Abu Hanifah bertanya : "Apa yang Tuan Guru mimpikan?"

Sheikh Hammad berkata : "Aku bermimpi melihat sebuah dusun yang sangat luas yang terhias. Terdapat sepohon pokok kayu yang berbuah. Kemudian, muncul seekor babi dari suatu penjuru kampung dan memakan buah-buah pohon tersebut sehingga habis dedaun dan buah-buah tersebut. Hanya tinggal batang kayu sahaja. Kemudian, muncul pula seekor harimau daripada umbi pohon tersebut lalu terus menerkam babi itu dan membunuhnya."

Imam Abu Hanifah berkata : "Allah Taala telah mengajarkan saya ilmu takbir mimpi. Saya mendapati mimpi ini baik bagi kita dan buruk bagi musuh kita. Jika Tuan Guru izinkan, bolehlah saya takbirkannya."

Sheikh Hammad berkata : "Takbirkanlah wahai Nukman" (nama sebenar Imam Abu Hanifah adalah Nukman bin Thaabit).

Imam Abu Hanifah berkata : "Dusun luas yang terhias itu adalah agama Islam. Pohon kayu yang berbuah itu ialah para ulama. Batang kayu yang tertinggal itu ialah Tuan Guru sendiri. Babi yang muncul itu ialah si atheis, manakala harimau itu yang membunuh babi tersebut ialah saya sendiri. Berangkatlah, saya akan turut menemani Tuan Guru. Dengan berkat hemat Tuan Guru dan berkat hadrat Tuan Guru, saya akan patahkan hujahnya."

Sheikh Hammad bergembira dengan kata-kata Imam Abu Hanifah itu, lalu bertolak bersama ke Masjid Jamik. Kemudian, khalifah tiba di samping orang ramai telah berhimpun di sana. Si atheis datang dan terus naik ke mimbar serta bertanya:

Semua yang ada di dalam majlis ketika itu terkejut dengan keberanian Imam Abu Hanifah yang masih muda. Maka bermulalah perdebatan di antara mereka. Bila mana beliau ini duduk duduk pada tempat yang disediakan maka serentak dengan itu salah seorang atheis terus mengajukan soalan.

"Siapakah di kalangan kamu yang akan menjawab soalan-soalanku?"

Imam Abu Hanifah menjawab: "Nyatakan saja soalan kamu, orang yang tahu akan menjawabnya."

Si atheis berkata : "Siapakah engkau ini, wahai budak? Engkau bercakap denganku sedangkan orang-orang yang ada kemegahan, orang tua, berserban besar, berpakaian labuh dan berlengan baju yang luas tidak mampu berdebat denganku. Inikan pula kamu yang masih kecil, masih mentah dan hina."

Imam Abu Hanifah: "Allah Taala tidak memberikan ketinggian dan kebesaran kepada orang yang berserban besar, berpakaian penuh kemegahan dan berlengan baju yang luas, tetapi Allah memberi kepada para ulama seperti firman-Nya, bermaksud: "Dan (Allah memberikan kepada) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat". (Surah Al-Mujadalah (58) ayat 11)

Si atheis bertanya : "Engkaukah yang akan menjawab soalan-soalanku?"

Imam Abu Hanifah: "Aku akan menjawab dengan taufiq Allah."

Soalan Pertama .

Si atheis: “Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”

Imam Abu Hanifah tersebut tersenyum lalu menjawab: “Allah Taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak.”

Soalan Kedua.

Si atheis: “Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”

Imam Abu Hanifah seraya menjawab: “Allah Taala itu wujud sebelum adanya zaman, sedangkan zaman itu sendiri adalah ciptaanNya, mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk ciptaanNya.”

Soalan Ketiga.

Si atheis: “Cuba kamu berikan kepada kami sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan ini. Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?”

Imam Abu Hanifah  menjawab: “Kamu pandai mengira?”

Si atheis itu menjawab: “Tentu sekali kami pandai mengira.”

Imam Abu Hanifah  meneruskan ucapannya: “Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor empat (4)?”

Si atheis: “Nombor 3″

Imam Abu Hanifah : “Nombor sebelum 3?”

Atheis: “Nombor 2″

Imam Abu Hanifah : “Nombor sebelum 2?”

Si atheis: “Nombor 1″

Imam Abu Hanifah : “Nombor sebelum 1?”

Si atheis: “Tiada”

Imam Abu Hanifah  tersenyum lalu memberikan penerangan: “Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sebelumnya tiada mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada nombor itu sendiri?”

Terpinga-pinga si atheis tersebut dengan jawapan yang padat dan bernas daripada beliau itu. Ternyata mereka silap perkiraan bila mana berhadapan dengan anak muda ini. Pada mulanya mereka merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun telahan mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu lebih berhati-hati.

Soalan Keempat.

Si atheis : “Tahniah anak muda di atas jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu berada di dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada kami, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”

Imam Abu Hanifah menjawab: “Jika aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut mengadap?”

Si atheis menjawab: “Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah.”

Imam Abu Hanifah berkata: “Jika cahaya yang diciptakanNya itu pun kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, inikan pula Sang Pemilik Cahaya langit dan bumi ini sendiri?”

Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada Imam Abu Hanifah bersorak kegembiraan. Kagum mereka dengan kepetahan beliau.

Soalan Kelima.

Si atheis: “Bolehkah kamu terangkan kepada kami, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut seperti air? Atau ianya jenis seperti debu dan asap?”

Imam Abu Hanifah sekali lagi tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan. Lucu sekali mendengar persoalan si atheis ini. Orang ramai tertunggu-tunggu penuh debaran apakah jawapan yang akan diberikan oleh beliau.

Imam Abu Hanifah menjawab: “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”

Si atheis menjawab: “Tentu sekali.”

Imam Abu Hanifah meneruskan: “Bila mana orang sakit tadi mati, bolehkah kamu bercakap dengannya?”

Si atheis menjawab: “Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”

Imam Abu Hanifah meneruskan: “Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap dengannya, namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”

Si atheis tertawa lalu memberikan jawapan: “Adakah soalan seperti ini kamu tanyakan kepada aku wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini kerana rohnya telah terpisah daripada jasadnya.”

Imam Abu Hanifah tersenyum mendengar jawapan mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa rohnya telah terpisah daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku sekarang, bagaimanakah bentuk roh tersebut. Adakah ianya keras seperti besi, atau ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan debu yang berterbangan?”

Tertunduk si atheis tersebut bila mana mendengar persoalan pemuda bijak tersebut. Ternyata olokan mereka sebentar tadi kembali tertimpa ke atas mereka.

Si atheis menjawab dengan keadaan penuh malu: “Maaf, tentu sekali aku tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya.”

Imam Abu Hanifah lalu meneruskan bicaranya: “Jika makhluknya seperti roh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku, bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk Tuhan Pemilik Roh serta sekalian alam ini?”

Soalan Keenam.

Si atheis: “Di manakah Tuhan kamu duduk sekarang?”

Imam Abu Hanifah kembali bertanyakan soalan kepada mereka: “Jika kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya, dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?”

Si atheis menjawab: “Aku tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian susu tersebut.”

Imam Abu Hanifah seraya berkata: “Kamu sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus baginya, masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan persoalan-persoalan kamu ini.”

Soalan Ketujuh.

Si atheis: “Kami pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya (iaitu selepas dihisab oleh Allah Taala di padang Mahsyar) namun bila mana sudah berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya (maksudnya tiada kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)?”

Imam Abu Hanifah tersenyum lagi lalu menjawab: “Mengapa kamu pelik dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor. Ianya bermula dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?”

Terkelu si atheis ini untuk memberikan jawapan. "Tentu sekali nombor tiada kesudahannya."

Imam Abu Hanifah tersenyum melihat si atheis ini terkebil-kebil tidak mampu memberikan jawapan. Kemudian beliau menyambung bicaranya: “Nah, kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor terakhir bukan? Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu.”

Soalan Kelapan.

Si atheis: “Kami ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka juga makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal.”

Imam Abu Hanifah tenang membetulkan kedudukannya. Lalu beliau menjawab: “Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga makan daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air kecil dan besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di dalamnya?”

Sekali lagi si atheis terdiam membisu seribu bahasa. Padat sekali jawapan beliau ini.

Soalan Kesembilan.

Ia soalan terakhir yang ditanyakan oleh si atheis tersebut kepada Imam Abu Hanifah bila mana mereka telah mati kutu dan sudah terlampau malu ialah berkenaan: “Jika kamu terlalu bijak , apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”

Maka Imam Abu Hanifah itu menjawab dengan tenang: “Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita bertukar tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang aku berada di bawah. Jawapan hanya boleh diberikan bila mana aku berada di atas mengambil alih tempatmu.”

Si athies itu lalu bersetuju dengan cadangan  tersebut, lalu mereka bertukar tempat. Imam Abu Hanifah  naik ke atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.

Bila mana beliau sudah berada di atas, terus beliau menjawab: “Kamu bertanya sebentar tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan beliau ke atas) dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan seorang atheis tersebut ke bawah).”

Akhirnya mereka mengakui bahawa tiada lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah dipatahkan oleh Imam Abu Hanifah dengan penuh hikmah.

Sahabat yang dikasihi,
Golongan atheis ini wujud di setiap zaman. Golongan yang tidak percaya kepada Tuhan ini di dalam al-Quran di gelar  sebagai golongan ad-Dahriyyun. Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad-Dahriyyun. Golongan ini ingin hidup dan puas di dunia yang sementara ini. Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT yang bermaksud :"Dan tentu akan mereka katakan : 'Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak dibangkitkan."(Surah al-An'am ayat 29). 

Didalam ayat yang lain Allah SWT. berfirman yang bermaksud :"Dan mereka berkata : 'Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa.' Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduda-duga sahaja."(Surah al- Jatsiyah ayat 24).

Oleh itu jika kalian bertemu dengan golongan ini ajak mereka kembali kepada Islam dan berdebatlah dengan cara yang baik dan hikmah sebagaimana contoh yang dilakukan oleh Imam Abu Hanifah menangkis semua lojik akal golongan athes ini dengan fakta yang padat dan bernas. Wallahualam.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML