Saturday, January 4, 2014

KENIKMATAN DI SYURGA

Kenikmatan Syurga Untuk Orang-orang Yang Bertakwa.

السَّلاَمُ عَلَيْكُم
 سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,
Syurga adalah tempat istirehat yang sebenarnya. Satu tempat istimewa yang disediakan oleh Allah SWT. kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa dan telah mengabdikan diri mereka sepenuhnya ketika didunia. Banyak terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. yang menceritakan tentang nikmat dan keseronokan tempat tinggal di syurga Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "(Untuk mereka) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa"
(Surah an-Nahl ayat 31)

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata, "Ya Rasulullah dari apakah dibuat syurga itu?".Jawab baginda : "Dari air."Kami bertanya : "Beritakan tentang bangunan syurga?"Jawab baginda : "Satu bata dari emas dan satu bata dari perak, dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari zakfaran, kerikilnya mutiara dan yakud, siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati, tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya."

Disebutkan dalam sebuah hadis sahih dari Anas bin Malik bahawa Ummu Haritsah datang menghadap Rasulullah SAW sedangkan Haritsah termasuk mujahid yang gugur dalam Perang Badar kerana terkena anak panah.

Lalu Ummu Haritsah berkata:" Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah berbuat untuk Haritsah dari hati saya. Jika sekarang ia di syurga, saya tidak akan menangis untuknya. Namun, jika ternyata tidak, engkau akan melihat apa yang akan saya lakukan.

Rasulullah menjawab : "Apakah syurga hanya satu? Syurga itu banyak sekali, sedangkan syurga tertinggi adalah syurga Firdaus."

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ahli syurga itu memiliki peringkat, berdasarkan kedudukan mereka ketika berada di syurga.

Dari Abu Said Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ahli syurga itu saling melihat antara bilik dari atasnya, seperti mana saling memandangnya bintang yang beredar dan yang tetap di ufuk timur atau barat kerana di antara mereka saling memiliki kelebihan.

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah di sana ada kedudukan yang khusus bagi para nabi, yang orang lain tidak akan boleh sampai ke sana? 

Rasulullah menjawab : "Tidak demikian, demi Zat yang diriku berada di dalam kekuasaan-Nya. Nabi akan berada satu keadaan bersama orang yang beriman kepada Allah dan yang membenarkan rasul itu. 

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Tingkatan Syurga yang paling tinggi ialah Firdaus. Nabi SAW. memerintahkan ummatnya untuk berdoa memohon Firdaus melalui sabdanya, “Jika kalian meminta pada Allah mintalah kepada-Nya Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus adalah syurga yang paling utama, dan merupakan tingkatan tertinggi dari syurga, diatasnya terdapat ‘Arsy Ar Rahman dan dari Firdaus itulah memancar sungai-sungai syurga”. 

Dalam kitab Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah, serta Sahih Ibnu Hibban, disebutkan hadis dari Abu Said, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ahli syurga yang berada pada tingkat tertinggi dapat melihat orang yang berada pada tingkat di bawahnya, seperti mana melihatnya bintang yang tertinggi di langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk golongan yang menikmatinya". (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Abu-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Arqam r.a. berkata : Seorang ahli kitab datang kepada Nabi SAW dan bertanya : "Ya Abal-Qasim apakah kau nyatakan bahawa orang syurga itu makan dan minum?"Jawab Nabi SAW : "Ya, demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, seorang ahli syurga diberi kekuatan seratus orang dalam makan, minum dan jimak (bersetubuh)"Ia berkata :'"Sedang orang yang makan, minum ia lazimnya berhajat, sedang syurga itu bersih tidak ada kotoran?'"Jawab Nabi SAW : "Hajat seseorang itu berupa peluh yang berbau harum bagaikan kasturi."

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW. bertanya kepada baginda tentang hari akhirat dan kenikmatan di syurga.

1. Makanan yang menjadi hidangan pertama kali penghuni syurga :

Diriwayatkan dari Rasulullah SAW. bahawa baginda ditanya,"Makanan apakah yang menjadi hidangan pertama kali penghuni syurga?" 
Baginda menjawab, "Hati ikan." 
Ditanya kembali. "Kemudian apa lagi setelah itu?" 
Baginda menjawab,"Bagi mereka disembelihkan sapi syurga yang biasa makan di tepian syurga." 
Kemudian baginda ditanya lagi, "Apakah minuman mereka?" 
Maka, baginda menjawab, "Dari mata air syurga yang bernama Salsabila."
(Hadis Riwayat Muslim).

2. Ketika manusia bertemu Allah SWT. di hari akhirat :

Diriwayatkan dari Rasulullah SAW. bahawa baginda ditanya, "Apakah yang diperbuat oleh Tuhan kita ketika kita menemui-Nya? Baginda menjawab," Kalian dihidupkan di sisi-Nya, lembaran-lembaran jalan hidup kalian ditampakkan dihadapan-Nya, tidak ada hal sekecil apa pun yang tersembunyi di balik hati kalian. Demi Allah, Tuhan kalian tidak pernah salah sedikitpun dalam menghisab amal kalian. Seorang Muslim mukanya berseri-seri laksana kain yang putih bersih, adapun seorang kafir dihancur-leburkan seperti arang yang berwarna hitam pekat."(Hadis Riwayat Ahmad).

3. Mata air yang mengalir di syurga :

Rasulullah SAW. ditanya, seperti apakah mata air yang mengalir di syurga? Maka, baginda menjawab," Mata air dari madu yang murni, sungai-sungai dari khamar (arak) yang tidak menyebabkan mabuk dan penyesalan, sungai-sunagai dari susu yang tidak berubah rasanya, air jernih yang belum berubah dan buah-buahan. Demi Allah, kalian tidak pernah melihat kenikmatan ini di dunia dan tidak ada sedikitpun yang serupa dengannya."
(Hadis Riwayat Ahmad).

4. Isteri-isteri di syurga :

"Adakah kita akan mempunyai isteri di syurga?" Maka, baginda menjawab, " Orang-orang yang soleh akan dinikahkan dengan wanita-wanita yang solehah. Kalian akan merasakan kenikmatan sebagaimana isteri-isteri kalian juga akan merasakan kenikmatan waktu di dunia. Perbedzaannya, hubungan intim di syurga tidak menyebabkan kehamilan."
(Hadis Riwayat Ahmad)

5. Hubungan badan dengan isteri-isteri di syurga :

"Apakah kita berhubungan badan dengan isteri-isteri kita di syurga? Maka, baginda menjawab, "Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, seorang lelaki mampu berhubungan badan dengan seratus bidadari pada satu pagi." (Imam Hafidz Abu Abdullah al-Maqdisi mengatakan bahawa perawi hadis ini adalah sahih).

"Apakah ada hubungan badan di syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ya, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya. Apabila ia telah berdiri dari isteri-isteri-Nya (telah selesai dari hubungan badan), mereka kembali perawan seperti semula." (Perawi hadis ini adalah sahih dengan syarat Ibnu Hibban)

6. Makna kata "al-Kautsar."

Diriwayatkan dari Rasulullah SAW. bahawa baginda ditanya tentang makna kata "al-Kautsar". Maka , baginda menjawab, "Al-Kautsar adalah sebuah sungai yang dianugerahkan oleh Allah kepadaku di syurga. Lebih putih dari susu, lebih manis dari madu, terdapat burung yang lehernya seperti leher unta." Para sahabat bertanya, "Alangkah nikmatnya wahai Rasulullah! Maka, baginda bersabda,"Yang memakannya lebih merasakan nikmatnya berbanding yang sekadar mendengar saja."

7. Wanita yang pernah berkahwin lebih dari satu suami di dunia :

Diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa baginda ditanya , "Seorang wanita yang telah menikah dengan lebih dari dua atau tiga laki-laki, bersama siapakah ia tinggal di antara mereka di syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ia akan memilih yang paling mulia akhlaknya."

8. Penghuni Syurga saling menikah :

"Apakah penghuni Syurga saling menikah?" Maka, baginda menjawab, "Nafsu syahwat mereka tidak pernah putus dan kemaluan mereka tidak pernah lemas serta dorongan seksual mereka sangat kuat sekali."

9. Hubungan dengan isteri :

"Apakah penghuni syurga juga berhubungan badan dengan isteri-isteri mereka?" Maka, baginda menjawab, " Sangat kuat dorongan seksualnya, tetapi mereka tidak mengeluarkan mani dan juga isterinya."

10. Penghuni syurga tidak tidur.

"Apakah penghuni syurga itu tidur?" Maka, baginda menjawab, "Tidur itu bererti mati, penghuni syurga tidak pernah tidur,"

11. Di Syurga ada kuda dari permata :

"Apakah di syurga ada kuda?" Maka, baginda menjawab, "Apabila masuk syurga, kalian disiapkan seekor kuda tunggangan dari permata, yang mempunyai dua sayap, membawa terbang kemanapun kalian kehendaki di syurga."

12. Wanita dunia lebih mulia dari bidadari :

"Apakah wanita dunia lebih utama dari bidadari yang bermata jelita?" Maka, baginda menjawab, "Wanita dunia adalah lebih mulia dari bidadari seperti keutamaan sesuatu yang nampak dari hal yang tersembunyi."

Lalu ia bertanya kepada Nabi SAW, "Hai Rasulullah, apakah yang menjadikannya demikian?" Baginda menjawab, "Kerana solat, puasa, dan ibadah mereka kepada Allah. Maka Allah menghiaskan cahaya di muka mereka dan membalutkan kain sutra pada tubuh mereka. Mereka berkulit putih, berpakaian hijau, perhiasannya kuning, pedupan mereka dari permata dan sisir mereka dari emas. Mereka seraya berkata, "Kita tinggal di syurga selama-lamanya tidak pernah akan mati, menyelam dalam lautan kenikmatan tidak pernah mendapatkan musibah, dan kami menetap tidak pernah pindah selamanya, kami rela dan tidak pernah benci selamanya. Maka beruntunglah orang yang memiliki kami dan menjadi milik kami."

13. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Setiap lelaki yang masuk syurga akan diberi 72 bidadari; tidak peduli pada umur berapa dia mati, ketika dia masuk syurga dia akan menjadi seorang berumur 30 tahun dan tidak akan tambah tua. Lelaki di syurga akan diberi keperkasaan yang sama dengan keperkasaan seratus orang lelaki." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sahabat yang dimuliakan,
Betapa indahnya syurga yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang-orang mukmin. Orang mukmin menganggap hidup di dunia adalah tempat persingahan sementara waktu sahaja. Di dunia hanyalah tempat memperbanyakkan amal ibadah, amal soleh, amal kebajikan dan tempat ujian daripada Allah SWT. Harta dunia, pangkat, kedudukan, jawatan dan sanjungan manusia hanyalah bersifat sementara ianya tidak akan kekal, semuanya akan ditinggalkan apabila sampai ajal manusia, rohnya dijemput kembali kehadrat Ilahi. Tetapi yang kekal adalah hati yang beriman, bertakwa, sejahtera dan bersih daripada daki-daki syirik dan amal-amal soleh yang ikhlas dilaksanakan semata-mata kerana Allah SWT.
Berbahagialah sesiapa yang dipilih oleh Allah SWT untuk memasuki syurga-Nya seluas langit dan bumi dan dirahmati-Nya buat selama-lamanya.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML