Sunday, December 29, 2013

EMPAT ASAS UTAMA AKHLAK YANG MULIA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seseorang yang berbudi pekerti tinggi mempunyai perilaku murni, di mana dia melakukan sesuatu dari jiwa yang tulus, tanpa paksaan. Perbuatan-perbuatannya pula elok menurut ukuran akal dan syarak.

Mengikut Imam Ghazali, terdapat empat asas utama akhlak yang mulia:

Pertama : Kebijaksanaan yang dapat membezakan yang benar dan salah.

Kedua : Keberanian menahan atau mengarahkan kemarahan dengan menggunakkan akal.

Ketiga : Kebersihan jiwa bagi menahan keinginan syahwat dengan mendidiknya untuk tunduk kepada akal dan syarak.

Keempat : Keadilan iaitu kekuatan jiwa yang boleh mengatasi sifat marah dan keinginan syahwat lalu membimbingnya ke arah kebijaksanaan.

Keempat-empat sifat ini perlu ditegakkan untuk melengkapkan diri dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Di dalam sepotong hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Perbaikilah budi perkerti kamu sekalian."

Hadis ini secara langsung menyatakan, sifat dan budi pekerti seseorang mampu diperindahkan. Yang diperlukan ialah usaha berlatih membersihkan diri dan mendidik budi pekerti.

Huraian empat asas utama akhlak yang mulia adalah :

Pertama : Kebijaksanaan yang dapat membezakan yang benar dan salah.

Kebijaksanaan seseorang hanya akan dapat di perolehi dengan menuntut ilmu. Hanya dengan ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu akan mampu membezakan perkara yang hak dan benar dengan perkara yang salah dan batil.

Dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين

Maksudnya : “Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan maka Dia akan memahamkan baginya agama (Islam).”(Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis yang mulia ini menunjukkan agungnya kedudukan ilmu agama dan keutamaan yang besar bagi orang yang mempelajarinya.

Kedua : Keberanian menahan atau mengarahkan kemarahan dengan menggunakkan akal.

Marah yang datang kepada manusia sebenarnya adalah daripada dorongan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Emosi manusia ketika itu sudah tidak seimbang, maka keberanian seseorang dengan menggunakan akal yang waras akan dapat mengawal perasaan marah yang meluap-luap.

Marah adalah salah satu sifat mazmumah yang harus di jauhi supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang memilikmi sifat tercela.. Sesiapa yang tidak dapat mengawal perasaan marah sebenarnya ia sedang dikuasi oleh hawa nafsu.

Dari Abu Hurairah r.a, bahwasanya seseorang berkata kepada Nabi s.a.w., "Berilah aku wasiat?."

Nabi S.A.W. bersabda: : "Janganlah engkau marah"

Orang tersebut mengulangi permintaannya hingga beberapa kali, sedang Nabi s.a.w. bersabda : " Janganlah engkau marah"

(Hadis Riwayat Bukhari).

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud, “Tidaklah seseorang dikatakan pemberani dan kuat kerana cepat meluapkan marahnya, tetapi seseorang dikatakan pemberani dan kuat kalau mampu menguasai diri dan nafsunya ketika marah"

Ketiga : Kebersihan jiwa bagi menahan keinginan syahwat dengan mendidiknya untuk tunduk kepada akal dan syarak.

Jiwa yang telah dididik dengan iman dan ayat-ayat Allah akan bersih daripada keinginan syahwat dengan mendidiknya untuk tunduk kepada akal dan syarak.

Untuk mendidik jiwa perlu kepada mujahadah dan muhasabah. Salah satu cara untuk mendidik jiwa adalah dengan membaca ayat-ayat al-Quran dan tadabbur maknanya, menghadiri majlis ilmu dan mencari tempat sunyi untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah S.A.W. Ia mengeluh, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari-hariku penuh dengan perasaan tak tenteram, jiwaku gelisah, dan fikiranku kusut. Makan tak lalu, tidur pun tak lena," kata orang tersebut.

Ibnu Mas’ud menjawab, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat :

(1) tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

(2)  engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

(3) engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat mengabdikan diri kepada Allah.

Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang tersebut. Sampai saja di rumah, segera ia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan khusyuk. Selesai membaca, ia segera dapati hatinya memperoleh ketenteraman, dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar kembali, hidupnya terasa seronok kembali. Padahal, ia baru melaksanakan satu dari tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah S.A.W. tersebut.

Keempat : Keadilan iaitu kekuatan jiwa yang boleh mengatasi sifat marah dan keinginan syahwat lalu membimbingnya ke arah kebijaksanaan

Perlu ada sifat keadilan dalam diri seseorang. Adil maksudnya meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apabila jiwa seseorang kuat dan mampu mengawal perasaan marah dan nafsu syahwat dan mendidiknya kepada hukum-hukum Allah ini bermakna jiwanya telah wujud sifat adil.

Perlu bersikap adil pada diri sendiri, maka keadilan itu akan dapat diberikan kepada orang lain. Biasanya orang yang zalim (tidak adil) tidak akan dapat mengawal nafsu marah dan nafsu syahwat menyebabkan jiwanya rosak dan jauh daripada hidayah Allah S.W.T. dan melakukan sewenag-wenagnya tanpa berfikiran yang waras.

Sahabat yang dimuliakan,
Akhlak yang mulia memegang peranan penting dalam kehidupan manusia. Akhlak yang baik akan membedakan antara manusia dengan hewan. Manusia yang berakhlak mulia, dapat menjaga kemuliaan dan kesucian jiwanya, dapat mengalahkan tekanan hawa nafsu syahwat syaitaniah, berpegang teguh kepada sendi-sendi keutamaan. Menghindarkan diri dari sifat-sifat kecurangan, kerakusan dan kezaliman. Manusia yang berakhlak mulia, suka tolong menolong sesama insan dan makhluk lainnya. Mereka senang berkorban untuk kepentingan bersama.Yang kecil hormat kepada yang tua,yang tua kasih kepada yang kecil. Manusia yang memiliki budi pekerti yang mulia, senang kepada kebenaran dan keadilan, toleransi, mematuhi janji, lapang dada dan tenang dalam menghadapi segala halangan dan rintangan.

Akhlak yang mulia akan mengangkat manusia ke darjat yang tinggi dan dihormati. Akhlak yang buruk akan membinasakan seseorang insan dan juga akan membinasakan ummat manusia. Manusia yang mempunyai akhlak yang buruk senang melakukan sesuatu yang merugikan orang lain. Senang melakukan kekacauan, senang melakukan perbuatan yang tercela, yang akan membinasakan diri dan masyarakat seluruhnya.

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Orang Mukmin yang paling sempurna imannya, ialah yang paling baik akhlaknya."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Oleh itu marilah kita bina empat asas utama untuk melahirkan akhlak yang mulia seperti di atas.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML