Friday, March 14, 2014

PENDUSTA AGAMA

Siapa pendusta agama?



Sahabat yang dirahmati Allah,
Menyayangi dan memelihara anak yatim adalah kewajipan sosial setiap orang Islam. Dan ia  adalah salah satu usaha perjuangan Islam yang jarang dilakukan orang. Justeru masalah sosial timbul kerana empat sebab, iaitu tidak memuliakan anak yatim, tidak memberi makan orang miskin, memakan warisan (kekayaan) alam dengan rakus, dan mencintai harta benda secara berlebihan (lihat surah al-Fajr, ayat 15-20).

Syeikh Muhammad Abduh berkata, “Allah berkali-kali menegaskan wasiat tentang anak yatim dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cukuplah bagimu untuk diketahui bahawa al-Quran melarang mengherdik anak yatim dan mengancam dengan ancaman yang berat kepada orang yang memakan harta anak yatim. Anak yatim itu memerlukan kasih sayang fitriah untuk membantu, mendidik dam memelihara hak-haknya.”

Pada ketika ini, kita sering terpukau oleh kemewahan dunia tatkala orang miskin menangis menunggu pembelanya. Pemimpin Islam sepatutnya pemimpin yang memihak rakyat bawahan, bukan pemimpin elit yang yang hidup di persekitaran kalangan mereka sahaja.

Pemimpin umat Islam ialah mereka yang memilih hidup sederhana, kerana tahu bahawa sebahagian umat Islam yang lain masih hidup dalam kepapaan. Demikian juga dengan gerakan kebangkitan Islam seharusnya tidak hanya menyemarakkan masjid, melainkan juga menggembirakan mereka yang miskin, teraniaya, dianiayai atau yang tertindas oleh beban hutang.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila masyarakat sudah membenci orang miskin dan menonjol-nonjolkan kehidupan dunia serta rakus dalam mengumpulkan harta, maka mereka akan ditimpa empat bencana, iaitu zaman yang berat, pemimpin yang zalim, penegak hukum yang khianat dan musuh yang mengancam.”

Daripada sabda Rasulullah s.a.w ini, kita dapat belajar bahawa munculnya masalah atau kesulitan ekonomi, kemunculan ramai pemimpin yang zalim, berlakunya pengkhianatan oleh penegak hukum adalah disebabkan oleh terabainya nasib orang-orang miskin dan kegilaan mengumpul kekayaan.

Pendapat Ibnu Hazm mungkin agak ekstrem. Tetapi ia berpijak pada satu andaian bahawa kemiskinan hanya dapat diatasi dengan kesediaan orang kaya memberikan hak orang miskin yang diamanahkan Allah kepadanya. 
Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya.” (lihat surah al-Hadid, ayat 7)

Bahawa kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat kita adalah tanggungjawab kita bersama. Menolong dan membela yang lemah, mustadh’afin, adalah tanda-tanda orang yang bertakwa (lihat surah al-Baqarah ayat 197). 

Inilah yang dikatakan golongan pendusta agama yang mengabaikan nasib mustadh’afin, acuh tidak acuh terhadap mereka, enggan memberikan pertolongan, dan sesungguhnya solatnya akan membawa kecelakaan yang menjerumuskan ke neraka saqar. 
Manusia yang tidak pernah sensitif dan peka dengan masalah anak yatim dan fakir miskin atau melalaikan solat serta berbuat riak, disebut oleh Allah s.w.t sebagai pendusta agama. 

Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran, iaitu pada surah al-Maa’uun. Surah ini merupakan surah ke-110 di dalam al-Quran dan termasuk golongan surah Makkiyyah (surah yang diturunkan di Mekah).

Nama al-Maa’uun diambil daripada kata al-Maa’uun yang terdapat pada ayat terakhir surah ini yang bererti `barang-barang yang berguna’. Surah ini juga disebut surah at-Takzib yang bererti pendustaan kerana di dalamnya dipaparkan perilaku orang yang mendustakan agama.

Bagi manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun, Allah s.w.t menjanjikan pembalasan dan seksaan neraka. Orang yang memiliki sikap seperti yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun telah kehilangan kepekaan sosial mereka dalam masyarakat. Mereka tidak tergugah untuk mengeluarkan hartanya sedikit pun untuk sesama manusia.

Dalam hati mereka tidak ada rasa belas kasihan untuk membantu memenuhi keperluan sosial. Inilah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang `menolak memberi bantuan’ pada akhir surah ini.

Surah al-Maa’uun memaparkan perilaku manusia dalam kehidupan sosial yang dikategorikan sebagai pendusta agama. Mereka memiliki kebiasaan mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin. Perilaku seperti ini merupakan cerminan sikap takbur dalam diri sendiri. Mereka menganggap anak yatim serta fakir miskin sebagai anggota masyarakat yang rendah dan hina.

Surah al-Maa’uun juga memperlihatkan perilaku manusia dalam beribadah yang dikategorikan pendusta agama. Mereka melalaikan solat, dalam erti melaksanakan solat tanpa keikhlasan dan kekhusyukan, atau tidak menunaikan solat dengan benar. 
Solat mereka tidak lebih daripada ucapan lisan serta gerakan badan yang telah terbentuk sedemikian rupa tanpa penghayatan makna serta hikmah setiap ucapan dan gerakan yang mereka lakukan.

Dalam surah al-Maa’uun juga disebutkan bahawa orang yang berbuat riak akan dibalas oleh Allah s.w.t. Riak ialah melakukan suatu amal perbuatan untuk mencari pujian yang ia anggap ibadah itu. Allah s.w.t sendiri mengancam mereka yang berbuat riak dengan seksaan yang berat di neraka.

Manusia yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun tidak menempatkan solat sebagai sarana untuk berkomunikasi dengan Tuhan, melainkan hanya untuk sebagai ibadah ritual dalam kehidupan mereka.

Ingatlah antara misi terpenting Islam saperti yang dinyatakan di dalam al-Quran ialah membela, menyelamatkan, membebaskan, melindungi dan memuliakan kelompok dhu’afa atau mustadh’afin (yang lemah atau yang dilemahkan, yang menderita atau yang dibuat menderita). 

Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan, Allah s.w.t hanya menerima solat daripada orang yang `menyayangi orang miskin, ibnu sabil, wanita yang ditinggalkan suaminya dan yang menyayangi orang yang mendapat musibah’.

Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah s.w.t, “Tuhanku, di mana aku harus mencarimu?” Allah s.w.t menjawab: “Carilah Aku di tengah-tengah mereka yang hancur hatinya.”

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita kasih dan sayang kepada anak-anak yatim piatu dan orang-orang miskin dan dhaif. Kerana dengan mengasihi mereka hati kita akan hilang rasa tinggi diri atau ego. Sedekah yang kita berikan kepada golongan yang susuah dan memerlukan bantuan lebih bermakna dan bernilai disisi Allah s.w.t. Do'a daripada mereka yang susah dan miskin lebih makbul disisi Allah s.w.t daripada do'a orang-orang kaya yang tidak merasai keperitan dalam kehidupan ini.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML