Sunday, December 29, 2013

AMAL SOLEH ( TIDAK MENANGGUH-NANGGUHKAN UNTUK BERBUAT KEBAIKAN )

Teruskan Beramal Soleh Dan Jangan Menangguhkan Amalan Untuh Meraih Keredaan Allah

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam setiap urusan di dunia ini, yang paling penting adalah dipenghujungnya. Berjaya atau gagal sesuatu urusan atau amal itu adalah dilihat dipenghujungnya. Contohnya sesuatu pertandingan untuk diberikan hadiah adalah acara terakhir siapa berjaya memenanginya maka hadiah tersebut layak untuknya, seorang bekerja untuk mendapat gaji perlu bekerja sehingga akhir bulan maka barulah layak mendapatkan gajinya, begitu juga amala ibadah kita seperti puasa diakhir puasa kita nanti adakah kita layak mendapatkan takwa daripada Allah SWT?. Allah SWT menurunkan malam lailatul qadar juga di 10 malam yang terakhir. Syarat untuk kita layak memasuki syurga Allah SWT juga ditentukan di akhir hayat kita samaada mendapat husnul khatimah atau su'ul khatimah.

Iblis laknatullah akan cuba membisikkan, menggoda dan memesongkan amalan anak Adam supaya rosak dan tidak diterima oleh Allah SWT. Pertama iblis akan cuba menggoda supaya manusia syirik kepada Allah SWT. Jika tidak berjaya dia akan menyuruh melakukan dosa-dosa besar, perkara haram . Jika gagal juga dia akan menyuruh manusia memandang ringan dosa-dosa kecil dan berterusan dengan dosa-dosa kecil. Jika gagal dia suruh buat yang syubahat dan makruh, jika gagal lagi dia akan suruh berlebih-lebihan perkara yang harus dan akhir sekali dia akan menyuruh manusia menangguh-nangguhkan amalan ibadah, amal soleh dan amal kebaikan.

Ingatlah! Menanguh-nangguhkan amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikan adalah hasil daripada godaan iblis dan syaitan.

Apabila manusia terperangkap dengan tipu daya iblis dan syaitan maka manusia sendiri akan rugi kerana kurang mempersiapkan dirinya dan beramal soleh ketika hidup di dunia .

Apabila manusia semuanya dikumpulkan di Padang Mahsyar, dan menerima azab kepanasan mata hari sejengkal di atas kepala manusia menyesal, 'kenapakan aku dahulu tidak beramal sehingga aku termasuk di dalam 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy?' .

Abu Hurairah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: ” Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya. 1.Pemimpin yand adil; 2. pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT; 3. seseorang yang hatinya terpaut pada masjid; 4. dua  lelaki yang berkasih sayang dan bertemu dan berpisah kerana Allah SWT; 5. lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan Aku Takutkan Allah; 6. seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehinggakan tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya; dan 7. seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” (Hadis Riwayat Muslim)

Begitu juga apabila di timbang amalan manusia di Mizan, dan timbangan amalan kebaikannya sedikt berbanding dengan amalan kejahatannya ataupun amalannya 50:50 (kebaikan dan kejahatan sama banyak) maka dia akan menyesal kenapa di dunia dahulu tidak suka bersedekah, berakhlak mulia dan tidak banyak berzikir kepada Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Dermawan itu merupakan suatu pohon yang akarnya di syurga dan dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke syurga. Kedekut (kikir) itu pohon yang asalnya di dalam neraka sedang dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke neraka." (Di riwayatkan oleh Aishah r.anha)

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya (kelak diakhirat) dari pada akhlak yang mulia.”

Dari Abu Hurairah: Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Ada dua buah kalimat yang ringan di lisan namun berat di dalam timbangan, dan keduanya dicintai oleh ar-Rahman, yaitu ‘Subhanallahi wabihamdihi, subhanallahil ‘azhim’.” (Hadis Riwayat Bukhari [7573] dan Muslim [2694])

Manusia akan menyesal kerana disaat nyawa telah sampai dikerongongnya, dia tahu bahawa dia akan bertemu Allah SWT dan dia telah dilihatkan tempatnya di hari akhirat maka ketika ini datanglah rasa penyesalan yang amat sangat .

Inilah saat yang sangat mengejutkan dan mengerikan ibarat melihat panahan petir sewaktu hari sedang panas terik. Saat itu simati akan teringat terhadap ancaman Allah SWT yang berupa Neraka Jahannam, yang mungkin pernah didengar atau dibaca sebelum saat nazaknya. Firman Allah SWT maksudnya : "Dan pada hari itu, diperlihatkan Neraka Jahanam ; dan pada hari itu ingatlah kalian akan tetapi tidak berguna lagi mengingati itu baginya. Dan dia berkata , "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan amal soleh untuk hidupku ini. Maka pada hari itu tiada seorang pun yang menyeksa seperti seksaan-Nya dan tiada seorang pun yang mengikat seperti ikatan-Nya" (Surah al-Fajr ayat 23-26)

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan belanjakanlah (bersedekah) sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?" (Surah al-Munafiqun ayat 10)

Sahabat yang di muliakan,
Nafsu kita sebenarnya suka berehat-rehat, buang masa dengan berbual kosong, menonton filem-filem di TV, menangguh-nangguhkan amal soleh, kurang melaksanakan amalan sunat dan banyak makan, banyak tidur dan suka membazir. Perkara yang lebih teruk lagi jika kita suka mengumpat, memfitnah, mengadu domba dan suka menyakiti hati orang lain.

Kita sedang berada di malam ke 10 terakhir Ramadan tetapi kenapa kita masih kurang mengisi malam dengan beribadah, bersolat, berdoa, berzikir dan membaca al-Quran? Sedangkan kita tahu bahawa sekiranya kita bertemu Lailatul qadar amalan kita lebih baik daripada 1000 bulan.? Ingatlah amalan kita disaat-saat akhir ini akan menentukan ibadah puasa kita samaada berhasil menatijahkan takwa dan dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah SWT ataupun mendapat 'kutukan malaikat' kerana berakhirnya Ramadan nama kita masih tertulis dipintu neraka dan dosa-dosa kita tidak diampunkan oleh Allah SWT. Nauzubillahiminzalik.

Oleh itu marilah kita bermuhasabah dan semak diri kita masing-masing kemanakah arah tujuan kehidupan kita yang ingin kita capai , adakah kita berhajat meraih reda dan rahmat Allah SWT dengan mendapat balasan syurga atau membiarkan diri kita hanyut dibawa arus hawa nafsu dan bisikan syaitan hingga merugikan hidup kita di dunia dan hari akhirat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML