Friday, July 18, 2014

SIFAT RIAK

Riak. Itulah yang menjadi syirik khofi ( خافي ) iaitu yang menyekutukan Allah dalam keadaan tersembunyi dan tidak nampak.

Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: “Sesungguhnya yang paling aku takut menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Riak, syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya apabila mengetahui seseorang memandangnya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Maksud riak ialah mencari sebarang penghargaan di hati manusia sehingga dengan itu kita dapat mencapai pangkat, kedudukan dan kebebasan. Ramai orang menjadi bebas kerana penyakit riak ini. Kerana mereka tidak berhati-hati.

Seandainya manusia memikirkan hakikat perbuatan mereka, tentu mereka tahu bahawa kebanyakan ilmu yang mereka tuntut dan adat yang mereka laksanakan berpunca daripada sifat riak.



Contoh :

1)      Seorang pelajar yang bersungguh-sungguh belajar untuk mendapat pujian gurunya.

2)      Seorang pelajar yang menolong gurunya supaya dipilih menjadi pengawas sekolah.

3)      Seorang yang membuat sesuatu kebaikan untuk mendapat pujian orang sekelilingnya.

“Maka, celakalah untuk orang-orang yang solat. Yang lalai dari solatnya. (iaitu) Yang mengerjakan kebaikan untuk dilihat orang (riak).” (Surah Al-Mau’un : 4-6)

Mari sama-sama kita lihat ke dalam diri sendiri. Apakah segala amal ibadah dan kebaikan yang kita lakukan adalah kerana Allah s.w.t?? Atau hanya untuk ditonton dan dilihat oleh orang ramai supaya kita dipuji dan bangga diri??



Hakikatnya, riak adalah berkehendakkan pujian dunia, bukan kerana Allah lagi. Tapi, kerana dunia.

Moga hati-hati kita bersih daripada salah satu penyakit hati yang amat berbahaya ini. Bahaya terhadap iman kita. Bahaya terhadap jiwa kita. Sama-sama kita berusaha untuk ikhlas dalam setiap perlakuan kebaikan dan kerja-kerja ibadah dengan niat hanya kerana Allah s.w.t. InsyaAllah. :)

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu.” (Riwayat Muslim)

“Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah…” (Surah An-Nisa’ : 125)

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML