Sunday, December 29, 2013

TANAMKAN ISLAM DIRI KITA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Untuk meningkatkan komitmen kita terhadap Islam, banyak yang mesti kita lakukan. Langkah berikut merupakan beberapa langkah dasar yang patut dilaksanakan :

1.Meningkatkan pengetahuan Islam secara sempurna dan menyeluruh.

Perlulah memahami ilmu tentang Allah, Rasul dan al-Quran. Untuk melahirkan keyakinan dan kekuatan iman mustahil diperolehi tanpa pengetahuan terhadap apa yang diimani. Ertinya, tahap keimanan, banyak ditentukan oleh tahap pemahaman seseorang.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." (Surah az-Zumar ayat 9)

Oleh itu sebagai seorang mukmin ilmu pengetahuan mengenai Islam yang asas dan menyeluruh perlulah dipelajari dan difahami supaya kefahaman kita bukanlah berdasarkan ikutan semata-mata. Kerana Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Dewasa ini umat Islam hanya memahami secara serpihan yang terpisah-pisah dan tidak difahami secara satu sistem hidup.

2.Memperbanyakkan amal soleh dan mempertingkatkan ketaatan.

Dr Muhammad Yasin dalam bukunya al-Iman menyebutkan bahawa keimanan mesti mencakupi dua faktor asasi . 

Pertama, pengakuan secara ilmu pengetahuan dan membenarkannya. 

Kedua, pengakuan secara amaliyah dengan mentaati apa yang telah diketahui dan diyakini. 

Oleh itu seorang mukmin wajib melaksanakan keyakinannya dalam bentuk perbuatan dan tindakkan, iaitu ia perlu melaksanakan amal-amal soleh dalam kehidupannya.

Sejarah telah membuktikan bahawa umat Islam bukan sekadar tentera-tentera penunggang kuda di siang hari bahkan mereka melaksanakan ibadah seperti rahib-rahib yang khusyuk di malam hari. Rasulullah SAW. sendiri menunjukkan contoh tauladan yang baik, di siang hari memimpin tentera-tentera Islam, melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiah, kemudian di malam hari melakukan qiyamulail sehingga bengkak-bengkak kaki baginda tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

3.Zikir dan fikir

Zikir adalah mengingati Allah beserta sifat-sifat-Nya, kebesaran-Nya dan membaca kitab-Nya, sehingga hati selalu berhubung dengan Allah SWT.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Iman itu bertambah dan berkurang," lalu ia bertanya kepada baginda, "Apa gerangan ya Rasulullah, yang dapat menambah dan menguranginya?"
Jawab Rasulullah , "Jika kita mengingati Allah dan memuji-Nya, menyucikan-Nya dan bertasbih kepada-Nya, maka disitulah iman akan bertambah kualitinya. Manakala jika kita melupakan atau lalai kepada-Nya, maka disitulah iman kita berkurang,"

Kefahaman yang mendalam terhadap zikrullah inilah menyebabkan Abdullah bin Rawahah memegang tangan seorang sahabatnya seraya berkata, "Bangkitlah sejenak bersama kami, marilah duduk di majlis zikir."

Fikir pula adalah aktiviti yang mengarah kepada renungan ciptaan Allah SWT dengan memikirkan apa yang ada pada ciptaan-Nya, memandang tanda-tanda kebesaran-Nya, mukjizat-Nya, sehingga bertambah keimanan kepada Allah dan merasakan keagongan-Nya dan kekuasaan-Nya. Aktiviti seperti ini disebut sebagai tafkir dan iktibar. Kepekaan pancaindera terhadap ciptaan Allah SWT walau hanya secara garis kasarnya saja sudah cukup memberi kesan akan keagungan sifat dan perbuatan Allah SWT. Ini jelas akan mempengaruhi tahap keimanan dan seterusnya, pasti tahap komitment kita.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita mulakan Islam pada diri kita sendiri kemudian ajak dan tarbiah  isteri dan anak-anak, ahli keluarga, sahabat-handai, rakan sekerja, jiran tetangga dan seterusnya umat Islam dalam masyarakat kita. Tegakkan negara Islam dalam diri kalian dahulu insya Allah negara Islam akan dapat di tegakkan dalam masyarakat .


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML