Friday, March 14, 2014

PEMIMPIN ISLAM

Pilihlah Pemimpin Yang Adil Dan Berakhlak Mulia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap negara di dunia ini mempunyai pemimpin masing-masing yang akan menjalankan pemerentahan dan menguruskan negara . Ada pemimpin di pilih oleh rakyat melalui pilihanraya dan ada pemimpin yang dilantik berdasarkan keturunan seperti kerabat diraja melalui sistem monaki.

Dalam Islam pemilihan pemimpin adalah perkara yang sangat di tuntut dan semua yang terlibat dalam pemilihan akan bertanggungjawab dihadapan Allah SWT di akhirat nanti. Jika berlaku penyelewengan atau kezaliman maka bukan sahaja pemimpin yang melakukan kerosakkan itu akan ditanya tetapi rakyat yang membuat pemilihan dan mandat juga akan ditanya dan disoal siasat hingga ke akar umbi kenapa tugas kepimpinan itu diberikan kepada mereka yang tidak jujur dan amanah..?

Pemimpin yang adil ibarat bayang-bayang Tuhan, sebab pengambilan kata adil sendiri berasal dari salah satu nama Allah SWT, iaitu Al-Adlu (Allah Yang Maha Adil). Adil bermakna menempatkan sesuatu pada tempatnya yang betul dan tepat.

Daripada Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka." (Hadis Riwayat Muslim)

Berlawanan daripada sifat adil adalah zalim, iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang betul dan tepat. Allah SWT telah mengharamkan sifat dan perilaku zalim atas diri-Nya, dan Dia juga mengharamkan diri hamba-hamba-Nya melakukan kezaliman. Perilaku adil akan menciptakan kesejateraan untuk rakyat. Sebagaimana zalim akan mendatangkankan bencana, musibah, dan malapetaka.

Dalam hadis qudsi-Nya Allah berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya Aku telah mangharamkan zalim itu atas diri-Ku, dan telah Aku jadikan zalim di antara kalian itu sesuatu yang diharamkan, kerana janganlah kalian saling berlaku zalim.''

Raslullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu doa seorang berpuasa hingga ia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang di zalimi ." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Mengapa doa pemimpin yang adil itu sangat mustajab di sisi Allah SWT? kerana di bahunya terletak berbagai pengharapan dan hajat hidup rakyat jelata.

Dikisahkan dalam sebuah riwayat yang mashur, ketika Saidina Umar bin Khattab r.a sedang bertugas sebagai khalifah, ketika itu Gubnur Mesir, Amr bin Ash r.a., mengadu tentang musim kemarau yang kering dan berpanjangan yang menimpa kaum muslimin di negeri itu. Sungai Nil yang menjadi sumber penghidupan rakyat sudah tidak mengalirkan air.

Khalifah Umar lalu memanggil Amr bin Ash untuk datang ke Madinah. Khalifah lalu berkata, "Wahai Amr bin Ash bawalah suratku ini lalu lemparkanlah ia ke Sungai Nil!" Isi surat itu berupa doa seorang khalifah yang adil.

Dalam surat itu, Umar yang dikenal sebagai pemimpin yang adil memanjatkan doa dan berinteraksi dengan Sungai Nil, katanya : "Wahai sungai, engkau adalah makhluk Allah yang diciptakan oleh-Nya untuk menolong hamba-Nya yang lain, jika engkau adalah makhluk ciptaan Allah bantulah hamba-hamba Allah dan mengalirlah engkau!" Sejak doa itu diucapkan, Sungai Nil tidak pernah lagi mengalami kekeringan sehingga kehari ini.

Daripada Abi Hurairah (ra) bahawa Rasulullah (Sallallahu Alaihi Wasalam) bersabda : "Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya:
1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu ia
berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan
 kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
 7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil menggelinangkan airmatanya."
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pemimpin yang adil adalah golongan yang pertama akan diberikan perlindungan Arasy oleh Allah SWT di Padang Masyar nanti. Dalam sebuah riwayat juga disebutkan bahawa pemimpin yang adil kelak akan bersama para nabi dan rasul, syuhada, dan siddiqin (orang-orang yang membenarkan ajaran agama Islam) dan orang-orang soleh di dalam syurga.

Apa pula akibatnya jika seorang pemimpin melakukan khianat? Sesiapa sahaja yang diangkat oleh Allah untuk memimpin suatu urusan rakyatnya, kemudian ia meninggal dunia, di mana saat ia meninggal dunia ia sedang berkhianat kepada rakyatnya, maka tiada lain kecuali Allah SWT akan haramkan baginya untuk masuk syurga.

Ma'qil bin Yasar r.a berkata :Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ditaklifkan (di amanahkan) oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya(pemimpin) syurga." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam Islam jawatan dan kedudukan bukanlah semata-mata anugerah, tapi juga ianya adalah amanah yang harus dipertanggung jawabkan, bukan hanya di hadapan rakyat, tapi terutama di hadapan mahkamah Allah Yang Maha Adil kelak. Jika seseorang mendapatkan jawatan dan kedudukan bukan dengan cara yang hak (betul) , tapi dengan cara-cara batil, iaitu dengan menghalalkan segala cara, seperti politik wang dan memberi rasuah dengan segala macam bentuknya, dengan menyebar fitnah, dengan menggunakan cara-cara sihir dan sebagainya. Kemudian setelah ia menduduki jawatan dan kedudukan itu ia menipu, ingkar atas janji-janjinya, rasuah, dan zalim , maka jawatan dan kedudukan itu hanya akan menjadi kehinaan dan penyesalan di hari kiamat, dan ia akan diharamkan masuk syurga.

Dari Abu Zar, dia berkata : Saya berkata: “Ya Rasulullah mengapa engkau tidak memilih saya." Rasulullah SAW bersabda, "Hai Abu Zar engkau seorang yang lemah, sedangkan itu sebagai amanah pada hari kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan. Kecuali orang yang dapat menunaikan hak kewajipannya dan memenuhi tanggung jawabnya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa Abu Zar ketika meminta jawatan, tidak di indahkan oleh Rasulullah SAW. Kerana amanah menuntut dan menghendaki kita memilih orang-orang yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan. Jika kita cenderung memilih yang lain secara tidak berhati-hati, kerana mengamalkan sikap pilih kasih, bermakna kita telah melakukan pengkhianatan yang berat, kerana menyingkirkan orang yang ahli (mampu) dan mengangkat orang yang bukan ahli.

Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya jawatan itu adalah amanat, dan pada hari kiamat akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali mereka yang mendapatkan jawatan itu dengan cara yang hak ( atau ia orang yang paling berhak ) dan ia menunaikan tugas dan kewajiban yang ada pada jawatan itu ( termasuk memenuhi janji-janjinya ) “ (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Seorang hamba yang oleh Allah dipercaya untuk memimpin sebuah umat, lantas ia mati, dan ketika memimpin ia menipu (zalim ) terhadap rakyatnya, pasti Allah mengharamkan baginya masuk syurga . “ (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hisyam bin Urwah meriwayatkan hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa pemimpin itu ada yang baik, ( takwa, jujur, adil , cerdas dan berakhlak mulia ) dengan segala macam kebaikannya, dan ada pemimpin yang buruk, ( jahat, zalim, dan rasuah ) dengan segala macam keburukannya. Pemimpin bertakwa akan selalu menghindarkan diri dari perbuatan maksiat dan zalim. Pemimpin yang jujur akan membina kan kepercayaan rakyat dan jauh dari mengambil rasuah dan mementingkan diri sendiri dan ahli keluarga.

Sahabat yang dimuliakan,
Pemimpin yang adil akan melahirkan ketentraman bagi seluruh rakyat dan mendatangkan berkah dan rahmat Allah. Pemimpin yang cerdas dan berwawasan jauh boleh membawa rakyat ke arah yang lebih baik dan maju. Pemimpin yang berakhlak mulia akan menjadi pautan rakyatnya, dan akan mendahulukan kepentingan rakyat dari pada kepentingan peribadi dan kumpulannya sahaja.

Bagaimana ia boleh berbuat adil, mampu menegakkan keadilan (hukum), memberantas rasuah dan penyelewengan kerana ia naik menjadi pemimpin dahulunya kerana memberi rasuah atau disokong oleh pengikut-pengikutnya yang hanya mempunyai agenda tersendiri dan hanya mengejar pangkat dan kuasa. ? atau ia mendapatkan jawatan dan kuasa secara kotor dan menghalalkan cara.?

Bagaimana boleh kita mengharapkan dia boleh membela agama Allah sedangkan hidupnya tidak membawa akhlak Islam dan dengan jelas nampak kejahilannya memahami tuntutan agama yang di anutinya Pemimpin yang zalim, jahat dan rasuah hanya akan membawa kemurkaan Allah SWT.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi, Rasulullah SAW. menyatakan bahawa keadaan pemimpinmu mencerminkan keadaan rakyat yang dipimpinnya. ( Kama Takunu Yuwalla ‘alaikum ).

Dalam kitab An-Nihayah menjelaskan bahawa jika rakyat beriman, beramal soleh, jujur, dan cerdas , maka yang akan tampil sebagai pemimpin mereka adalah orang yang punya peribadi seperti itu. Tapi jika rakyatnya terdiri dari orang-orang yang jahat, suka melakukan maksiat, suka membaut kerosakkan maka akan lahirlah pemimpin yang jahat seperti amalan rakyat tersebut.

Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi SAW pernah mengingatkan pula bahawa barang siapa yang memilih seseorang sebagai pemimpin hanya atas dasar taksub ( fanatik buta ) tanpa menjadikan petunjuk Alah SWT dan rasulNya sebagai contoh ikutan, maka ia telah berkhianat kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman.

Sahabat yang dikasihi,
Berhati-hatilah kalian dalam menentukan pemimpin yang akan kalian pilih. Carilah pemimpin yang akan membuat perubahan dan pembangunan rohani dan jasmani. Janganlah cari pemimpin yang hanya memikirkan pembangunan kebendaan sahaja tanpa menjaga pembangunan akidah dan kerohanian. Pilihlah pemimpin yang akan mendekatkan diri kalian dengan ajaran Islam, sentiasa prihatin dengan masalah rakyat dan memberi keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan bukannya pemimpin yang hanya mementingkan kaum suku sakatnya sahaja.

Jika kalian tersilap membuat pemilihan dan perhitungan, risiko yang akan di terima cukup besar kerana ianya akan disoal dan di siasat secara teliti oleh Allah SWT di akhirat nanti. Berhati-hatilah supaya pemilihan kali ini di buat dengan gerak hati terdorong daripada cetusan iman dan takwa dan sentiasa mengharapkan keredaan Allah SWT.

Pemimpin Islam Harus Menghormati Hak Bersuara Rakyat Jelata

Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam Islam seorang yang telah dipilih menjadi pemimpin perlulah melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Pemimpin perlu mendengar rintihan, kesusahan dan permohonan daripada suara dan kehendak rakyat. Pemimpin tidak boleh bersikap berat sebelah atau tidak adil di dalam menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh rakyat. Pemimpin tidak boleh mengutamakan kroni atau ahli keluarganya sahaja di dalam mengagihkan projek atau kekayaan negara kerana sesiapa dikalangan rakyat yang berkemampuan dan berkelayakkan perlu diberikan hak-haknya.

Beberapa ciri-ciri penting  kepimpinan Islam adalah seperti berikut:

1. Setia Pemimpin dan orang yang dipimpin (rakyat)  terikat kesetiaan kepada Allah.  

2. Tujuan Pemimpin melihat tujuan negara bukan saja berdasarkan kepentingan kelompok/parti  tetapi juga dalam ruang lingkup tujuan Islam yang lebih luas.

3. Berpegang pada syariat dan akhlak Islam. Pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh menjadi pemimpin selama ia berpegang pada perintah syariat. Ketika mengendalikan urusannya ia harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan rakyat dan dengan negara lain.

4. Pembawa Amanah. Pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah SWT yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-Quran memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah SWT dan menunjukkan sikap baik kepada rakyatnya sebagaimana Firman Allah SWT:

“Iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41).

Pemimpin seharusnya memperlakukan manusia secara adil dan tidak berat sebelah tanpa mengira suku bangsa, warna kulit, keturunan dan lain-lain. Al-Quran memerintahkan agar kaum muslimin berlaku adil bahkan ketika berurusan dengan para penentang mereka.

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu berlaku adil.” (Surah An-Nisa’, ayat 58).

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil lebih dekat kepada takwa.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8.)

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah walaupun terhadap dirimu sendiri, ibu-bapa, dan kaum kerabatmu, sama ada ia kaya atau miskin, kerana Allah akan melindungi.” (Surah An-Nisa’, ayat 135).

Selain memenuhi prinsip keadilan yang menjadi asas tertegaknya masyarakat Islam. Pemimpin Islam juga mesti menyelesaikan pelbagai perbezaan pendapat atau pengaduan orang ramai. Hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan pandangan atau menegur pemimpin perlulah di ambil perhatian. Pemimpin tidak boleh bersilap kasar dan keras (tidak kena tempat) dengan memaksa rakyat dengan kekerasan (memaksa rakyat dengan keputusannya). Pemimpin Islam tidak boleh hanya melaungkan selogan-selogan kosong untuk mengutamakan rakyat tetapi apabila berlaku perbezaan pendapat dengan rakyat mengambil sikap tidak mahu bertolak ansur.

Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah SAW sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.(Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Dalam hadis yang lain daripada Ummu Salamah r.ha Isteri Rasulullah SAW  bahawa Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Akan ada nanti para pemerintah yang mana ada tindakan mereka kamu setujui dan ada yang kamu ingkari, maka barangsiapa yang dapat mengenal pasti (antara yang baik dan buruk perbuatan mereka) maka dia akan terlepas (dari maksiat), barangsiapa yang mengingkarinya akan selamat, tetapi mereka yang reda dan mengikut (maka dia binasa)”. Kata Sahabat: Apakah tidak wajar kami memerangi mereka? Jawab baginda s.a.w: “Tidak boleh, selama mereka mendirikan solat”.
(Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).

Rakyat tidak harus dihukum dan ditangkap oleh penguat-kuasa undang-undang hanya kerana mereka menyatakan cadangan dan pandangan yang bernas untuk memulihkan keadilan atau membetulkan penyelewengan pemimpin, kerana apabila hati rakyat telah terluka maka akibatnya pemimpin tidak akan dihormati dan rakyat akan memilik pemimpin lain yang lebih berwibawa, adil dan bertolak ansur.

Sahabat yang dimuliakan,
Tujuan memilih pemimpin adalah supaya ada yang mengatur setiap urusan, dan ada yang bertangungjawab dan membela sesuatu keperluan sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW  dalam sabdanya yang bermaksud : "Pemimpin itu adalah perisai memerangi musuh rakyatnya dan melindungi mereka. Jika pemimpin itu mengajak rakyatnya kepada ketakwaan kepada Allah dan bersikap adil maka pemimpin itu bermanfaat bagi rakyat, tetapi jika dia memerintahkan selain itu maka pemimpin itu merupakan musibah bagi rakyatnya"
( Hadis Riawyat Muslim ).

Tidak semua orang berhak memimpin sebab kepemimpinan itu meupakan amanah dan tanggungjawab. Auf bin Malik menceritakan bahwa Rasulullah  bersabda : “ Aku khabarkan kepadamu tentang pemimpin “. Auf berkata : Apa itu ya Rsulullah? Nabi menjawab : “ Kedudukan itu nanti merupakan sesuatu yang dapat membuat engkau hina. Kedua, kedudukan itu nanti akan memberikan penyesalan. Ketiga, kedudukan itu akan menjadi penyebab seksaan di hari akhirat, kecuali jika orang yang mendapat kedudukan itu dapat bersikap adil, tetapi bagaimana mungkin seseorang itu dapat berlaku adil dengan kaum kerabatnya ( Hadis Riwayat Bazar, dan Thabrani )

Perlu difahami dan dingatkan bahawa pemimpin Islam yang bertanggungjawab bukan hanya kepada para pengikutnya atau partinya sahaja, malah apa yang lebih penting ialah dia bertanggungjawab kepada Allah SWT di akhirat nanti!

Sebagai kesimpulannya, di dalam pencarian model pemimpin dan kepimpinan Islam, empat elemen yang perlu ada iaitu intelek, rohani, jasmani dan emosi hendaklah diperkukuhkan dan dimantapkan.

Keempat-empat elemen ini perlu saling lengkap-melengkapi di dalam pembentukan karakter dan jati diri pemimpin yang unggul. Pastinya ilmu, iman, berhemah tinggi dan hikmah merupakan transformer penganjak yang mesti diaktifkan dan dipastikan terus mengaliri urat nadi kepimpinan umat masa kini dan generasi harapan pimpinan masa depan secara keseluruhannya.

Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah bahawa sesungguhnya generasi hari ini penentu kejayaan generasi mendatang. Pemimpin yang diredai Allah SWT ada pemimpin yang berusaha bersungguh-sungguh supaya syariat Allah SWT berjalan dalam pemerentahannya ataupun dia berusaha kearah perlaksanaannya secara beransur-ansur. Pemimpin yang dibenci Allah SWT adalah pemimpin yang memusuhi para alim ulama, tidak ada usaha bersungguh-sungguh menegakkan kalimah Allah dan menzalimi rakyat yang tidak berdosa dan menafikan hak-hak kebajikan dan keperluan asasi yang perlu dimiliki oleh mereka.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML