Sunday, December 29, 2013

AMAL SOLEH ( PINTU-PINTU SYURGA )

Setiap Amal Soleh Terdapat Pintu-pintu Khusus Di Syurga .

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang berinfak dengan sepasang hartanya di jalan Allah maka ia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga, ‘Hai hamba Allah, inilah kebaikan.’ Maka orang yang termasuk golongan ahli solat maka ia akan dipanggil dari pintu solat. Orang yang termasuk golongan ahli jihad akan dipanggil dari pintu jihad. Orang yang termasuk golongan ahli puasa akan dipanggil dari pintu Ar-Royyan. Dan orang yang termasuk golongan ahli sedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.”

Ketika mendengar hadis ini Abu Bakar pun bertanya, “Ayah dan ibuku sebagai penebus anda wahai Rasulullah, kesulitan apa lagi yang perlu dikhawatirkan oleh orang yang dipanggil dari pintu-pintu itu. Mungkinkah ada orang yang dipanggil dari semua pintu tersebut?”.

Maka baginda pun menjawab, “Iya ada. Dan aku berharap kamu termasuk golongan mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari [1897 dan 3666] dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu’anhu).

Berdasarkan hadis sahih di atas jelaslah kepada kita semua bahawa setiap amal soleh dan amal kebaikan yang kita kerjakan di dunai ini semuanya tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT. Segala kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, sehinggakan setiap amal soleh yang banyak dikerjakan oleh seseorang mukmin di dunia ini terdapat pintu-pintu khusus untuk dia memasukinya.Ini menunjukkan bagaimana Allah SWT mencintai para hamba-Nya yang beristiqamah dengan amal-amal soleh dan kebaikan dengan melipatgandakan amalan tersebut.

Terdapat 5 amal soleh yang mempunyai pintu-pintu khusus di syurga iaitu :

Pertama : Pintu Infak - Sesiapa yang banyak infakkan hartanya dijalan Allah SWT.

Kedua : Pintu Solat - Sesiapa yang banyak mengerjakan solat.

Ketiga : Pintu Jihad - Sesiapa yang sentiasa berjihad di jalan Allah SWT.

Keempat : Pintu Ar-Royyan- Sesiapa yang banyak mengerjakan puasa

Kelima : Pintu Sedekah. - Sesiapa yang banyak melakukan sedekah.

Huraiannya :

Pertama : Pintu Infak - Sesiapa yang banyak infakkan hartanya dijalan Allah SWT.

Al-Qadhi menukil ucapan Al-Harawi ketika menerangkan makna ‘sepasang hartanya’ : Ada yang berpendapat bahawa yang dimaksud dengan ‘sepasang harta’ adalah dua ekor kuda, dua orang budak, atau dua ekor unta (Al-Minhaj oleh An-Nawawi, 4/351).

Sedangkan yang dimaksud dengan berinfak di jalan Allah dalam hadis ini mencakup berinfak untuk segala bentuk amal kebaikan, bukan khusus untuk jihad saja (Al-Minhaj, 4/352).

Apabila kita memberikan harta kita untuk kerja-kerja dakwah menyebarkan risalah Islam, memberi tarbiah dan meninggikan syiar Islam dan menderma dan membantu saudara-saudara kita di Palestin dan Syria yang sedang berjuang mendaulatkan Islam dan mempertahankan tanah air mereka daripada kezaliman golongan Zionis dan Syiah adalah termasuk berinfak di jalan Allah SWT.

Kedua : Pintu Solat - Sesiapa yang banyak mengerjakan solat.

Solat yang paling afdal selepas solat fardu adalah Solat Tahajud. Solat Tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari, biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sebagai salatullail. Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.

Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “Solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. 
(Surah al-Israa’ ayat 79)

Selain daripada Solat Tahajud solat yang dituntut adalah solat-solat sunat yang lain :

1. Solat Witir.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT telah menambahkan kepada kamu satu solat, iaitu solat witir. Maka sembahyanglah antara solat Isyak dan solat subuh. (Hadis Riwayat Ahmad)

2. Solat Duha.

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

3. Solat Sunat Rawaib.

Dari Ibnu Umar ra berkata, "Aku menjaga 10 rakaat dari Nabi SAW: 2 rakaat sebelum solat Zuhur,2 rakaat sesudahnya,2 rakaat sesudah solat Maghrib, 2 rakaat sesudah solat Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh. (Hadis Riwayat Muttafaqun 'alaihi)

4. Solat Tasbih.


 Ikrimah daripada Ibnu Abbas r.a., beliau berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abbas bin Abdul Mutalib yang bermaksud :

"Wahai Abbas pamanku. Apakah engkau suka aku memberi hadiah istimewa yakni  kuajarkan sepuluh macam perbuatan yang dapat menghapus dosa? Apabila paman mengerjakannya Allah akan mengampuni dosa-dosamu, yang awal atau yang akhir, yang lama atau yang baru, yang disengaja maupun tidak sengaja, yang kecil atau yang besar, yang tersembunyi atau pun yang nampak. 

Sepuluh perkara tersebut iaitu bahawa engkau solat empat rekaat, setiap rekaat engkau baca al-Fatihah dan sebuah surah. Apabila engkau telah membaca dalam rekaat pertama,tetaplah engkau dalam keadaan berdiri dan bacalah subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar (Maha Suci Allah dan segala puji bagi Allah dan tidak ada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Agung) sebanyak lima belas kali, kemudian ruku' dan bacalah kalimah tersebut sepuluh kali semasa dalam keadaan ruku', kemudian engkau bangun dari ruku' dan bacalah kalimat itu sepuluh kali kemudian turun untuk sujud dan bacalah sepuluh kali semasa engkau dalam keadaan sujud. Apabila bangun dari sujud bacalah sepuluh kali kemudian engkau sujud dan bacalah sepuluh kali selepas itu engkau bangun dan bacalah sepuluh kali. Maka kesemuanya berjumlah tujuh puluh lima dalam setiap rakaat. Kerjakanlah kesemuanya dalam keempat rakaat.

Apabila engkau mampu mengerjakan solat tasbih setiap hari satu kali maka kerjakanlah. Apabila tidak mampu kerjakanlah seminggu sekali. Apabila  tidak mampu, lakukanlah sebulan sekali. Apabila engkau tidak mampu juga, kerjakanlah setahun sekali. Jika engkau tidak mengerjakannya, lakukanlah sekali sahaja semasa hidupmu."

(Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah) 

5. Solat Istikharah.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “ Salah satu sumber kebahagian anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan reda dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukkan anak Adam adalah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya” (Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)

6. Solat sunat ketika masuk dan keluar rumah.

Nabi SAW bersabda  :

إذا دخلت منزلك فصل ركعتين تمنعانك مدخل السوء وإذا خرجت من منزلك فصل ركعتين تمنعانك مخرج السوء

Maksudnya: "Apabila kamu masuk ke dalam rumah-mu, maka tunaikanlah solat 2 rakaat, ianya menghalang kamu dari kemasukan sesuatu keburukan, dan demikian juga jika kamu keluar daripada rumah-mu, solatlah 2 rakaat, ianya menghalang kamu dari kemasukan sesuatu keburukan."

(Hadis ini dinilai para perawinya sebagai thiqah di dalam Majma' al-Zawa-id, dan dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami')

7. Solat selepas berwuduk.

8. Solat Hajat.

9. Solat Taubat.

10. Solat Tahyatul Masjid.

Ketiga : Pintu Jihad - Sesiapa yang sentiasa berjihad di jalan Allah SWT.

Berjihad dijalan Allah SWT cukup luas bukan sahaja mengangkat senjata memerangi golongan kafir tetapi bekerja dan berusaha amar makruf nahi mungkar adalah termasuk berjihad dijalan Allah SWT. Berusaha untuk menegakkan sistem hidup Islam, menyebarkan fikrah dan kefahman Islam samaada melalui di media masa, internet , buku, risalah, television, radio dan lain-lain adalah termasuk kerja-kerja jihad dijalan Allah SWT.

Berjihad di jalan Allah SWT berlaku umum bagi seluruh kaum muslimin. Masing-masing mereka wajib berjihad sesuai dengan kemampuannya. Dan perintah agar berjihad dengan sebenar-benarnya ini perintah-Nya untuk bertakwa dengan sebenar-benarnya.
Seperti firman Allah SWT maksudnya " Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan." (Surah al-Hajj ayat 78)

Keempat : Pintu Ar-Royyan- Sesiapa yang banyak mengerjakan puasa.

Untuk terpilih memasuki Pintu Ar-Royyan seseorang itu bukan setakat mengerjakan puasa Ramadan sahaja tetapi mereka perlulah banyak mengerjakan puasa-puasa sunat yang lain. Puasa-puasa sunat seperti :

1. Puasa enam hari di bulan Syawal.

2. Puasa hari Isnin dan Khamis.

3. Puasa tiga hari setiap bulan. (13, 14 dan 15 )

4. Puasa Hari Arafah.(9 Zulhijjah)

5. Puasa Asura. (10 Muharam)

6. Puasa hari Tasu'a (9 Muharram)

7. Puasa dibulan Syaaban. (perbanyakkan puasa sunat). 

Mengerjakan puasa-puasa sunat hendaklah dengan ikhlas dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa.

Kelima : Pintu Sedekah. - Sesiapa yang banyak melakukan sedekah.

Salah satu sifat yang mulia yang perlu ada pada seorang mukmin adalah sifat pemurah dan ada perasaan belas kasihan dan suka membantu kepada golongan fakir-miskin dan anak-anak yatim. Hidup ini akan lebih harmoni hanya apabila kita banyak bersedekah dan memberi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah SAW : "Sedekah mana yg lebih besar pahalanya?
Nabi SAW menjawab, "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesiapa yang banyak bersedekah akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT Sehinggakan Nabi SAW ada menyatakan di dalam hadisnya bahawa salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan daripada Allah SAWT. di hari akhirat nanti adalah mereka yang bersedekah kerana Allah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya. Didalam riwayat yang yang lain Nabi SAW ada menyatakan bahawa seorang dermawan yang ikhlas kerana Allah akan dimasukkan ke dalam syurga lebih awal daripada ulama dan orang yang mati syahid dan akan dipelawa untuk memasuki syurga melalui pintu sedekah.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita pertingkatkan amal ibadah dan amal soleh kita ketika di dunia ini. Jika kita berusaha di dunia ini untuk memilih bidang khusus untuk memenuhi minat dalam kerjaya kita maka kenapa kita tidak memilih salah satu bidang khusus untuk beramal soleh sebagai bekalan kita di hari akhirat nanti dan boleh memasuki pintu-pintu syurga yang disediakan?

Contoh sahabat-sahabat Rasulullah SAW :

1. Abdul Raman bin Auf - banyak bersedekah dan infak dijalan Allah SWT.

2. Khalid bin al-Walid - banyak berjihad dijalan Allah SWT sehingga badannya penuh dengan luka-luka kerana berjihad dijalan Allah SWT.

3. Abu Hurairah - seorang yang pakar ilmu hadis (banyak meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah SAW)

4. Ali bin Zainal Abidin - cucu kepada Saidina Ali k.wj - bersolat sunat lebih 1000 rekaat sehari. Di panggil ‘As-Sajjad’ (orang yang ahli sujud).

5. Ibnu Abbas - seorang yang pakar dibidang tafsir al-Quranul karim.

Sesungguhnya kalian semua lebih tahu apa bidang yang kalian minat dan banyak melakukan amal soleh. Teruskan beramal dan beristiqamahlah semata-mata mencari keredaan Allah SWT.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML