Sunday, December 29, 2013

AMALAN SOLEH ( BERSEGERA DALAM BERBUAT AMAL )

Bersegeralah Untuk Berbuat Amal Soleh

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap hari apabila kita lihat di dada akhbar, terdapat berbagai-bagai berita jenayah dan keruntuhan moral yang amat parah sekali. Kes bapa memperkosa anak sendiri sudah menjadi biasa dan tidak menjadi berita mengemparkan lagi. 

Kes tiga wanita Islam sanggup memperdagangkan tubuh kepada berbelas-belas warga asing dirumah kongsi ketika umat Islam menyambut kedatangan Syawal amat memalukan sekali. Kes mayat-mayat bayi yang dijumpai mati dibunuh oleh ibunya sendiri sering berlaku disana sini termasuk bayi-bayi yang masih hidup tetapi dibuangkan merata tempat tanpa rasa belas kasihan oleh seorang ibu!

Apa sudah jadi kepada umat Islam hari ini, kemanakah perginya iman mereka? dimanakah hilangnya akhlak meraka? Dimana letaknya nilai-nilai kemanusiaan?Adakah manusia sudah bertukar kepada sifat kehaiwanan atau lebih rendah lagi? Kenapakah keadaan ini boleh berlaku dan terus berlaku, seolah-olah tidak ada penamatnya.

Makin hari nilai-nilai murni makin hilang, jenayah berlaku setiap hari, maksiat dan gejala sosial dilakukan merata-rata tempat dan tidak berselindung-selindung lagi. Umat Islam sudah tidak ada lagi rasa takut atas kemurkaan Allah, tidak pernah terlintas langsung bala dan musibah akan turun diatas tangan-tangan jahat yang membuat kerosakan dimuka bumi!

Salah satu fakor besar yang membawa keruntuhan moral yang parah adalah disebabkan sistem hidup Islam yang sempurna tidak dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat kita. Sistem pendidikan Islam tidak mampu membentuk untuk menghasilkan insan kamil atau insan berakhlak mulia. Sikap pemerentah 'double standard' disatu masa membina masjid untuk melahirkan manusia beriman, pada masa yang lain membenarkan pusat-pusat hiburan , kelab malam, kedai-kedai judi dan lain-lain hidup bercambah sehigga tak ada kawalan.

Sahabat yang dimuliakan,
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)

Ini adalah wasiat Rasulullah SAW  kepada umatnya, dimana dalam wasiat ini baginda memperingatkan, bahawa akan muncul suatu zaman yang di dalamnya terjadi berbagai fitnah antara manusia.

Fitnah di sini boleh tafsirkan sebagai kemaksiatan, kekufuran dan dosa-dosa besar berlaku dikalangan umat Islam.Ia juga boleh ditafsirkan sebagai mempersenda-sendakan ajaran Islam, perintah-perintah Allah dan rukun-rukun Islam. Boleh juga dimaksudkan sebagai kafir kepada Allah, Rasul-Nya dan apa yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW memperingatkan umatnya agar tidak malas dalam beribadat dan beramal soleh, sebaliknya harus memperbanyakkan kedua-duanya. Setiap hari ketika anak Adam menemui pagi, maka saat itu ada kesempatan baginya yang harus ia manfaatkan dengan memperbanyakkan ketaatan, ibadat dan amal soleh. Dengan begitu, ia akan sentiasa taat kepada Tuhannya dan menjauhi segala larangan-Nya, sehingga akan bertambah kebaikannya, semakin berat timbangan amal kebajikannya dan terhapus dosa-dosanya.

Janganlah ditangguh-tangguhkan untuk melaksanakan kebaikan dan kebajikan. Kerana kita tidak mengetahui bahawa kemungkinan ia akan menjadi korban fitnah, yang menyebabkan dirinya berubah dari mukmin menjadi kafir, dari seorang hamba yang taat menjadi ahli maksiat dan durhaka kepada Allah SWT. Berkemungkinan ia sedang beramal dengan ahli syurga dan jaraknya hanya tinggal sehasta, tiba-tiba datang gangguan, cubaan dan fitnah maka ia pun beramal dengan amal ahli neraka dan akhirnya masuk kesana.nauzubillah!

Rasulullah SAW cukup bimbang kepada umatnya yang suka menunda-nunda atau melingah-lengahkan amal-amal soleh kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok. Ingatlah! Masa berjalan terus, ia tidak menunggu sesiapa, dunia sentiasa berubah dan fitnah-fitnah yang dibawa oleh syaitan dan Iblis dan didurong oleh hawa nafsu itu akan muncul terus dan mengoda manusia.

Sahabat yang dikasihi,
Bayangkan bagaimana keadaan ini boleh berlaku iaitu seseorang paginya beriman dan petangnya kafir dan ada pula yang petangnya beriman dan paginya kafir. Kalau tidak diambil perhatian serius apa akan terjadi sekiranya ketika ia menjadi kafir waktu petang atau pagi tiba-tiba ajalnya datang mengejut? Jadilah ia seorang yang mati dalam kekufuran kepada Allah SWT. Nauzubillahiminzalik.

Beberapa contoh yang pernah berlaku dalam masyarakat kita :
1. Wanita Islam sanggup menukar agamanya kerana bercinta dengan lelaki kafir dan berkahwin untuk sehidup dan semati (berlaku di Banting Selangor dan Pontian Johor).

2. Seorang lelaki Islam sanggup bunuh diri hanya disebabkan perselisihan dengan isterinya (berlaku di Kuala Selangor, Selangor).

3. Seorang lelaki Islam sanggup tukar kepada agama Kristian kerana kemiskinan dan dia dipulaukan oleh orang kampung (berlaku di Kuantan, Pahang).

Banyak lagi contoh-contoh lain yang berlaku yang tidak diceritakan di akhbar. Menurut mufti Perak orang Islam yang murtad di Malaysia melebihi 100,000 orang kerana berbagai-bagai sebab dan alasan. Inilah yang dikatakan sanggup menjual agamanya dengan barang perhiasan dunia. Dengan harta dan wang ringgit ia sanggp menjual aqidahnya.

Sahabat yang diredai Allah,
Sesungguhnya seorang mukmin sejati adalah orang yang paling takut hatinya dan takut kepada kemaksiatan dengan segenap jalannya. Banyaknya maksiat itulah yang akan menyebabkan ujud selaput hitam pekat pada hati menyebabkan cahaya dan hidayah Allah tidak dapat memasuki hati manusia.

Seorang mukmin sejati adalah orang yang sabar terhadap bujukan-bujukan dunia dan waspada terhadap apa-apa yang dipandang indah oleh syaitan, jin dan manusia. Semuanya barang perhiasan dunia dan kenikmatannya hanya sementara bila tiba masanya manusia akan mati dan menemui Allah s.w.t. Apabila mati anak Adam semua yang dimiliki akan ditinggalkan kecuali tiga iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML