Kenikmatan Syurga Untuk Orang-orang Yang Bertakwa dan Beramal Soleh
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di Syurga ada tujuh buah negeri yang besar-besar, dan mempunyai kota-kota yang besar pula. Gedung-gedungnya yang besar, indah dan megah serta bertingkat. Di tiap kota ada menara yang menjulang ke angkasa, ada taman sari yang kelihatan pemandangannya menyegarkan dan menyenangkan hati, dengan tanaman-tanaman, pohon-pohon yang teratur rapi terhias indah dan pohon bunga yang beraneka ragam warna dan sedap di pandang mata. Pohon-pohon sangat rendang daunnya dan sangat lebat buahnya. Dan tidak ada musimnya, dan tidak akan layu buah-buahan itu, dan tidak akan rosak meskipun tidak dipetik.
Buah-buahannya, bermacam-macam pula. Seperti buah-buahan di dunia juga baik bentuk dan rupanya. Seperti anggur, apel, delima, pisang, tin , zaiton, korma dan sebagainya. Akan tetapi meskipun demikian, namun rasa dan manisnya tentunya lebih lezat dan lebih nikmat dari buah-buahan di dunia, demikian Nabi SAW telah menikmati sekalian buah-buahan itu. Dan lain sekali bezanya dengan buah-buahan di dunia, ada musimnya setahun sekali dan ada yang busuk kalau disimpan lama-lama. Tidak demikian halnya buah di syurga. Apabila dipetik saja maka pada masa itu akan tumbuh pula pengantinya.
Perhatikan Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 25 maksudnya :
"Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa untuk mereka (disediakan) syurga-syurga dibawahnya sungai-sungai . Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata, 'Ini adalah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu.' Mereka telah diberi (buah-buahan) yang serupa. Dan di sana mereka (memperolehi) pasangan-pasangan yang suci. Mereka kekal di dalamnya."
وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ
"Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa untuk mereka (disediakan) syurga-syurga dibawahnya sungai-sungai."
Di sana ada sungai-sungai yang besar mengalir terbentang di tengah kota, yang menambah keindahan kota-kota di syurga. Airnya ada yang berwarna merah bening, ada yang berwarna putih, ada yang berwarna seperti madu, dan macam-macam lagi. Tepi-tepi sungai itu di buat begitu rupa, dari batu permata, ada dari batu akik yang kuning, ada dari batu merah delima, ada dari batu mutiara yang putih bening, dan ada dari batu zabarbad yang berwarna hijau.
Tiap-tiap warna tepinya dipdankan dengan warna airnya. Batu-batu krikilnya dari mutiara, intan berlian gemerlapan cahayanya berkilau-kilauan. Siapa memandang pasti terpesona. Airnya jangan dikata lagi lezat dan nikmat, sangat Istimewa. Bukan air sembarang air, ia mengalir dari mata air asli, bermata air dan bersumber di bawah pokok Sidratul-Muntaha.
Air-air sungai itu bermacam-macam warnanya, merah, putih, kuning, hijau dan sebagainya. Air sungai-sungai ini pernah Nabi SAW merasainya satu persatu, manis lezat dan nikmat, segar rasanya.
Demikian keadaan air dan sungainya di syurga. Sungai-sungainya besar-besar dan panjang-panjang membentang berliku-liku. Menembus dari kota ke kota yang lain. Menghiasi negeri dan kota-kota, terbentang di atasnya jambatan-jambatan yang menghubungkan jalan dari kota ke kota. Jembatan-jembatan itu diberi lampu-lampu yang beraneka warna dan bentuknya, juga tepi-tepi sungai diberi lampu sepanjangnya.
Di tepi kiri kanan sungai terbentang jalan raya yang licin dan sangat bersih serta di tanami pohon-pohon. Di tepi sepanjang jalan berdiri gedung-gedung yang indah yang menambah semarak keadaan kota. Digedung-gedung mana penghuninya terdiri dari dari pemuda-pemuda yang gagah dan tampan serta bidadari dan inang pengasuhnya, maka dari gedung atau mahlighai-mahlighai itulah terdengar suara nyanyian merdu merayu kalbu membangkitkan ingatan, pujaan kepada Tuhan khaliq Pencipta Alam.
Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi SAW. bersabda yang bermaksud: Di dalam syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika di dunia dan cara beribadat, bagaimana keadaan antara si fakir dengan yang kaya dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur sehingga sampai di syurga".
Di jalan-jalan banyak orang yang berjalan, sedang menikmati keindahan alam. Itulah alam syurga, alam yang kekal abadi, bukan untuk sebulan dua bulan, bukan untuk setahun dua tahun, akan tetapi untuk selama-lamanya berjuta-juta tahun yang akan datang, dan tidak pula ada batas waktunya, infiniti.....
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلًا
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah Syurga Firdaus menjadi tempat tinggal," (Surah al-Kahfi ayat 107)
خَالِدِينَ فِيهَا لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا
"Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah dari padanya."
(Surah al-Kahfi ayat 108)
Penduduk di syurga tidak ada lain pekerjaannya, selain bercengkrama. Makan minum bersiar-siar dan jalan-jalan menikmati keindahan alam, dengan penuh rasa puas dan bahagia.
Di gedung-gedung yang indah itu, di tiap-tiap bilik, berisi bidadari serta inang pengasuhnya yang membantu melayani padanya ketika ingin makan minum atau ketika datang tetamu.
Bidadari yang bermata jeli itulah yang jadi isteri lelaki penduduk syurga.
Hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Di sediakan tempat untuk berkumpulnya para bidadari, dan di sana mereka beryanyi semerdu suara yang belum pernah didengar oleh manusia suara semerdu itu. Kamilah yang kekal dan tak akan rosak (berubah), kamilah selalu senang tak pernah susah, kamilah yang puas rela tak akan marah, sungguh bahagia orang yang untuk kami dan kami untuknya."
Mereka duduk bersandar di sofa di hadap oleh inang pengasuhnya bagaikan seorang puteri raja bersama suaminya dengan wajah yang berseri-seri dan senyumnya yang manis, dan bau mulut bidadari harum dan air ludahnya manis dan akan merasa puaslah suami mereka itu bila mencium padanya.
Kulitnya putih kuning, raut mukanya cantik menawan hati suaminya, senyumnya yang manis dengan dua baris gigi yang putih bagai mutiara, dengan bibirnya yang merah merekah buah delima. Maka ia dinamakan "Huurun-iien" ertinya bermata bulat dan menarik tidak besar dan tidak kecil. Tuhan sendiri di dalam Al-Quran menamakan mereka dengan julukan "Huurun-iien" ertinya "Simata bulat" dan dinamakan pula dengan julukan "Khoirootun-hisaan" yang ertinya "yang cantik wajahnya dan sangat indah raut tubuhnya".
Dan mereka sebelum hari kiamat, tidak pernah di sentuh tubuhnya oleh siapapun juga, kecuali nanti oleh suaminya sendiri.
Cobalah perhatikan apa kata Tuhan di dalam Al-Qur'an dalam surat Ar-Rahmaan ayat 54-56 :
مُتَّكِئِينَ عَلَىٰ فُرُشٍ بَطَائِنُهَا مِنْ إِسْتَبْرَقٍ ۚ وَجَنَى الْجَنَّتَيْنِ دَانٍ
"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat."
فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنْسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَانٌّ
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin."
Pendeknya penduduk Syurga hidup serba puas, gedung-gedung tersergam indah, isteri-isteri yang cantik, makanan dan minuman yang lezat, perabot rumah tangga serba mewah dan modern. Yang belum pernah dimikiki semasa di dunia dan memang belum pernah dilihat oleh mata. Pakaian dari sutera yang lembut dan cantik. Bermacam-macam model dan bentuk yang khas bagi penduduk syurga.
Di samping isterinya yang cantik jelita dan tidak akan bosan untuk selama-lamanya, kerana mereka akan tetap muda terus dan tidak akan menjadi tua. Dan tidak haid dan tidak akan sakit, tubuhnya akan tetap awet muda, kuat dan sehat. Dan tidak akan mengganggu kesehatan mereka walaupun mereka berasmara terus-menerus sampai pagi. Mereka disitu dilayani oleh pelayan-pelayan yang muda-muda dan tetap mudanya.
Isteri-isteri di dunia yang solehah, akan dinikahkan semuala oleh Allah SWT dengan suami-suami mereka yang menjadi ahli syurga dan mereka (wanita solehah) akan menjadi ketua bidadari (permaisuri syurga) dan kecantikannya melebihi kecantikan bidadari.
Selain itu mereka akan dapat menikmati lagu-lagu yang merdu yang mengisi ruangan mereka berganti-ganti terus lagu-lagu itu yang di nyanyikan oleh biduanita syurga iaitu bidadari. Di sana pun disediakan gedung kesenian tempat menghibur mereka diwaktu malam. Mereka dapat menikmati tarian-tarian dan lagu-lagu yang merdu yang akan dibawakan oleh biduan dan penari syurga.
Sambil mereka menikmati lagu yang merdu dan menyaksikan tarian yang di bawakan oleh bidadari syurga dengan tarian yang lemah gemulai an menarik hati dari bidadari syurga, sehingga asyik yang melihatnya tengah menikmati lagu-lagu dan tarian-tarian itu. Maka dihidangkan pula makanan dan buah-buahan yang lezat, serta minuman yang enak dan nikmat cita rasanya. Sampai semalam suntuk mereka dihibur di situ, sampai merasa puas dan kesehatan badan tetap tidak berubah.
Sahabat yang dikasihi,
Bagi mereka yang menduduki syurga 'Adn, mereka akan menduduki istana-istana yang diperbuat daripada mutiara. Di dalam setiap istana terdapat 70 buah rumah dari permata yakut merah. Di dalam setiap rumah terdapat 70 buah bilik dari zamrut hijau. Di dalam setiap bilik terdapat ranjang. Setiap ranjang terdapat 70 permaidani dalam pelbagai warna, dan setiap permaidani terdapat seorang bidadari. Mereka akan diberi hiasan gelang dari emas, berpakaian hijau dari sutera yang bersulam benang emas.
Ahli syurga akan lupa akan segala kenikmatan yang mereka alami di dalam syurga apabila mereka dihimpunkan dalam satu majlis yang agung. Majlis ini adalah kemuncak bagi segala kenikmatan bagi penduduk syurga kerana di dalam majlis ini, mereka dapat mendengar dengan sendiri kalimat dari Allah SWT, dapat melihat Zat Allah SWT, dapat reda dari Allah SWT. dan dapat pengisytiharan yang mereka akan hidup kekal selamanya di dalam syurga oleh Allah SWT..
Oleh itu marilah sama-sama kita melayakkan diri kita untuk memasuki syurga Allah SWT dengan mematuhi suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya . Dan jadikan takwa sebagai pakaian kita, syukur, reda dan ikhlas sebagai amalan yang sebati dalam kehidupan, dan berpada-pada di dunia ini jangan terlalu cinta akan kenikmatan di dunia ini kerana orang yang sedang mabuk dunia akan terlupa untuk siapkan bekalan untuk hari akhirat.
No comments:
Post a Comment