Saturday, January 4, 2014

PINTU SYURGA

Pintu-pintu Syurga Menanti Untuk Orang Mukmin Memasukinya

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang berinfak dengan sepasang hartanya di jalan Allah maka ia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga, ‘Hai hamba Allah, inilah kebaikan.’ Maka orang yang termasuk golongan ahli solat maka ia akan dipanggil dari pintu solat. Orang yang termasuk golongan ahli jihad akan dipanggil dari pintu jihad. Orang yang termasuk golongan ahli puasa akan dipanggil dari pintu Ar-Royyan. Dan orang yang termasuk golongan ahli sedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.”

Ketika mendengar hadis ini Abu Bakar pun bertanya, “Ayah dan ibuku sebagai penebus anda wahai Rasulullah, kesulitan apa lagi yang perlu dikhawatirkan oleh orang yang dipanggil dari pintu-pintu itu. Mungkinkah ada orang yang dipanggil dari semua pintu tersebut?”.

Maka baginda pun menjawab, “Iya ada. Dan aku berharap kamu termasuk golongan mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari [1897 dan 3666] dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu’anhu).

 Huraiannya :

Setiap amal soleh dan amal kebaikan yang kita kerjakan di dunai ini semuanya tidak akan disia-siakan oleh Allah SWT. Segala kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, sehinggakan setiap amal soleh yang banyak dikerjakan oleh seseorang itu semasa didunia ini terdapat pintu-pintu khusus untuk dia memasukinya.Ini menunjukkan bagaimana Allah SWT mencintai para hamba-Nya yang beristiqamah dengan amal-amal soleh dan kebaikan dengan melipatgandakan amalan tersebut.

Al-Qadhi menukil ucapan Al-Harawi ketika menerangkan makna ‘sepasang hartanya’ : Ada yang berpendapat bahawa yang dimaksud dengan ‘sepasang harta’ adalah dua ekor kuda, dua orang budak, atau dua ekor unta (Al-Minhaj oleh An-Nawawi, 4/351).

Sedangkan yang dimaksud dengan berinfak di jalan Allah dalam hadis ini mencakup berinfak untuk segala bentuk amal kebaikan, bukan khusus untuk jihad saja (Al-Minhaj, 4/352).

Hadis ini juga menunjukkan bahawa setiap orang yang beramal akan dipanggil dari pintunya masing-masing. Hal ini disokong dengan hadis dari jalan lain juga dari Abu Hurairah yang mengungkapkannya secara tegas, Nabi SAW bersabda,

لِكُلِّ عَامِل بَاب مِنْ أَبْوَاب الْجَنَّة يُدْعَى مِنْهُ بِذَلِكَ الْعَمَل

“Bagi setiap orang yang beramal terdapat sebuah pintu khusus di syurga yang dia akan dipanggil melalui pintu tersebut kerana amal yang telah dilakukannya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah dengan sanad sahih, demikian kata Al-Hafizh dalam Fath Al-Bari, 7/30).

Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu yang disebut Ar-Royyan. Orang-orang yang rajin berpuasa (puasa wajib dan sunat) akan masuk syurga melalui pintu tersebut pada hari kiamat nanti.

Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda,

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu yang disebut Ar-Royyan. Orang-orang yang rajin berpuasa akan masuk syurga melewatinya pada hari kiamat nanti. Tidak ada orang yang memasukinya selain mereka. Diserukan kepada mereka, ‘Manakah orang-orang yang rajin berpuasa?’. Maka merekapun bangkit. Tidak ada yang masuk melewati pintu itu selain golongan mereka. Dan kalau mereka semua sudah masuk maka pintu itu dikunci sehingga tidak ada lagi seorangpun yang boleh melaluinya…” (Hadis Riwayat Bukhari [1896] dari Sahl radhiyallahu’anhu).

Yang dimaksud dalam hadis dengan orang yang rajin puasa (puasa wajib dan sunat) , puasanya pula adalah puasa yang berkualiti, bukanlah puasa orang awam. Bukan pula  orang yang hanya mengerjakan puasa dan tidak mengerjakan solat, sebab orang seperti ini tidak akan masuk syurga akibat meninggalkan kewajipan solat . Akan tetapi yang dimaksud adalah kaum muslimin yang banyak-banyak berpuasa maka dia akan dipanggil agar melalui pintu tersebut. Sehingga setiap penghuni syurga akan memasuki syurga melalui pintu-pintunya yang berjumlah lapan pintu (lihat Syarh Riyadhush Shalihin oleh Ibnu Utsaimin, 3/388-389).

Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai seorang mukmin yang yakin dengan janji-janji Allah SWT bahawa Dia akan menyedikan syurga untuk orang-orang mukmin yang banyak pengorbanannya termasuk masa, tenaga dan wang ringgitnya semasa hidup di dunia. Hidup di dunia yang bersifat sementara ini janganlah melupakan kita untuk menyediakan bekalan sebanyak-banyak mungkin untuk bekalan dihari akhirat kerana ketika disana nanti tidak adalah harta, pangkat, saudara-mara yang boleh membantu kita melainkan amalan apa yang pernah kita kerjakan dahulu.

Orang mukmin akan mengerjakan semua amal-amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan yang diperintakkan oleh Allah SWT tanpa halangan dengan hati yang ikhlas semata-mata mencari keredaan-Nya, tetapi pada masa yang sama akan memfokuskan sesuatu-satu amal soleh yang dia mampu mempertingkatkan sehingga dia layak memasuki pintu-pintu tertentu yang disediakan oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Ketika di dunia ini kita akan cuba memilih satu-satu bidang kemahiran untuk menjadikan ianya sebagai kerjaya kita untuk mencari rezeki. Ada yang mahir dibidang perubatan, kewangan, kejuruteraan, perguruan dan sebagainya, mereka akan fokus bersungguh-sungguh hingga berjaya.

Kenapa kita tidak memikirkan pula satu-satu bidang darisegi amal ibadah, amal soleh atau amal kebajikan untuk kita meningkatkan amal dengan kualiti yang tinggi dan dikerjakan berlipat kali ganda.? Contoh jika kita seorang yang suka berpuasa, maka kita akan mengerjakan puasa yang wajib dan perbanyakkan puasa-puasa sunat. Kualiti puasa kita pula berada ditahap yang tinggi. Begitu juga jika kita berharta maka kita perbanyakkan sedekah sehingga tangan kiri kita tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanan. Jika kita suka kepada kerja-kerja kebajikan , teruskan kerja-kerja tersebut melaksanakan dengan bersungguh-sungguh sehingga jasa baik kita boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. Jika kita seorang hafiz, teruskan membaca al-Quran, mengajarkan kepada orang lain dan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh al-Quran. Sekiranya kita berminat berdakwah menerusi tulisan menyebarkan ilmu yang bermanfaat teruskan bekerja setiap hari tanpa jemu dan bosan kerana yang akan menilai usha-usaha kita adalah Allah SWT. Begitu juga bidang-bidang yang lain, setiap kita perlu memilih satu-satu bidang untuk kita memberikan sumbangan kebaikan kepada umat Islam dan manusia seluruhnya.

Berdasarkan hadis diatas orang mukmin yang banyak melakukan sesuatu amal soleh seperti puasa, solat, jihad, sedekah dan lain-lain akan ada pintu-pintu syurga yang menantinya. 

Contoh sahabat-sahabat Rasulullah SAW :

1. Abdul Raman bin Auf - banyak bersedekah dan infak dijalan Allah SWT.

2. Khalid bin al-Walid - banyak berjihad dijalan Allah SWT sehingga badannya penuh dengan luka-luka kerana berjihad dijalan Allah SWT.

3. Abu Hurairah - seorang yang pakar ilmu hadis (banyak meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah SAW)

4. Ali bin Zainal Abidin - cucu kepada Saidina Ali k.wj - bersolat sunat lebih 1000 rekaat sehari. Di panggil ‘As-Sajjad’ (orang yang ahli sujud).

5. Ibnu Abbas - seorang yang pakar dibidang tafsir al-Quranul karim


Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah terhadap amalan-amalan kita, adakah amalan-amalan kita memenuhi kualiti dan piawaian untuk melayakkan kita memasuki mana-mana pintu syurga yang disediakan oleh Allah SWT? Mungkin kalian melakukan semua amal-amal soleh dan amal-amal ibadah tetapi semuanya amalan tersebut hanya sedikit -sedikit ianya tidak mengizinkan kalian dipilih memasuki mana-mana pintu syurga. Oleh itu kalain perlu memilik bidang-bidang tertentu dalam Islam dan kalian terus bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga ada seruan nanti .

‘Manakah orang-orang yang rajin berpuasa?’. Maka merekapun bangkit.

‘Manakah orang-orang yang rajin solat?’. Maka merekapun bangkit.

‘Manakah orang-orang yang rajin bersedekah?’. Maka merekapun bangkit.

‘Manakah orang-orang yang rajin berjihad?’. Maka merekapun bangkit.

Di harapkan kita semua terpilih dikalangan orang-orang yang dijemput dengan hormat oleh malaikat yang menjaga pintu syurga untuk memasuki mana-mana pintu tertentu dikhususkan kepada orang-orang mukmin yang melaksanakan amalan-amalan tertentu. Waullahualam.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML