Hayati Enam Sifat-sifat Orang Bertakwa.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Islam amat menuntut umatnya menjadi orang bertakwa. Semakin tinggi takwa seseorang kepada Allah SWT maka semakin mulia kedudukannya di sisi Allah SWT.
Al-Quran menjelaskan sifat orang bertakwa dalam firman-Nya bermaksud: "iaitu orang yang berdoa: 'Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. Iaitu orang yang sabar, orang yang benar, orang yang taat, orang yang menginfaqkan (ke jalan Allah) dan orang yang memohon keampunan pada waktu sahur."(Surah Ali Imran, ayat 16-17)
Berdasarkan ayat di atas, terdapat enam sifat orang yang bertakwa iaitu :
1. Orang yang berdoa.
2. Orang yang sabar.
3. Orang yang benar.
4. Orang yang taat.
5. Orang yang menginfaqkan hartanya(kejalan Allah) dan
6. Orang yang memohon keampunan pada waktu sahur.
Huraiannya :
1. Orang yang berdoa.
Ungkapan doa seseorang hamba yang dimohon kepada Pencipta-Nya membuktikan ketakwaan mereka. Hal ini kerana di sana wujud konsep manusia memerlukan pertolongan Allah SWT. Ia adalah pengumuman iman, satu permohonan syafaat di sisi Allah SWT. Begitu juga permohonan keampunan dan pemeliharaan daripada azab neraka.
Dengan keimanan kepada Allah, manusia akan memohon keampunan kepada-Nya. Hal ini kerana setiap perbuatan manusia akan mendapat balasannya sama ada baik atau sebaliknya.
Memohon keampunan menunjukkan manusia percaya akan balasan daripada Allah SWT. dan beriman kepada-Nya. Berdoa adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang merasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan doa kehadrat Allah SWT agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia merasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.
Sebagai seorang mukmin yang yakin di atas qada dan qadar Allah SWT kita kena berfikiran positif dan yakin apa sahaja keputusan Allah SWT .adalah keputusan yang terbaik, yang mana hanya Allah SWT. sahaja Maha Mengetahui di atas kehidupanmu pada masa sekarang dan masa akan datang. Yakinilah bahawa semua doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka) : Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul." (Surah al-Baqarah ayat 186)
2. Orang yang sabar.
Sabar adalah kalimat yang mudah diucapkan. Namun berapa ramai antara kita yang bersabar dalam apa jua suasana dan ketika. Adakah sabar itu ada batasnya?, Sabar yang bagaimana sehingga ia diiktiraf sebagai sebahagian dari iman? Adakah kita tergolong dalam golongan orang yang sabar lalu kita terpilih menjadi kesayangan Allah SWT?
Sifat sabar adalah salah satu sifat mahmudah, seorang mukmin akan menghiasi akhlaknya dengan sifat sabar dan sentiasa tenang menghadapi dugaan dan musibah.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar" (Surah al-Baqarah ayat 153)
Bersifat sabar dalam melakukan ketaatan yang diperintahkan Allah. Sabar menjauhkan diri daripada larangan Allah SWT serta menghadapi ujian-Nya yang berupa kesenangan dan kesusahan.
Sesungguhnya, apabila Allah SWT itu mengaishi seseorang hamba Ia akan mengujinya. Dan apabila Ia mengujinya, sama ada dengan menurunkan penyakit dan sebagainya, Allah SWT akan memberikan kesabaran. Dalam menghadapi cubaan seperti ini, kesabaran adalah paling utama. Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab" (Surah az-Zumar: 10).
Mengenai pelbagai ujian itu Allah S.W.T berfirman, maksudnya:
"Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).
3. Orang yang benar.
Bersifat benar pula terhadap perkara yang dikhabarkan kepada mereka daripada pengakuan keimanan dengan kesungguhan menjalankan amal perbuatan di dunia ini. Mereka bersikap benar dalam pekerjaan, percakapan dan pergaulan kerana bimbangkan balasan buruk daripada Allah SWT. Pekerjaan itu dilakukan dengan kejujuran dan dilimpahi sikap amanah. Percakapan pula tiada unsur penipuan dan pergaulannya dalam batas keizinan syarak.
Kejujuran adalah tanda bukti keimanan. Orang mukmin pasti jujur. Kalau tidak jujur, keimanannya sedang diserang penyakit munafik.
Suatu ketika seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah mungkin seorang mukmin itu kedekut?”
Baginda menjawab: “Mungkin saja.”
Sahabat bertanya lagi: “Apakah mungkin seorang mukmin bersifat pengecut?”
Rasulullah SAW menjawab: “Mungkin saja.”
Sahabat bertanya lagi: “Apakah mungkin seorang mukmin berdusta?”
Rasulullah SAW menjawab: “Tidak.” (HR Imam Malik dalam kitab Al-Muwaththa’)
Apa yang boleh dipelajari daripada hadis ini ialah seorang mukmin tidak mungkin melakukan pembohongan.
Kejujuran adalah pangkal semua perbuatan baik manusia. Tidak ada perbuatan dan ucapan baik kecuali kejujuran.
Oleh sebab itu, Allah menyuruh orang-orang mukmin agar selalu berkata benar dan berlaku jujur. Ini diperintah oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang jujur dan benar. "(Surah al-Ahzab ayat 70)
Rasulullah SAW bersabda: “Kamu semua wajib bersikap jujur kerana kejujuran akan membawa kepada kebaikan dan kebaikan akan membawa kepada syurga”. (HR Ahmad, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Hibban)
4. Orang yang taat.
Bersifat taat adalah tunduk dan patuh dalam segala amal perbuatan kerana meletakkan keesaan Allah sebagai teras dalam kehidupan.
Dalam sifat ini ada ciri menunaikan hak uluhiyyah dan kewajipan ubudiyyah serta menegakkan kehormatan diri dengan menunjukkan ketaatan kepada Allah.
Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya)." (Surah al-Anfal ayat 20)
Perintah ketaatan ini Allah Subhanahu Wa Ta‘ala kaitkan dengan sifat iman dan takwa seseorang kerana iman dan takwa tidak boleh berpisah daripada ketaatan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Firman Allah SWT maksudnya : "Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang yang beriman. (Surah al-Anfal ayat 1)
5. Orang yang menginfaqkan hartanya(kejalan Allah)
Menafkahkan harta pula adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta kekayaan ke jalan ketaatan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Begitu juga membantu kaum kerabat dan orang lain yang memerlukan serta mengeratkan silaturahim sesama manusia.
Dalam sifat infaq wujud ciri pembebasan diri daripada menjadi hamba harta. Ia juga bebas daripada belenggu kebakhilan dan menegakkan persaudaraan insaniah di atas kenikmatan peribadi. Mewujudkan hubungan saling bantu membantu antara mereka yang layak dalam sesebuah kawasan atau negara.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq'. Dan lainnya berkata, 'Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang kedekut' "(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim di riwayatkan dari Abu Hurairah r.a., Sahih Bukhari no. 1442 dan Sahih Muslim no. 1010)
Allah SWT berfirman maksudnya : “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui” . (Surah al-Baqarah ayat 261).
6. Memohon ampun pada waktu sahur menunjukkan keutamaan beristighfar pada waktu sahur.
Ibn Mardawaih meriwayatkan daripada Anas bin Malik, dia berkata: “Kami diperintahkan jika kami solat malam, agar kami beristighfar pada waktu akhir sahur sebanyak 70 kali.”
Dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah turun ke langit dunia pada setiap malam, iaitu ketika masih berbaki sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: Adakah orang yang meminta, sehingga akan Aku beri? Adakah orang yang berdoa sehingga Aku mengabulkannya? Dan adakah orang yang memohon ampun sehingga Aku memberikan keampunan kepadanya?”
Memohon keampunan pada waktu sahur memberi bayangan yang lemah-lembut dan mendalam. Kalimah bil ashar dalam ayat 17 Surah Ali Imran menggambarkan bayangan masa akhir malam sebelum fajar iaitu masa di mana suasana kelihatan begitu jernih, lembut dan tenang. Masa ketika hati melepaskan bisikannya yang terpendam. Apabila memohon keampunan pada masa itu, maka ia akan memantulkan bayangan yang menyerap ke dalam jiwa dan hati.
Di sinilah akan timbul rasa keinsafan yang akhirnya menyebabkan sesalan yang tidak terhingga. Ia akan menyebabkan manusia menyedari kedudukan mereka hanyalah sebagai hamba Allah.
Sahabat yang dirahmat Allah,
Setiap perubahan yang ingin kita lakukan adalah di atas kehendak diri kita sendiri. 'Tepuk dada tanya iman'. Jika kita berhajat menjadi orang bertakwa dan memiliki enam sifat-sifat di atas itu perlulah kita bermujahadah melawan nafsu, bermuhasabah memperbaiki diri , berazam untuk meningkatkan amal soleh dan amal ibadah. Jangan lupa berdoa kepada Allah SWT supaya diberi-Nya kekuatan untuk istiqamah di atas jalan yang benar ini dan diberikan-Nya taufik dan hidayah-Nya.
Hayatilah maksud firman Allah SWT dibawah ini :
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)" .(Surah Adz-Zaariyaat ayat 15-18)
No comments:
Post a Comment