Assalamualaikum wbt.
Kali ini entri tentang kelebihan-kelebihan ke masjid. Penulis tak mahu berceloteh panjang. Sekadar mengutip hadis-hadis berkaitan dengan bestnya pergi ke masjid dan disenaraikan kembali di sini untuk bacaan.
Baik, mula!
1. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi dan petang, Allah akan menyediakan satu hidangan baginya. Hidangan itu adalah yang biasa diberikan kepada tetamu-tetamu Syurga. Hidangan itu adalah hadiah kepadanya kerana pergi ke masjid pada waktu pagi dan petang." ( HR Bukhari dan Muslim )
2. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah SAW pernah berkata, "Sesiapa yang membersihkan dirinya daripada najis dan kotoran di rumahnya, kemudian beliau pergi ke masjid bagi menunaikan salah satu daripada sembahyang lima waktu, maka Allah memberikan ganjaran bagi setiap langkahnya menuju ke masjid itu. Setiap satu langkah menghapuskan satu dosa kecil yang pernah dilakukan dan dinaikkan satu darjat." ( HR Muslim )
3. Ubay bin Kaab melaporkan, "Terdapat seorang Ansar. Rupa-rupanya, rumahnya adalah rumah yang paling jauh dari masjid. Namun demikian, beliau tidak pernah terlewat bersolat di masjid. Setiap waktu solat dia pasti sempat menunaikannya bersama jemaah lain. Ada orang mengatakan kepadanya, "Bukankah lebih baik apabila saudara memiliki keldai? Saudara dapat jadikannya sebagai kenderaan apabila berjalan pada waktu malam gelap dan pada waktu siang yang panas terik?' Namun lelaki Ansar tadi menjawab, 'Saya tidak suka apabila rumah saya berhampiran dengan masjid. Sebenarnya saya mahu setiap langkah saya pergi dan pulang dari masjid itu diberi ganjaran pahala.' Apabila Rasulullah SAW mendengar kata-kata lelaki itu, Baginda lantas memberikan respon kepadanya. 'Sebenarnya Allah sudah mengumpulkan semua pahala bagi saudara bagi setiap langkah saudara itu." ( HR Muslim )
4. Abu Musa melaporkan, Rasulullah SAW berkata, "Sebenarnya pahala yang paling besar diberikan oleh Allah kepada orang yang mendirikan sembahyang adalah kepada orang yang paling jauh berjalan ke masjid. Pahala yang besar itu juga diberikan kepada orang yang duduk menunggu waktu sembahyang supaya dapat bersama-sama imam menunaikan solat fardhu. Ini adalah lebih baik daripada solat sendiri, kemudian beliau tertidur." ( HR Bukhari & Muslim )
5. Buraidah melaporkan, Rasulullah SAW bersabda, "Sampaikan berita gembira ini kepada semua orang. Mereka yang berjalan pada waktu malam gelap menuju ke masjid, diberi cahaya yang terang benderang pada Hari Kiamat kelak." ( HR Abu Daud dan Tirmidhi )
6. Abu Sa'id al-Khudri melaporkan, Rasulullah SAW bersabda, "Apabila saudara semua biasa melihat seseorang berjalan pergi dan balik dari masjid, saudara jadilah saksi bahawa beliau adalah orang yang beriman. Allah menjelaskan dalam Surah al-Taubah ayat 18 yang bermaksud, 'Orang yang memeriahkan masjid adalah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat.' " ( HR Tirmidhi )
7. Hadis hasan riwayat Imam al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah SAW:
7 golongan manusia yang akan diberi naungan oleh Allah di bawah 'Arasy-Nya pada suatu hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya:
Satu - Seseorang yang hatinya penuh perhatian terhadap masjid, terpaut pada masjid
Dua - Seseorang yang diajak berzina oleh seorang perempuan yang punya kedudukan, namun ia berkata, "Aku takut akan azab Allah."
Tiga - Dua orang yang saling mencintai kerana Allah
Empat - Seseorang yang memejamkan matanya dari segala yang diharamkan oleh Allah.
Lima - Mata yang tidak tidur, berjaga sebagai tentera Islam menjaga markaz Islam.
Enam - Mata yang berjaga ketika perang melawan musuh.
Tujuh - Mata yang menangis kerana takut dan kagum terhadap kebesaran Allah.
Menurut Ibnu Hajar, yang dimaksudkan dengan hati yang terpaut pada masjid; zahirnya kalimat "mu'allaq" berasal dari kata ta'liq (terpaut/tergantung) iaitu diserupakan dengan sesuatu yang tergantung atau terkait di masjid seperti lampu, hal itu sebagai tanda hatinya selama-lamanya terpaut di masjid walaupun jasadnya berada di luar masjid. Sesuai dengan riwayat Al-Jauzaqi, "Seolah-olah hatinya tergantung di masjid". Atau kalimah "mu'allaq" itu diambil dari kalimah 'Alaqah iaitu rasa cinta yang sangat kuat, hal itu sesuai dengan riwayat Imam Ahmad dengan lafaz "mu'allaq bil masajid" (hatinya terpaut ke masjid). Demikian juga riwayat Salman ada tambahan lafaz "min hubbiha" (kerana rasa cinta). (Fathul Bari II:145)
Kesimpulannya, setelah disenaraikan hadis-hadis di atas ini, maka perlulah kita rasa teruja untuk ke masjid bermula dari saat ini.
Ayuh, kita ubah diri. Apa nak malas-malas lagi. Allah dah sediakan ganjaran lumayan tu.
Bukan lagi dalam hati ada taman.
Tapi, dalam hati ada masjid.
Ada cinta yang kuat untuk ketemu Allah di rumah-Nya.
Masjid, aku datang!
No comments:
Post a Comment