Saturday, January 4, 2014

TANGGUNGJAWAB MUSLIM

Tanggungjawab Muslim Kepada Saudaranya.

Daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. baginda telah bersabda yang maksud :
“Barangsiapa yang meringankan kesusahan seorang Mukmin di dunia, maka Allah s.w.t. akan meringankan satu kesusahan daripada kesusahannya di Hari Qiyamat. 

Barangsiapa yang memudahkan (membantu membayar hutang) orang yang mendapat kesusahan (berhutang) maka Allah s.w.t. akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya. 

Barangsiapa menempoh jalan untuk mencari ilmu, Allah s.w.t. akan memudahkan baginya jalan ke Syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di satu rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca al-Qur’an dan mempelajarinya bersama-sama kecuali sakinah (ketenangan) akan turun kepada mereka, rahmat akan meliputi mereka dan malaikat mengelilingi mereka dan Allah s.w.t. memuji mereka di hadapan para malaikat-Nya. 

Barangsiapa yang amal solehnya sedikit, maka nasab (keturunan)nya tidak boleh mengangkat darjatnya.”


Tanggungjawab Seorang Muslim

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah telah menyimpulkan tanggungjawab seorang Muslim dalam beberapa ayat Al-Qur'an. Setelah itu Allah mengulanginya dalam beberapa ayat yang lain. Ayat yang merangkumi tanggungjawab Muslim dalam hidup ini.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman, rukuklah, sujudlah, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia (Allah) telah memilih kamu dan Dia tidak menjadikan untukmu suatu kesempitan dalam agama. (Ikutlah) Agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamakan kamu sekelian orang-orang Muslim dari dahulu dan begitu pula dalam (Al-Qur'an) ini, supaya Rasul menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia. Kerana itu, dirikanlah solah, tunaikanlah zakat dan berpeganglah pada tali Allah. Dia adalah pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik pelindung dan penolong."
(Surah Al-Haj ayat 77-78)

Sahabat yang dimuliakan,
Firman Allah ini amat jelas. Tidak mengandungi sebarang kekeliruan atau kesamaran. Tidakkah orang Islam mendengarnya sebelum ini? Ataupun mereka mendengarnya tetapi hati mereka terkunci sehingga mereka tidak menyedari dan tidak mengambil pengajaran.

Allah memerintahkan orang-orang Islam rukuk dan sujud, memerintah mereka mendirikan sembahyang yang menjadi intipati dari segala ibadat, tiang agama dan perlakuan lahiriah yang paling nyata. Memerintahkan mereka melakukan kebajikan sekadar kemampuan mereka. Sewaktu memerintah mereka melalui kebajikan, Allah melarang mereka dari kejahatan. Awal-awal kebajikan yang dapat kita lakukan ialah dengan meninggalkan kejahatan. Setelah itu Allah menjamin pula kejayaan, kemenangan dan kelulusan untuk mereka. Inilah tanggungjawab tiap-tiap Muslim yang wajib dilakukan secara bersendiri atau secara berjemaah.

Kemudian setelah itu, Allah memerintahkan pula mereka supaya berjihad pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya untuk menyebarkan dakwah dan menerangkannya kepada seluruh manusia dengan hujjah dan dalil. Berjihad untuk menyebarkan dakwah adalah merupakan suatu kewajipan yang diwajibkan Allah kepada umat Islam sebagaimana Allah mewajibkan puasa, sembahyang, haji, zakat, melakukan kebajikan dan meninggalkan kejahatan. Allah mempastikan umat Islam berjihad dan menyeru mereka melakukannya. Tidak seorangpun yang dikecualikan sekiranya beliau mempunyai kemampuan.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Setelah menerangkan perintah ini Allah menjelaskan kepada umat Islam. Allah menerangkan bahawa Dia memilih mereka supaya mereka menjadi pemimpin makhluk, memegang amanah syariat-Nya, menjadi khalifah dibumi ini dan menjadi pewaris Nabi s.a.w. dalam dakwahnya. Inilah tanggungjawab secara berjemaah yang mana Allah menyeru seluruh umat Islam melakukannya supaya mereka menjadi satu barisan, satu ketumbukan yang kuat, supaya mereka menjadi hamba-hamba yang ikhlas yang bakal menyelamatkan seluruh manusia dan menunjukkan kepada mereka jalan yang lurus.

Setelah itu, Allah menerangkan kepada manusia hubungan antara kewajipan individu dengan kewajipan kemasyarakatan. Dengan penjelasan ini manusia tidak lagi mempunyai alasan untuk meninggalkan kewajipan peribadi dengan alasan mereka telah melakukan kewajipan berjemaah. Mereka yang lain pula, tidak akan mempunyai alasan meninggalkan amal secara berjemaah dengan mangatakan mereka sibuk dengan amal ibadat peribadi.

Sahabatku,
Marilah sama-sama kita beribadat kepada Allah, tunaikan zakat dan berjihad dijalan Allah demi menegakkan agama-Nya. Marilah kita daulatkan syariat Islam dalam masyarakat. Tanggungjawab ini semua adalah tanggungjawab kita bersama. Sekiranya kita tunaikan tanggungjawab ini kita akan mendapat kejayaan di sisi Allah s.w.t. Ingatlah balasan Syurga menanti untuk orang-orang yang beriman dan bertakwa yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t ketika di dunia ini.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML