Friday, March 14, 2014

PEMIMPIN YANG MENDAPAT RAHMAT ALLAH

Siapakan Pemimpin Yang Mendapat Rahmat Allah SWT?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap negara di dunia ini perlukan pemimpin yang akan mengetuai dan mentadbir negara tersebut. Berjaya atau mundurnya sesebuah negara adalah bergantung kepada corak kepimpinan ketua kerajaan dan ahli-ahli kabinetnya yang akan melaksanakan pembangunan dan pentadbiran. Jika mereka semua jujur dan beramanah, tidak ambil rasuah dan mengutamakan rakyat yang berada dibawah pemerentahannya maka akan aman dan berbahagialah negara tersebut. Tetapi sekiranya ketua negara dan ahli kabinetnya rasuah dan mengutamakan kroni dan ahli keluarga maka negara tersebut akan mengalami kehancuran.

Pemimpin yang dirahmati Allah SWT adalah pemimpin yang sentiasa mendatangkan pertolongan, rahmat dan keberkahan-Nya. Tapi pemimpin yang jauh dari rahmat Allah SWT adalah pemimpin yang tidak adil, tidak mengambil peraturan dan undang-undang Allah SWT, maka kepemimpinannya itu akan mendatangkan kesulitan, azab yang berujung kepada kemusnahan dan kehancuran, oleh kerana itu sangat penting kita mengetahui kriteria pemimpin yang dirahmati Allah SWT.

Terdapat enam kriteria pemimpin yang dirahmati Allah:

Pertama : Pemimpin yang menyedari kesalahannya dan mahu memperbaikinya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dia berkata: 'Hai kaumku mengapa kamu minta disegerakan keburukan sebelum (kamu minta) kebaikan? Hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat'.". (Surah an-Naml ayat 46)

Kedua : Pemimpin yang mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan taatilah Allah dan Rasul, supaya kamu diberi rahmat’’.(Surah Ali-Imran ayat 132).

Ketiga : Pemimpin yang membawa keredaan, keselamatan, cahaya dan jalan yang lurus.

Firman Allah SWT maksudnya : ‘‘Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus’’.(Surah al-Maaidah ayat 16)

Keempat : Pemimpin yang berbuat baik.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah Amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik’’. (Surah al-’Araf ayat 56)

Kelima : Pemimpin yang menunaikan solat, zakat, dan mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah SWT maksudnya : ‘‘Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul, supaya kamu diberi rahmat’’. (Surah an-Nur ayat 56)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : ‘‘Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana’’. (Surah at-Taubah ayat 71)

Mendirikan solat merupakan gambaran dari hubungan yang baik dengan Allah SWT, sedangkan menunaikan zakat merupakan gambaran dari keharmonian hubungan dengan sesama manusia. Makruf adalah suatu istilah yang berkaitan dengan segala sesuatu yang dianggap baik oleh agama, akal dan budaya, dan sebaliknya  mungkar pula adalah perbuatan yang berlawanan dengan makruf. Dari gabungan itu semua, seseorang yang diberi kedudukan oleh Allah SWT untuk memerentah satu negara, ia berkewajiban untuk melahirkan suatu masyarakat yang hubungannya dengan Allah baik, kehidupan masyarakatnya harmoni dan agama, akal dan budayanya terpelihara.

Keenam : Pemimpin yang mampu mengatasi konflik dan perselisihan di dalam masyarakat.

Firman Allah SWT maksudnya : ‘‘Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat’’.(Surah al-Hujurat ayat 10)

Sahabat yang dimuliakan,
Memimpin rakyat bukan berbuat jasa, tetapi ianya adalah melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Jika ditanya "Siapa mahu jadi pemimpin?" Pasti ramai yang akan bukan setakat menawarkan diri malah menjadi buruan dan rebutan. Di kebanyakan negara perebutan untuk menjadi pemimpin hingga mencetuskan persaingan sengit, persengketaan, permusuhan, perbalahan, berbunuhan malah hingga ke peringkat tercetusnya perang saudara. Saling berdendam, jatuh menjatuh, kutuk mengutuk, tuduh menuduh, guling mengguling, rampas kuasa adalah perkara biasa sahaja.

Realiti ini sedang berlaku di seluruh dunia. Perebutan untuk menjadi pemimpin itu merupakan simbol cinta dunia yang keterlaluan. Masing-masing terlalu gairan dan bercita-cita melihat kepada habuan dan imbuhan yang akan diperolehi. Pihak yang sedia berada di persada kepimpinan pula sedaya upaya mempertahankan kedudukan itu kerana terlalu sayangkan habuan dan keistimewaan yang dikecapi selama ini.

Biarpun banyak seruan dan peringatan dibuat agar tidak menjadikan kepimpinan itu sebagai lubuk kekayaan, namun sukar diterima seruan tersebut kerana terbukti mereka yang memiliki jawatan kepemimpinan itu telah dan sedang tenggelam dalam lautan kekayaan yang melampau.

Keistimewaan duniawi inilah yang sering menjadi perhitungan dalam mendorong usaha keras untuk berada di tampuk kepimpinan. Tidak kurang juga yang melihat peluang lain di antaranya ialah populariti dan meningkatkan pengaruh dalam masyarakat.

Jika tawaran kepimpinan itu tanpa habuan, kelebihan, kemudahan atau keistimewaan mungkin ramai tidak ghairah, tidak memberi sebarang reaksi atau sekadar diterima dengan tawar dan hambar. Jika dilantik begitu saja mungkin ditolak dengan alasan membuang masa, membebankan tenaga dan menghabiskan harta benda.

Di sinilah kelihatannya sebagai bukti bahawa tiada yang memandang dengan penuh keyakinan bahawa kepimpinan itu satu amanah besar, berat dan penuh tanggungjawab di hadapan Allah SWT. Hampir tiada yang melihat kepimpinan itu adalah soal siapa mahu tetapi siapa mampu.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh kerana pemimpin yang akan kalian pilih adalah perkara besar , kalian akan bertanggungjawab dihadapan Allah SWT jika kalian silap memilihnya, maka kalian perlulah berhati-hati jangan salah pilih pemimpin. Tangan kalian yang akan mengundi dan memangkah calun yang bertanding perlulah dibuat semata-mata kerana Allah SWT. Jangan gadaikan masa depan kalian diakhirat dengan memilih calun yang rasuah, menentang hukum-hukum Allah SWT dan calun yang boleh menarik kalian ke neraka.

Walaupun tangan kalian cukup ringan memangkah tetapi berat semasa Mizan nanti samaada berat kepada pahala atau berat kepada dosa. Berat kepada pahala apabila kalian memilih pemimpin yang memiliki enam ciri-ciri di atas dan berat kepada dosa apabila calun yang kalian pilih menghina Islam, tidak taat kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, tidak suka kepada hukum hudud, membiarkan dan menggalakkan maksiat bermaharaja lela, munutup pintu rundingan dengan rakyat, rasuah dan menghina ulama dan menyekat dakwah Islam.

Kepimpinan juga sama seperti bidang lain yang mestilah berasaskan kelayakan. Layaknya seseorang menjadi pemimpin itu adalah kerana dirinya memang memiliki bakat semulajadi, dapat pula memenuhi ciri-ciri kewibawaan dan masak dengan selok belok peranan kepimpinan.

Terlalu luas dan banyak aspek yang perlu difahami dan dihayati oleh seseorang yang bergelar pemimpin. Namun dari keseluruhan aspek itu dapat dirumuskan berdasarkan pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a kepada para pemimpin negeri dan daerah yang hadir dalam pertemuan bulanan.

Kata Sayidina Umar: "Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertakwa. Kerana tanpa ketakwaan kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat.

Aku juga sangat kecewa terhadap orang yang bertakwa tetapi dungu. Kerana orang itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna."

Bersandarkan kepada intipati pesanan Saidina Umar Ibnu Khattab tersebut bahawa mereka yang berkelayakan menjadi pemimpin itu mesti memiliki dua perkara pokok. Pertama; ketakwaan, kedua; kepintaran.

Jika pemimpin itu bertakwa, segala urusannya dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Sangat penting para pemimpin dibantu oleh Allah SWT, kerana dengan demikian itu akan terjamin segala urusannya tepat menurut kehendak Allah SWT dan RasulNya.

Pemimpin bertakwa apabila menjadi pemimpin dia akan tetap teguh pendirian sebagai wakil Allah SWT. Dia tidak mewakili dirinya atau tidak mewakili mana-mana pihak.

Wakil Allah SWT (khalifah) di atas bumi ini, dia tidak akan memihak kepada sesiapapun. Keadilan akan terjamin di dalam kepimpinannya. Kerana Allah SWT itu Maha Adil maka pemimpin yang mewakili Allah SWT pasti berlaku adil.

Pemimpin bertakwa bukan sahaja perkara haram atau makruh diketepikannya kerana yang haram itu berdosa dan yang makruh itu dibenci oleh Allah SWT. Orang bertakwa, dibenci oleh Allah SWT pun sangat dibimbanginya. Malah perkara halal pun sangat berhati-hati. Kerana yang halal itu kalau berbentuk material, keharusan memilikinya tetap ditakuti kerana hisab yang lama di akhirat nanti.

Pemimpin bertakwa adalah seorang yang sering membuat muhasabah dirinya, sama ada dalam hubungannya dengan Allah SWT dan hubungannya dengan manusia atau urusan manusia.

Kecacatan, kelalaian lebih-lebih derhaka kepada Allah SWT sangat ditakutinya kerana dengan penuh sedar bahawa dia sedang melakukan kerja kerja Allah SWT. Allah SWT tidak pandang atau dengan kata lain tidak ada nilai bagi orang yang membuat kerja Allah SWT tetapi jauh dari Allah SWT.

Kecacatan dalam urusan manusia di bidang kebajikan, pendidikan, ekonomi, keperluan kehidupan dan sebagainya akan menjadikan rakyatnya membenci atau memusuhinya. Lebih-lebih lagi ditakuti kalau gagal memimpin dan mendidik hati manusia supaya kenal, taat dan takut kepada Allah SWT.

Penyebab perpecahan adalah sifat mazmumah. Sikap suka disanjung, suka dipuja hingga taksub, suka mempromosi diri adalah mazmumah. Amat penting bagi pemimpin mengenal sifat mazmumahnya. Kerana mazmumah dirinya itu boleh mencacatkan kepimpinannya. Ego, pemarah, tamak, diktator, bakhil membuatkan rakyat benci dan memusuhinya. Hanya pemimpin bertakwa sahaja yang mampu mendidik diri dan mendidik rakyat.

No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML