Kini, kita harus bicara.
Dirimu perlu mula berbicara dengan diri sendiri.
Dah tiba masa. Perlu jujur. Perlu luahkan. Perlu slow-talk. Perlu bincang. Perlu bersemuka.
Antara beberapa persoalan yang memerlukan jawapan segera:
1. Di tahap manakah iman dirimu kini? Di saat orang-orang soleh berlumba-lumba berebut Syurga; pejuang Syria, Palestine berkejaran satu sama lain ke pintu Syurga, di mana kamu letakkan dirimu? Di kalangan orang Soleh atau sebaliknya?
2. Siapa yang sebenarnya kau rindu? Tidak rindukah pada dirimu yang pernah cuba setia merindu si Dia Yang Satu? Ke mana diri yang itu menghilang? Panggil dia kembali. Dah tiba masa, pulang.
3. Berapakah umurmu sekarang? Memang jiwa sentiasa merasakan muda, tapi sedarlah kamu sudah kesuntukan masa.
4. Apakah kejayaanmu setakat ini? Sudah berjayakah membalas secebis dua pengorbanan penat-lelah ibu-bapamu? Atau masih lagi statik di tempat yang sama tanpa perubahan?
5. Solatmu. Berapa banyak mana yang sudah kau tinggalkan? Sudah ganti? Sudah taubat? Sudah insaf? Berapa kerap kamu ke masjid? Atau langsung tak pergi? Atau hanya solat Jumaat sahaja di masjid? Usah bicara tentang tahajjud andai solat fardhumu masih terkontang-kanting. Namun, jika perlukan kekuatan untuk bersolat, kau perlu bertahajjud. Sungguh, solat fardhu dan tahajjud itu saling melengkapi.
6. Sudah berapa lamakah kau lalai begini? Apa yang buat dirimu lalai? Manusia, masalah hati, kerja, duit, internet, gajet? Sudah-sudahlah. Berapa lama lagi kau hendak berkeadaan begini? Usah 'mabuk' lagi.
Sampai bila hendak bertuhankan nafsu?
Masa dah kurang. Tidak ada siapa pun antara kita yang makin bertambah masanya. Meski dipanjangkan umur, namun waktu tetap berkurang.
Pulanglah. Ketika sejuta pintu kembali masih terbuka luas untukmu. Jangan sampai orang di sekelilingmu, malaikat di langit dan bumi membuka pintu yang satu itu untukmu - pintu kubur.
Semua orang akan melalui pintu yang satu itu. Bezanya, yang pandang sebelah mata pada sejuta pintu akan melalui pintu yang satu itu ke dalam bilik gelap pekat. Sedang yang pernah menghargai, langkah sahaja ke pintu yang satu itu, bilik yang terang benderang sedang menanti.
Rindu-rindulah 'pintu yang satu' akan buat dirimu rindu pada Tuhan Yang Satu.
No comments:
Post a Comment