Friday, March 14, 2014

PEMIMPIN PERLU DIPILIH MACAM MANA??

Kalian Perlu Mengundi Dan Memilih Pemimpin Yang Berakhlak Mulia

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Pemilihan pemimpin yang akan bertanggungjawab menguruskan kebajikan rakyat dan mentadbir negara dengan jujur dan amanah adalah satu kewajipan. Tanpa ada pemimpin tidak mungkin kemaslahatan rakyat dapat diurus dengan baik. Kemakmuran suatu negara, rakyatnya bersatu padu, terhindar daripada kebinasaan, kepincangan dan kerosakan adalah mempunyai perhubungan yang erat dengan pemimpin yang amanah. Jika seorang pemimpin itu rasuah, rendah akhlak dan moralnya, sering melakukan dosa-dosa besar dan bersubahat dengan pembuat fitnah maka pemimpin tersebut tidak layak dipilih dan diberi peluang untuk memimpin rakyat.

Kuasa mengundi ada ditangan kalian dan kalian perlulah berhati-hati dan berwaspada supaya tidak melakukan kesilapan dan keliru semasa membuat pengundian. Kenapakan mengundi dalam pilihan satu amanah yang tidak boleh diabaikan? Seseorang yang engan mengundi dan menganggap ianya perkara yang tidak penting maka dia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT dihari akhirat nanti sekiranya golongan perasuah , mabuk kuasa dan mereka yang rendah akhlaknya terpilih di sebabkan majoriti memihak kepada mereka.

Terdapat beberapa faktor kenapa kalian perlu mengundi. 

Faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Kaedah fiqh

Melakukan mudarat yang kecil bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Mudharat yang kecil adalah bila diadakan pilihan raya akan berlaku perselisihan faham, lobi-melobi, mendedahkan keburukan parti-parti yang bertanding, berlaku ketegangan dalam masyarakat hingga boleh mencetuskan pergaduhan. Banyak masa dan wang ringgit terbuang semasa di adakan pilihan raya yaitu dengan di adakan ceramah, kempen, menampal poster dan memasang bendera.

Mudharat yang lebih besar pula akan berlaku apabila hak pemerentahan diberikan kepada pemimpin yang tidak adil iaitu hasil dan kekayaan negara akan disalah urus bukan untuk kepentingan rakyat tetapi lebih kepada individu tertentu dan kroni. Rakyat akan mengalami kerugian besar kerana undang-undang Islam tidak akan dipraktikkan dalam kehidupan bernegara, tidak berlaku adil dalam perbicaraan dimahkamah, kos untuk mendapat pendidikan tinggi terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi, cukai-cukai akan dinaikkan, projek-projek kerajaan akan diagih-agihkan dikalangan ahli keluarga dan rakan-rakan pemimpin sahaja, gejala sosial dan keruntuhan akhlak akan berlaku bermaharajalela tanpa ada pemulihan yang bersepadu.

Kedua : Memahami Fiqh Awlawiyat ialah memahami apa yang paling utama daripada beberapa perkara dari sudut pelaksanaan. Ini bermakna memberikan hak keutamaan didahulukan pada perkara yang mesti didahulukan daripada perkara yang lain yang utama dikemudiankan, sesuai dengan masa dan waktu perlaksanaannya.

Al-Fadhil Dr. Yusuf al-Qardawi memberikan takrif Fiqh Awlawiyat seperti berikut :
“Menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil”.

Dalam realiti semasa seorang muslim itu perlu menguatamakan perkara yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Undang-undang Islam belum lagi dilaksanakan sepenuhnya dalam masyarakat kita. Proses perlaksanaannya perlu kepada masa dan peringkat demi peringkat. Oleh itu salah satu cara dan jalan menuju kepada perlaksanaan undang-undang Islam adalah umat Islam perlu mengambil peluang memilih pemimpin yang beriman dan bertakwa semoga penyebaran fikrah dan dakwah Islam dapat di jalankan secara berterusan.

Kalian perlu mengangkat peribadi yang sesuai ke kedudukan yang sesuai dalam memimpin umat dan negara. Pilihlah ahli dewan undangan negeri dan wakil rakyat dari kalangan rakyat yang cerdas, berjiwa besar dan berakhlak mulia, golongan yang berupaya membuat keputusan dan polisi terbaik demi pengurusan perjalanan negara dan kehidupan rakyat, mereka yang mendepani cabaran besar serta merebut peluang yang terhampar pada tahun-tahun mendatang.

Oleh yang demikian mengundi dengan prinsip menurut urutan berikut; menyokong calon yang mendukung agenda Islam; memilih calon yang tidak mengancam perjuangan Islam di Malaysia; (jika) dalam kalangan calon-calon bukan Islam, (memilih) peribadi calon yang tidak memusuhi Islam; dan akhir sekali, mengundi peribadi calon bukan Islam yang bahayanya terhadap perjuangan ummah paling minimum.

Ketiga : Tahaluf Siyasi Islami.

Bekerjasama dengan organisasi lain atau parti-parti politik lain yang tidak bermatlamatkan Islam untuk membina sebuah kerajaan. Kerjasama ini berlaku terhadap apa jua bidang yang telah dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama.

Ulama-ulama gerakan telah memberi pandangan yang berbeza dalam mengeluarkan hukum bekerjasama dengan gerakan atau organisasi yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam.

Para Ulama Haraki telah mengharuskan Tahaluf Siyasi Islami dalam gerakan Islam antaranya Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Doktor Munir Muhammad al- Ghahdban. (Doktor Munir Muhammad al- Ghahdban, kitab al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam, (m/s 114-116) 

Bekerjasama dengan bukan Islam dalam politik aman (siasah dakwah silmiyah).
Adalah di benarkan ahli-ahli politik muslim untuk meminta pertolongan demi menjaga maslahah umat Islam,negara dan rakyat seluruhnya itu sendiri agar keselamatan diri terjamin dan kerja kebajikan dan keadilan akan berterusan melalui pilihan raya dan perkongsian kuasa.

Keharusan Tahaluf Siyasi Islami dengan kerjasama gerakan/ parti yang bukan Islam boleh di bahagikan dalam beberapa syarat iaitu : 

1. Orang bukan Islam di yakini amanahnya untuk merialisasikan kerja-kerja kebajikan dan keadilan dalam ajaran Islam samaada secara perbincangan, perjanjian dan sebagainya.

2. Tidak berlaku di sebalik kerjasama tersebut pengabaian kepada beberapa prinsip Islam

3. Tidak berlaku di sebalik kerjasama tersebut kita berdiam diri dari berkata benar atau setuju dengan kebatilan

4. Tidak berlaku di sebalik kerjasama itu bermuka-muka dengan orang bukan Islam atau memuji kekufuran mereka.

5. Tidak berlaku di sebalik kerjasama itu penguasaan orang bukan Islam ke atas orang Islam dengan membawa kepada kemudharatan kepada umat Islam dan ajaran Islam. Tidak mengadaikan prinsip Islam.

Contoh keharusan bekerjasama dengan mereka dengan tujuan maslahah menegakkan keadilan Islam dan kemaslahatan umat Islam itu sendiri adalah ketika mana Nabi Muhammad SAW dibantu (kerjasama) oleh bapa saudaranya yang bukan Islam iaitu Abu Talib.

Berkata Imam Ibnu Kathir : " Hikmah yang bgitu besar kepada Islam dan Rasulullah SAW di sebalik kufur Abu Talib ialah kekuatannya sebagai benteng utuh da’wah Nabi yang sentiasa mempertahankan Nabi. Seandainya Abu Talib masuk Islam, sudah pasti orang Quraisy tidak akan mempedulikan kemuliaan ,kebesaran dan penghormatan yang ada pada peribadi Abu Talib. Mereka akan menghapuskan Nabi SAW serta Abu TAlib dengan kekerasan dan cemuhan jahat mereka.

Perlindungan yang di berikan Abu Talib kepada Nabi Muhammad bukanlah ketika di saat getir sahaja bahkan dalam segenap sudut sehinggakan Nabi menjadi terlalu sayang kepada beliau.Ini dapat di buktikan bila mana meninggalnya Abu Talib, Nabi menjadi terlalu sedih.

Jelaslah, bahawa bukan kerana hubungan darah daging sahaja, tapi kerana jasa dan pengorbanan yang di berikan oleh beliau. Sekiranya darah daging di jadikan ukuran, ini kurang tepat kerana Nabi tidak melakukan perkara yang sama pada Abu Jahal dan Abu Lahab.

Sebagai kesimpulan di atas, dapatlah di fahami bahawa hukum bekerjasama dengan bukan Islam dalam politik adalah harus dari sudut syarak selama mana ia memberikan kemaslahatan umum mengatasi kemudharatan.

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam Islam matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Apabila matlamat kalian ingin menjadikan Malaysia negara berkebajikan dan kearah tertegaknya negara Islam maka jalan-jalan yang kalian gunakan untuk mencapai matlamat yang murni ini perlulah syarak benarkan dan bersih daripada unsur penipuan.

Jika kalian berkempen dan menyokong calun yang akan bertanding (calun yang berakhlak dan berintegeriti) maka gunakanlah cara-cara bersih dan beradab sopan. Jangan gunakan cara Machiavelli atau matlamat menghalalkan cara iaitu dengan menggunakan kempen cara kotor dengan maki-hamun, fitnah-memfitnah, mengadu domba dan tuduh menuduh. Setiap dakwaan dan tuduhan perlu disertakan dengan bahan bukti bukan cakap-cakap sahaja dan emosi semata-mata.

Tonjolkanlah manifesto yang lebih baik daripada manifesto calun lawan dan buktikan bahawa kalian mampu melaksanakan semua janji-janji yang akan diberikan kepada rakyat. Buktikan pemerentahan lama telah menyalahgunakan kuasa dan berlaku penyelewengan harta negara kepada perkara yang tidak bermanfaat dan membazir, hak rakyat bersuara dinafikan, kezaliman dan ketidakadilan berlaku dimana-mana.

Sahabat yang dikasihi,
Pastikan kalain benar-benar memilik calun yang akan menguntungkan Islam dan calun-calun yang akan membantu menegakkan keadilan dan memberi kebajikan kepada rakyat semuanya. Ingat kalian pasti akan bertanggungjawab samaada kebaikan atau keburukan yang akan berlaku kerana keputusan yang telah kalian lakukan. Jika kalian inginkan kebaikan dan keberkatan dan mendapat keredaan Allah SWT maka pilihlah mereka yang berusaha untuk menegakkan Islam sebagai cara hidup dan mereka yang bercita-cita untuk menghapuskan kezaliman dan ketidak adilan yang telah lama berakar umbi di dalam negara.


No comments:

Powered By Blogger | Template Created By Lord HTML