Setiap kita, termasuklah diri yang menulis ini, punya kelemahan dan kekurangan masing-masing. Itu semua bukan untuk disesali, tapi, untuk diperbaiki dan belajar daripada kesilapan diri sendiri.
Sebenarnya, kita juga punya kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Tapi, bukan untuk kita menyombong dan membangga diri. Sebaliknya, untuk sama-sama saling membantu.
Jika anda bijak pandai, alhamdulillah. :)
Jika anda kaya, alhamdulillah. :)
Bersyukur itu perlu. Bukan setakat di bibir, tapi, dalam pengaplikasian hidup kita. Itu yang utamanya. Bukan dengan memandang rendah pada seseorang yang mungkin tidak sehebat diri anda, bukan dengan menghina insan lain yang serba tak upaya dan bukan juga untuk memperlekehkan manusia yang mungkin tidak sebijak dan sepandai diri anda. :)
Daripada Abdullah bin Amr r.a., beliau berkata : “Rasulullah SAW bukanlah peribadi seseorang Muslim itu yang berkata dan berbuat yang tidak senonoh. Baginda bersabda : ‘Sesungguhnya orang yang terbaik daripada kalangan kamu adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu.’ ” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tetapi,ingat! Bukan kerana kekayaannya, kita dekat dengannya. Kerana kepandaiannya, kita jadi sahabat baiknya dengan meminggirkan sahabat-sahabat yang lain. Bukan juga kerana luaran yang hensem dan cantik serta popular, kita mahu bersahabat dengannya. Jika kerana itulah nilai ukhuwah yang dibina, memang takkan kekal. Sebab apa?
1) Kalau dia jatuh miskin, pasti kita akan menjauhinya. Hilang sudah erti persahabatan.
2) Kalau dia hilang ingatan, kemudian, tak sebijak dulu, kita pasti akan meninggalkannya kerana dia sudah tidak berguna lagi untuk kita. Hilang sudah erti sebuah ukhuwah.
3) Kalau dia kemalangan, ada parut di muka, ada cacat celanya, pasti kita sudah tidak mahu mengaku kawan lagi. Hilang sudah semua yang dibina.
Sepandai mana pun kita, sekaya mana pun kita, taraf kita semua tetap sama.
Hanyalah hamba-Nya. Pekerja kepada Dia.
Bukan kita yang menilai diri kita. Tapi, Dia yang Maha Adil akan menilai diri kita.
“…maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dialah yang paling mengetahui siapa orang yang bertakwa.” (Surah al-Najm : 32)
Allah tak pandang luaran kita. Apa yang Allah nilai adalah hati kita, ada takwa atau sifar takwa. Jadi, kita perlu sentiasa check up hati kita untuk memastikan ianya berada dalam keadaan iman yang bertambah dan punya takwa. Insya-Allah.
Semoga sepasang mata milik kita mampu melihat kebaikan orang lain. Semoga sekeping hati milik kita mampu memaafkan kesalahan. Semoga minda yang dimiliki kita mampu melupakan kepahitan. Semoga jiwa yang dimiliki kita tidak pernah rapuh imannya. :)
Moga ukhuwah kita dibina atas dasar kerana Allah.
Bagaimana?
Semaikan iman dan takwa dalam setiap pertemuan kita. :)
Terima orang sekeliling kita seadanya. :)
Bantu mereka yang lemah, bukan meminggirkan mereka. :)
Sama-sama perbaiki diri ke arah yang lebih baik. :)
Jadikan Allah itu matlamat sebenar kita. Biar Allah menjadi matlamat utama dalam hidup kita. Bukan kerana cinta manusia, baru kita mahu mendekati Allah. Bukan kerana mahu berjaya dalam periksa, baru kita merapati Allah. Bukan! Andai begitulah hakikatnya, pasti kita akan cepat lupakan-Nya bila Dia sudah memberi apa yang kita mahu. Boleh jadi juga, kita akan berputus asa untuk berdoa dan mengharap pada-Nya bila Dia tidak memberi apa yang kita mohonkan.
Jangan sesekali bersikap begitu. Jangan jadikan cinta, kejayaan dan lain-lain lagi sebagai matlamat utama. Sebaliknya, jadikan semua itu bermatlamatkan Allah Yang Maha Esa. Kita bercinta dan berkasih sayang dengan manusia kerana Allah. Kita mahu berjaya dalam pelajaran kerana Allah. Kita mahu gapai apa yang kita impikan adalah kerana Allah. Itulah matlamat sebenar hidup. Semuanya kerana Allah.
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz-Dzariyat : 56)
Jadi, jangan sombong ye! Sebab Allah tak suka orang yang sombong! ^_^
“…janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman : 18)
Fokuskan hati kepada akhirat. Bukan mengejar dunia yang penuh tipu daya ni. ~.^
Wahai diri, teruskan langkahmu! Walau kamu sendiri. Kerana Allah selalu di sisi. :’)
No comments:
Post a Comment