Saturday, January 4, 2014

TARBIYYAH ANAK-ANAK GADIS

Gambar Hiasan

Balasan Syurga Kepada Ibu Bapa Yang Mendidik Dan Memelihara Anak-anak Gadisnya Dengan Ajaran Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Anas r.a. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memelihara dua anak gadis sehingga baligh kedua-duanya nescaya dia datang bersama aku pada hari kiamat seperti ini sambil menunjukkan (merapatkan) dua jarinya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Aisyah r.ha katanya, “Datang kerumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah).

Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka”.

Berdasarkan dua hadis di atas jelaslah kepada kita betapa besar pahalanya ibu bapa yang memelihara anak-anak gadis mereka dengan sempurna. Bermula daripada kecil mereka di ajar dengan adab-adab Islam, akhlak yang mulia, mula menutup aurat dan ditanam sifat malu maka apabila mereka sampai umur baligh menjadi remaja/ gadis maka akan terpelihara maruah diri dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial dan pergaulan bebas.

Anak-anak gadis wajib diasuh dan dididk dengan tarbiah iman dan ajaran Islam sehingga mereka merasakan kewajiapan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya, merasa selesa dengan memakai pakaian yang menutup aurat tanpa dipaksa. Mereka di lengkapkan dengan ilmu-ilmu Islam terutama bab tauhid dan feqah, mengaji al-Quran dan sentiasa diberi nasihat supaya menjaga batas-batas akhlak Islam dan dilarang daripada terlibat dengan pergaulan bebas bersama lelaki yang bukan mahram.

Ibu bapa mestilah mengutamakan keperluan asas anak-anaknya seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya. Nabi SAW memberi jaminan bahawa Ibu bapa yang mendidik dan mengasuh anak-anak perempuannya dengan sempurna dijamin terdinding daripada api neraka dan mendapat balasan syurga (akan bersama dengan baginda SAW di syurga). Hadis ini menunjukkan kelebihan menjaga dan mendidik anak-anak perempuan.

Sahabat yang dimuliakan,
Kenapa Nabi SAW menyebut secara jelas sesiapa dikalangan umatnya yang memelihara dan mendidik anak-anak gadisnya dengan sempurna (memiliki akhlak Islam) sehingga mereka bersuami maka mereka dijamin untuk memasuki syurga dan terhalang daripada memasuki neraka? Ini adalah kerana baginda dapat merasakan betapa sukar kedua ibu bapa untuk mengasuh anak-anak gadis dengan akhlak Islam , kerana dimana-mana zaman sekalipun kaum Hawa memang menjadi medan ujian untuk kaum Adam.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "...Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya." (Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً هِيَ أَضَرُّ عَلَى الرِّجَالِ مِنََ النِّسَاءِ

Maksudnya : “Tidaklah aku tinggalkan setelahku fitnah (ujian/godaan) yang lebih dahsyat bagi para lelaki selain fitnah wanita.” (Muttafaqun ‘alaih dari Usamah bin Zaid )

Sahabat yang dihormati,
Menurut statistik kelahiran anak luar nikah daripada Jabatan Pendaftaran Negara bagi tahun 2000 sehingga Julai 2008 mencatatkan bilangan yang sangat besar, iaitu 155,744 orang, di dapati juga penambahan bilangan kelahiran anak tidak sah taraf meningkat setipa tahun. Ini menunjukkan bahawa ramai ibu bapa gagal menjaga dengan baik anak-anak gadis mereka sehingga mereka boleh terjebak perbuatan tidak bermoral melakukan zina hingga melahirkan anak-anak tidak sah taraf. Ibu bapa tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak guru-guru di sekolah kerana tidak mampu mendidik anak-anak mereka menjadi pelajar beriman dan bertakwa dan menyalahkan pihak berkuasa agama kerana tidak mampu mengawal gejala sosial berlaku di dalam masyrakat.

Hakikat sebenarnya ibu bapa perlu menaggung risiko di atas akibat yang berlaku kepada anak-anak mereka kerana sikap tidak mengambil berat didikan Islam kepada mereka sejak keci lagi. Sebenarnya jika ibu bapa melaksanakan tugas didikan dan asuhan yang betul perkara buruk itu tidak mugkin akan berlaku.

Adakah ibu bapa mengajar anak mereka dengan akhlak Islam dan menyuruh mereka menutup aurat dan berdisplin mengawal pergerakan anak-anak mereka (bukan dibiarkan keluar malam tanpa kawalan).? Ada sebahagian ibu bapa tidak kisah apabila anak gadis mereka di ambil dirumah oleh teman lelaki dengan motosikal kononnya berfikiran modern akibatnya mereka berkhalwat dan berzina , dosa ini akan ditanggung oleh ibu bapa kerana membenarkan maksiat berdua-duaan tanpa mahram.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah kita sama-sama kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya dan tidak abaikan tanggungjawab mendidik anak-anak kita samaada lelaki atau perempuan dengan didikan Islam. Sebagai ibu bapa perlu memerhatikan pergerakan anak-anak kita, dengan siapa mereka berkawan dan bertegas apabila mereka melanggar batas-batas yang dilarang oleh agama.Jika ini boleh kita lakukan insya Allah balasan syurga dan terpelihara daripada seksaan api neraka akan diberikan oleh Allah SWT diakhirat nanti kepada kita semua sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis-hadis di atas.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML