Friday, March 14, 2014

PEMIMPIN YANG BERAMANAH

Pilihlah Pemimpin Yang Beramanah , Adil dan Berakhlak Mulia


Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Penyebaran sesuatu berita tanpa menyelidik terlebih dahulu kebenaran perkara tersebut adalah satu fenomena yang semakin menjadi-jadi pada masa ini. Akan tetapi, ianya bukan suatu perkara baru. Semasa zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, fenomena ini biasanya dimonopoli oleh kumpulan munafiqin di Madinah pimpinan Abdullah bin Ubai bin Salul.

Sekiranya membaca keseluruhan tafsir surah al-Taubah, kita akan dapati gambaran yang jelas kerja-kerja kumpulan munafiqin dalam merosakkan imej RasulullahSAW  dengan menyebarkan berita fitnah dan yang belum disahkan kebenarannya.

Zaman sekarang, penyebaran maklumat seupama ini berlaku pantas dengan berkembangnya pelbagai kemudahan ICT seperti  internet seperti web-site, web-blog dan Facebook serta laman interaksi sosial yang lain.

Zaman dahulu, penyebaran itu berlaku secara lisan. Proses sebegini biasanya lambat, akan tetapi dipercepatkan dengan hawa nafsu manusia yang suka melapor dan mendengar berita sensasi, apatah lagi yang membabitkan aib orang lain.

Ada sesetengah manusia suka menyebarkan berita dengan segera kerana sengaja ingin memburukkan imej orang lain. Lantas, terjebaklah mereka dengan pelbagai jenis dosa seperti mengumpat, memfitnah, mengadu domba , memutuskan silaturahim dan seumpamanya. Tidak kurang juga, untuk menambahkan lagi rencah dan perisa, maka ditokok tambah berita yang sedia ada, lalu berlakulah pembohongan dan kepalsuan.

Sahabat yang dimuliakan,
Di zaman Nabi SAW dan zaman para sahabat apabila berhadapan dengan perkara yang mungkar, pemimpin umat Islam ketika itu amat tegas membendung berita fitnah dan tidak teragak-agak akan mengambil tindakan kepada sesiapa saja yang cuba menyebarkan berita yang belum lagi disahkan kesahihannya. Jika mereka membawa berita atau tuduhan tanpa saksi yang adil maka mereka akan mendapat hukumannya.

Para pemimpin umat Islam dewasa ini tidak merasa sensitif dan sanggup membiarkan berita fitnah dan perkara mengaibkan bermaharajalela dan membuka ruang seluas-luasnya kepada perpecahan, perbalahan dan persengkitaan umat Islam berterusan dan berpanjangan.

Sepatutnya tanggungjawab sebagai seorang pemimpin umat Islam bukan hanya menjaga kepentingan ekonomi dan pembangunan negara tetapi perlu juga menjaga semua keperluan rakyat termasuk yang melibatkan moral dan maruah diri. Pemimpin perlu berlaku adil dan tidak harus membela pembuat fitnah dan memberi 'kredit' kepada mereka.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “Pada suatu masa ketika Nabi SAW. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah SAW., “Bilakah akan terjadi hari kiamat?”. Maka Nabi SAW. pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Baginda (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya”. Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan baginda tidak mendengar pertanyaan itu”. Sehingga apabila Nabi SAW. selesai dari percakapannya baginda bersabda, “Di mana orang yang bertanya tentang hari kiamat tadi ?” Lalu Arab Badwi itu menyahut, “Ya! Saya hai Rasulullah”. Maka Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari kiamat”. Arab Badwi ini bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu”? Nabi SAW. menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari kiamat”.
 (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas umat Islam perlulah berhati-hati ketika berpeluang memilih pemimpin. Janganlah mensia-siakan amanah yang Allah SWT berikan kepada kita dengan kita memilih pemimpin yang tidak berilmu dan tidak memahami hukum agama. Apabila orang jahil berkuasa dan mentadbirkan kehidupan rakyat maka akan banyak berlaku kerosakkan dan ketidak adilan. Perkara makruf dianggap mungkar dan perkara mungkar dipandang makruf . Orang yang dizalimi, difitnah dan di aibkan tidak akan mendapat pembelaan dan orang yang menzalim akan dilindungi dan disanjungi.

Rakyat yang miskin dan tertindas akan berterusan ditindas sebaliknya para saudagar yang kaya raya dan kaum kerabat mendapat tempat yang mulia disisinya.

Sahabat yang dikasihi,
Setiap keputusan, pemilihan, dan kepercayaan yang kalian berikan kepada sesiapa saja untuk membela umat Islam dan rakyat jelata adalah tanggungjawab kalian kepada Allah SWT. Kalian akan ditanya dihari akhirat siapakan orang yang kalian berikan amanah dan adakah mereka laksanakan amar makruf nahi mungkar dan berlaku adil kepada rakyat seluruhnya dangan keadilan yang sebenarnya. Perhatikanlah firman Allah SWT kepada orang-orang zalim dan orang-orang mukmin.

Firman Allah SWT surah an-Nahl ayat 28-32, maksudnya :

28: (Iaitu) orang yang dimatikan oleh malaikat dalam keadaan mereka menzalimi diri sendiri, lalu mereka tunduk menyerah (sambil berkata): "Kami tidak melakukan sebarang kejahatan.” (Malaikat menjawab): "Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui) akan apa yang kamu telah kerjakan.”

29: "Oleh itu, masukilah pintu-pintu Neraka Jahanam, kekallah kamu di dalamnya; maka sesungguhnya (neraka itu) seburuk-buruk tempat bagi orang yang sombong takbur.” 

30: Dan ditanyakan kepada orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Rab (Tuhan) kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan." Bagi orang yang berbuat kebaikan di dunia ini, balasannya adalah kebaikan (pula). Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik lagi; dan amatlah nikmat negeri itu bagi orang yang bertakwa.

31: (Untuk mereka) syurga-syurga ‘Adn, yang mereka akan memasukinya, mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka memperolehi di dalamnya (syurga itu) apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah membalas orang yang bertakwa. 

32: (Iaitu) orang yang dimatikan oleh malaikat dalam keadaan baik, sambil mereka (malaikat itu) berkata: "Salam (sejahteralah) atas kamu, masuklah ke dalam syurga kerana apa yang telah kamu kerjakan," 

Oleh itu marilah kita menjadi orang-orang yang bertakwa dan sentiasa berhati-hati dalam kehidupan ini supaya kita tidak termasuk dikalangan orang yang zalim dan menganiaya diri sendiri.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML