Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi SAW bersabda maksudnya, "Semasa kamu diam dan bersabar mendengar cacian orang, malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula ( membalas caci maki) malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu." (Hadis Riwayat Ahmad)
Allah SWT. telah berfirman: “Bersegeralah bermohon keampunan kepada Tuhan kamu, dan (memohon) syurga yang luasnya meliputi langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa; iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan senang dan susah, dan mereka yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang, dan Allah amat mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran ayat 133-134)
Ayat tersebut di atas telah membuktikan kepada kita, bahawa orang yang menahan kemarahannya termasuk dalam golongan muttaqin; iaitu orang-orang yang bertakwa kepada Allah Ta’ala. Tambahan pula, bahawasanya Allah Ta’ala akan memberikan pengampuananNya kepada mereka, lalu menyediakan bagi mereka balasan syurga. Alangkah besar dan hebatnya balasan itu!
Bersabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menahan siksaNya terhadap orang itu. Barangsiapa mengemukakan keuzurannya kepada Allah, nescaya Allah akan menerima keuzurannya itu, dan barangsiapa menyimpan lisannya, nescaya Allah akan menutup segala keburukannya.”
Bersabda Rasulullah SAW lagi: “Orang yang paling gagah di antara kamu, ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya semasa marah. Dan orang yang paling penyantun pula, ialah orang yang memberikan maaf, sedangkan ia berkuasa untuk membalas.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
Sekali peristiwa Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. telah didatangi oleh seorang dusun yang berwatak kasar, lalu berkata kepadanya: "Wahai Umar! Demi Allah, engkau tidak berlaku adil dalam pemerintahanmu dan tidak memberikan secukupnya kepada kami. Mendengar itu, maka menjadi marahlah Khalifah Umar, hingga kemarahan itu ketara pada wajahnya. Tiba-tiba salah seorang para hadirin telah menyampuk dan berkata: Wahai Amirul Mu’minin! Bersabarlah. Tidakkah tuan mendengar firman Allah Ta’ala: “Ambillah sikap pemaaf dan suruhlah orang berbuat yang baik-baik, dan jangan mengendahkan orang-orang yang bodoh itu.” (Surah al-A’raf ayat 199)
Mendengar peringatan orang itu, Khalifah Umar pun bertenang semula, dan beliau memaafkan si penuduh itu.
No comments:
Post a Comment